Sunday 6 December 2015

Sofia

SOFIA
“3S atau S3 ?” Soal Sofiana
“Aku rasa S3 lebih power, ada ummmppph…” komen Sofiah
Mereka memandang kepada Sofia yang ralit menjawab mesej aplikasi di telefon bimbitnya.
“Hey, kami tanya ni,” sambil tangan Sofiah mencuit Sofia yang masih tidak mempedulikan apa yang ditanyakan oleh Sofiana.
“Apa-apa je la,” jawab Sofia acuh tak acuh, seolah tidak berminat dengan topic yang dibawakan oleh Sofiana.
Jelas tergambar kekecewaan di wajah Sofiana sambil menarik bibir mulutnya, muncung macam biasa.
Suasana pagi itu agak kelam kabut juga memandangkan ini adalah minggu terakhir mereka sebelum menghadapi peperiksaan akhir semester tiga tahun kedua mereka di kolej ini. Tinggal berbaki dua semester lagi sebelum mereka bergelar graduan.
Perkenalan mereka pada minggu suaikenal telah menjadikan mereka rapat. Ini kerana mereka berkongsi nama yang sama. Selalu mereka tersalah apabila ada orang menegur mereka.
Sofia nama panggilan mereka bertiga.
Sofiana Balqis pemilik nama Sofia yang pertama berasal daripada Johor. Penggemar laksa johor ini amat peramah dan baik hati. Selalu menolong mereka yang dalam kesusahan. Keluarganya adalah orang yang mampu dan senang. Ayahnya selalu mengingatkan Sofia supaya berkongsi suka duka dengan orang ramai. Itulah prinsip yang selalu menjadi amalan hidupnya.
Sofiah berasal daripada Terengganu, anak nelayan yang dibesarkan di tepi pantai dan laut yang membentang. Tidak boleh menyembunyikan identitinya kerana dialek Terengganunya amat pekat. Bercita-cita tinggi ingin menjadi usahawan yang berjaya iaitu membawa misi dan visi ayahnya yang terkubur.
Zarith Sofia sememangnya anak jati Bandar Kuala Lumpur. Tidak betah dengan suasana kampong kerana keluarganya adalah campuran antara Timur dan Barat. Selalu bercakap slang yang adakalanya memualkan rakan-rakan sekursus dengannya. Namun faktor memiliki nama yang sama membolehkan mereka bertiga serasi bersama biarpun memiliki karektor yang berbeza.
Setelah berlalu satu semester, mereka sepakat untuk berkongsi menyewa satu apartment bersama. Pemilik apartment itu semestilah Sofia, namun Sofiah dan Sofiana tetap membayar sewa dan berkongsi makan minum bersama. Kursus yang mereka ambil juga berbeza Cuma mereka berada di dalam fakulti yang sama. Jadual mereka juga adakalanya berbeza tetapi mereka selalu merancang untuk makan tengahari bersama kecuali apabila mereka ada perbincangan subjek.
Ketiga-tiga Sofia ini dikatakan anti lelaki, tiada di antara mereka yang mempunyai teman lelaki. Mereka selesa bergerak ke tiga kemana-mana. Tengok wayang bersama, berkelah bersama, merantau bersama dan segala aktiviti akan diikuti bersama.
“Sofia,” laung seorang lelaki di Cafeteria Ummi ketika mereka bertiga usai menjamah juadah yang terakhir. Serentak mereka berpaling kerana tidak tahu siapakah antara mereka yang dipanggil.
“Eh aku lupa, kau orang bertiga nama sama,” sengih Azman apabila dia sudah berdiri di depan mereka bertiga.
“Aku pelik dengan kau orang bertiga, perlu ke nama sama berkawan dan menjadi BFF?” Azman cuba memprovokasi mereka bertiga. Mereka bertiga menghirup air sirap yang diberikan percuma oleh Alia.
“Zarith Sofia,” akhirnya Azman menuturkan nama yang ingin dia bercakap.
Dari tadi Sofia tidak mempedulikan kehadiran Azman. Dia cukup meluat dengan gelagat Azman yang selalu mengambil kesempatan untuk datang berborak dengannya.  Azman itu menepati lelaki melayu terakhir tetapi dia tetap tidak mahu mempunyai hubungan yang lebih mesra buat masa sekarang. Itu janji hatinya.
Sofiana dan Sofiah masing-masing mengambil telefon bimbit dan menyemak sekiranya ada pesanan ringkas untuk mereka.
“Apa kata kita pergi makan dekat CafĂ© baru dibuka Poran Coffee petang ini? Dah ada testimoni yang aku baca dalam IG mengatakan best dan bagi lima bintang” Azman terus berbicara biarpun tiada siapa yang membalas kata-katanya tadi.
“Hai S3! “ Sapa Alia rakan sekelas Sofiah . Azman merenung mereka bertiga, tidak faham apakah makna nama yang dipanggil oleh Alia tadi.
“S3 ?” terbatuk-batuk Azman menyebutnya sambil mukanya tersenyum mengejek.
“Kau dah tukar jantina ke?” Tanya Hakimah sambil melepaskan lelah, penat berlari-lari anak mengejar Alia tadi. Bimbang dikecam kerana selalu lambat.
“Kenapa pula?” Azman berpura-pura
“Ini persatuan Muslimah sejati tengah nak bermesyuarat,” jelas Alia sambil memandang tepat ke muka Azman
“Ini mesti gerakan anti lelaki,” Azman masih cuba memprovok mereka berlima.
“Apa kata kami lantik awak sebagai pengerusi, setuju tak?” Sofia bersuara mengejek.
“Boleh join ker?” Azman masih lagi meneruskan lakonan bersahajanya yang menyebabkan mereka berlima semakin rimas dan geram.
