Friday, 21 December 2018

Introvert dan Ekstrovert

Image result for introvert






Definisi Introvert : (Psi) orang yg bersifat suka memendam rasa dan menumpukan perhatian pd dirinya sendiri, tidak suka bergaul dlm masyarakat atau dunia luar. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Definisi Ekstrovert: (Psi) orang yg berminat terhadap hal yg berlaku di (ékstrovert) sekitarnya (di luar dirinya, dan tidak mengikut emosi) serta suka bergaul dgn orang lain, orang yg berfikiran terbuka. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Mereka suka menyendiri dan suka hidup dalam dunia mereka sahaja, sedangkan mereka tidak endah dengan dunia sekeliling dan mereka akan berasa takut dengan keadaan sekeliling.

Seseorang yang pemalu menunjukkan rasa takut kepada orang atau situasi sosial. Tetapi introverts, sebaliknya, tidak suka menghabiskan banyak masa berinteraksi dengan orang lain.

Selalu kita hendaklah mendekati mereka, bertanyakan tentang hal-hal yang remeh temeh sehingga hal yang besar. Cuma perlukan kemahiran untuk memulakan perbualan supaya mereka menjawabnya. Kalau tidak sia-sia sahaja perbualan tersebut, kadang kala bagaikan kita bercakap seorang diri. 

Orang yang introvert cenderung memberi tumpuan lebih kepada pemikiran dalaman, perasaan dan mood daripada mencari rangsangan luar. Introverts cenderung seorang yang pendiam, keseorangan dan introspektif.

Apa yang saya mahu bincangkan ialah perbezaan yang jelas antara kedua personaliti ini.  Sebagai pensyarah, saya mempunyai pelajar yang berkarektor begini. Bagaimana saya mahu melayan mereka semua. Sememangnya perlulah kreatif untuk menangani masalah pelajar yang introvert sedangkan ekstrovert tidak ada masalah.

Berikut adalah beberapa tanda bahawa anda (atau seseorang yang anda tahu) mungkin introvert.
1.  Apabila berada di sekitar orang yang ramai akan menyebabkan tenaga anda lemah.
2. Sukakan tempat yang terpencil.
3. Mempunyai kumpulan yang kecil saiznya bersama rakan-rakan yang rapat sahaja.
4. Selalunya orang akan mengatakan bahawa anda pendiam dan sukar untuk mengenali diri anda yang sebenarnya.
5. Apabila banyak kerja ataupun masa yang dihabiskan dengan aktiviti persekitaran akan menyebabkan perasaan kurang senang dan hilang fokus.
6. Lebih berjaga-jaga dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling.
7. Suka belajar dengan cara melihat dan memerhati persekitaran.
8. Lebih memilih kerjaya yang melibatkan bekerja secara bebas, tidak sangat berhubung dengan orang ramai.

Sunday, 16 December 2018

Suratan takdir


Tidak mudah menjalani kehidupan selepas perpisahan dengan dia. Segala memori masih lagi terpahat di dalam minda ini. Kerana terpaksa aku relakan kau pergi dalam diriku ini.
Hidupku tanpamu di sisi bagaikan kehidupan kelam tanpa rembulan, tiada bintang yang menemani, hanya airmata sahaja setia mengalir di pipi ini. Ketahuilah bahawa engkau masih aku rindu. Hanya satu harapanku, semoga kau sentiasa bahagia dengan kehidupan kau itu. Perjalanan kita bersama adalah kenangan yang terindah untuk aku potretkan dalam memori kita.
Pelangi tiada lagi muncul dalam hidupku ini. Sunyi, sepi, gelap, suram….tiada lagi kata-kata yang mampu aku gambarkan tentang diriku ini. Kau telah guriskan perasaan ku tetapi aku tetap tahankan kerana cintaku mengatasi segalanya. Tak layakkan aku memiliki cintamu itu?
Aku masih simpankan detik terindah itu, sayang untuk aku buangkan dan masih belum ada kekuatan untuk aku lemparkan ia kerana adakalanya keyakinan aku mengatasinya bahawa suatu hari mungkin berpihak kepada kita. Salahkah aku jika masih menyimpan perasaan itu?
Aku kadang kala terlupa bahawa kau sudah pergi meninggalkan aku jauh di belakang. Aku masih lagi terpanggil namamu dan menanti kedatanganmu. Apa yang harus aku lakukan? Aku tidak mahu menanti menagih rindu darimu yang memang sudah hilang jejak dan bayang.
Mimpiku masih belum musnah, episod duka masih lagi mendahului carta mimpi hingga aku tersasar mencari arah. Aku mengharapkan kesakitan ini hanya sementara sahaja kerana akum ahu ia berakhir dengan segera. Aku rasanya hidupku kadangkala bagaikan tidak bererti.
Setiap langkah aku rasakan bagaikan berat, tidak tahu mahu ke kanan ataupun ke kiri. Kenapa aku terlalu lemah dalam mendakapi kehidupan ini, tanpamu? Aku tidak mahu mengejarmu kerana aku tahu aku tiada peluang langsung. Biarkan sendiri di sini.



