Wednesday, 22 May 2019

Tiada dirimu


Ku cuba mengerti
Siapa diriku
Dalam kamus hidupmu

Apa yang kau inginkan
Jika kau tidak mahu cintaku
Apa yang kau mahukan

Biar berat ku menghadapi
Tidakkan aku ulangi
Meminta hatimu
Cukuplah sekali

Tidak pernah ku sesali
Hadirmu seketika cuma
Kerana ku berjaya mengecap
Nikmatnya hidup ini

Walau selepas ini
Aku jalani  hari hari ini
Tanpa bicara dirimu lagi
Diam tanpa bicara



Bukan Cinta


Dirimu
Berjaya mengubah fikiranku
Kau datang saat ku memerlukan
Kau menerangkan hidupku
Yang mulai mendung
Hatiku sangat inginkan
Mengharapkan cinta
Mendambakan kasih

Penatku terungkai
Lelah ku tercampak
Kau berjaya menyuluhnya

Namun jika bukan cinta
Apa yang kau mahu
Kerana hatiku telah terpenjara
Memadu kasih yang kau hulur

Saat kau tumpaskan rasa
Hatiku menjerit gembira
Kau merawat lukaku ini

Hadirmu seketika Cuma
Seperti yang lain jua
Sekadar janji seketika
Aku nanar di sini
Merenung masa depanku


Saturday, 18 May 2019

Lelaki itu

"Mira, ada orang nak berkenalan dengan saya dalam dating la. Sampai saya tak tahu nak likes ke tidak, " adu Marina setelah mereka berjumpa pagi tu.

"Wow....kiranya kau hot di pasaran la ni," Mira mengekek-ngekek ketawa sambil menutup mulutnya bimbang didengari rakan sebelahnya Faris yang suka mengambil tahu hal disekeling dari sebesar-besar perkara sehingga ke sekecil-kecil perkara.

"Kau rasa kenapa aku jadi hot sedangkan aku ni tak cantik dan dah berusia, lewat 30an lagi," balas Marina masih tertanya-tanya kenapa ramai lelaki menghulurkan salam perkenalan dalam aplikasi dating di facebook.

"Kau tahu tak kenapa Marina? " Soal Faris dalam sebelah cubiclenya.

Eh macam mana mamat sebelah ini boleh dengar. Geram pula Marina apabila si penyibuk itu menyampuk dan mula datang ke meja mereka. Alamak Faris dah datang pula mahu sama-sama membawang bersama kami pula.

"Marina....kau nak tahu tak?" Faris bertanya perlahan. Dia cuba menjaga sensitiviti Marina dan Mira.

"Kau ni kenapa Faris? Tak boleh ke kalau kau tak nak menyibuk? " Mira menunjukkan muka yang tidak puas hati dengan kehadiran Faris.

Faris tanpa mempedulikan pandangan Mira terus menarik kerusi dan duduk di tengah-tengah antara Mira dan Marina.

Marina menunggu jawapan daripada Faris. Malu untuk mengulangi jawapan tetapi mahu mengetahui jawapannya.

"Kau tu hanya dilihat sebagai objek untuk memuaskan hati mereka. Sebab kalau budak-budak remaja, budak-budak itu tak layan sangat orang-orang berusia. Jadi mereka cari orang yang berusia sama baya dengan mereka. Mereka melihat muka sahaja tetapi mereka membayangkan macam-macam. Tambahan pula mereka ini memang ketagih kepada video-video lucah. Apa yang mereka boleh buat, mereka cuba memuaskan nafsu mereka dengan begitu. Nak buat yang sebenarnya takut dengan pelbagai penyakit. Jadi itulah pilihan mereka, mereka akan minta nombor telefon, buat video call dan mulalah tunjuk apa yang tidak sepatutnya tanpa rasa malu. Dan cuba memujuk untuk pasangan tersebut tunjukkan sedikit supaya sama-sama merasa puas," terang Faris panjang lebar yang membuatkan Marina dan Mira merasa malu.

"Betul ke Faris?" Tanya Mira masih lagi tidak setuju dengan pandangan Faris.

"Mungkin kau tidak percaya. tapi kalau kau nak cuba, bolehlah pilih seorang dulu," Faris cuba bagi cadangan.

"Eh tak nak lah aku cuba-cuba," Mira menjawab sambil mengangkat bahu tanda rasa geli dan jengkel dengan perbuatan mereka.

"So bagi kau, aku tak payah kan terima salam tu kan," Marina bertanya meminta kepastian.

"Segalanya terletak di tangan kau Marina. Kau boleh pilih jangan mudah terpedaya. Terutama yang beria-ia minta nombor telefon, mula panggil kau sayang la, sibuk nak buat video call, minta kau jangan pakai tudung la....aku bagi beberapa contoh untuk kau pertimbangkan," Faris cuba memecah kebuntuan Marina.