“Sofia, daddy kau dah setuju ker?” muncul Nabilah tiba-tiba bersama satu dulang air yang berbagai jenis. Selalu Nabilah tahu air kegemaran kawan-kawannya, sudah hafal ayat air yang dipesan oleh mereka.
“Air untuk aku tak da ker?” Azman masih tiada tanda mahu berganjak
“Eh kau nak join aktiviti kami juga ker?” Nabilah yang tidak tahu apa-apa tu berminat bertanyakan Azman.
Mereka berlima memberikan isyarat pada Nabilah supaya jangan melayan Azman. Mereka mahu dia pergi secara terhormat tetapi Nampak gayanya tidak menjadi taktik mereka.
“Sofia, saya sebenarnya bersungguh mahu menjadikan awak sebagai suri hati saya,” akhirnya Azman memberanikan diri melamar di depan rakan-rakan Sofia yang lain.
“Azman, awak kan tahu Sofiah dan Sofiana adalah BFF saya. Jika awak nak kan saya, carikan calon untuk mereka berdua juga ye,” selamba sahaja Sofia menutur ayat itu tanpa berfikir panjang.
“Kami berjanji nak kahwin dan sanding bersama,” Sofia membalas sambil lewa. Sofiah dan Sofiana menjeling tajam pada Sofia, getar hati mereka menahan marah tetapi mereka mendiamkan sahaja, bimbang tercetus perang dunia ketiga.
“Sofiah dan Sofiana nak ciri yang macam mana?” galak Azman menyoal.
“Mesyuarat kita ni jadi ke tak ni?” tegas suara Hakimah setelah melihat drama yang semakin tegang.
Angin malam itu mendamaikan bertiup menipis mengalunkan rambut Sofia yang panjang itu. Sofia merenung bintang dan bulan bagi mencari jawapan apa yang dituturkan oleh Azman tadi. Puas dia dimarahi oleh Sofiah dan Sofiana tadi. Merajuk panjang mereka berdua sehingga enggan keluar makan, sanggup berlapar.
Kursus pengajian yang diambil oleh Sofiana memerlukan dia melakukan latihan praktikal pada semester kelima. Sebelum ini dia beria ingin melakukan latihan itu di sini, ibu kota. Alih-alih dalam diam dia menukarkan tempat latihan itu ke daerah kelahirannya. Rajuknya masih bersisa, kecil hati seolah dia tidak laku di pasaran.
Sofiah pula mencari alasan untuk berpindah ke apartment bersama rakan sekuliahnya. Tahun akhir adalah tahun mencabar memerlukan banyak kerjasama daripada semua rakan sekuliahnya. Dia tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan oleh kedua ibu bapanya. Kecil hati tu sememangnya ada tapi dia lemparkan jauh-jauh mengenangkan Sofia banyak menolong dirinya sejak hari pertama dia mendaftar diri di kolej lagi.
Sofia merasa kesepian setelah mereka berdua meninggalkan mereka. Aktiviti yang dirancang pun tidak menjadi, masing-masing memberikan alasan sedangkan sebelum ini mereka berdualah perancang utama dalam aktiviti percutian tersebut. Sofia kecewa, terlajak perahu boleh diundur tapi terlajak mulut badan binasa.
Selepas peristiwa itu, panggilan telefon Azman tidak dijawab dan dia selalu mengelak dirinya dari ketemu dengan Azman. Azman tahu apa sebabnya dan dia membiarkan Sofia bertenang terlebih dahulu.
Akhirnya bulan Disember bulan yang dinanti oleh mereka bertiga iaitu hari konvokesyen. Setelah beberapa lama terpisah mereka berjanji untuk bertemu ketika mengambil jubah dan mendaftar. Masing-masing cuba mengemaskini status mereka.
Sofia akan terbang ke UK menyambung  pengajian di peringkat master. Dia memberi kata putus pada Azman yang dirinya sudah ditunangkan dengan anak kawan ayahnya. Boleh dibayangkan bagaimana hancurnya hati Azman yang menyimpan perasaan itu selama dua tahun. Sofia sendiri pun tidak tahu mengapa dia setuju sahaja dengan pilihan ayahnya setelah menolak beberapa kali perkenalan yang diatur oleh ibunya. Bimbang dikatakan anak derhaka dia terus setuju dengan calon kelima ayahnya.
Sofiah akhirnya diterima sebagai pegawai akaun disebuah syarikat audit yang terbesar. Dia telah direkomenkan oleh pensyarahnya kerana dia merupakan salah seorang pelajar yang terbaik. Dia cekap membuat kerja dan berbakat besar untuk mengembangkan kerjayanya. Sofiah nekad untuk membantu kedua ibu bapanya yang masih lagi bernafas.
Sofiana memilih untuk tidak bekerja sementara waktu ini kerana dia mengikut ayahnya menjadi sukarelawan di luar negara, membantu pelarian yang hidup dalam ketakutan. Dia mahu mengabdikan diri seketika sebelum melangkah ke alam seterusnya.  Dia merasa gembira apabila dapat menolong orang yang di dalam kesusahan. Hatinya lembut walaupun dia seorang yang tegas dalam hidupnya.
S3 tidak pernah berkubur, mereka tetap berhubung melalui pelbagai aplikasi sosial sekarang ini. Cuma angan mereka bersanding bersama mungkin tidak kesampaian kerana jodoh yang sampai dulu adalah Zarith Sofia. Ini sememangnya dijangkakan oleh mereka kerana Sofia memang ramai peminat ketika di kolej dulu dengan penampilannya yang elegan dan sosfikated.