Misteri Panggilan



Pernahkah sebelum ini Maya bermimpi, dihulurkan tali perkenalan dan disambut tetapi sebenarnya ada suatu perkara disebalik itu yang tidak diketahui. Tidak pernah kan? Dengarlah cerita Maya dan Din, tidaklah menarik sangat tetapi sekadar hiburan sahaja.
Sebelum ini Maya tidak mahu menyambut tali persahabatan itu. Maya telah menyekat panggilan masuk dan keluar untuk nombor 012-954XXXX. Setelah Maya berkongsi cerita dengan Hanim, Maria dan Fadlina, mereka mendesak untuk mendengar penjelasan yang lebih lanjut membenarkan dia berkata terlebih dahulu, menyiasat kebenaran yang memungkinkan adanya jodoh antara Maya dan Din.
Selepas sebulan Maya membuka kembali dan membiarkan sahaja sehinggalah suatu hari dia menerima panggilan telefon daripada Din. Pada mulanya, banyak soalan yang ingin ditanyakan tetapi Maya cuba menyusun ayat supaya tidak nampak terlalu gelojoh dalam perhubungan ini. Hati Maya sudah berbunga-bunga dan bersulam rindukan panggilannya. Maya dalam angan yang tidak sudah.
Maya melayan segala kehendaknya sehinggalah suatu hari Maya tersentak dengan mesejnya yang agak berbaur lucah, bertanyakan perkara yang agak sulit dibincangkan oleh lelaki dan perempuan. Maya enggan melepaskan tetapi Maya berfikir dengan logik akal dan berdasarkan ilmu agama yang dibekalkan, Maya menghantar mesej menasihati Din, supaya berfikir dan tidak mempermain-mainkan. Tambahan pula Din selalu menelefon lewat malam dan selalu mencuba nasib mahu menggunakan video call, katanya mahu melihat wajah sebenar tanpa make up.
Sebelum ini Maya selalu mendapat panggilan misteri pada waktu malam. Apabila diangkat tiada suara dari sebelah sana menyebabkan Maya selalu berfikiran negatif, lelaki gila katanya. Acap kali juga sebenarnya Maya mendapat gangguan itu. Sehingga terbongkar rahsia barulah Maya memberanikan diri menjawab dan cuba mengenali orang yang mahu mengenali dirinya.
Dan suatu malam, ketika Maya sudah berguling-guling keseorangan di atas katil, Din menelefon Maya. Maya malas mahu menjawabnya dan membiarkan sahaja sehingga mereka berbalas mesej sahaja. Dan jawapan Din agak mengejutkan Maya sehingga Maya melepaskan telefon tersebut dan terus mematikan telefon bimbit. Maya berfikir dan merenung kembali kata-kata Din. Akhirnya Maya tekad untuk melepaskan Din pergi, kerana katanta Din bukan yang terbaik untuk dirinya. Katanya Din hanya mahu mempermainkan dirinya, dan menjadikan dirinya sebagai tempat untuk melepaskan ketika dia kesunyian. Din tidak jujur dalam perhubungan dengan Maya, banyak rahsia yang tidak diungkapkan. Din hanya mencari dirinya ketika dia kesunyian. Maya menangis ketika melafazkan perpisahanan buat mereka. Apapun demi agama, Maya relakan kerana inilah yang terbaik untuk mereka berdua.



