Friday, 1 January 2021

Pelajar ooo Pelajar

 

Ragam Pelajar 2

“Aisyah, bila nak buat ujian lisan ?” Tanya Ustazah Maimoon.

“Saya sekarang ni period, boleh buat ker?” Pertanyaan yang dibalas dengan pertanyaan, diam tidak membalasnya lagi.

“Zali, bila sepatutnya awak kena buat ujian lisan?” Ustazah Maimoon menelefon pelajarnya yang selalu mengelak untuk datang ke kelas.

“Saya sekarang tengah bekerja dan boleh ke saya buat ujian itu esok?” Zali memberitahu dan cuba berbincang dengan pensyarahnya.

“Esok jam 4 petang boleh?” Ustazah Maimoon menetapkan sebagai autoriti.
“Saya cuba dulu ustazah.” Zali menamatkan panggilan tanpa ucapan salam.

“Suhaila, berlatih dulu sebelum buat ujian lisan. Kalau Suhaila ada masa lapang pada minggu hadapan, kita buat latihan sebelum ujian sebenar,” Ustazah Maimoon mencadangkan kepada Suhaila disebabkan dia agak lemah dalam mengenal huruf.
“Baik ustazah,” jawab Suhaila dengan lemah.

Ustazah Maimoon menunggu dan menunggu, tiada mesej ringkas di hantar seperti yang dijanjikan. Apabila Ustazah Maimoon menelefon atau menghantar mesej, tiada berjawab. Apa daya lagi usaha yang perlu dilakukan.

“Betty, kenapa tidak fokus pada bacaan ini. Awak pandang apa tu?”Tegur Ustazah Maimoon.

“Saya sekarang berada di rumah ‘boyfriend’ saya,” jawab Betty jujur sehingga menyebabkan Ustazah Maimoon terkaku seketika.

“Amar, kenapa lama tak datang kelas?” Ustazah menelefon kepada salah seorang pelajarnya.

“Ustazah, saya sebenarnya malu mahu masuk ke kelas itu.” Amar memberitahu ringkas.

“Kenapa pula?” Ustazah Maimoon bertanya lanjut.

“Ada rakan saya di dalam kelas itu yang suka perli dan menyindir saya. Saya rasa rendah diri ustazah. Saya tahu yang saya ni tak berapa pandai baca, merangkak-rangkak lagi. Saya malu, saya rasa rendah diri sangat,” panjang lebar Amar menerangkan.

“Habis tu, awak rasa keputusan diam itu adalah keputusan yang tepat?” Tanya balik Ustazah Maimoon.

“Saya tahu saya salah ustazah,” suara Amar agak kendur, menyedari kesilapannya.

“Maznah, kenapa tidak datang ujian tadi?” Ustazah Maimoon menelefon bertanyakan khabar.

“Ustazah, hari itu saya sudah bertanyakan ustazah tapi tiada jawapan. Jadi sekarang saya sedang menghadiri kelas ujian memandu,” jawapan pendek yang membuatkan Ustazah Maimoon sakit kepala.

“Alif, kenapa tak masuk kelas minggu lepas?” Ustazah Maimoon akan bertanyakan dulu sebelum memulakan kelas.

“Keluarga saya datang jenguk saya dan mereka ajak saya keluar makan ustazah. Saya minta maaf sangat-sangat ustazah,” Alif menyatakan alasannya.

“Kenapa keluarga datang dan mereka daripada mana?” Tanya ustazah lanjut.

“Saya sudah lama tidak balik rumah dan keluarga saya tinggal di Rawang,” Alif menjelaskan tanpa rasa bersalah.

“Aiman, kenapa tak jawab call ustazah?” Ustazah Maimoon menghantar pesanan ringkas.

“Saya tengah menghantar barang ustazah. Sekejap lagi saya cuba telefon balik,” Aiman membalas tanpa rasa bersalah. Menghantar barang ketika waktu kelas di jalankan. Mana keutamaan, belajar atau  bekerja?

“Danial, kenapa tak datang kelas? Kalau awak masih tidak muncul, ustazah tidak akan teragak-agak untuk bagitahu fakulti untuk bawa subjek ini ke semester akan datang,” ugut Ustazah Maimoon.

“Maaf ustazah, tadi saya tengah siapkan tugasan subjek lain,” Danial menyatakan alasan yang sangat membangkitkan kemarahan ustazah Maimoon.

