Monday, 2 May 2011

Derita ini belum kering

Walau sudah ku galau ia, masih lagi belum kering. Kan ku cuba beli ubat yang paling mujarab untuk ku sembuhkan ia secepat mungkin. Oh! Hampir aku lupa, ubat paling mujarab hanyalah taqarrubbillah, mendekatkan diriku padaMu, hadirkan ketenangan untuk diriku ini.
Ku berjalan mencari diriku kembali. Pulangkan kembali keyakinanku untuk berhadapan dengan semua orang bahawa semua yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Jangan kau kenang derita itu, jangan kau pilu hatimu itu. Layarlah hidupku ini dengan mewarnakan pelangi dalam hidupku ini. Tiada silap dalam langkahku walau kerap aku tersungkur, cuma aku yang terlalai dan terleka dalam memandang ke hadapan. Musnahnya impian bukan bermakna gelapnya siangku tapi cerahnya malamku bersama mendakapi ketenangan malam, menelurusi sirah malam yang dikhususkan kepada orang yang soleh untuk menikmatinya.
Di mana hilangnya cintaku padaMu apabila aku meletakkan cintaku pada tempat yang tidak sepatutnya. Ke manakah aku harus campakkan derita itu? Biar ia mengalir bersama sungai yang panjang mengalir, biar ia tetap menghiasi hidupku tetapi jangan ia menyebabkan perasaanku terbunuh. Bangkitlah dengan keyakinan bahawa dia bukan milikku, bukan ketentuan untuk ku. Sedarkan aku derita itu akan ghaib jika aku melepaskannya....
Kau tidak membunuh jiwaku...kau tidak menghunus pedang derita untukku, kau jua tidak membeli bahagia dariku dan kau jua tidak menyiram kecewa untukku. Aku yakin waktu akan merubahnya.

Keresahan

Resah itu aku buang, aku laungkan, aku mahukan kedamaian, aku dambakan ketenangan. Tasik hatiku, jangan kau berkocak lagi. Ramai orang merindui aku yang dulu, yang murah dengan senyuman, dan sentiasa berbunga senyuman di bibir. Bunga-bunga kehidupan yang dulu mekar sekarang ini layu di taman hati. Kuatnya pengaruh hidupnya dalam hidupku ini. Ah...masa lalu yang indah untuk dibuang.
Pohon yang tua di hujung jalan itu menjadi saksi perpisahan kami, air menitik sepi menandakan itulah detik yang harus diingati, bahawa dia telah membuang sebaris namaku dalam kamus hidupnya. Dia minta izin untuk undur diri, meneruskan perjalanan hidupnya bersama suri hatinya yang baru sahaja bertapak di hatinya. Di hatinya aku hanyalah kawan sedangkan aku meletakkan dia melepas batasan yang telah ditentukan. salahkah aku?
Kataku pada ibu, bukan aku tidak pernah cuba melupakan dia tapi hati ku tiada apa-apa perasaan ada orang lain selain dia. Mungkin pada waktu ini sebelum aku membalut duka ini, sebelum keringnya derita ini. Ibu mana sanggup melihat kesedihan anaknya. Ibu mana yang tersenyum apabila melihat segaris duka di wajah anaknya.
Sekiranya aku boleh pilih, memang aku tidak mahu pilih derita ini mewarnai hidupku. Akan ku pilih bahagia, tapi mampukah aku melabelkan derita itu bahagia sedang bahagia tidak pernah hadir dalam hatiku.

Cinta Agung

Apabila terdengar suara azan, aku terkedu, sebenarnya aku terlupa, daalam mengejar cinta manusia aku terlupa yang aku perlu cinta AgungMu, aku sepatutnya mengejar cintaMu, cinta yang agung yang tiada tandingnya. Aku terlupa mengadu padaMu yang aku kini kecewa, layakkah aku kecewa kerana tidak mendapat cinta manusia? Hadirnya dia disisiku hanya menitip sedikit kegembiraan, tetapi perginya dia bukannya memberi derita cuma sedetik ujian untuk aku renungkan.
Sekali aku termenung mengenang detik derita yang dialami oleh anak-anak gadis di dunia, derita mereka lagi hebat, tiada setandingku, derita mangsa perang, derita mangsa keganasan, derita mangsa keluarga sendiri. Itu derita yang amat parah, sedang aku, aku sendiri yang mencipta jurang derita.
Ada hikmahnya mengapa dia bukan untukku, mungkin Allah akan bagi yang lebih baik untukku, pujuk hatiku ini. Jadikan ia sebagai warna dalam kehidupan bukannya melumpuh segala kehidupan ini. Suara angin bergetar membawa berita, aku mesti meneruskan hidup demiMu, demi perjuanganMu, menegakkan kebenaran, memperbetulkan kemungkaran yang semakin meningkat. Hedonisme menjadi makanan remaja, sejak kecil sudah dijamu dengan pelbagai hiburan yang meleka dan melalaikan. Mana mungkin perjuangan ini keseorangan, aku mesti menyahur seruan untuk berjuang agar aku melupakan tempoh derita itu. Itu hikmah yang tersembunyi. Terima kasih ya Allah!