"Ada juga yang baik di dalam tu. Kau kena selective. Banyakkan soal jawab dulu dan tanya pelbagai soalan yang kebarangkalian untuk menguji mereka," Faris menyambung bicara lagi.

"Kawan aku pernah cerita dulu. Dia ada peminat misteri iaitu jiran sebelah rumahanya. Lelaki tu dah ada isteri. tetapi kalau dia kena kerja luar ataupun outstation, dia akan buat video call dengan kawan aku tu, tengah malam. Pabila kawan aku angkat, tak nampak pun muka dia dan dia diam je. Kawan aku pun heran lah. Lama kelamaan dia baru perasan bahawa mungkin sebenarnya masa tu dia tengah kemaruk dan mencari sesiapa sahaja untuk puaskan dia. Terkejut tahu kawan tahu. Tapi yang geramnya kawan aku ni dh jatuh cinta dengan jirannya. Dia layan sehingga suatu hari jiran dia hantar gambar kepunyaan dia pada kawan aku. Terduduk dia dan terus dia block jiran dia weh. Masa tu terus dia menangis terketar-ketar dan dah tahu tujuannya, sebagai objek sahaja, tiada niat pun nak ajak kawin atau nak jadikan yang kedua pun. Aku memang bagi ceramah free je kepada dia," Mira akhirnya membongkar kisah kawannya yang tertipu.

"Lelaki-lelaki di dunia sekarang ini tak boleh percaya. Apa lah nak jadi kan?" Marina melahirkan kekesalan.

"Ntah-ntah kau pun termasuk eh Faris," Mira mengusik Faris dengan menunjukkan dengan jari telunjuk padanya.

Faris tersenyum dan mengangkat bahu sambil berlalu pergi menyambung kerja yang terbengkalai.





Ramadhan


Ramadhan,
Di kala mengenang kedatanganmu
Airmata keinsafan jatuh
Berguguran ke pipiku ini

Ramadhan
Mengajar erti kesabaran

Dalam menempuh mehnahMu
Bagaimana peritnya
Melawan godaan nafsu
Daripada bermaharajalela
Ramadhan
Adalah tamu agung
Disambut dengan penuh pengharapan
Bulan penuh rahmat dan berkat
Bulan pertolongan dan pertambahan rezeki

Ramadhan
Penghulu segala bulan
Bulan yang mulia
Keampunan yang datang
Hanya menjelma
Sekali dalam setahun
Ramadhan
Medan ujian dan latihan
Hikmah yang terkandung
Bekalan diri sebagai pembenteng

 Ramadhan
Banyak kelebihan
Menunai  solat tarawikh
Mencari  lailatulqadar
Merebut fadilat ramadhan
13 Ramadan 1440H        


Tuesday, 14 May 2019

Tiada dirimu


Aku cuba mencari siapa dirimu yang sebenarnya. Apa cuba mencungkil apa yang kau mahu dari dalam hidupku. Apakah kau hanya sekadar mahu diriku ketika engkau sunyi ataupun benar-benar maksudkan erti cinta tersebut.

Berat untuk aku melepaskan engkau pergi walau bibir selalu melafazkannya. Aku tetap mahukan hatimu, pintaku dalam diam janganlah kau menoleh pergi,kekallah di situ menanti diriku ini.
Namun tidak pernah aku sesali kehadiranmu dalam hidupku ini. Tiada penyesalan pada sebuah pertemuan kita kerana engkau berjaya menyinari hidup ini. Memberikan aku secebis bahagia dan senyuman.

Bicara kita diam sahaja sekarang ini, hanya jelingan mata sahaja menjadi bahasa kita. Bagaimana mahu aku lewati hidup ini apabila tidak berpapasan denganmu. Mengapa aku begini gagal mengawal diri ini sedangkan aku berjanji yang aku akan melepaskan dirimu, membiarkan angin membawa kenangan memori bersama kita. Mampukah aku lalui hidup ini tanpa jelmaan dirimu itu.