Saturday 5 December 2015

Pilih Kasih

Pilih Kasih
“Tahu tak kenapa saya suka kelas group Ali?” Tanya Mariani kepada kawan baiknya Fadlina.
“Sebab ramai pelajar lelaki kan?” Duga Fadlina sambil ketawa mengekek-ngekek.
Mariani hanya senyum sahaja menandakan dia setuju dengan jawapan Fadlina.
Semester ini Mariani mengajar pelajar daripada Fakulti Alam Bina dan Kejuruteraan yang majoritinya adalah pelajar lelaki. Mariani adalah tenaga pengajar untuk pengajian asas, kursus wajib yang akan diambil oleh semua pelajar di IPT.
“Ali tu bagaimana orangnya,” Fadlina cuba menelaah fikiran Mariani yang masih tersenyum sumbing.
“Ali tu pintar orangnya, suka sangat bertanya walaupun adakalanya dia macam sudah tahu jawapannya. Pakaiannya kemas, jam tangannya brand yang terkini. Datang denagn moto sebab selalu bawa helmet ke kelas.  Dia tak nak kalah dengan kawan-kawannya, selalu ajak berdebat. Speaking berhabuk tu….” Mariani panjang lebar bercerita tentang Ali, pelajar kesayangannya barang kali.
“Mariani,” panggil Syasya rakan sekerjanya.
“Ya, kenapa?” Soal Mariani.
“Kenal tak Adlina, pelajar jurusan Kejuruteraan Komputer tahun satu?” Tanya Syasya.
“Tak.” Sepatah sahaja sambil tangannya lincah menaip di komputer ribanya.
“Dia kata dia ambil subjek yang Mar ajar. Katanya ada clashing waktu kuiz nanti dengan subjek saya. Mar buat kuiz bukan waktu kelas ker?” Tanya Syasya.
“Eh budak mana tadi tu?” Soal Mariani sambil mencari kertas kedatangan yang ditandatangani pelajar, cuba menyemak nama yang disebut oleh Syasya. Padahal dalam kelas itu, hanya lebih kurang 15 orang sahaja pelajar perempuan berbanding lelaki iaitu lebih kurang 40 orang.
Mariani mengakui dia cukup liat untuk mengingati nama pelajar perempuannya berbanding dengan lelaki. Itulah kelemahan yang ketara yang sentiasa menjadi ejekan dari rakan sekerjanya.








Saturday 31 October 2015

Takut

Image result for takut

“Assalamualaikum Ustazah Salwa,” sapa bekas pelajarnya ketika berselisih. Ramai pula pelajar yang menyapanya dan menghadiahkan senyuman.
“Ramai betul pelajar awak Salwa,”tegur Ustazah Maisarah sambil dirinya tertanya-tanya kenapa tiada seorang pun pelajarnya yang berselisih dengannya menegur dirinya.
Maisarah merenung dirinya sedalamnya, adakah dia seorang yang terlalu garang, tidak mesra, kurang peramah sehingga pelajar-pelajar tidak mendekati dengannya.
Selalu komen yang disampaikan oleh ketuanya, dia kurang senyum di dalam kelas, tidak mesra di dalam kelas, selalu marah dengan sekali jelingan dan garang yang tidak bertempat.
“Salwa, apa tips untuk mesra dengan pelajar?”Tanya Maisarah pada kawannya yang selalu mendapat hadiah daripada pelajarnya.
“Kongsi dengan mereka segala apa permasalahan kita, jangan terlalu manjakan mereka. Kitakan pelakon, masuk kelas tu buatlah macam-macam aksi. Sekali kita berlakon macam mak tiri, adakala macam puteri raja, adakala macam maharaja, kadang kadang macam ahli politik. Mungkin juga kita boleh cuba sebagai doktor ataupun kaunselor mereka,” nasihat yang tercurah daripada Salwa membuatkan Maisarah berfikir panjang.
Apapun kesimpulannya, kerja dengan ikhlas, niat mesti betul supaya semua itu datang dengan sendiri.


Thursday 29 October 2015

PENGHARGAAN



Image result for penghargaan
Sedang Ani bersantai menonton televisyen, ada bunyi beep dua kali menandakan ada mesej baru melalui aplikasi whatsapp.
“Salam. Miss, semester depan masih mengajar kami ker?”  Afifuddin yang menghantar mesej tersebut. Dia terkenal dengan sikapnya yang peramah dan sentiasa tersenyum.
“Pertanyaan akan dibalas dengan pertanyaan menduga apa yang sebenarnya dia inginkan.
“Miss, saya senang dengan cara pengajaran miss. Senang untuk difahami dan ada cara yang tersendiri,” Ani membaca satu persatu tulisan tersebut sambil senyuman terukir di bibir. Cepat-cepat dia beristighfar. Betul ke dia tiada agenda yang tersembunyi, maklumlah sekarang ni musim menanda kertas jawapan. Baik ku duga lagi, fikir Ani.
“Miss, saya masih tidak lupa nasihat miss bagi masa diploma dulu. Miss ingat tak saya dulu teruk kan?” Akhirnya Afif meluahkan rasanya.
Masih Ani ingat yang Afif ni agak nakal ketika sesi pembelajaran dalam kelas. Dan dia juga selalu ponteng kelas kerana terlajak tidur katanya. Puas diberikan nasihat tapi ibarat mencurah ke daun keladi sehinggalah dia terpaksa mengulang subjek tersebut. Namun kali kedua, dia menunjukkan kesungguhannya, membuat ulang kaji tanpa jemu. Kesungguhan yang ditunjukkannya berbalas apabila dia mendapat gred cemerlang dalam subjek tersebut dan dianugerahkan penerima dekan pada semester tersebut. Dia terleka dengan kawan-kawan yang mendampinginya dan mujurlah dengan secebis kata dia mampu bangkit kembali.
“Miss, saya nak ucapkan terima kasih kerana membimbing saya dulu dan tidak memandang serong pada saya serta memberikan peluang kedua untuk saya membuktikannya. Saya tidak akan lupa jasa miss pada saya. Apabila saya sudah kerja nanti, saya akan datang jumpa miss untuk belanja miss dengan gaji pertama saya.” Kata-kata itu menyebabkan ada airmata berguguran di pipi Ani. Terharu dengan penghargaan yang diberikan. 

Sunday 25 October 2015

Clashing

“Afiq, mengapa lama tak datang kelas dan tidak pernah menyiapkan semua kerja kursus yang diberikan?”
“Er…er…….,” tergagap dan sedang mencari jawapan barangkali.
“Kemungkinan besar awak akan gagal,” jelas Puan Suhana lembut.
“Kalau macam tu, saya akan buat late withdrawal la puan,” janji Afiq.
Selepas meletakkan gagang telefon, Puan Suhana resah kerana Afiq ini anak seorang Naib Presiden Akademik di tempat dia mengajar. Apa yang patut dia lakukan, dia cuba menimbang tara.
Tanpa lengah, Puan Suhana menaiki lif menuju pejabat tingkat 16. Sampai di depan pintu yang tertera nama Prof Dr Mohd Razali, diketuknya perlahan. Apabila mendengar suara mempelawanya masuk, terus ditolak pintu tersebut.
Selepas dipelawa duduk, terus kepada agenda pencarian Afiq. Nyata wajahnya berubah dan terus di dail nombor anaknya. Dipaksa anaknya naik ke pejabatnya sekarang untuk bersemuka.
“Afiq kan dah bagitahu yang kelas Afiq ni clashing. Tu lah yang menyebabkan Afiq tak masuk kelas ni,” penjelasan yang merungkai segala pertanyaan sebelum Afiq tiba tadi.
“Kenapa tidak selesaikan?” tegas suara Prof Dr Mohd Razali.
“Mentor bagitahu suruh gugurkan subjek ini. Tapi Afiq fikir, nanti kena tambah lagi satu semester. Afiq tak nak,”
“Habis tu Afiq fikir, lulus ke kalau tak datang kelas dan tak buat semua tugasan yang diberikan?”
“Kalau diberikan peluang, Afiq akan cuba sedaya upaya,”
“Baiklah, saya bagi tempoh sampai isnin minggu depan untuk awak menghantar semua tugasan yang diberikan,”

