Saturday, 4 April 2026

Sayang orang sama

Dibasahi air mata
Tak mampu ku pertahankan
Segala apa yang kau meminta

Kau mahukan perpisahan
Kau tinggalkan semuanya
Untuk kau bersamanya

Ku masih sayang orang yang sama
Hingga ku terluka
Masih aku setia

Ku masih rindu orang yang dulu
Tetap aku menunggu
Walau kau ada yang baru
Perpisahan tanpa rela

Tak mampu ku pertahankan
Segala apa yang dah terbina
Kau mahukan perpisahan
Kau tinggalkan semuanya
Untuk kau bersamanya

[CHORUS]
Ku masih sayang orang yang sama
Hingga ku terluka
Masih aku setia

Ku masih rindu orang yang dulu
Tetap aku menunggu
Walau kau ada yang baru

Tuesday, 10 March 2026

Pergi

Andai boleh ingin daku anggap dia sudah pergi dari dunia ini. Mengapa sukar untuk aku melepaskan dia pergi dalam memori hidup ini.
Nama dia sering meniti di bibir ini
Wajahnya sentiasa melintasi bayangan ini
Kenangan juga kerap melayari hidup ini
Cuba ku jauhkan
Malah aku tetap menghalau ingatan
Memadam sejarah masa lalu
Namun ia tetap kekal
Sukar
Aku buntu

Friday, 9 January 2026

Anekdot: Batu Seremban di Serambi Rumah


Petang itu, angin kampung bertiup lembut. Aku dan rakan-rakan duduk bersila di serambi rumah nenek, masing-masing menggenggam lima biji batu kecil yang licin. Permainan bermula — batu seremban jadi raja segala tawa.

“Aku boleh angkat semua sekali!” kata seorang kawan dengan penuh yakin.

Kami ketawa, kerana biasanya batu itu lebih suka jatuh bersepah daripada menurut tangan kecil kami.

Aku cuba giliran sendiri. Batu pertama melambung ke udara, tangan pantas menyambar batu lain di lantai. Degup jantung laju, mata fokus. Hampir berjaya — tapi batu terakhir terlepas, jatuh bergolek ke kaki nenek.

Nenek tersenyum sambil berkata, “Permainan ini bukan tentang menang, tapi tentang sabar.”

Kami terdiam seketika, lalu ketawa lagi. Batu seremban terus dimainkan, bersama kenangan yang tak pernah pudar.

Thursday, 1 January 2026

Cerita hujung tahun

Situasi 1

Ustazah Shamsiah memanggil Maya Qaisara  ke dapan

"Kenapa kerap kali tak datang kelas ustazah?" Tanya Ustazah lembut dan berhati-hati.

"Ustazah....saya tak cukup duit, sekiranya saya datang semalam, saya tak dapat datang ke kelas hari ini. Saya naik grab daripada rumah saya ke stesyen LRT, lepas tu baru saya ambil pengangkutan awam. Abah saya belum gaji lagi, jadi saya kena berjimat cermat," jawab Maya dengan nada lemah dan kesal.

"Kenapa tidak duduk di sini?" Ustazah bertanya lanjut.

"Abah saya tidak benarkan, dia takut saya tidak boleh berdikari disini," Maya seakan berbisik sahaja risau kawan sekelasnya dengar.

Situasi 2

"Adam, kenapa tidak datang kelas petang kelmarin sedangkan sudah tahu bahawa ada ujian lisan?" Ustazah Shamsiah bertanya tegas.

"Hujan lebat semalam ustazah, saya memang naik pengangkutan awam. Kalau guna payung pun akan basah kuyup," Adam memberikan alasan yang kali ketiga untuk semester ini.

Situasi 3

"Nisha, bulan ini sahaja sudah dua kali awak ponteng kelas?" Ustazah Shamsiah menantikan jawapan dan alasan daripada pelajarnya.

"Sebenarnya ustazah, saya bergilir dengan kakak saya menjaga ibu saya yang sakit kanser, dia sekarang terbaring sahaja. Kalau kakak saya ada kerja, saya terpaksa berkorban tidak datang ke kelas," sayu sahaja jawapan yang diberikan oleh Nisha, ternampak bagaikan ada kilauan air di tubir matanya yang bila-bila akan gugur.

Situasi 4 

"Ustazah, saya sudah menunggu bas selama dua jam tapi bas tak muncul juga. Saya kena naik 3 bas, kena tukar untuk sampai ke kampus. Saya tak mampu naik grab kerana mahal." Adu Elena ketika Ustazah menghantar mesej bertanyakan kenapa gagal hadir ujian lisan pada hari ini.

Situasi 5