Saturday, 11 May 2019

Tertekan



“Assalamualaikum ustazah, hari ini saya tak dapat buat bacaan surah kerana saya ditahan di hospital.” MIsha menghantar pesanan ringkas kepada Ustazah Adni.
“Ya Allah, kenapa Misha?” Tanya Ustazah Adni, tidak sedap hati dengan pesanan tersebut.
“Saya dimasukkan ke hospital kerana depress teruk.” Balasnya
“Semoga Misha cepat sembuh dan jangan lupa solat dan ngaji ye.” Titip Ustazah Adni.
Keesokkannya Ustazah Adni pergi berjumpa dengan penasihat akademik Misha, Encik Mazlan untuk bertanya khabar lebih lanjut lagi tetapi Encik Mazlan sibuk tengah bercakap di talian.
Selepas itu Encik Mazlan sendiri datang berjumpa dengan Ustazah Adni untuk bertanyakan kenapa Ustazah Adni datang ke mejanya.
“Kenapa Ustazah?” Tanya Encik Mazlan
“Saya nak tanya pasal Misha,” terang Ustazah Adni.
“Dia sekarang di tahan di hospital Klang kerana mengalami tekanan perasaan yang sangat teruk. Saya sudah bercakap dengan doktor yang merawatnya bahawa dia kemurungan kerana masalah dia gagal memahami maksud bacaan dan dia rasa perkara ini amat memalukan dirinya. Sedangkan dia target untuk semester ini dia perlu mendapat A,” jelas Encik Mazlan.
“Dia pernah komplen hari tu, katanya ustazah pernah memalukan dia di depan rakan-rakannya. Dia sebenarnya daripada keluarga yang berpecah dan dia tidak pernah belajar quran sejak dari kecil lagi. Baru sekarang dia belajar solat dan bacaan dalam solat.Dia mahu belajar secara bersemuka,” Encik Mazlan menyambung bicara apabila melihat Ustazah Adni diam sahaja.
“Tapi memang tu cara pengajaran untuk kelas mengaji ini. Semua pelajar perlu buka mulut dan menyebutnya. Kalau tidak bagaimana mahu memperbetulkannya?” jelas ustazah Adni yang agak terkilan apabila dikatakan memalukan pelajar. Satu tanggapan yang salah dan perlu diperbetulkan.
“Sepatutnya kita membuat penerangan dengan lebih jelas kepada semua pelajar dan mentor semua supaya semua tahu bagaimana kelas ini dijalankan. Mula-mula para asatizah yang akan sebut dan akan diikuti dengan pelajar semua. Selepas itu pelajar akan menyebutkan satu persatu untuk proses mengetahui betul ataupun tidak sebutan itu,” terang ustazah hikmah selaku penyelarasa program ini.
“Nanti saya bawa dia jumpa kaunselor supaya tidak lagi berulang peristiwa ini,” janji Encik Mazlan merangkap menutup perbualan tersebut.



Sunday, 21 April 2019

Berpapasan

Asma mengenali Rafie selepas mereka berpapasan beberapa kali di tempat letak kereta. Pada permulaannya Asma tidak mengetahu bahawa Rafie telah curi-curi mendapat nombor telefonnya dan sentiasa menggangu malamnya dengan deringan telefon yang hanya beberapa saat tepat jam 12 tengah malam. Asma kebingungan siapakah gerangan yang sentiasa mengacau mimpi indahnya setiap malam.

Selepas beberapa bulan Asma telah dapat mengetahui gerangan pemanggil misteri. Rupanya Rafie yang selalu berpapasan dan selalu berkebetulan menaiki lif bersama tika balik dari kerja. Rafie menyimpan hasrat untuk mengenali Asma yang dilihat sombong dan kurang mesra dalam kejiranan mereka.

Setelah Rafie berani memperkenalkan diri, dan akhirnya Asma pun menyelidik serba sedikit tentang Rafie. Rafie tidak berani berterus terang tentang statusnya yang bukan lagi bujang. Memiliki seorang isteri dan seorang anak perempuan membuatkan pada mulanya Asma tawar hati untuk meneruskan hubungan ini. Tetapi kegigihan Rafie dan kesunyian Asma membuka peluang ini menyebabkan perhubungan ini berlarutan.

Hati Asma menjerit mahu meneruskan perhubungan gelap ini sedangkan Asma tahu risiko yang bakal dihadapinya. Bagaimana Asma mahu melupa dan melepaskan Rafie yang telah membuka hatinya setelah sekian lama Asma mendiamkan sahaja.

Asma tidak mahu lari dari ujian yang menimpanya. Asma tekad dengan apa yang dipertaruhkan kerana baginya dia telah melakukan segala-galanya. Asma menidakkan kehadiran Rafie, demi menjaga kemaslahatan namun semua itu memakan dirinya sendiri.

Asma akhirnya menoktahkan perhubungan gelap itu, dalam kesamaran Asma memutuskan itu yang terbaik untuk mereka berdua. Namun setiap hari Asma berharap Rafie kembali menghubunginya, mengharapkan keajaiban berlaku sehingga setiap hari Asma berdoa agar mereka sentiasa berpapasan seperti selalu namun kehendak Allah, mereka tidak lagi berpapasan malah tidak bertembung di mana-mana lagi. Itulah petandanya.