Kata sepakat dicapai. Alhamdulillah.
Image result for timetable clashing

Tips

Bunyi treet treet dua kali menanda ada pesanan ringkas masuk di dalam telefon bimbit Cik Anis.
Miss, saya Rajni.
Saya tidak dapat datang kelas semalam.
Boleh saya tahu apa tips untuk peperiksaan akhir?
Antara pesanan yang tertera di telefon bimbit Anis.
Balasan yang ditaip oleh Anis
Maaf, absent = no tips. Simple equation.
Selepas itu berderet lagi pesanan masuk, meminta maaf atas ketidak prihatinannya dan cuba memperbaiki diri. Sedangkan semalam kelas yang terakhir.

Adakala keliru dengan pelajar, belajar di saat akhir berrdasarkan tips (permintaan mereka yang sentiasa direngek-rengekkan). Pemahaman tidak jelas tetapi sentiasa cuba menghafal tanpa kefahaman yang nyata. Semua ini boleh menyebabkan keputusan bagaikan telur di hujung tanduk. Jika mampu mengawal, boleh menyelematkan telur tersebut. Jika gagal, memang akan menyebab telur tersebut jatuh dan hancur begitu sahaja. 
Image result for tips

Sunday 11 October 2015

Telefon

“Ain, berapa no pejabat ITIC?” Tanya Nisa apabila ada masalah berkaitan dengan sistem memasukkan markah.
Selepas itu bergegas Nisa menuju telefon yang disediakan untuk mendail nombor tersebut. Sampai meja, Yen memberitahu nombor tersebut.
“Hello, saya Nisa daripada pejabat Foundation. Saya ada masalah dengan sistem untuk memasukkan markah. Kepada siapa saya perlu maklumkan masalah saya ini?” tutur lembut Nisa.
“Saya pernah buat panggilan sebelum ini dan saya pernah emelkan masalah saya ini,” kedengaran Nisa memberikan keterangan. Mungkin pihak di sebelah sana tidak mendapat maklumat yang jelas apa yang diceritakan oleh Nisa.
“Apa, ini pejabat lain, bukan ITIC?” soal Nisa tanda tidak puas, mungkin menjangkakan dia tidak mendail nombor yang salah.
“No yang saya dail tadi, no 6801 kan? Apa…memang betul no tu tapi bukan pejabat ITIC tapi bilik mayat,” Nisa mengulang apa yang disebut oleh orang yang didailnya.
“Nisa, no ITIC 6881 la….” Akhirnya Ain melaung daripada tempatnya dan meleraikan masalah tersebut.


 Image result for telefon

Tugasan

“Mengapa lambat hantar tugasan ini?” Tegas suara pensyarah Cik Aini bertanyakan pelajarnya.
“Kami terlibat dengan pameran projek akhir di Plaza Universiti daripada jam 9 pagi hingga 4 petang, 2 hari iaitu 7 dan 8 Oktober 2015,” panjang Amirul menjelaskannya.
“Tiada masa langsung untuk datang hantar ke pejabat saya?” Cik Aini menduga lagi.
“Tapi kebanyakan pelajar lain semuanya datang hantar petang semalam. Kami dah nak hantar Cuma Cik dah balik,” alasan mesti ada untuk menyelamatkan diri.
“Mengapa perlu dibandingkan dengan pelajar lain?” Cik Aini masih tidak berpuas hati dengan jawapan mereka.

“Maafkan kami,” suara mereka jelas menurun, tanda mengaku yang mereka telah melakukan kesilapan. Walaupun kecil bagi mereka tetapi jika dijadikan tabiat, ia akan menular dan membahayakan masa depan mereka.
Image result for tugasan

Sunday 20 September 2015

LIF

Tingkat Satu
Menyerbu manusia menaiki lif, masing-masing berebut menekan butang pilihan mereka. Pintu tertutup, terdapat lebih kurang 16 orang yang bersesak-sesak di dalam lif tersebut. Ada yang bersembang dengan rakan sebelah, ada yang masih lagi melihat telefon bimbit. Ada juga yang merenung butang lif yang menunjukkan lif menaiki tingkat demi tingkat.

Tingkat Dua
Pintu lif terbuka luas, seorang wanita muda keluar sambil menjinjing beg. Dia kelihatan sugul dan tidak bermaya. Seorang remaja lelaki mengambil tempat, di kepalanya tidak lekang dengan headphones, muzik makanannya, tidak boleh dipisahkan walaupun sesaat. Tapi katanya, dia tidak suka pada bunyi bising aliran trafik.

Tingkat Tiga
Tiga orang lelaki yang berpakaian kasual tergesa-gesa meninggalkan lif. Ketika dalam lif tadi mereka berbincang sesuatu, berkenaan dengan pelajaran mereka. Mungkin mereka sedang berbincang tentang projek akhir mereka. Wajah mereka menunjukkan kematangan mereka, menandakan kemungkinan besar mereka pelajar semester akhir. Terdengar keluhan mereka tentang masalah duit, banyak wang dilaburkan untuk projek akhir mereka itu.

