Showing posts with label Diri. Show all posts
Showing posts with label Diri. Show all posts

Sunday, 27 February 2022

Jodoh

 “Macam mana saya tahu bahawa dia adalah jodoh saya” tanya Siti kepada Nur.

“Semua itu adalah rahsia Allah, ketentuan Allah,” Nur menjawabnya sambil lewa, tanpa memandang wajah Siti yang agak keruh.

“Tapi saya rasa mungkin saya sudah ditakdirkan bahawa saya tidak ada jodoh di dunia ini. Sudah puas saya berusaha namun sampai sekarang saya belum mendapat apa-apa petunjuk,” luah Siti dengan nada yang tersekat-sekat, menyebabkan Nur terus memalingkan muka kearah sahabatnya itu.

“Jangan mudah berputus asa. Kita mesti berusaha selagi kita masih bernafas. Kita mesti sentiasa memohon kepada yang Maha Esa,” pujuk Nur lembut sambil menepuk lembut bahu Siti, cuba menenangkannya.

“Tapi persoalannya sampai bila…..,” Siti tidak mampu meneruskan bicaranya, sebak dan air matanya mengalir laju.

“Sampai ke akhir hayat kita jangan cepat berputus asa. Teruskan perjuangan ini dengan memohon kepadaNya,” Nur cuba menenangkan sahabatnya itu.

“Bukan apa, semua aplikasi jodoh saya dah masuk. Tapi sampai sekarang saya masih belum berjumpa dengan yang benar-benar mahu menjadikan saya isterinya. Mengapa orang lain masuk sekeja sahaja terus dapat,” Siti masih lagi meluahkan apa yang dirasainya.

“Allah masih mahu menguji kita. Allah mahu melihat sejauh mana kesabaran kita dalam berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang kita betul-betul mahukan,” Nur masih berusaha untuk memujuk, nada suaranya agak tenang, sedaya upaya untuk menyakinkan sahabatnya tentang jodoh adalah rahsia Allah SWT.

“Tapi saya manusia biasa. Saya takut saya tak mampu lagi bersabar,” luah Siti dengan nada yang sangat perlahan.

“Luahkan apa yang kita rasa itu kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar. Mungkin Allah merindui rayuan kita.Sesungguhnya Allah maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita,” Nur masih tidak berputus asa memujuk sahabatnya Siti.

Nampak Siti mengangguk lemah, mengiakan apa yang Nur sampaikan. Dan ini sangat melegakan hati Nur.

 

Pahitnya kopi ini seperti mana pahitya kehidupan yang dilalui

 

Tuesday, 20 July 2021

Sepi III

Sendirian aku berbicara, aku merintih lagi, mengalah lagi,kecewa lagi

Entah kali ke berapa aku begini

Seolah mimpi lama datang lagi

Pedihnya jalan berliku dan berduri yang aku lalui

Sakitnya aku rasa

Gelita dan kelam jalan ke depan tapi aku tetap aku

Mahu terus melangkah walau padam

Mengapa? Sebab aku mahu hapuskan putus asa

Aku tidak mahu mempersoalkan hukum Allah

Kita sebagai hamba, redha denga apa yang ditakdirkan.

 

 

Friday, 1 January 2021

Bicara ini

 

Bicara ini

Ana, Ima harap Ana tidak penat mendengar cerita daripada Ima. Ima hanya mahu bercerita pendek sahaja, tidak mahu lama mengambil masa Ana. Harapnya Ana sudi membaca sampai ke titik yang terakhir.

Eloklah Ima cerita tentang diri Ima yang masih lagi bersendirian setelah puas mencuba. Ima cuba mendaftar di BaitulJannah seperti yang disyorkan oleh Ana. Ima menanti dan mencuba namun nasib Ima tidak bertuah, tiada siapa pun yang sudi berkenalan sehingga Ima merajuk dan enggan lagi melihat laman sesawang tersebut. Bukan Ima tidak mahu terima kenyataan tetapi pahitnya apabila rata-rata lelaki melihat paras rupa sebagai ukuran untuk mencari suri rumah mereka. Ima menangis …menangis. Ujian ini sugguh berat bagi Ima. Tapi cepat-cepat Ima tepis dan anggap ini semua dugaan yang Allah hadirkan untuk menguji keimanan Ima.