Mimpi itu datang lagi

Mimpi bahagia datang bertandang lagi, aku melihat cahaya itu menerangi hidupku. Dan aku mempamerkan secalit senyuman yang paling manis kukira. Mimpi itu membawa derita itu pergi walau tidak aku usirnya. Galau hati memikirkannya. Aku tidak mahu hidup dalam fantasi tapi aku mahu berpijak pada bumi yang nyata.
Sedang aku hidup dalam derita, sedang dia hidup dalam bahagia. Bahagiakah dia? Aku kira dia bahagia dengan cara dan jalan hidup yang dipilihnya. Aku kira dia bahagia bersama siapa sahaja yang menjadi pilihannya. Aku ...masih di sini menghitung hari membilang derita. benarkah begitu, aku tak mampu mengusir derita itu pergi.
Malam ini aku bermimpi lagi, mimpi bulan kelam, enggan menyinari taman hatiku. Aku tersentak, mengapa kau rampas semua itu, bulan, bintang dan matahari yang selama ini menemaniku. Mana mungkin aku hidup dalam gulita, berilah aku sedikit sinar.
Kata temanku, aku kena galau mimpi itu, barulah bulan ingin mendampingiku kembali. Oh.. aku terkesima, betulkah begitu? Bulan pun tidak ingin berkawan denganku ini. Sapakah yang sudi menyuluh bersama kegelapan ini? Sapakah yang mahu mendengar ratapan tangisanku ini?

Sunday, 1 May 2011

Hadiah darimu

Kau hadiahkan aku sebuah memori yang sentiasa mekar di hati ini. Kau mahu ku telan memori ini, mampukah aku telannya kerana ia telah bertukar menjadi pahit saat ketika ini. Rakaman memori lalu masih belum berjaya ku usir pergi, masih berputar dalam ingatanku, tetap kukuh dan utuh di sanubariku.
Memang aku mahu lihat kau hidup bahagia, aku tetap akan doakan kau bahagia dengan jalan yang kau pilih. Aku tahu yang aku perlu korbankan rasa hatiku, perasaanku ini namun aku jua manusia yang tidak terdaya menghalang jika ia datang tanpa ke jemput. Aku berdoa pada Tuhan, pinjamkan aku kekuatan untuk aku terus bertahan. Seksanya aku menanggung rindu yang tidak tertuai ini. Mengapa rindu ini menjengah rasa, ingin tetap bertamu di hatiku ini walau sudah ku nafika ia.
Untuk terus melangkah ke depan, aku tahu yang aku perlu lepaskan kenangan semalam. semua yang ada sekarang ini meragut kebahagiaanku. Ulang tayangan rakaman memori menjerat aku, mendera aku sehingga perasaan ku tercalar dan terluka. mana mungkin ada ubatnya jika aku sendiri membiarkan ia tanpa diubati.

Kenangan semalam datang lagi

Buang semua kenangan yang membunuh, lontarlah memori yang kejam itu, yang akan membunuh jiwa kentalku ini. Ya Allah yakinkah padaku bahawa dia bukan untukku, dia bukan miliku. Sedarkan aku Tuhan, bahawa dia bukan dicipta untukku. Kenapa aku susah sangat nak lepaskan dia seorang ini sedangkan aku tahu dia takkan mampu ku miliki. Apa istimewanya dia? Dia mampu membuatkan aku ketawa jika aku dalam kesedihan, dia mampu membuat aku menangis jika aku terlalu kegembiraan. Dia sentiasa mengingatkan aku pada Penciptaku, mengingatkan aku tika aku lupa, membina aku kekentalan dalam mewarnakan kejayaan untukku.
Aku tidak ingin lagi menulis tentang kesedihan dan aku mahu lontarkan jiwa yang cengeng itu. Lepaskan apa yang bukan milikku. Kuburkan kenangan itu.
Tiada siapa yang ingin hidup keseorangan di muka bumi ini namun kita tidak tahu percaturan yang Allah telah tetapkan. Setiap takdir yang telah dicatatkan hendaklah kita menerima dengan redha. Usah bimbang pada masa depan jika kita bertongkat pada janji Allah SWT.
Sampai masanya aku akan nikmati bahagia itu, bukan bermakna sekarang aku tidak bahagia, mungkin kuntuman cinta belum menghiasi hati ini. Carilah penawar mengubati hati ini.

Sunday, 13 February 2011

Lepaskan

Sudah sampai masanya untuk aku melepaskan kenangan yang lalu. BAngkit dengan sejarah yang ada, mulakan dengan pencarian baru. Memang kalau dengar, rasa macam gatal tapi tak salah untuk kita berusaha kerana ia takkan jadi bagaikan bola datang bergolek, dalam masa yang sama kita kena ada usaha, cuma kena ada batasannya.
kadang kala apabila memikirkan masa lalu yang sudah aku bazirkan rasa macam menyesal. tapi aku tahu bahawa semua ini adalah dugaan daripada Allah untuk menguji hambaNYa.
Sedang aku memerhatikan awan yang lalu itu, aku terkedu melihat nikmat yang telah aku terima selama ini. Aku ingin menjadi diri aku yang sebenar, bukannya bergantung pada makhluk yang lain, yang penting bergantung pada Allah, mengadu padaNya.
Bermula pada saat ini, aku akan bersemangat, merantau di tempat orang, menjadi anak dagang membuatkan aku terfikir untuk segera menyudahkan pengajianku dan kembali ke tanahair. Aku telah lontarkan ke Laut Mati kenangan yang akan membunuhku. Aku tekad, tiada lagi duka yang perlu diharungi daripada kisah silam. Buka lembaran baru untuk tahun ini. Adakah aku berjaya?
Tiba-tiba panggilan telefon mengejutkan aku, ummi makin kerap uzurnya. Aku ternanti panggilan demi panggilan tapi aku selalu munajatkan supaya disembuhkannya sehingga aku selesai menjalankan misiku ini.