Tingkat Empat
Tiada siapa yang keluar tetapi ada seorang remaja perempuan meluru masuk tanpa mempedulikan orang sekeliling. Di tangannya tergenggam erat buku cerita yang bertajuk Suamiku Manusia Sempurna. Novel yang selalu menjadi idaman pembaca, angan tak sudah remaja masa kini yang mendambakan bagaikan raja dan dongeng semata. Hidup di dalam istana yang besar dan dilayan bagaikan puteri. Ceritanya juga berkisar berkahwin atas dasar paksaan dan selepas beberapa lama terus tergolek jatuh cinta. Walaupun mendapat kritikan tetapi novel yang sebegitu makin meletup dan jualan semakin mendadak meningkat. Tergambar di wajah remaja itu segaris senyuman, mesti bersama angan yang tidak kesampaian.

Tingkat Lima
Ada lebih kurang enam orang yang keluar, berlari-lari anak mereka. Kemungkinan mereka sudah lambat ke kelas, maklumlah jam sudah menunjukkan 10.10 minit. Ada di antara mereka yang hampir tersungkur dan berlanggaran sesama sendiri. Melangkah masuk sesusuk tubuh sasa, pelajar atau tenaga pengajar, terdetik hati ini. Melihat buku-buku yang dibawanya bersama tag yang dipakainya menandakan dia adalah seorang pelajar. Begitu kemas penampilannya, bekemeja lengan panjang berwarna krim yang dilipat sedikit sehingga hampir paras lengan, lengkap bertali leher berlajur biru putih. Kasut yang dipakai juga bagaika baru digilap. Penampilannya begitu kemas sehingga ramai yang tertoleh-toleh padanya. Dia hanya merenung pada skrin di dalam lif itu tanpa mempedulikan orang yang memerhatikannya.

Tingkat Enam
Sepasang kembar seiras melangkah keluar dengan berhati-hati. Nampak benar mereka berkongsi segalanya, seiring melangkah keluar daripada lif. Ada beberapa ramai yang menunggu lif di luar namun mereka menggelengkan kepala, menandakan mereka ingin turun bukannya naik. Pintu lif agak lambat tertutup disebabkan ada tangan yang tidak sabar menekan butang naik dan turun berkali-kali. Ada yang di dalam lif sudah berdehem beberapa kali, geram dengan sikap orang tiada sifat sabar.

Tingkat Tujuh
Pelajar antarabangsa Mizyeh melangkah keluar dengan langkah yang longlai sambil tangannya tidak henti-henti menaip di tablet mini miliknya. Dia hampir terlanggar pelajar yang berada di depan pintu lif yang tida sabar mahu memasuki lif apabila pintu terbuka. Azrin, pensyarah daripada jabatan ekonomi dan kewangan melangkah masuk. Di tangannya penuh tugasan pelajarnya, mungkin hari ini adalah tarikh penyerahan tugasan dan di bahunya disandang beg yang mengandungi komputer riba. Berat rasanya beban yang dibawanya. Mukanya menunjukkan keletihan yang teramat.

Tingkat Lapan
Tiga pelajar lelaki yang mementingkan penampilan dan stail melangkah keluar dengan penuh bergaya. Jam tangan yang dipakai mereka juga berjenama menunjukkan mereka anak orang berada. Namun sayangnya di tangannya terdapat vape yang menjadi trend pada masa kini. Bangga agaknya menunjukkan kepada umum, akulah penghisap vape. Hanya membawa ‘clutch bag’ yang mungkin mengandungi telefon bimbit yang berjenama, ataupun tablet. Tiada pen dan buku yang dikelek. Pelajar sekarang, muncul di kelas sekadar untuk menurunkan tandatangan sahaja. Terdapat lima orang pelajar yang menyerbu masuk tanpa melihat anak panah lif, naik ataupun turun. Yang pastinya mereka sebenarnya ingin turun berdasarkan perbualan mereka yang mengajak beberapa lagi rakan mereka untuk turut serta. Tetapi ada yang benar-benar beretika sanggup menunggu lif asalkan tidak melanggar prinsip mereka.

Tingkat Sembilan
Apabila pintu lif terbuka, terpampang papan tanda yang menunjukkan Jabatan Ekonomi & Kewangan. Beberapa pensyarah yang sudah agak lama menunggu lif melangkah dengan pantas mengambil ruang-ruang kosong di dalam lif tersebut. Masing-masing mendiamkan diri, mungkin kepenatan melayan karenah pelajar, ataupun memikirkan pelbagai tugasan yang menanti. Suasana dalam lif agak hingar apabila lima orang pelajar tadi masing-masing cuba berjenaka sesama mereka. Mereka mentertawakan rakan mereka yang bernama Afiq ketika membuat pembentangan tadi. Kata mereka Afiq terkeluar loghat Terengganunya dan mereka mengajuknya.

Tingkat Sepuluh
Tingkat yang paling tinggi untuk Blok D dihuni oleh Jabatan Perakaunan & Perniagaan. Ada dua tiga orang pensyarah dan pelajar agak kecewa kerana tidak dapat menaiki lif ini. Ada suara nakal mengatakan bahawa lif ini sudah penuh dan ada tangan yang cepat menekankan butang tutup. Tetapi ada seorang Ketua Program Perniagaan Antarabangsa cuba juga untuk menyelit memasuki lif. Katanya dia sudah agak lambat menghadiri mesyuarat yang dijadualkan pada jam 10.15 pagi di blok G. dia membebel-bebel kerana menurutnya sudah beberapa banyak lif yang terlepas kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab memenuhi lif tanpa etika. Tanda full load terpampang di skrin lif dan lif ini laju menuju ke bawah.  