Ima kadang kala membaca blog ataupun laman sesawang, ada orang mendapat ujian yang lebih berat terutama apabila kawan-kawan Ima yang kehilangan orang yang disayangi, kemalangan ataupun penyakit yang menjemput suami mereka. Mereka lagi hebat menerima ujian tersebut, terutama apabila mereka mempunyai anak, anak yang istimewa yang memerlukan perhatian. Sungguh Ima bersyukur, menarik nafas dan melafazkan rasa syukur kerana ujian Ima hanya secebis sahaja daripada kehidupan mereka.

Bagaimana dengan kehidupan Ana? Ima teringin mendukung anak Ana yang kedua, cantik dan cerdik nampak, seindah namanya jua. Ima ada terbaca yang menyatakan Ana mahu lagi menambah jumlah umat. Amboi bukan main lagi Ana ni, mencanangkan keseluruh dunia ye. Apa pun Ima tetap doakan agar Ana terus gembira melayari bahtera dengan Azhar dan anak-anak Ana.

Ana, Ima tidak lupa janji kita yang mahu terus bersahabat, mahu terus kekal berhubung walau apa pun terjadi. Ima faham jika Ana agak lambat memberikan jawapan atau membalas mesej ini kerana Ana mempunyai banyak tanggungjawab.

Ana, Ima sekarang cuba mendaftar Till Jannah pula, laman sesawang pencarian jodoh juga. Doakan agar usaha Ima ini berjaya untuk kali ini seiring dengan target pada tahun ini iaitu 2021, untuk mengakhiri zaman bujang. Apa yang Ima mahu berjumpa dengan orang yang baik-baik, yang boleh membimbing Ima sampai ke Jannah.

Harapan Ima tidak pernah padam, seperti mana tidak pernah jemu berulang siang dan malam dalam kehidupan ini. Doa tidak pernah ditinggalkan, sentiasa disematkan dalam solat.

Thursday, 24 December 2020

SUNYI YANG MEMBUNUH

 


Kesunyian boleh membunuh jiwa ini. Sekarang ini perasaan sunyi semakin menjadi-jadi dalam kehidupan Alma. Sebelum ini pada awal 30an Alma tidak melihat sebagai satu isu. Kerana ketika itu Alma hanya berserah pada Allah SWT semata-mata untuk jodoh, tiada usaha yang bersungguh sebaliknya merasakan rendah diri kerana tidak dikurniakan kecantikan, gigi jongang siapa yang mahu, perkara utama yang akan dilihat oleh lelaki-lelaki semua. Lagipun ketika itu masih ramai rakan yang sama senasib, boleh keluar bersama pada hujung minggu, jalan-jalan cari makan.

Tetapi sekarang kesunyian itu semakin menjadi-jadi. Mungkin kawan sepejabat sahaja, meneman di pejabat sahaja tiada kawan sejati yang boleh keluar makan-makan dan keluar hujung minggu seperti sebelum ini. Apabila sentiasa skrol facebook dan Instagram, melihat kebahagian yang di tayang oleh rakan-rakan menimbulkan rasa cemburu. Tertanya di dalam hati, mengapa diuji begini. Hati mula tawar dan sudah bagaikan mati, semakin jauh daripada Allah SWT.

Alma merasakan ini semua permainan syaitan yang sengaja memberikan keresahan dan mula timbul rasa keceewa yang melampau. Dan ini boleh menyebabkan bisikan untuk membunuh diri. Astagahfirullahiladzim. Semoga dijauhkan semua ini.

