Tuesday, 3 September 2019

Ripin Mugha Batu


Kisah orang kampung yang sebenarnya berlaku di Kelantan. Ayah yang bekeng dan menahan egonya sedangkan anaknya pun sama, takut dan juga ego. Ripin dan Setopa asalnya minat dikir barat tetapi Setopa jadi berseteru dengan ayahnya apabila mendahului isterinya yang bukan orang Kelantan. 

Ripin memang watak sebenar lelaki kelantan berkahwin dua, isteri pertama tidak boleh menerima kehadiran isteri pertama walaupun sudah hampir 30 tahun bermadu. Manakala Pak Man pula menghadapi masalah dengan isteri barunya yang mengikis dan anaknya yang panas baran dan boros.

Drama 13 episod sedang berlangsung sekarang ini.


Monday, 26 August 2019

Hati ini


Berat sungguh aku untuk melafazkan perpisahan dalam hidup ini namun inilah jalan yang terbaik. Sesungguhnya aku mahukan sebuah kejujuran dalam ikatan ini. Aku tidak nafikan keikhlasan kau dalam memenangi hati ini tetapi kesungguhan itu belum dapat menamatkan rasa sangsi ini. Aku mahu undur diri sebelum diriku dibuang oleh dirimu. Hati ini meratapi sepi, setelah sekian lama bertahan dari rasa pedih dilukai. Apabila kau kesunyian dan memerlukan diriku, barulah kau menghubungi diri ini. Betapa kesalnya aku, tidak tahu anggapan dirimu terhadap diri ini.

Tiada niat untuk memutuskan dengan tiba-tiba tetapi aku tidak mampu lagi bertahan. Sampainya hatimu terus menerus melukai hati ini dan membuatkan aku bersumpah akan memutuskan tali ini. Berat hati ku namun aku terpaksa melepaskan pergi. Sesal adakalanya menghantui diriku. Kau tidak menghargai kehadiranku ini seolah aku ini tiada kepentingan dalam hidupmu.

Dahulu kau buat aku terpaku dengan kata-katamu ini, membuatkan aku kadang kala separuh nanar apabila kehilanganmu. Aku tertanya apakah kekurangan diriku sehingga kau menolak aku pergi, seolah aku ini tiada erti. Walaupun telah aku korbankan semua untukmu, manakah erti sebuah cinta tulus. Hati siapa mahu terus disakiti setelah segala pengorbanan telah diberikan. Untuk apa aku terus berdiri di sini dan mahu memiliki dirimu?

Aku kadang kala kebingungan kenapa cintaku padamu tidak pernah rapuh walau berulang kali kau sakiti hati ini. Sampai saat ini aku tidak pernah mengerti mengapa keresahan sentiasa bertandang dan tiada ketenangan dalam hidupku walau telah ku lafazkan perpisahan. Semakin aku benci semakin aku gelisah. Aku cuba memahami mengapa semua ini terjadi, semakin jauh kau dari pandanganku semakin rasa dekat dihati ini. Hatiku tetap melafazkan kalimah cintaku padamu.

Laguku semakin sumbang, kerana rembulan tidak mampu bercahaya menerangi aku yang dalam kelam. Jika aku terus berjalan, derita tetap ku rasa, pahit yang ku telan, kerana nafas cinta sudah terlerai. Puas sudah aku bisikan kalimah keramat itu padamu namun kau tetap terus berlari meninggalkan aku di sini keseorangan dan kesepian.

Apa yang aku mahukan ialah kebahagiaan dalam hidup ini. Hidup bersama denganmu dibarisi kalimah suci. Walau hari-hariku jalani tanpa ditemanimu, aku hanya mampu diam. Bicaraku jadi kaku, langkahku tersadung, kakiku bagaikan lumpuh dan kurasa dunia ini kelam sahaja.

Andai dirimu tidak mampu lagi melangkah, maafkan aku. Aku tidak akan meminta lagi denganmu dan aku tidak akan sesali segala percaturan dariNya.




Sunday, 25 August 2019

Ujian hidup

Pensyarah Aina selalu melihat positif dalam kehidupannya sepertimana dia melihat pelajarnya Siva Sakti yang begitu tabah menghadapi ujian hidup. Siva sebenarnya kecewa apabila menerima ujian hidup pertamanya daripada Tuhan. Menurut Siva, dia mempersoalkan kenapa dia yang terpilih dalam ribuan manusia?





Pada mulanya dia hanya sakit-sakit biasa sahaja sehingga dia disahkan menghidapi penyakit buah pinggang dan perlu menjalani dialisis dua kali semingu. Berita itu benar merobek dirinya dan masa depannya. 