 


Saturday 19 September 2015

Takut

"Miah, kenapa tak datang buat ujian lisan, hafazan dan bacaan," Ustazah Marhaini menelefon pelajarnya yang acap kali dipesan tapi tiada mendapat hasil.
"Saya banyak kelas, hari ini pun sampai jam 6.30 petang," sengaja Samiah mencari alasan.
"Saya kena siapkan markah pada minggu ini juga," jelas ustazah seraya mendesak.
"Baiklah ustazah, saya cuba dalam jam 4 hari ini," janji Miah.
Dalam jam 5 petang barulah nampak kelibat Samiah di luar pejabat.
"Ustazah, Miah takut!" Adu Samiah sambil matanya tidak berani menatap wajah ustazah.
"Apa yang hendak ditakutkan? Saya tanya perkara asas sahaja," terang ustazah Marhaini.
"Saya tak pandai baca" jawabnya jujur sambil tergagap-gagap.
"Duduk dan kita mulakan. Pertama baca doa iftitah,"
Samiah dapat membaca dengan baik. Tiada apa yang perlu ditakuti, detika hati ustazah.
"Sekarang, kita mulakan bacaan tiga qul. Tengok mathurat ini dan baca surah al-ikhlas,"
Samiah membaca sambil memandang ustazah. Marhaini dapat mengagak bahawa dia menghafal sahaja surah ini.
"Cuba baca ayat ini," duga ustazah Marhaini sambil menunjukkan ayat ketiga surah al-ikhlas. Samiah hanya memandang sambil tersenyum. Kemudian dia gelengkan kepalanya.
"Boleh saya tanya lanjut?" Ustazah Marhaini cuba membuka bicara.
"Adakah Miah solat 5 waktu," aju Marhaini lembut.
"Tak," jawabnya pantas.
"Kenapa?"tanya ustazah.
Samiah hanya menjungkitkan bahunya.
Lama kami terdiam sehinggalah akhirnya dia berbicara. Katanya kalau di rumah dia hanya solat maghrib sahaja, ibunya sibuk bekerja, meniaga sehingga tiada masa memantau anak-anak mereka. Lagipun masa sekolah dulu dia bersekolah di sekolah kebangsaan jenis cina. Dia tidak terdidik langsung dengan agama, rapuhnya agama bagi dia. Namun dia boleh membaca ayat-ayat yang mudah kerana dia selalu mendengar adik-adiknya membaca al-quran.
Ustazah Marhaini membuat kesimpulan, dia ingin berubah cuma dia memerlukan petunjuk untuk dia menjumpai jalan yang telah dibengkokkan.

Janji

"Miss, saya dah kat depan kaunter," pesanan masuk selepas Puan Hani selesai makan tengahari di luar kampus.
"Ya Allah!" Menjerit Puan Hani kerana lupa janji yang telah dipatrikan. Bergegas dia pulang ke kampus. Serasa perjalanan terlalu lambat.
"Maafkan saya," berkali-kali Puan Hani menuturkannya, tanda rasa bersalah yang amat. Apabila lapar menguasai diri, lupa janji yang telah dibuat.
"Tidak mengapa puan," tenang sahaja pelajar itu Thayalan mengucapnya sambil tersenyum. Rasa malu dan bersalah menebal dalam hati Puan Hani.
Azamnya jika berjanji lain kali ingatlah jangan2 nanti dicop munafik.

Monday 31 August 2015

TERSASAR


“Azri, mana ni tak sampai lagi?”Mahya selaku mentor selalu menelefon apabila Azri menduduki peperiksaan. Jika tidak diingatkan dia selalu tertinggal peperiksaan.
“Maaf puan, saya kurang sihat hari ini,” selalu jawapan yang diterima ataupun pesanan ringkas yang memasuki kotak pesanan. Puan Mahya selalu tertekan dengan gelagat menteenya yang mengambil ringan dan mudah dalam semua perkara. Bagaimana mahu menyedarkan bahawa pembelajaran sangat penting dalam kehidupan terutama untuk masa depannya. Sekarang masanya banyak dihabiskan dengan bermain permaianan yang baru setiap hari dan menjadi satu ketagihan.
“Azri, kalau awak datang lambat ataupun tidak datang lagi peperiksaan, saya takkan bantu lagi,” ugut Mahya kepada menteenya.
“Maaf puan, lain kali saya takkan buat lagi,” ikrar yang menjadi satu permainan dalam kehidupannya.

Dia mungkin masih terlalu mentah untuk menimbang tara baik buruk tindakan yang dia lakukan terutama apakah kerugian pada masa depan dan keuntungan akan datang. Dia gembira kerana ibu bapanya masih lagi menanggung dia dan membiarkan sahaja dia hanyut dalam dunianya. Dia patut di bawa keluar daripada dunianya, sedarkan dirinya tentang apa keuntungan dan kerugian pada masa sekarang dan masa hadapan. 

WASIAT


“Pelajar-pelajar semua dikehendaki menulis sebuah surat wasiat seandainya ditakdirkan hari ini adalah hari terakhir dalam kamus kehidupan anda,”
Pensyarah Puan Madihah hanya memerhatikan sahaja pelajar-pelajar menulis dengan tekun bersama diringi lagu Syurga di Telapak Kaki Ibu, nyanyian Aishah. Ada yang tanpa segan menyapu airmata yang tanpa sedar mengalir.
Selepas beberapa minit, Puan Madihah memanggil beberapa pelajar yang secara sukarela ingin berkongsi rasa tersebut.
“Saya Adam daripada Bachelor in TESL ,” katanya memperkenalkan diri dengan gaya bersahaja.
“Ibu, abang ingin ibu jagalah kucing-kucing kita itu. Dan tolong simpan betul-betul kasut yang di dalam kotak itu,” Adam meneruskan pembacaan tanpa rasa segan dengan penonton yang masih lagi terhinggut menahan rasa sedih.
Puan Madihah terkesima, tiada kata yang terungkap.


Rasa itu

Hendak menangis tiada airmata
Telah kering di juraian itu
Hendak mengadu tiada terungkap
Bibir mulus terkatup rapat
Hendak berlari tiada terlangkah
Rasa terkaku di sini
Hendak berehat tiada hentian
Tiada pondok berteduh

Hati hiba rasa terpinggir
Detik hati terpanggil
Hati tertanya-tanya
Mengapa ini terjadi?
Tiada daya melawan lagi
Hanya berserah  sahaja.


Wednesday 1 July 2015

Rasa

"Anis, awak pernah jatuh cinta tak?" Tanya Rozita.
"Tak pernah," jawab Anis sambil hatinya merewang jauh.
Tidak normalkah apabila tidak pernah merasa nikmat cinta antara lelaki dan perempuan.
Kadang kala Anis terfikir jua, mengapa cinta tidak pernah hadir dalam hatinya. Bukan dia tidak sudi menerima cinta yang dihulurkan tetapi dia tidak yakin pada pemberi cinta.
Dia tiada kisah-kisah manis untuk dikenangkan. Dia tiada memori surat, emel, hadiah, bunga atau apa sahaja yang bokeh dikaitkan dengan memori cinta.
Ganjilkah dia apabila tidak pernah ada memori itu?
Apabila berjumpa rakan, masing-masing meluahkan rasa itu sedang dia kosong, tiada apa yang ingin dikongsikan? Baginya hatinya perlu diserahkan hanya pada yang bergelar suami. Jika ketetapan daripada Allah, jodohnya tidak tertulis, dia akur dan pasrah. Kerana dia tahu Allah Maha Mengetahui yang terbaik untuk dirinya.