Saturday, 7 November 2020

Jika dulu

"Mek Mah, aku nok cerita sikit dengan mu ni," Che Dah memulakan perbualan mereka setelah lama tidak bersua samada di alam maya ataupun secara bersemuka.
"Gapo dia?" Tanya Mek Mah dalam dialek Kelate, selesa berbual dengan dialek tempat tumpah darah mereka. Mereka berkawan sejak kecil lagi sehingga sekarang. 
"Kalau masa boleh dikembalikan, kau nak kelik pada tahun bila?" Che Dah menyoal sebelum memulakan ceritanya.
"Kata nak cerita, nyo tanya pulak kita," Mek Mah menunjukkan tanda protes tidak mahu menjawab soalan tersebut.
"Jawab je la, wok aloh," Che Dah sengaja menjuih bibirnya, seolah merajuk apabila sahabatnya tidak mahu menjawab soalannya.
"Aku nak kelik zaman budak-budak lah, tak payah fikir gapo weh," selamba sahaja Mek Mah menjawabnya.
"Kalau aku, aku nok kelik 15 tahun lepas. Aku nak sambung Phd weh. Nyesal sebab dulu tak mahu membuat anjakan paradigma. Lo ni nyesal la weh bila tengok ramai hok muda-muda maghi dengan bangga ada doktor," suara bernada kesal meluahkan perasaan.
"Bakpo gitu pulak?" Mek Mah seolah tidak mengerti.
"Dulu mu tahu dok. Aku takut nak buat perubahan, aku takut nak mendaki gunung atau mendakap bintang di langit sebab aku takut jatuh dan terluka," Che Dah mengeluh perlahan.
"Cu cerita gak bakpo mu mace putus asa jah ni," Mek Mah mula memasang telinga untuk mendengar luahan hati sahabat baiknya.
"Dulu, masa aku start kijo, aku dah tekad, master adalah yang terakhir untuk aku belajar sebab bukan senang weh. Payah dan tak pehe gapo satu benarnya. Aku rasa macam mustahil nok sambung Phd tambah pula komitmen yang kena kita berikan dan sumbangkan. Aku nak enjoy sahaja masa tu. Tahun demi tahun berlalu begitu sahaja, sedangkan aku ni dalam bidang pendidikan. Tiada pun hati nok buat penyelidikan dan tiada pun inisiatif nak tambah ilmu, tambah kemahiran berbahasa inggeris ko untuk terus maju. Sebab tu aku terperuk di sini, takut sangat kalu kata kena ngajar dalam bahasa inggeris gak. Aku tiada pun usaha nak majukan diri aku. Aku wat kijo aku jah g kijo balik kijo, tak de matlamat. Nok cari calon suami jauh sekali sebab aku rasa rendah diri. Aku rasa aku ni hudoh, tak dok oghe nok. Aku rasa aku tak leh maju, tak pandai bahasa inggeris, aku rasa aku bukan dilahirkan sebagai seorang pemimpin sebab aku bukan orang yang boleh memberikan buah fikiran atau idea, aku bukannya kreatif dan aku hanya reti ikut arahan jah," lega Che Dah apabila dapat meluahkan rasa hati yang lama dia simpan.
"Jadi lo ni, gedia matlamat mu?" Tanya Mek Mah 
"Aku pun tak tahu ....." bahu dijungkitkan tanda tiada pun jawapannya. 

Saturday, 31 October 2020

Sukarnya

Begitu sukar untuk aku melepaskan apa yang aku genggam selama ini. Aku telah ukir janji sebelum ini bahawa aku tetap akan harungi bersama, takkan rasa penat dan terus bertahan. Namun aku jua yang merungkai segalanya....kenapa? Kerana aku tidak kuat untuk menempuhnya

Aku hanya mampu memberi secebis sahaja daripada janji yang aku taburkan kerana aku takut pada bayang itu. Aku tidak mahu mengorbankan segalanya kerana aku masih takut dengan bayangku sendiri. Aku tahu kau tetap utuh berpegang pada janji yang termeterai antara kita berdua.

