Saturday, 16 November 2013

Sepanjang perjalanan ini As tidak tahu mengapa airmatanya laju sahaja mengalir. Sejak akhir-akhir ini airmata bagaikan teman setianya. As sendiri pelik, kenapa dia makin kerap beremosi sehingga begitu sensitif dengan apa sahaja pertanyaan berkenaan dengan dirinya.

As semakin terbeban dan tergalas dengan pelbagai pertanyaan yang bertalu datangnya dari saudara mara dan sahabat handai. Andai dapat, mahu rasanya As pergi berkurung di mana, yang tidak perlu berjumpa dengan seorang manusia pun. Mampukah begitu?

Mengapa persoalan itu yang dibangkitkan oleh mereka semua? Tiadakah pertanyaan lain yang boleh menggembirakan hati As ini? Rasa rajuk ingin segera As pulang ke UK semula, belajar dan belajar lagi. Sampai bila As harus lari dari kenyataan yang benar-benar pahit. As percaya semua ini hanya ujian yang kecil sahaja.

Dugaan untuk diri dapat As tempiaskan lagi tetapi sekarang dugaan untuk kerja yang datang tanpa diduga. Pelbagai bebanan kerja ditambah dari sehari ke sehari bagaikan kita tidak akan berdepan dengan sebuah kematian. Masa lapang dirampas sepenuhnya sehingga tergadai masa sosial. Apabila menjejakkan kaki ke pejabat, terus bertungkus lumus sehingga luput waktu tanpa disedari. Balik rumah, minda As sudah mamai dan memerlukan rehat yang panjang. Mana ada masa untuk menambah ilmu ukhrawi lagi. Adakah ini semata-mata dikatakan alasan.

Adakalanya apabila masa sibuk datang, dapat menghalau galau di hati ini tapi ia cuma sekejap sahaja. Apabila kembali tenang, tasik hati dan jiwa ini berkocak kembali. Parahnya hidup ini jika dibiarkan sebegini tanpa diubati.

"As, adakah kita ini mangsa keadaan ataupun sememangnya telah dizalimi?" Tanya sahabat seperjuangan Leen setelah melihat As kelelahan. Mana mungkin terkejar mengejar dateline yang semuanya memerlukan masa untuk melangsaikan hutang itu. Tuntutan tugas yang memerlukan kita meneliti dan berjumpa dengan orang ramai memerlukan masa.

"Leen, jika kita rasa dianiayai, apa yang mampu kita lakukan, berdoalah. Orang kata, doa orang yang dizalimi akan diterima," As cuba memujuk Leen serangkap memujuk diri sendiri juga.

Terdengar keluhan kecil terbit dari kami berdua. Tidak mahu memanjangkan bicara kami menyambung kerja yang tergendala tanpa menoleh lagi.

Lewat petang semalam, As menerima emel kiriman sahabat lama, katanya As mampu mengharunginya berdasarkan pemerhatiannya pada As selama ini. As tersenyum usai membaca kirimannya. As melihat sekeliling walaupun ada dinding yang menghalang namun As tetap merempuhnya sebelum ini hingga As berjaya mencapai citanya.

Tiada yang mustahil di dunia ini, mampu As petik kemahuan dan menghiasinya di taman hati ini.