Wednesday 24 June 2015

GARANG


“Awani, kenapa tidak datang ujian tempohari?” Tanya Puan Saleha kepada pelajarnya.
“Saya lambat membayar yuran,” jelasnya perlahan dan takut-takut.
“Saya kan dah bagi peluang ke dua sampai ke lima untuk awak dating bila-bila masa sahaja,” kesal Puan Saleha kerana pelajar ini tidak menggunakan peluang yang diberikan.
“Saya takut nak datang jumpa Puan,” katanya laju sambil menundukkan wajahnya. Kakinya menguis-nguis sesuatu yang tidak pasti.
Apabila Puan Saleha mengadukan masalah ini kepada Ketua Jabatannya, tamparan hebat diterima. Katanya Puan Saleha kurang senyum yang boleh menakutkan pelajar, yang menyebabkan pelajar takut dan gerun tanpa bersebab.

Puan Saleha disyorkan memaniskan senyuman dan mendekati lagi pelajar-pelajar tersebut.

CANTIK


“Miss, janganlah suruh saya gugurkan subjek tersebut,” rayu Muzaffar.
“Kenapa?” Tanya Miss Mariam kepada menteenya.
“Err….” Sambil menggaru kepalanya dan tersengih-sengih.
“Ooo…sebab Miss Syakirah tu cantik?”telah Miss Mariam.
“Taklah….dia baik,”sambil tersenyum simpul penuh makna.
Pelajar pun tahu memilih, jika pensyarah itu cantik bersemangat ke kelas tapi jika pensyarah itu selekeh ia juga boleh melemahkan semangat pelajar tersebut. Haruskah begitu?
Penampilan pensyarah adalah penting bagi seorang pelajar selain air muka yang menunjukkan garang ataupun lembut. Sebagai pensyarah, kena tegas dalam lembut, mainkan emosi dan gunakan psikologi dalam mengawal mereka terutama menggalakkan kehadiran mereka ke kelas.


KURSUS PILIHAN


“Kenapa awak selalu ponteng kelas?” Tanya pensyarah muda perempuan yang masih di pertengahan 20an.
“Saya dipaksa oleh ibu bapa saya, saya tak minat pun kursus ini,” terangnya tanpa berselindung lagi setelah disyarah selama 15 minit oleh pensyarah selaku mentornya jua.
“Mengapa awak tidak berterus terang sahaja?” Soalnya lagi.
“Puan, saya telah bertukar kolej dan universiti 4 kali. Puas saya beritahu pada ibu saya yang saya tidak minat dengan kursus pilihan dia tapi dia beria-ia juga memujuknya. Saya tidak mahu dicop sebagai anak derhaka,”
“Tapi dengan kelakuan macam ini, adakah dapat menyelesaikan masalah awak? “
“Saya tak tahu bagaimana nak selesaikan. Kalau ibu saya cakap A, maka A lah,” nada hampa dilantunkan.
“Bagaimana dengan ayah awak?”
“Ayah saya ikut saja apa yang ibu saya cakap,”
“Macam inilah apa kata awak cuba bincangkan dengan ayah dan ibu terlebih dahulu.”
Sukar juga apabila masing-masing mempunyai ego. Ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Mana ada ibu bapa yang mahu melihat anaknya salah memilih jalan. Sedangkan anak masih mentah mengharapkan ibu bapa mengerti dan mengikut rasa sahaja, tidak pernah terfikir masa depan yang telah dibazirkan.

Bangsaku cemerlang ………

SOSIAL


“Ustazah, apa yang patut saya lakukan jika rakan serumah saya membawa balik teman lelakinya ke dalam biliknya? Bilik itu dikongsi oleh kami bertiga,” adu seorang pelajar perempuan yang merasa terseksa apabila teman sebilik yang dipercayainya telah merosakkan hubungan mereka.
“Adakah Aida telah cuba menegurnya secara langsung?” Tanya ustazah.
“Saya telah diberikan amaran keras, jika saya campur tangan lagi dia kata saya akan menyesal kemudian hari,” ada esakan kecil mengiringi kata-katanya itu.

Ramai sekarang remaja yang hanyut dengan dunia yang penuh tipu daya. Berkenalan sehari dua sanggup menyerahkan maruah yang tersimpan rapi selama ini. Tidak takut dan tidak gentar pada akibatnya. Itulah yang menjadikan kebimbangan kepada golongan yang bertanggungjawab.

KONVOKESYEN


Di dalam Dewan Konvokesyen, hati tersentuh melihat kejayaan bekas pelajar terutama pelajar-pelajar yang mendapat anugerah daripada pelbagai pihak.

Memandang sekeliling ada ibu bapa yang tersenyum bangga apabila nama anaknya dipanggil sebanyak dua kali ke pentas konvokesyen.


“Kejayaan ini datangnya daripada pelbagai pihak dan usaha. Terima kasih saya ucapkan untuk ahli keluarga saya, pensyarah saya dan rakan-rakan yang lain yang sentiasa menyokong saya.” 

Ucapan pelajar terbaik tadi sangat menyentuh hati ini. Sememangnya dia layak berada di situ.

Begitulah gaya pelajar cemerlang yang sentiasa meletakkan kejayaan itu usaha bersama, bukannya datangnya daripada dia semata-mata.

ETIKA


“Assalamualaikum dan selamat tengahari,” ucap seorang pensyarah perempuan di dalam kelas Pengajian Ekonomi Islam.
Masing-masing mengeluarkan buku dan pen dan memulakan pengajian mereka.
Tiba-tiba mata pensyarah tersebut memandang seorang pelajar perempuan kecil molek yang seronok mengunyah roti dengan selambanya dan cuba mempelawa rakan sebelahnya.
Mata pensyarah tersebut memberikan isyarat bahawa perbuatan itu kurang beretika dan tidak patut dilakukan tetapi pelajar tersebut tidak memahaminya sehinggalah pensyarah tersebut terpaksa menegur perbuatan itu secara langsung.

