Saturday, 19 October 2013

Warkah kedua

Ima, 
Maafkan As kerana menitipkan warkah yang kedua buat Ima. As rasa Ima sahaja yang layak mendengar segala masalah yang As hadapi kerana Ima bersama dengan As sejak As mengenali Eddy lagi. Sememangnya warkah ini masih lagi berkaitan dengan Eddy.

Ima, sejak pertemuan tempohari As semakin menjadi seorang yang pendiam tetapi dalam masa yang sama As bertekad untuk cepat-cepat menyudahkan perjuangan As di sini. As mahu segera pulang ke kampung halaman yang As rindui sejak akhir-akhir ini.

Tanpa As sangka, isteri Eddy yang namanya Rina telah datang bersemuka dengan As. Katanya dia tahu As adalah cinta pertama Eddy dan katanya lagi dia tahu sejarah kami berdua. Untuk apa dia meluahkan ini semua? As rasa berdebar-debar tidak mahu dituduh yang bukan-bukan. As cuba sedaya mungkin tenang mendengar luahan rasanya. Katanya, dia dan Eddy berkahwin atas desakan keluarga mereka kerana perjanjian datuk nenek moyang mereka. Dan salah satu sebab kenapa mereka merantau di sini kerana mereka tidak perbuatan mereka dihidu oleh keluarga mereka. Apa yang Ima boleh bayangkan apabila Rina memberikan klu begitu? As hanya mendiamkan diri sahaja sambil menganalisis apa yang diperkatakan oleh Rina. As nampak di muka Rina penderitaan yang ditanggung oleh mereka berdua. Hidup bekeluarga tanpa cinta umpama bunga yang tiada wanginya, seri hanya nampak dimata tetapi tidak dapat memberikan haruman kepada manusia yang lain.

Ima, untuk apa Rina ceritakan semua itu pada As? Apakah motifnya? As masih lagi mencari jawapannya dan ini membuatkan As rasa makin bersalah. Cinta sepatutnya disemai pada pasangan yang halal seperti mereka. Cinta yang belum berputik boleh dicambahkan jika mereka menyemai dan membajainya. Apa yang boleh As nasihatkan mereka berdua, jangan diikut rasa hati, jika itu semua ditakdirkan terimalah seadanya. Dalam hati As ini, bagaikan pecah berlimpangan rasanya tika menuturkan kata-kata itu. Hati As makin hancur sebenarnya. Tipu rasanya jika As katanya tiada sedikit pun rasa gembira cuma As tidak mahu memberikan pengharapan lagi buat sebuah hubungan yang akan memusnahkan hubungan yang lain.

Selang beberapa hari kemudian, As menerima kiriman emel daripada Rina yang menyatakan bahawa mereka berdua cuba memulihkan kesilapan yang mereka lakukan dan mahu menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing. Dan permintaan yang paling berat untuk As tunaikan apabila Rina mengajak As datang berkunjung ke kediaman mereka. Ima, adakah patut As menerima pelawaan Rina? Untuk apa? Untuk menghiriskan lagi perasaan ini yang mula bercantum sembuh kelukaan ini. 

Ima, As akan kembali lewat hujung tahun ini bersama dengan segulung sijil yang diidamkan oleh rakan-rakan kita semua. Semua ini adalah titik perjuangan As disebabkan kegagalan As dalam membina sebuah mahligai impian. As ingin mencurahkan bakti kepada anak didik As nanti. 

Ima, tunggulah kepulangan As.

Sekian, terima kasih kerana sudi mendengar cerita As.


Sunday, 6 October 2013

Warkah buat Ima


As-salam
Ima, masih ingat tak lagi tentang hubungan As dan Eddy yang tergantung itu? Tiada kata putus sebenarnya antara kami berdua? Tentu Ima masih ingat kerana Ima lah tempat As mengadu sekiranya As ada masalah terutama hubungan As dengan Eddy.