Sunday, 10 November 2013

Seputar kehidupan



“As, kau nak tak jadi pengapit aku?”  Tanya Sumayya.
Aku tergamam. Sedih pun ada. Sampainya hati Mai. Teganya dia nak lukakan hati aku lagi. Aku kan sepupunya yang paling dia rapat. Apa dia ingat hati aku ni kayu yang tak punya perasaan? Kejam. Aku mahu anugerahkan dia  Anugerah Manusia Paling Kejam di dunia ini. Hatiku merintih. Tapi itu semua dalam hati, tidak pernah aku lafazkan dan zahirkannya.
“Seseorang itu dicintai kerana dia sememangnya layak dicintai. Tak ada sebab atau alasan untuk mencintai seseorang.” As memberikan jawapan apabila ditanya tentang cinta oleh sepupunya Mai ataupun nama penuhnya Sumayya.
Mai sering mengadu masalahnya dia dengan encik tunang tersayang. Ada sahaja gaduh-gaduh kecil disebabkan bab yang remeh temeh. Mungkin disebabkan Mai ini agak manja, maklumlah anak tunggal perempuan.
“Eh! As bila kau nak kawin?  Takkan nak tunggu aku bercucu dulu? Patutnya kau kahwin dulu sebabnya kau tu tua dari aku.” Bebel Mai yang sememangnya dikenali mulut tiada insuran. Sedap mulut dia je tanpa pernah nak menjaga perasaanku. Mujurlah dia sepupuku yang paling rapat dan aku mengenali dia sejak dari kecil lagi.
“Aku tak rasa aku tua pun.” Aku mencebik. Tak habis-habis orang bebel tentang isu kahwin. Apa tak ada isu lain ke dalam dunia ni, aku mengeluh perlahan.
“Kamu masih ingatkan kekasih lama dan tidak terbuka lagi untuk menerima orang lain dalam hati kamu?’ Pertanyaan Mak Long tengah hari tadi berlegar di benakku, sekali lagi. Benarkan aku masih menyimpan dia?
Pertanyaan-pertanyaan itu membuatkan aku senak untuk balik ke kampong. Tambahan apabila diserang soalan yang bertalu-talu sedang aku tiada pertahanan yang cukup canggih.

Getar bicara

Apabila hati ini berbicara lagi, lemah seluruh tubuhku ini dari menahan bibir dari berkata-kata tentang rasa cinta itu. Di dalam dada yang terkurung ini dan seolah aku terpenjara di sini untuk menanti masa supaya kau  kau sedar bahawa hanya kau yang aku cintai.

Aku mengharapkan kau membuka pintu hatimu itu. Aku hanya mampu melahirkan tangisan di mata sahaja kerana diriku tak mampu bersuara pada saat ini.

Apa yang menyedihkan ialah apabila aku melihat kau bersamanya. Walaupun aku cuba bersabar, namun aku dalam ketidakrelaan dan terpaksa membiarkan hatiku merana.Apa yang harus aku lakukan sebenarnya? Supaya aku tidak dikategorikan sebagai manusia yang lemah dan aku mahu kau lihat kelebihan yang aku ada berbanding dengan dirinya.

Apabila aku memikirkan tentangmu, hanyalah rasa rindu itu yang bergetar dalam dada ini. Sampai bilakah harus aku menanti supaya kau sedari kewujudanku di sini? Aku tidak mahu kehilangan kasihku dan impian nekadku untuk bersama denganmu. Bagaimana aku mahu kau bukakan pintu hatimu untuk diriku ini. 

Monday, 28 October 2013

Ima,
Sekali lagi izinkan As bercerita pada Ima. As tahu mungkin Ima sedang sibuk melayan karenah anak-anak Ima yang semakin membesar tapi As tahu Ima akan meluangkan masa membaca surat ini.

Ima, bukan As tidak mahu mencari pengganti dan merancang membentuk ikatan kekeluargaan. Ramai yang mengutuk dan mencela As dengan mengatakan bahawa As rela hidup membujang sampai ke akhir hayat. Pernahkah mereka semua bertanya kepada As sebelum melemparkan perkataan yang bukan-bukan pada As? Adilkan sebegitu?

As cuma gentar dan takut pada sebuah perjanjian dan pengharapan. Bukan As tidak yakin dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah cuma As sendiri tidak tahu yang manakah ketentuan daripadaNya. As sememangnya sentiasa terbuka menerima kehadiran lelaki yang boleh menjadi meluruskan tulang rusuk As yang bengkok ini. Tetapi mungkin belum sampai masanya lagi, setiap kali ingin diperkenalkan ada sahaja halangan yang mendatang.

Sekiranya ditakdirkan As tidak memiliki cinta manusia, biarlah As abadikan cinta As ini pada pencipta Kita. As ingin serahkan hati ini hanya padaNya sahaja. Sekiranya  dalam perjalanan ini As diketemukan dengan seseorang yang boleh membawa As ke jalan yang lurus dan mendambakan cintaNya, As akan menerimanya dengan baik. As bukan memilih tetapi dalam masa yang sama As berpendapat bahawa As berhak memilih untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Ima, As rasa Imalah yang sentiasa memahami perasaan As. Dan As harap Ima sentiasa menyokong perjuangan hidup ini.

Terima kasih.

Sunday, 20 October 2013

Kenangan lama mengusik jiwa

Ima, ketika As mengemas bilik baru-baru ini, As terjumpa beberapa helaian surat yang pernah As karangkan khas buat Eddy. As saja ingin kongsikan surat ini untuk Ima.