Aku tahu tiada pelangi yang tidak cantik dan aku tahu tiada kelam apabila bintang bersinar di langit. Tapi aku tetap berjalan menelusuri mencari jejak yang hilang. Aku bagaikan hilang pedoman diri mencari dan melangkah tanpa arah.

Walaupun aku masih lagi meragui apa yang aku lakukan ini, melihat kegembiraan aku diramas masa dan kedukaan menemaniku. Namun usah risau kerana aku tetap menanti hari keajaiban itu. Usah kau berpaling dari kehidupan ini. Percayalah suatu hari nanti .....

Takkan pernah dan takkan penat untuk aku mengejar bayangmu sehingga ke penamat. Kerana aku takkan pernah dan takkan penat. Aku akan bertahan walau diri ini semakin berat menanggungnya. Hanya untukmu.

Aku tak mahu kau bersedih tapi janjilah dengan diri ini, kita tetap akan berusaha untuk membina istana impian kita supaya menjadi realiti untuk kita bersama. Jika kau terluka akulah yang menjadi ubatmu. Senyumlah dalam kedukaan dan usah kau ragui tapi letaklah kepercayaan itu.

Penat

Penat

Ku hanya mampu
Memberi secebis dari semua
Ku takut akan
Janji
Yang Diberi atau terima

Aku tahu tiada
Pelangi di langit yang gelap
Tapi aku masih
Mencari bintang


Walaupun aku masih lagi meragui
Usah risau
Engkau aku percayai


Takkan pernah
Takkan penat
Ku masih mengejar bayangmu
Hingga ke penamat
Ku takkan pernah
Ku Takkan penat
Ku masih bertahan walau
Diri semakin berat
Hanya untukmu



Aku tak mahu kau bersedih
Janji ku usahakan lebih
Istana ku bina untukmu
Untuk kita bersama
Disini la tempat dimana kau rehat
Jika kau terluka akulah ubat
Ukiran tersenyum
Melihat engkau

Walaupun aku masih lagi meragui
Usah risau
Engkau aku percayai


Takkan pernah
Takkan penat
Ku masih mengejar bayangmu
Hingga ke penamat
Ku takkan pernah
Ku Takkan penat
Ku masih bertahan walau
Diri semakin berat
Hanya untukmu

Sunday, 17 May 2020

Pengorbanan

Mengapa aku membenarkan jiwaku ini untuk mencintaimu sedangkan aku tahu bahawa aku tidak mampu memiliki dirimu pun. 

Bagaimana aku mahu memilikinya sedangkan ia sudah milik orang lain. Dan aku tidak pernah merasai begini hebat penangan cinta ini, hebatnya pukulan ombak ini mampu melemaskan aku seketika.


Harapan ku hanya palsu sahaja dan semua itu telah berlalu pergi, ku tiupkan pada angina lalu supaya membawanya pergi jauh dari diri ini. Aku tidak mahu lagi mengharap dan menunggu detik yang tidak akan muncul.


Walau di hatiku ini masih ada kamu dan seolah aku masih ingin terus memburumu dalam kehidupan ini.Dan kadang kala aku bagaikan lemah tanpa kamu disisi. Aku ingin sekali mendampingi dirimu dan sentiasa menemaniku disisi ini.


Aku membiarkan hatiku ini untuk terus merinduimu kerana sakitnya jika kasih itu tidak tertumpah, tertahan begitu. Walau kadang kala aku ingin menghamparkan sakitku untuk tatapan dirimu.


Bersamamu harapanku tetapi ia bagaikan hilang dalam terang yang membutakanku. Kerana aku telah berikan semua segala yang aku ada.
Lemahnya aku ……

 


Friday, 15 May 2020

Ibu

Ima tidak ingat sudah berapa banyak airmatanya tumpah sejak akhir-akhir ini. Bagaimana dia mahu meraikan hari kemenangan nanti tanpa menemani ibunya yang sudah dimamah usia. Sejak bermula Peraturan Kawalan Pergerakan, hati Ima sentiasa meronta ingin pulang ke desa menemani ibunya yang sudah uzur, namun malangnya dia gusar sekiranya kepulangan membawa bersama penyakit virus yang begitu ganas menyerang sekarang ini tanpa mengenal bangsa, umur dan negara.