Setelah sekian lama kami bermain teka teki, akhirnya Eddy menghulurkan sekeping kartu yang bertinta emas lewat pertemuan kami berdua. As sememangnya tersentak dengan huluran itu tetapi As cuba mengawal diri dan membaca nama yang tertera itu. As mengucapkan tahniah dan sempat bertanya dua- tiga soalan sebagai mengawal rasa hati yang sudah retak dan berkecai. Selepas itu As cepat-cepat meminta diri. Kiranya itulah pertemuan terakhir As dengan Eddy.

Usai sampai di rumah, segala kenangan bersama Eddy terus As padamkan. Bermula pada hari itu juga, As mengisytiharkan bahawa As akan belajar melupakan semua kenangan yang tercipta. Bilah hari yang berlalu begitu lambat sehingga As rasa As perlu keluar dari sini. Bermula dari saat itu, As memohon untuk sambung pengajian di luar Negara dan akhirnya As berjaya. Syukur tidak terhingga kerana As boleh melangkah keluar dan mengharapkan agar As dapat membuang segala kenangan yang semakin menjerat rasa itu.
Akhirnya As telah terbang ke Leicester dan mahu bermukim beberapa purnama dan mencipta mimpi indah di sini. Rembulan dan matahari tetap sama menemani As di sini tetapi kenangan itu tetap terpahat di hati ini dan agak sukar untuk diusir keluar. Peritnya As menanggung derita ini keseorangan.

Hampir enam purnama As di sini, hampir wujud ketenangan itu, tiba-tiba ia berkocak kembali. Mulanya As sangka As hanya ternampak baying Eddy sahaja, maklumlah As masih lagi mengingati kenangan itu. Namun apa yang As nampak adalah realiti, Eddy benar-benar berada di depan mata ini. Ujian apakah ini di saat As hampir selesai pertarungan ini?
Awalnya As cuba mengelak daripada bertembung tetapi takdir menemukan kami tidak dapat mengelak lagi. Dari pertemuan pertama terjadi kepada pertemuan kedua dan seterusnya. As tahu, Ima tentu marah apabila As semakin rapat dengan Eddy. Namun apakah daya As? As tiada kekuatan untuk melawannya. As semakin hari semakin takut, risau apabila ditinggalkan lagi setelah sinar bahagia sudah bercambah di hati ini.

Pada suatu hari Eddy beria-ia mengajak As keluar, katanya ada kejutan yang dia ingin berikan. Perasaan As berdebar-debar dan kalau diikutkan hati, As mahu segera sampai di situ. Adakah As masih mempunyai peluang? Sesampai As di tempat yang dijanjikan, As hampir pengsan kerana As diperkenalkan dengan isteri Eddy yang jauh lebih jelita dan bergaya. As terkedu dan hanya mendiamkan diri sahaja. Mengapa semua ini terjadi, soal hati kecil As.

Mungkin Ima akan menyalah As kerana terlalu mengikut naluri tapi Ima perlu sedar, As tiada kekuatan melawan itu. As semakin lemah dan semangat itu makin lama makin melayang. As tahu As sendiri yang mengundang derita itu dan As harus menempuhinya. As tidak salah kan sesiapa dalam hal ini kerana As sendiri yang berani bermain api sehingga ia makin membara dan membakar diri ini.

Ima, As harap Ima boleh memberikan dorongan buat As meneruskan perjalanan hidup ini.
Sekian terima kasih.

Bahagiaku hilang

Kenangan lalu masih lagi mengejar diriku, walau cuba ku tepis namun ia tetap hadir dalam mindaku ini. Mengapa sukarnya menghapuskan kenangan itu? Bagaikan ada tali pengikat yang enggan memisahkan kenangan itu. Biar secebis bayangan pun aku tidak ingin ia hadir dan walau sekelumit mimpi aku jua tidak pinta ia bertapak. Apa yang aku harapkan semua kenangan ini dapat dilupuskan sebaik mungkin.