“Ustazah mahu Danial tulis dan rakam pelajaran 1 sehingga 7 dan hantar pada ustazah pada hari Selasa depan,” Ustazah Maimoon masih mahu mempertimbangkan disebabakan dia adalah pelajar tahun akhir.

 

Bicara ini

 

Bicara ini

Ana, Ima harap Ana tidak penat mendengar cerita daripada Ima. Ima hanya mahu bercerita pendek sahaja, tidak mahu lama mengambil masa Ana. Harapnya Ana sudi membaca sampai ke titik yang terakhir.

Eloklah Ima cerita tentang diri Ima yang masih lagi bersendirian setelah puas mencuba. Ima cuba mendaftar di BaitulJannah seperti yang disyorkan oleh Ana. Ima menanti dan mencuba namun nasib Ima tidak bertuah, tiada siapa pun yang sudi berkenalan sehingga Ima merajuk dan enggan lagi melihat laman sesawang tersebut. Bukan Ima tidak mahu terima kenyataan tetapi pahitnya apabila rata-rata lelaki melihat paras rupa sebagai ukuran untuk mencari suri rumah mereka. Ima menangis …menangis. Ujian ini sugguh berat bagi Ima. Tapi cepat-cepat Ima tepis dan anggap ini semua dugaan yang Allah hadirkan untuk menguji keimanan Ima.

Ima kadang kala membaca blog ataupun laman sesawang, ada orang mendapat ujian yang lebih berat terutama apabila kawan-kawan Ima yang kehilangan orang yang disayangi, kemalangan ataupun penyakit yang menjemput suami mereka. Mereka lagi hebat menerima ujian tersebut, terutama apabila mereka mempunyai anak, anak yang istimewa yang memerlukan perhatian. Sungguh Ima bersyukur, menarik nafas dan melafazkan rasa syukur kerana ujian Ima hanya secebis sahaja daripada kehidupan mereka.

Bagaimana dengan kehidupan Ana? Ima teringin mendukung anak Ana yang kedua, cantik dan cerdik nampak, seindah namanya jua. Ima ada terbaca yang menyatakan Ana mahu lagi menambah jumlah umat. Amboi bukan main lagi Ana ni, mencanangkan keseluruh dunia ye. Apa pun Ima tetap doakan agar Ana terus gembira melayari bahtera dengan Azhar dan anak-anak Ana.

Ana, Ima tidak lupa janji kita yang mahu terus bersahabat, mahu terus kekal berhubung walau apa pun terjadi. Ima faham jika Ana agak lambat memberikan jawapan atau membalas mesej ini kerana Ana mempunyai banyak tanggungjawab.

Ana, Ima sekarang cuba mendaftar Till Jannah pula, laman sesawang pencarian jodoh juga. Doakan agar usaha Ima ini berjaya untuk kali ini seiring dengan target pada tahun ini iaitu 2021, untuk mengakhiri zaman bujang. Apa yang Ima mahu berjumpa dengan orang yang baik-baik, yang boleh membimbing Ima sampai ke Jannah.

Harapan Ima tidak pernah padam, seperti mana tidak pernah jemu berulang siang dan malam dalam kehidupan ini. Doa tidak pernah ditinggalkan, sentiasa disematkan dalam solat.

Thursday, 24 December 2020

Nota Rindu Buatmu

 

Diam tanpa bicara adalah sesuatu yang menyakitkan

Jangan khianati aku

Harus apa yang aku patut lakukan?

Mungkin ini hanya seketika

Hadirnya rindu ini menyakitkan ku , bisa memberikan aku nanah dan berdarah hingga aku luka sendirian.

Biarlah kau tahu kesedihanku

Walau jalannya berliku namun aku tetap mengejar bayangmu

Andai mampu ku padamkan getaran itu, tiadalah derita begini

Tercalar hati ini, aku terus menangis kisah kita

Aku tidak berdaya menahan rasa ini dan mempertahankan mahligai ini

Sampai bila aku harus lalui ini, bebanan ini tidak mampu aku sokong lagi

Aku tidak peduli pandangan orang lain, yang aku peduli pandanganmu sahaja

Semakin aku cuba benci semakin aku rasa sayang

Ku tak rela melepaskan kenangan itu

Mengertilah apa yang terbaik ini adalah untuk kita berdua

Kembalikan kenangan dulu, bawalah episod duka dalam hidup ini

Mudahnya kau lepaskan kenangan yang kita ciptakan ini

Usah dibuang kenangan itu

Tak layakkah aku berada di sini menanti saat bahagia kita, detik terindah dalam kenangan