Friday, 30 November 2018

Tidak mudah


Tak mudah untuk aku melupakan perkenalan kita yang telah berlangsung tanpa dijangka. Segala ini kita rahsiakan daripada pengetahuan rakan-rakan kita, hatta keluarga kita sendiri. Bagaikan berlangsung dalam keadaan yang amat sulit memandangkan ia adalah cinta terlarang. Seolah-olah tiada siapa yang tahu apa yang tertulis untuk diriku, siapa diriku.
Aku genggam erat bicara hati, walau berat untuk ku luah atau simpan. Aku jua tidak mengerti mengapa jalan ini yang aku pilih, hitam yang membawa derita itu yang mahu aku lorekkan.
Masih belum aku menemui jawapan, berlarutan lamanya hingga aku sendiri tidak terdaya menongkahnya. Apakah masih ada ruang untuk ini? Apa yang aku idamkan ia adalah sebuah kebahagiaan.
Bagaimana kesukaran untuk ku melupakan peristiwa yang manis itu? Begitulah sukarnya hidupku melangkah tanpamu. Naluriku ini bagaikan berkata, tiada nyawa yang dikandung hilang terbang bersama perginya dirimu.
Sampai bila takkan terganti dirimu ini dan sampai bila takkan berubah rasa cintaku padamu dan kerinduan yang membuak dariku kepadanya. Aku terlupa bahawa aku terluka pabila kau pergi meninggalkan aku keseorangan. Biar masa yang menyembuhkannya.
Hadir dirimu mengubah segalanya dan tanpa kusedari kau telah mengajar diriku tentang erti hidup, bagaimana harus aku harungi hidup ini, yang penuh pancaroba ini. Tiada siapa tahu dan rasa kecuali mereka yang berada seperti diriku.
Tiada siapa boleh menghalang perasaan ini yang sentisa menantikan kedatangan dirimu. Salahkah diriku mencintai dirinya saat diri jauh terpisah.




Thursday, 29 November 2018

Tertulisnya takdir



Setiap langkah yang aku aturkan bagaikan membakar diriku ini kerana aku tidak mampu melupakan saat indah bersamamu itu. Terasa asing hidupku ini tanpamu di sisi.
Aku akan terus mengejarmu selagi aku mampu kerana tiada siapa tahu kemampuan diriku yang sebenarnya. Tidak mudah aku meleburkan apa yang telah aku genggamkan. Biarlah aku menderita sepanjang perjalanan ini kerana sudah tertulis takdirnya begitu.
Tidak aku sesalkan atas apa yang telah terjadi antara kita berdua kerana kita sebenarnya tahu apa risiko yang akan terjadi. Cinta perlukan keberanian menghadapi hari yang mendatang. Balasan yang akan diterima syurga cinta adalah nikmat yang terindah.
Genggamlah cinta yang kita ukir bersama walau di mana kita berada. Biarpun kita tidak ditakdirkan bersama, usah ditangisinya, hapuskan airmata ini dan teruskan berjalan menuju penghujungnya.
Mengapa rindu ini semakin ku rasakan hebat dan adakah aku dapat ku genggam kembali cinta yang semakin berkaca itu. Harapanku bagaikan semakin berterbangan di tiup angin yang masih bersisa.
Aku inginkan kau merasakannya, aku ingin kau mendengarkannya, sukar untuk ku tinggalkan ia. Gagal aku melaksanakannya. Aku bukan wanita yang sempurna dalam hidupmu. Tapi aku tetap mencuba untuk hadirkan pelengkap itu.
Aku temukan kisah yang inginkan dan aku cuba lorekkan ikut kemahuanku ini. Adakah aku tamak melayari keindahan dengan kehendakku.
Namun kini keindahan itu hilang seperti mana hilangnya pelangi, hanya muncul sekejap selepas hujan. Tak mahu ku kenang, tak mahu ku berserah, kini aku mahu teguh berdiri sendiri.
Sampai bila aku harus begini, bertanyakan tentang kita? Aku terhenti berlari seketika, tergamam sendiri. Tersedar bahawa diriku masih sendirian kesepian.