Ima tidak kisah jika beraya seorang di sini tetapi dia sedih jika ibu pun beraya keseorangan di desa. Ima risau jika ibu banyak berfikir ibu akan jatuh sakit, siapa yang akan jaga ibu, siapa yang akan rawat ibu. Itulah kebimbangan yang sentiasa menjengah Ima. Ibu banyak berkorban untuk Ima selama ini, jika mendengar Ima sakit, ibu kerap menelefon Ima dan menitipkan pelbagai petua dan nasihat supaya Ima cepat sembuh. Dan yang paling mujarab adalah doa ibu yang dikirimkan itu.

Ima sayang ibu yang tidak berbelah bahagi, dan Ima tahu ibu sayang Ima yang tiada tukar gantinya. Ima sentiasa terkenang saat kita bersama, memasak bersama, bersembang tentang cerita-cerita lama, tentang kucing kesayangan ibu, ayam jiran yang suka curi-curi masuk, jiran sebelah yang suka meminta buah mempelam, anak murid ibu yang masih lagi mengingati jasa ibu, dan pelbagai lagi yang tidak pernah jemu untuk kita ulangi sentiasa.

Tetapi ada sinar gembira apabila PM membuat kenyataan bahawa boleh rentas daerah dan boleh sambut hari raya pertama tidak lebih daripada 20 orang dalam satu masa. Di sini bermakna abang sulung Ima dapat beraya bersama ibu. Lega mendengarnya dan kedengaran nada ibu pun semakin ceria. Sebelum ini boleh dengar nada ibu mengandungi rasa kecewa, sedih dan duka, memandangkan dalam usia yang di penghujung dia akan beraya keseorangan tanpa ditemani anak-anaknya. 

Ima tidak akan tahu bagaimana gambaran pada hari pertama nanti. Inilah kali pertama dan sejarah dunia tercipta, ramai ahli keluarga tidak dapat menyambut aidifitri seperti lumrah sebelum ini. Sebelum ini dua kali Ima tidak pernah balik berhari raya aidiladha demi tugas. Tapi kali ini cabaran hebat sebab Aidilfitri. Pada mulanya Ima tidak mahu beli apa-apa persiapan tetapi memandangkan Ima dapat beraya dengan anak-anak saudara di sini, Ima beli beberapa jenis kuih dan kek untuk hidangan raya pertama nanti.

Ima tetap merindui ibu dan Ima akan catit dalam sejarah hari ini, pertama kali Ima tidak dapat beraya bersama ibu.



Tuesday, 29 November 2011

Pergilah

Kau yang mengajar aku erti kehidupan
Kini pergi meninggalkan aku
Kau yang mengajar aku melangkah ke depan
Tapi kau undur ke belakang
Kau yang menunjukkan aku jalan
Supaya aku terus berlari mengejar harapan
Sedang kau melambai dari jauh
Menyaksikan kejatuhanku
Andai bisa aku menahan diri
Berrtanya sesaat kenapa kau tidak seiring
Pasti aku tidak terluka dalam
Kerana aku dibuai girang
Sedang aku menoleh
Kau telah hilang dalam angin bayu
Jangan kau seksa diri ini
Mana mungkin kau pergi tanpa menyapa
Mana mungkin ombak tidak pernah menghempas
Sedang aku berjalan ditepian pantai
Mungkin aku akan karam
Jika aku tidak membawa dayung
Tika aku bersampan di lautan
Engkau hanya memerhati
Mengapa saat ini aku masih mencari
Sebuah jawaan yang tulus

Terus aku melangkah

Tanpa menoleh lagi
Kerana aku tahu kau hanya melihat
Sedang aku harus menuju
Mencari redhaMu