Cukuplah derita yang aku tanggung selama ini. Ku akui sakitnya tidak dapat ku gambarkan. Puas ku pujuk derita supaya ia pergi menjauh dalam kamus hidupku dan aku jua mahu gelora badai terbang bersama derita. Hingga aku kalanya mengalah dengan ketidakmampuan aku ini. Berderai airmata ini .........

Dari lorong kegelapan aku cuba berlari keluar mengintai cahaya pelangi buat menyinari hidupku yang mendatang. Sudah lama perkataan bahagia hilang dalam kamus hidupku dan sekarang aku benar-benar dambakannya. Bahagia....ku memohon dan merayu, datanglah mendampingiku.

Pintaku, bahagia jangan datang menjenguk sahaja tapi terus bertandang hingga ke akhirnya kerana aku tidak ingin menjemput lagi derita dan kesengsaraan. Cukuplah apa yang telah aku rasa dan lalui selama ini. kembalilah ketenangan dan kedamaian dalam warna hidupku ini.

Kepalsuan tidak mahu lagi menjadi topeng dalam wajah kehidupan ini. Kebenaran yang kudambaku kerana hidup dalam kepuraan akan menyebabkan aku kesakitan. Apa yang ku harapkan agar bahagia kembali menjelma dalam hidupku ini.

Tuesday, 1 October 2013

Mampukah

Mampukah

Kita yang hanyut di tengah lautan
Ditiup angin gelora cabaran
Mampukah berenang ke tepian
Atau karam di badai lautan
Tanpa ada kekuatan dan keberanian

Kita yang jatuh ke dalam jurang
Tergelincir dek angin dugaan
Mampukah mendaki ke puncak
Tanpa semangat membara
Yang telah terpadam tiba-tiba

Kita yang tersungkur di jalanan
Tersepak batu halangan
Mampukah berdiri kembali
Menyambung perjalanan terhenti
Mengutip semangat yang hilang
Dengan harapan suci
Mengaut sebuah kejayaan

Mampukah kita………..
Mengusir igauan ngeri
Mendakap impian indah
Mampukah…..

Piluku simpan

Ingin aku simpan pilu ini
Biar ia kering di permukaan
Bawalah derita ini pergi
Jangan salahkan apa yang terjadi
Pulanglah bahagia
Aku selalu ingin
Membiarkan pilu luka hati
Pergi dari hatiku
Pinjamkan aku matahari
Yang tegar menyinar
Tidak pernah memungkiri janji
Sedang aku berjalan dalam kegelapan
Aku tertusuk duri kepedihan
Dengan ketar tangan
Aku nyalakan api cinta
Kasih sayang
Untuk ku terangi jalan
Tapi mampukah aku bertahan
Dalam dingin ini
Lepaskan sengsara ini
Jangan pernah berhenti
Memadam luka
Lubang yang dalam
Akan meninggalkan kesan dalam
Kenangan
Lepaskan aku pergi
Biarkan aku bawa gembira
Biarkan aku dukung bahagia
Jangan kau halangi lagi
Rasa hatiku membelenggu
Rasa cinta yangtidak tertuai
Bukan aku menggali kenangan
Tapi rindu yang belum dituai
Kenangan itu tak mampu ku bunuh
Memori itu tak tahu bagaimana nak hapuskan
Damailah hati
Tenanglah

Sunday, 29 September 2013

Lakaran lepas

Cerita yang pernah kita lakarkan hanya menjadi sejarah hari ini. Dan kau hanya mampu lafazkan maaf kerana tidak mampu persembahkan apa yang telah kita janjikan sebelum ini.
Pernahkah kita sesalkan apa yang telah terjadi dan tiada antara kita minta ditakdirkan sebegini. Tak mungkin kita mahukan pengakhirannya sebegini kerana kita berdua yakin setiap yang berlaku ada hikmah di sebalik ini. Kita telah berjanji walau apa yang berlaku, kita kena hadapi hidup ini dan mesti kuatkan semangat melalui hari-hari mendatang.

