Tuesday 17 May 2011

Lagu Berubah OST Nora Elena

Berikan ku waktu untuk bersamamu
Meniti hari…

Tak puas bagiku
Dan kau pun berlalu
Tinggal ku sendiri…

Gelap seluruh jiwaku..

Ku ingin benar bersama denganmu
Dan kau pun menjauh…

Tiba-tiba kini kau telah berubah
Apakah salahku…

Kau yang kukenali
Dan kini menjadi
Insan yang lain

Dulu kau berjanji
Kan hidup semati
Meniti hari…

Semuanya telah berakhir

Ku ingin benar bersama denganmu
Dan kau pun menjauh…

Tiba-tiba kini kau telah berubah
Apakah salahku…

Semuanya telah berakhir…

Ku ingin benar bersama denganmu
Dan kau pun menjauh…

Tiba-tiba kini kau telah berubah
Apakah salahku…

Oh.. Kasih…

Sunday 8 May 2011

Menangislah hati

Terduga aku sekali lagi tapi hati ini tidak mengeluarkan air mata, sedih dengan apa yang telah berlaku tetapi aku tekadkan, tidak perlu sesalkan apa yang telah ditakdirkan kerana ini adalah qada' dan qadar Tuhan. Pilihan hatiku adalah anugerah daripadaMu dan aku kena bulatkan hati. Redha menerima akan membuatkan hidup kita kembali tenang dan lancar.
Aku ingin keluarkan airmata biar ia mendamaikan tetapi aku tidak tahu mengapa ia enggan mengalir. Aku risau dan tak tahu bagaimana mahu menenangkan ia. Sudah tentu aku kira aku kena mengingatiMu membuatkan hati aku tenang.

Tuesday 3 May 2011

Mengertilah hidup

Matahari...mengertilah bahawa aku ingin hanyutkan derita itu. Kehidupan yang ku kecapi dengan bahagia tergugat pabila derita datang bertandang. Aku terseksa meneruskan hidup ini. Mengapa ini semua harus berlaku sedang aku sudah menjumpai penawar pengubat dukaku. MendampingiMu ya Allah jawapan terbaik yang kuterima. AKu tidak mahu lagi terperangkap dengan erti hidup mencintai bayang-bayang yang sukar untuk ke pegang.
Berjuta kali ia datang merayu supaya dikenang kembali supaya tumbuh kembali harapan yang memang tidak pernah ingin ku bajainya sejak kau pergi. Sesukar mana ku pujuk hati, sepayah itu lah aku cuba usir kenangan derita itu datang.
Lama aku merenung mencari erti pengertian hidup. Bahagia yang ku damba derita yang menjadi hamparan. Inikah ujian? Inikah dugaan?
Lama sudah aku penjarakan jiwa yang rapuh. Lama sudah aku kuburkan harapan tapi kenapa sekarang tiba-tiba bagaikan ia disiram, tiba-tiba tumbuh segar galak berdiri mencari cahaya. Oh...aku sendiri kah yang mencari bahaya? mencari bahana yang bakal menggoreskan lagi.

Monday 2 May 2011

Terima kasih Tuhan

Aku mengucap syukur pada Tuhan menghadiahkan aku pohon kesedaran tika aku kesamaran dalam meniti gelita, menuju ke bahagia. Aku tahu jika aku terus bersemi begini, aku hanya akan pulang dengan tangan kosong. Mana mungkin aku mensia-siakan amanah yang terpikul di bahu.
Tatkala aku mendakap kegelapan malam, aku terpegun mengenangkan apa yang telah aku buang selama ini, masa lapangku....menangisi takdir yang telah tercipta untukku. Bukan dia yang akan ciptakan bahagia untukku walau akau bersama dengannya ataupun tidak. Itu yang membuatkan aku tersentak.
Bersyukur pada yang Maha Esa masih lagi memberikan aku cahaya, buat penghapus dosa silamku yang menangis apabila derita bertandang, yang kecewa apabila bahagia pergi. Tiba masanya aku akan kecapi semua itu, lambat atau cepat itu semua kan ujian untuk hambaNya.
Lewat aku bermukim pada daerahMu ini mencari ketentuan yang milikku. Cahaya kasihMu yang kudamba. Dalam setiap pilihan yang ku lalui, aku tahu adakalanya aku memilih jalan yang salah dan silap...namun Allah tetap menerimaku.