Sampai bila takkan terganti kenangan itu

Sampai bila takkan berubah rasa rindu ini

Hanya bayangan sahaja di minda dan aku masih terjaga

Walau jalan cerita berbeza kita tetap sama, tetap memahami antara satu sama lain

Ku terima segalanya dan tidak akan mengalah pada satu jawapan

Kau buat ku terpaku melihat dirimu

Rindu ini boleh membunuhku

 

Dia

Kenangan itu masih mengusik diri ini, masih sama, seperti dulu....tiada perubahan. Sehingga aku terluka dan terlupa apa yang berlaku. Aku sememangnya kelam menghadapinya 

Sampai bila tidak akan ada pengganti dirimu. Sampai bila tidak akan berubah memori itu tatkala ku merinduinya. Walau hanya bayangan sahaja sentiasa bermain di minda, tetapi aku tetap takkan berganjak. Hingga aku lupa bahawa aku terluka dan merasai pahitnya pengalaman ini.

Biar masa berganti namun kerinduan tidak akan tertuai, kenangan tidak dapat dipadam dan setiap saat aku tetap merindukannya.


Saat ini

Saat ini aku masih termenung mengenangkan nasib kita. Sudah puas ku fikir adakah aku membuat keputusan yang tepat apabila melepaskan genggaman ini. 

Melepaskan apa yang ada dalam genggaman bukan suatu keputusan yang mudah. Kadang-kadang aku hanya berfantasi sahaja dalam melakukan apa yang aku mahukan. Namun aku tiada kekuatan untuk melakukannya.

Semua ini adalah ujian hidup, walau lelah aku melayarinya. Lelaplah untuk seketika kerana aku mahu rehat, sudah lama ku tunggu.

Mana ada hati yang terus mahu disakiti, semua mahu kebahagiaan tetapi kenapa aku mahu terus disakiti, kenapa aku terus menyiksa diri ini?

SUNYI YANG MEMBUNUH

 


Kesunyian boleh membunuh jiwa ini. Sekarang ini perasaan sunyi semakin menjadi-jadi dalam kehidupan Alma. Sebelum ini pada awal 30an Alma tidak melihat sebagai satu isu. Kerana ketika itu Alma hanya berserah pada Allah SWT semata-mata untuk jodoh, tiada usaha yang bersungguh sebaliknya merasakan rendah diri kerana tidak dikurniakan kecantikan, gigi jongang siapa yang mahu, perkara utama yang akan dilihat oleh lelaki-lelaki semua. Lagipun ketika itu masih ramai rakan yang sama senasib, boleh keluar bersama pada hujung minggu, jalan-jalan cari makan.

Tetapi sekarang kesunyian itu semakin menjadi-jadi. Mungkin kawan sepejabat sahaja, meneman di pejabat sahaja tiada kawan sejati yang boleh keluar makan-makan dan keluar hujung minggu seperti sebelum ini. Apabila sentiasa skrol facebook dan Instagram, melihat kebahagian yang di tayang oleh rakan-rakan menimbulkan rasa cemburu. Tertanya di dalam hati, mengapa diuji begini. Hati mula tawar dan sudah bagaikan mati, semakin jauh daripada Allah SWT.

Alma merasakan ini semua permainan syaitan yang sengaja memberikan keresahan dan mula timbul rasa keceewa yang melampau. Dan ini boleh menyebabkan bisikan untuk membunuh diri. Astagahfirullahiladzim. Semoga dijauhkan semua ini.

Sunday, 20 December 2020

Jangan Khianati

 Punah semua, harapan bersama sekiranya kau terus melangkah meninggalkan aku terkapai-kapai begini. Aku hanya mampu menanti bayanganmu pada saat ini. Andai engkau hadir menjelma dalam mimpi, aku tetap tersenyum gembira kerana bagiku engkau lah sinar rembulan menyinari hidupku. 

Sememangnya aku akan merasa resah apabila kau tiada di depan mataku ini, hadirmu mampu mengubah sejuta rasa pedih yang tersiat ini. 

Yang memilih aku, adalah dirimu. Jika benar itu jangan khianati perjanjian ini, berjanji padaku, percaya selalu pada setiap tindakan yang kita ambil. Biarkan semua mereka berkata, asal kau jangan pernah  khianati kepercayaan ini.

Aku bagaikan, mentari jingga, menghiasi cahaya hidupmu.  Aku pun juga, seperti rembula, menemani disaat sepimu. Dan aku akan rasa resah, bila kau tiada dalam realiti dan mimpiku.