Kini aku berjalan melangkah membawa cinta yang pernah hadir di ruang hati ini menjadikan teman waktuku berduka. Izinkan aku menyimpannya sehingga sampai waktunya aku akan menanamnya. Sampai waktunya aku tetap akan kuburkan ia....pasti. Aku sebenarnya tidak tahu bagaimana caranya untuk kekal tabah mendatangi bilah-bilah hari tanpa kau di sisi. Aku mula belajar warna pelangi untuk menghiasi taman hatiku ini, umpama kaca yang retak menanti derai.

Tiada yang bisa melelahkan aku....kenangan yang berputar dalam mindaku ini. Aku kebasahan menahan tangis yang meluru keluar. Bagaimana aku mahu menangkis semua itu? Ku mohon padaMu supaya dibekalkan ketabahan mendepani hari-hari yang mendatang. Pintamu tenanglah menghadapi dugaan ini sedang aku sendiri menahannya dalam gelap dalam sinar.


Percayalah bahawa semua ini akan berlalu walau kau menahannya....dan aku ditinggalkan pergi dalam duka. Dalam kegelapan kau tinggalkan aku. Sebentuk hati yang telah pecah berderai...di dalam lautan kasih yang kau musnahkan.

Di hati ini tiada lain yang bertamu....hanya kamu. Dan saat yang paling menyakitkan apabila kau tidak izinkan aku walau sekelumit hadir sekalipun dalam mimpimu. Sepi mencengkam hatiku dan cahaya mula berdikit menghilang. Aku rasa aku tidak mampu berdiri lagi...tiada lagi yang akan menyokongku jika aku terasa ingin rebah. Seharusnya aku belajar mengenal dunia ini. Dan kau tutup kemas pintu hatimu ini sehingga tiada lagi ruang untuk aku bertapak kembali.

Pintamu lagi, relakan kau pergi dalam diriku. Saat itu hanya kelam menyulami dan aku terdiam sepi. Suara tangisan tersekat di kerongkong dan menusuk jantungku. Ucapku perlahan....aku akan teruskan hidup ini tanpamu.

Thursday, 26 September 2013

Keliru

Masih aku mengatakan tidak apabila pintamu untuk melupakan buat seketika. Kenapa? Jawapannya sememangnya ada di tanganmu. Walau kau sudah lama berlalu dalam hati ini namun aku tetap setia padamu. Kenapa? Sukar untuk aku mengusik namamu dalam hati ini yang sudah terpahat teguh di sudut sanubariku ini.
Doaku, Ya Tuhan, kembalikan dia padaku kerana aku sangat mencintainya dan tidak mampu aku melupakan. Terdayakah aku meneruskan hidup ini tanpa cintamu.
Apa lagi yang perlu ku lakukan untuk mengekalkan dirimu di sisiku. Dan segalanya aku telah cuba untuk memiliki seluruh hatimu itu. Apa yang tinggal hanyalah kepasrahan dalam mengharungi hidup dan ranjau ini.
Di mana sahaja aku berada, dirimu tetap menghantui diriku ini. Kenangan dan memori memang terpahat dalam ingatan dan sentiasa di bawa walau dalam mimpi pun.
Andai kau berikan waktu untuk aku fikirkan kembali, aku tetap akan katakana bahawa dirimu tetap menjadi pilihan hidup ini. Akan aku tetap menemanimu tika susah ataupun senang. Untuk meniti hari yang berlalu, kau sentiasa yang pertama menjadi ingatannya.
Pintaku jangan tinggalkan aku sendiri kerana aku merasakan seolah kelam seluruh jiwaku ini jika kau berlari dan mengucapkan selamat tinggal.
Harapanku agar kau tidak berubah sejak kali pertama aku mengenali dirimu. Aku ingin kau terus menyayangi diri ini dari dulu dan selamanya.
Kau yang aku kenali dan kini menjadi insan yang lain. Dulu kau berjanji bahawa kitakan hidup semati meniti hari tetapi semua ini telah berakhir.