Derita ini belum kering

Walau sudah ku galau ia, masih lagi belum kering. Kan ku cuba beli ubat yang paling mujarab untuk ku sembuhkan ia secepat mungkin. Oh! Hampir aku lupa, ubat paling mujarab hanyalah taqarrubbillah, mendekatkan diriku padaMu, hadirkan ketenangan untuk diriku ini.
Ku berjalan mencari diriku kembali. Pulangkan kembali keyakinanku untuk berhadapan dengan semua orang bahawa semua yang terjadi pasti ada hikmah yang tersembunyi. Jangan kau kenang derita itu, jangan kau pilu hatimu itu. Layarlah hidupku ini dengan mewarnakan pelangi dalam hidupku ini. Tiada silap dalam langkahku walau kerap aku tersungkur, cuma aku yang terlalai dan terleka dalam memandang ke hadapan. Musnahnya impian bukan bermakna gelapnya siangku tapi cerahnya malamku bersama mendakapi ketenangan malam, menelurusi sirah malam yang dikhususkan kepada orang yang soleh untuk menikmatinya.
Di mana hilangnya cintaku padaMu apabila aku meletakkan cintaku pada tempat yang tidak sepatutnya. Ke manakah aku harus campakkan derita itu? Biar ia mengalir bersama sungai yang panjang mengalir, biar ia tetap menghiasi hidupku tetapi jangan ia menyebabkan perasaanku terbunuh. Bangkitlah dengan keyakinan bahawa dia bukan milikku, bukan ketentuan untuk ku. Sedarkan aku derita itu akan ghaib jika aku melepaskannya....
Kau tidak membunuh jiwaku...kau tidak menghunus pedang derita untukku, kau jua tidak membeli bahagia dariku dan kau jua tidak menyiram kecewa untukku. Aku yakin waktu akan merubahnya.

Keresahan

Resah itu aku buang, aku laungkan, aku mahukan kedamaian, aku dambakan ketenangan. Tasik hatiku, jangan kau berkocak lagi. Ramai orang merindui aku yang dulu, yang murah dengan senyuman, dan sentiasa berbunga senyuman di bibir. Bunga-bunga kehidupan yang dulu mekar sekarang ini layu di taman hati. Kuatnya pengaruh hidupnya dalam hidupku ini. Ah...masa lalu yang indah untuk dibuang.
Pohon yang tua di hujung jalan itu menjadi saksi perpisahan kami, air menitik sepi menandakan itulah detik yang harus diingati, bahawa dia telah membuang sebaris namaku dalam kamus hidupnya. Dia minta izin untuk undur diri, meneruskan perjalanan hidupnya bersama suri hatinya yang baru sahaja bertapak di hatinya. Di hatinya aku hanyalah kawan sedangkan aku meletakkan dia melepas batasan yang telah ditentukan. salahkah aku?
Kataku pada ibu, bukan aku tidak pernah cuba melupakan dia tapi hati ku tiada apa-apa perasaan ada orang lain selain dia. Mungkin pada waktu ini sebelum aku membalut duka ini, sebelum keringnya derita ini. Ibu mana sanggup melihat kesedihan anaknya. Ibu mana yang tersenyum apabila melihat segaris duka di wajah anaknya.
Sekiranya aku boleh pilih, memang aku tidak mahu pilih derita ini mewarnai hidupku. Akan ku pilih bahagia, tapi mampukah aku melabelkan derita itu bahagia sedang bahagia tidak pernah hadir dalam hatiku.

Cinta Agung

Apabila terdengar suara azan, aku terkedu, sebenarnya aku terlupa, daalam mengejar cinta manusia aku terlupa yang aku perlu cinta AgungMu, aku sepatutnya mengejar cintaMu, cinta yang agung yang tiada tandingnya. Aku terlupa mengadu padaMu yang aku kini kecewa, layakkah aku kecewa kerana tidak mendapat cinta manusia? Hadirnya dia disisiku hanya menitip sedikit kegembiraan, tetapi perginya dia bukannya memberi derita cuma sedetik ujian untuk aku renungkan.
Sekali aku termenung mengenang detik derita yang dialami oleh anak-anak gadis di dunia, derita mereka lagi hebat, tiada setandingku, derita mangsa perang, derita mangsa keganasan, derita mangsa keluarga sendiri. Itu derita yang amat parah, sedang aku, aku sendiri yang mencipta jurang derita.
Ada hikmahnya mengapa dia bukan untukku, mungkin Allah akan bagi yang lebih baik untukku, pujuk hatiku ini. Jadikan ia sebagai warna dalam kehidupan bukannya melumpuh segala kehidupan ini. Suara angin bergetar membawa berita, aku mesti meneruskan hidup demiMu, demi perjuanganMu, menegakkan kebenaran, memperbetulkan kemungkaran yang semakin meningkat. Hedonisme menjadi makanan remaja, sejak kecil sudah dijamu dengan pelbagai hiburan yang meleka dan melalaikan. Mana mungkin perjuangan ini keseorangan, aku mesti menyahur seruan untuk berjuang agar aku melupakan tempoh derita itu. Itu hikmah yang tersembunyi. Terima kasih ya Allah!