Monday, 12 November 2018

Persimpangan dilemma



“Lela, sekarang awak tahu kan bagaimana perasaan saya?” Tanya Yani setelah Lela meluahkan rasa hatinya.
“Tiada wanita yang ingin hidup berkongsi dengan wanita lainkan?” Lela cuba meyakinkan dirinya sendiri atas keputusan yang diambilnya.
Dulu, Lela adalah seorang yang menentang kuat apabila Yani berkahwin dengan suami orang. Tetapi sekarang Lela dalam persimpangan dilemma.
Sememangnya wanita tidak suka berkongsi, apatah orang yang mereka sayang. Tetapi semua ini adalah dugaan dan ujian hidup, ketetapan yang telah Allah aturkan.
Tiada siapa menduga Lela boleh jatuh cinta pada suami orang. Bukan dia tidak cuba mengelak apabila salam perkenalan dihulurkan. Puas dia berdalih tetapi kehadiran Udin ketika dia memerlukan seseorang dalam hidupnya menyebabkan dia sukar untuk mengelaknya. Tambahan pula Udin pandai mengambil berat dan sentiasa ada ketika di perlukan. Lela tergugat dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Udin.
Keputusan Lela menerima Udin sememangnya ditentang hebat oleh keluarga Lela yang menentang keras poligami. Lela cuba berlapang dada, menangis mengadu padaNya tetapi masih tetap berkeras mahukan Udin. Akhirnya keluarga Lela menerima dengan separuh hati apabila melihat kesungguhan Lela.
Tiada siapa menduga takdir yang telah tertulis.



Saturday, 10 November 2018

Peminat Misteri



Bunyi mesej masuk mendebarkan aku. Cepat-cepat aku mencapai telefon bimbitku di atas meja dan segera aku menyemak siapakah pengirimnya.
“Buat apa tu?” Mesej yang dihantar oleh peminat misteriku ini yang mampu membuatkan aku tersenyum. Macam dia tahu sahaja aku baru balik dari kerja, detik hati kecilku.
“Tengok TV,” balasku pendek. Tanpa disangka, telefonku bordering riang selepas beberapa saat mesejku dihantar.
Aku teragak-agak untuk menjawab panggilan dari peminat misteriku itu. Namun, hatiku berbunga riang, cuma aku kawal diriku supaya tidak nampak yang aku terlalu gembira dengan panggilan telefon tersebut.
“Assalamualaikum!” Aku memberi salam selepas menekan butang hijau.
“Waalaikumussalam. Sedang buat apa tu?” Tanyalah lagi walaupun sudah dapat jawapan daripadaku tadi.
“Tengok TV,” jawabku lagi.
“Kenapa tak mandi lagi?” Tanyanya yang terus mematikan senyumanku. Eh bagaimana dia tahu yang aku baru balik kerja dan sedang bermalasan di sofa, malas lagi ke bilik air. Aku tidak menjawab tetapi memandang sekeliling, ada CCTV ke dalam rumah aku ini ataupun dia ada teropong ajaib yang boleh nampak gelagat aku sekarang. Terus jantung aku berdegup kencang, takut dan risau bersarang didadaku sekarang ini.
“Awak…awak,”panggilnya selepas aku mendiamkan diri.
“Ye…ye,” aku bagaikan baru tersedar dari mimpi.
“Awak, saya takutlah,”  akhirnya aku menyuarakan rasa kegusaranku.
“Kenapa?” Tanya dia.
“Awak macam ada kat rumah saya,” aku berterus terang sahaja.
“Saya teka sahajalah sebab saya nampak awak naik lif tadi, sambil sengih seorang,” jujur dia menerangkan sebabnya.
Aku menutup mulut, malu dengan gelagat sendiri yang rupanya ada pemerhati di kawasan kejirananku ini. Lepas ini aku berazam untuk membuat muka serius sahaja.
“Alah tadi sebab lif tu ada masalah, saya tekan banyak kali tapi tak nak buka, bila dah buka, lama pula nak tertutup, tu yang saya duduk tergelak sebab teringat peristiwa hari tu, pernah terkurung dalam lif,” aku cuba menutup rasa maluku itu.
“Iyalah tu,” terdengar dia tergelak kecil.
“Awak kat mana sekarang ni?” Tanya aku lanjut.
“Depan kereta awak,” selamba sahaja dia memberitahuku yang menyebabkan jantung aku bergerak makin laju.
Bahaya betul peminat aku yang mengetahui semua maklumat tentang diriku ini, sedangkan aku hanya mengetahui nombor telefon dia sahaja, nama pun aku tidak tahu, apatah lagi blok mana, kerja apa, kereta ataupun motorsikal. Aku tidak tahu siapakah gerangan peminat misteri aku ini.