Tuesday 2 July 2013

Rindu Bayangan

Seingatku, kita pernah berjanji dan saling percaya antara satu sama. Janji yang dipadu diikat erat. Rasa rindu menghiasi dada ini. Adakalanya tiupan kecewa cuba menyelubungi hati ini apabila rasa sepi menghuni hati ini. Namun, kasihmu sentiasa menemaniku saat itu.

Mungkin aku yang hanya mencari rasa itu sedang kau menghalau rasa itu pergi. Walaupun aku hanya kecapi bahagia mengejar bayanganmu tapi aku gembira. Kerana aku tahu yang aku tidak mungkin lagi mengecapi saat bahagia itu. Hanya angan dan mimpi diukir.

Persoalan aku, apakah mungkin berulang janji setia? Yang pasti aku tahu jawapan yang bakal aku terima. Semestinya duka akan menjadi hamparan aku selamanya. Jadilah aku pengemis kasih dan cintaku, mencari nanar hidupku bagi mengembalikan rasa bahagia.

Selagi bintang bersinar, selagi itu aku tetap menaruh rasa itu, memberikan harapan pada bayangan yang tidak mampu aku pegang. Ingin aku merayu, hadirlah walau sekadar mimpi bagi mengubati rasa rinduku itu. Dan aku tidak pernah peduli apa yang telah berlaku.