Mimpi itu datang lagi

Mimpi bahagia datang bertandang lagi, aku melihat cahaya itu menerangi hidupku. Dan aku mempamerkan secalit senyuman yang paling manis kukira. Mimpi itu membawa derita itu pergi walau tidak aku usirnya. Galau hati memikirkannya. Aku tidak mahu hidup dalam fantasi tapi aku mahu berpijak pada bumi yang nyata.
Sedang aku hidup dalam derita, sedang dia hidup dalam bahagia. Bahagiakah dia? Aku kira dia bahagia dengan cara dan jalan hidup yang dipilihnya. Aku kira dia bahagia bersama siapa sahaja yang menjadi pilihannya. Aku ...masih di sini menghitung hari membilang derita. benarkah begitu, aku tak mampu mengusir derita itu pergi.
Malam ini aku bermimpi lagi, mimpi bulan kelam, enggan menyinari taman hatiku. Aku tersentak, mengapa kau rampas semua itu, bulan, bintang dan matahari yang selama ini menemaniku. Mana mungkin aku hidup dalam gulita, berilah aku sedikit sinar.
Kata temanku, aku kena galau mimpi itu, barulah bulan ingin mendampingiku kembali. Oh.. aku terkesima, betulkah begitu? Bulan pun tidak ingin berkawan denganku ini. Sapakah yang sudi menyuluh bersama kegelapan ini? Sapakah yang mahu mendengar ratapan tangisanku ini?

Sunday 1 May 2011

Hadiah darimu

Kau hadiahkan aku sebuah memori yang sentiasa mekar di hati ini. Kau mahu ku telan memori ini, mampukah aku telannya kerana ia telah bertukar menjadi pahit saat ketika ini. Rakaman memori lalu masih belum berjaya ku usir pergi, masih berputar dalam ingatanku, tetap kukuh dan utuh di sanubariku.
Memang aku mahu lihat kau hidup bahagia, aku tetap akan doakan kau bahagia dengan jalan yang kau pilih. Aku tahu yang aku perlu korbankan rasa hatiku, perasaanku ini namun aku jua manusia yang tidak terdaya menghalang jika ia datang tanpa ke jemput. Aku berdoa pada Tuhan, pinjamkan aku kekuatan untuk aku terus bertahan. Seksanya aku menanggung rindu yang tidak tertuai ini. Mengapa rindu ini menjengah rasa, ingin tetap bertamu di hatiku ini walau sudah ku nafika ia.
Untuk terus melangkah ke depan, aku tahu yang aku perlu lepaskan kenangan semalam. semua yang ada sekarang ini meragut kebahagiaanku. Ulang tayangan rakaman memori menjerat aku, mendera aku sehingga perasaan ku tercalar dan terluka. mana mungkin ada ubatnya jika aku sendiri membiarkan ia tanpa diubati.

Kenangan semalam datang lagi

Buang semua kenangan yang membunuh, lontarlah memori yang kejam itu, yang akan membunuh jiwa kentalku ini. Ya Allah yakinkah padaku bahawa dia bukan untukku, dia bukan miliku. Sedarkan aku Tuhan, bahawa dia bukan dicipta untukku. Kenapa aku susah sangat nak lepaskan dia seorang ini sedangkan aku tahu dia takkan mampu ku miliki. Apa istimewanya dia? Dia mampu membuatkan aku ketawa jika aku dalam kesedihan, dia mampu membuat aku menangis jika aku terlalu kegembiraan. Dia sentiasa mengingatkan aku pada Penciptaku, mengingatkan aku tika aku lupa, membina aku kekentalan dalam mewarnakan kejayaan untukku.
Aku tidak ingin lagi menulis tentang kesedihan dan aku mahu lontarkan jiwa yang cengeng itu. Lepaskan apa yang bukan milikku. Kuburkan kenangan itu.
Tiada siapa yang ingin hidup keseorangan di muka bumi ini namun kita tidak tahu percaturan yang Allah telah tetapkan. Setiap takdir yang telah dicatatkan hendaklah kita menerima dengan redha. Usah bimbang pada masa depan jika kita bertongkat pada janji Allah SWT.
Sampai masanya aku akan nikmati bahagia itu, bukan bermakna sekarang aku tidak bahagia, mungkin kuntuman cinta belum menghiasi hati ini. Carilah penawar mengubati hati ini.