Abang,
Apabila hati mula berbicara tentang cinta yang ditinggalkan, lemah seluruh tubuh ini.  Sekali lagi As gagal menahan bibir dari berkata-kata tentang rasa cinta yang terkurung di dalam dada ini. Cinta yang terpenjara ingin dilepaskan supaya As bebas daripada rasa itu.

Sememangnya As ingin abang sedar bahawa hanya abang sahaja yang As cinta namun bagaimana As ingin abang bukakan pintu hati abang untuk diri As ini kerana As rasa tidak mampu bersuara, hanya tangisan di mata sahaja yang boleh dipamerkan.

Apabila melihat abang bersama dia, As cuba bersabar namun As tidak rela membiarkan hati ini merana. Apakah yang harus As lakukan agar abang melihat kelebihan yang As ada dan kelebihan yang tiada pada dirinya.


Apabila As memikirkan tentang abang, tiada lain hanya rindu dan sampai bilakah harus As menanti untuk abang menyedari cinta As hanya milik kita. As tidak mahu kehilangan kasih abang dan impian ini untuk bersama dengan abang selamanya. Bukalah pintu hati abang khas untuk diri ini, pinta As.

Sekarang apabila As membaca kembali, As akan tergelak sorang-sorang.Betapa As begitu merintih kehadirannya datang dalam hidup As ini sehingga As buta terhadap kehadiran permata lain. 


Saturday, 19 October 2013

Belum masa lagi

Ima
Mengapa begitu susah memadam memori itu? Apa formula yang terbaik bagi membuang kenangan silam yang sentiasa membakar hati ini? Ima, As rasa sejak As balik ini As ingin memulakan kehidupan yang baru dan penuh dengan keceriaan.

Ima, mak lang pesan jangan sudahi hidup dengan airmata kekesalan kerana cinta yang tak berpenghujung. Cintai Allah SWT untuk mendapat ketenangan dan kedamaian dalam hidup ini. Mak lang As tahu penderitaan yang As lalui walaupun As tidak menceritakan kepada ahli keluarga As. Mungkin sebab dia seorang yang berpendidikan tinggi dan bergaul dengan pelbagai ragam manusia.

Ima, kadang kala sepi itu datang bertandang dan airmata akan bercucuran mengalir. Ima, As cuba bertahan daripada semua itu tapi nampaknya As belum lagi mampu berlari hanya merangkak sahaja keluar daripada rasa itu.

Ima, ingat lagi tak Nurain yang sekelas dengan kita, kelas perniagaan antarabangsa? Hari itu As berjumpa dengan dia, dia juga merupakan pensyarah di tempat As bekerja. Kami semakin rapat maklumlah jati diri daripada universiti yang sama membara semangat itu. Nurain baru sahaja melangsungkan pertunangan dengan rakan sekerja kami juga, Shamsul namanya. Nurain tu baik orangnya dan dia risau jika As terasa hati dengan berita gembiranya, dia memberikan beberapa tips untuk As. As cuba positifkan diri ini tapi adakalanya syaitan ini cuba menghasut diri As supaya melihat daripada sudut negatif. Katanya, banyakkan sedekah dalam hidup ini supaya kita mendapat ganjaran di sebalik itu. Dan titipnya lagi belajarlah tahajud pada pencipta Kita dan mohonlah padaNya. As tahu semua itu dan adakah As perlu war-warkan dalam muka buku jika As lakukan semua itu? Orang kata jika amalan baik , haruslah kita sembunyikan jangan dihebohkan supaya tidak bertukar niat ikhlas kepada riyak pulak.

Tatlama kemudian, ada seorang kerani di pejabat itu namanya Kak Zurina cuba memadankan As dengan kawan baik suaminya. Namanya Hasnol, kerja sebagai usahawan tapi yang tak seronok didengarnya, ingin mengambil As sebagai isteri kedua. As begitu getar mendengarnya. Memang As tahu tidak salah semua itu terutama jika dia meminta sebagai terbuka tetapi pandangan masyarakat semua itu. Puas As fikir sebelum As menolaknya secara lembut. Bukan As memilih tetapi adakalanya As pun harus memilih untuk kehidupan As. Mungkin belum jodoh As lagi.