Berat menghadapinya tetapi dia tetap teruskan hidup dengan terus berusaha untuk mengejar cita-citanya. Siva tetap berkeras mahu teruskan pengajiannya dalam bidang nutrisi, pemakanan kerana dia mahu semua orang tidak seperti dirinya yang suka makan makanan segera. Dia mahu semua orang berdisiplin dalam menjalani kehidupan ini. Itulah dirinya yang disukai oleh rakan-rakannya.



Diam

Diam tanpa bicara
Boleh membunuh ketenangan
Diam boleh memberi duka
Diam jua boleh memberi gembira

Diam membisu
Tanpa jawapan
Tanpa kata
Menghiris kalbu

Diam itu dipinta
Tetapi disesali
Diam itu sebagai simbolik
Bicara itu yang dimahukan

Diam
Memudahkan kerja
Meresahkan jiwa
Memurnikan hati
Membolak balikkan hati

Adakah diam itu jawapan?

Tiada dirimu


Saturday, 10 August 2019

Gelagat Pelajar

Gelagat pelajar dalam kelas semesterJun 2019.
"Kenapa tiada nota ataupun tidak ada inisiatif nak salin nota?" Tanya Ustazah Aina.
Gelagat pelajar Sains Biologi
Tarik muka dan menunjukkan rasa yang tidak puas hati. Ambil gambar nota kawan dan diam sahaja tanpa reaksi yang sepatutnya.
Gelagat pelajar Teknologi Maklumat
Sengih macam kerang busuk ataupun masih ada yang masih samar samar tidak tahu apa yang perlu dibuat.
Gelagat pelajar Pentadbiran Perniagan.
Cuba melawak dan membuat kelakar dan ketawa dengan gelagat mereka. Ataupun cuba buat macam skestta maharaja lawak.
Itulah yang Ustazah Aina peluru hadapi, pelbagai ragam kan?

Tuesday, 30 July 2019

Kerja Part Time



“Mengapa awak selalu ponteng kelas ni?” Tanya Cik Aini pensyarah muda kepada pelajarnya yang kelihatan lesu dan letih sahaja sepanjang kelas.

“Saya selalu terlajak tidur puan,” jawabnya lemah sambil kepalanya tunduk memandang lantai.
“Puan, nanti saya nak jumpa,” dia bersuara perlahan sambil meminta izin untuk pergi ke kelas seterusnya.

Dalam perjalanan balik ke fakultinya, Cik Aini ditahan oleh pelajarnya yang lain.
“Puan, saya ingin bercakap dengan puan sekejap,” Suara pelajar tersebut kedengaran takut-takut, bimbang dimarah oleh pensyarahnya kerana tergesa-gesa menahan.

“Kenapa?” Tanya Cik Aini, sedikit terganggu kerana dia tergesa-gesa mahu balik ke fakultinya, banyak kerja menimbun yang menantinya.

“Puan, pertamanya saya minta maaf kerana selalu datang lambat dan adakalanya saya tidak datang ke kelas. Saya bekerja ‘part time’. Dan macam-macam kerja yang saya lakukan agar saya boleh bayar yuran pengajian sem ini,” terang Muna panjang lebar sambil matanya bergenang.

“Muna, saya bukannya tidak mahu memahami dan tidak membenarkan awak bekerja tetapi awak tetap kena jaga pointer awak. Jangan pula, yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran pula,” Puan Aini memulakan bicara lembut.

“Saya faham puan. Kadang kala saya tak sempat mandi dan sarapan, tapi saya berusaha datang ke kelas puan. Tugasan yang diberikan saya akan pastikan saya buat dengan sempurna,” Muna menjelaskan lagi.

“Apa kerja yang awak lakukan?” Puan Aini nampak mula berlembut.
“Saya buat macam-macam, saya jadi dropship, pemandu grab, pekerja promoter dan apa sahaja asalkan halal puan,” Muna meneruskan bicara.

“Keluarga saya menhadapi masalah kewangan. Ayah saya telah berhenti kerja, adik saya masih lagi belajar. Kakak saya terpaksa berhenti untuk beri saya peluang belajar. Dulu saya belajar di kolej lain tetapi separuh jalan kolej itu terpaksa ditutup. Saya tidak dapat pinjaman lagi dan dalam masa yang sama saya kena selesaikan pinjaman yang dulu. Saya rasa ujian saya sangat berat puan tapi saya cuba cekalkan hati. Saya bukan minta simpati puan tetapi saya mahu puan faham dan memahami situasi saya. Saya berjanji saya cuba belajar sendiri dan berusaha bersungguh-sungguh demi masa depan saya,” tegasnya mengakhiri perbualann.