Kembali ke tanah air

Akhirnya As selamat sampai ditanah air yang As cintai setelah lebih kurang lima tahun As merantau di sana. As berjaya akhirnya menguburkan segala kenangan yang mengusik jiwa dan mengenggam kejayaan.

Sebelum As pulang ke sini, As telah berjumpa Eddy dan Rina. As beranikan diri pergi ke apartment mereka dan bersemuka dengan mereka berdua. As luahkan apa yang As rasa dan As nasihatkan cukuplah As yang merasai bagaimana sakitnya rasa itu. Apa yang penting dahulukan kepentingan keluarga, ada ganjaran yang menanti mereka berdua kerana akur dan taat pada perintah keluarga, nasihat As pada mereka berdua. Ada airmata berlinangan di tubir mata Eddy dan cepat-cepat Eddy menyekanya. Biar apa terjadi As perlu kebal dan kuat di depan mereka, As tidak mahu tunjukkan kelemahan As selama ini. Biarlah Ima sahaja yang mengetahui pahitnya hempedu yang As hirup dan tawarnya hidup ini tanpa gula.

Ima, sebaik sahaja As menjejakkan kaki ke muka pintu As di tanah air ini, As ingin menatap wajah Adlina adik As yang begitu As rindui tetapi malangnya dia telah lama mengadap Ilahi. As menangis di depan biliknya. Adlina pernah merayu mohon As jangan pergi dalam hidupnya tetapi As degil dan berlalu pergi jua. As amat merinduinya dan As hadiahkan al-fatihah padanya moga dia tenang di sana.

Sejak As balik kita belum berkesempatan berjumpa lagi, maklumlah As di selatan sedangkan Ima di Timur tanah air. Mungkin kita perlu agihkan masa yang ada cuma Ima perlu meminta kebenaran suami Ima terlebih dahulu. As ingat As ingin menziarahi Ima, mungkin sebulan dua lagi, maklumlah As baru sahaja melaporkan diri di sini dan agak susah jika ingin memohon cuti, harap Ima faham.

Ima, ingat tak yang As pernah bercerita yang As pernah berkenalan dengan seorang pelajar yang belajar di Mesir tatkala Eddy sedang menarik tali dalam perhubungan itu? Selepas dilanda kekecewaan As ada mengirim emel kepadanya dan mendapat balasan. Jangan Ima salah faham, bukan As cepat beralih arah cuma As ingin berkongsi rasa dengannya dan meminta pendapat kedua dengannya. As tahu Ima mesti marah dengan tindakan As dan itu merupakan salah satu sebab As jarang membuka cerita tentang Rosman pelajar Mesir itu. Rosman selalu memberikan semangat pada As tika As mengadu padanya. Memang As tahu bahawa As mengambil tindakan yang salah kerana mengadu pada seorang lelaki yang tidak As begitu kenali. Maafkan As sekali lagi kerana mengambil tindakan yang salah.

Sudah dua tiga purnama As menanti khabar berita daripada Rosman. Berita yang As kirimkan tidak mendapat balasan sehingga As merasakan dia mungkin sudah mempunyai kehidupan yang bahagia dan tidak mahu lagi berkawan dengan As lagi. Pelbagai andaian yang As teka namun As masih lagi mengharapkan dia membalas segala emel dan kiriman surat. As tekad untuk mencarinya sehingga mendapat jawapan yang pasti tika As kembali ke tanah air nanti.

Dalam ketidaksabaran As berjaya menjejaki rumah Rosman dan As amat terkejut kerana rupa-rupanya Rosman telah pergi meninggalkan alam yang fana ini seberapa purnama yang lalu. Patutlah kiriman berita As tidak dibalasnya. Dia meninggal ketika bersujud padaNya yang membuatkan As kagum dengan dirinya. Ibunya amat bangga dengan dirinya yang begitu taat dengan perintah agama. Ibunya menceritakan bahawa dia pernah berkias bahawa dia mempunyai kawan yang sedang belajar di luar Negara. As sendiri tidak menyangka bahawa dia pernah menceritakan tentang diri As pada keluarganya dan rupanya dia cuba melihat hubungan ini secara serius. Namun malangnya jodoh kami berdua tidak tersurat di Luh Mahfudz. Takdir tidak memihak kepada kami berdua. As pasrah dengan apa yang telah dituliskan pada kehidupan ini.