Alahai pelajar sekarang.

KERJA KURSUS


Setiap hari adalah warna pelangi bagiku. Berjumpa dengan pelajar boleh membuatkan aku tersenyum walau adakalanya mereka juga membuatkan aku naik angin.
Apabila musim peperiksaan menjelang, pelbagai rayuan yang diterima.
“Puan, bagilah saya satu lagi peluang. Saya akan buat betul-betul. Saya sungguh-sungguh menyesal kerana ambil ringan sahaja,”
Itu dialog terjadi apabila mereka melihat markah kerja kursus mereka. Ada yang gembira dan ada yang berduka apabila tidak mendapat seperti apa yang mereka idamkan. Kerja mahu senang tapi markah mahu gempak.

Adakalanya mereka juga perlu diberikan pelajaran kerana mereka perlu diberikan pancing, bukannya ikan. 

Friday 19 June 2015

Ramadan Kareem

Ramadan
Bulan yang mulia
Penuh keberkatan

Ramadan
Pesta ibadah
Bukan pesta makanan
Dibazirkan tanpa segan

Ramadan
Bulan permulaan
Menyucikan hati nan kotor
Tiada umpatan
Tiada kata kata nista
Tiada buruk sangka
Tinggalkan mazmumah
Kaut segala mahmudah

Wednesday 22 April 2015

ajari aku

Ajari aku berenang
Risau karam dipertengahan
Ajari aku bercakap
Bisu menjadi hamparan
Ajari aku berlari
Kaku diam berdiri
Ajari aku berjalan
Banyak langkah tersadung
Ajari aku terbang
Mahu hinggap dipersinggahan
Ajari aku ......
Aku tak mampu
Melihat indahnya dunia

Sunday 12 April 2015

Bab 5- Pencarian

Bab 5 – Pencarian
Masih terngiang—ngiang suara Fatin membuatkan aku berasa bersalah kerana mengabaikannya. Namun tuntutan tugas yang tidak pernah berakhir menyebabkan aku terlupa tentang kehadirannya.
Aku mendail nombor rumahnya, mengharapkan dapat menjumpai jalan penyelesaiannya. Panggilan tidak bersambut selepas lima kali deringan, aku tetap tidak berputus asa dengan terus mencubanya sehingga aku benar-benar penat. Terganggu dengan masalahnya membuatkan aku buntu dan hilang fokus dalam kerja.
“Mas, laporan penilaian sudah siap ker?”Tanya Puan Adibah menyebabkan aku tersentak.
“Saya baru saja emelkan,”aku menarik nafas lega kerana baru beberapa saat lepas aku menekan butang hantar kepada ketuaku. Harapnya tiada lagi pembetulan selepas beberapa kali kena tolak. Puan Adibah kebelakangan ini agak moody, mungkin disebabkan kesihatan anak ketiganya semakin merosot menyebabkan mood dia agak terganggu.
“Liya, awak pernah ajar Fatin Ameera binti Ghazali?”Aku cuba bertanyakan rakan sekerjaku yang mengajar subjek pengajian asas untuk universiti.
“Kursus apa?”Liya meneruskan kerja tanpa memandangku.
“Kursus Diploma Perakaunan,”balasku.
“Orangnya kecil molek tu ker? Yang ada tahi lalat di pipi sebelah kanan tu kan?” Liya memusingkan badannya memandangku.
“Kenal lah ye?” sengaja membiarkan soalan di balas soalan.
“Budak bermasalah tu,” Liya selamba membalasnya sambil jarinya terus cekap menaip laporan yang diminta oleh Puan Adibah.
“Kaki ponteng ker?” Dahiku cuba berkerut mengingatkan peratusan kedatangan ke kelasku.
“Bukan setakat tu sahaja, macam-macam alasan….,”deringan telefon menyebabkan perbualan kami terputus.
Aku cuba google mencari maklumat dirinya, mencarinya melalui media social. Kebanyakan dia tidak aktif sejak sebulan yang lepas. Di mana agaknya mahu mencari dirinya. Rasa bertanggungjawab tu tetap ada kerana aku merasakan dia sangat memerlukan pertolongan.
Seminggu selepas itu, ketika berpapasan dengan  Hasrol dan Fitri di cafeteria, mereke menegurku seperti biasa. Dan mereka memberikan cerita yang agak mengejutkan diriku bahawa Fatin Ameera sudah berkahwin bulan lepas dan menangguhkan pengajiannya pada semester ini.
Walaupun aku lega mendengar berita tersebut tetapi mindaku terus berputar seribu satu persoalan. Fatin pernah berkata, dia tidak mahu berkahwin kerana dia takut pada sebuah perpisahan. Dia tegaskan dia mahu keseorangan dalam hidupnya, namun tiba-tiba dia berkahwin. Sejujurnya aku tahu bagaimana sakitnya hidup keseorangan ini.


Sunday 18 January 2015

kering

Tiada kata mampu ku luah
Tiada air mata lagi mengalir
Belajar menerima takdir tercipta
Berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul
Ujian diberikan bun secuit
Namun ketabahan mereka
Membuatkan ku terfikir
Aku selalu mengeluh nasib diriku
Sedang ramai lagi diluar sana
Nasibnya tidak ketentuan

Tuesday 13 January 2015

Bab 4 - Khabar

Sudah lama aku tidak menjengah emel peribadiku. Sebaik sahaja aku masukkan password, ada berlambak emel yang belum ke baca, antara yang menarik adalah emel kiriman Fatin, pelajar yang mempunyai masalah. Aku tersedar sejak kesibukan ini aku agak mengabaikan mesej kirimannya.

Emel daripada Fatin
Salam Puan Maisarah,
Maafkan saya selalu menganggu dan mencuri masa puan untuk mendengar cerita sedih saya ini. Saya telah menerima segala apa yang berlaku dan saya berjanji tidak akan mengganggu puan dengan cerita yang tidak seberapa ini. Maafkan saya selama ini.
Sekian terima kasih

Ringkas sahaja emel yang dihantarnya. Saya dengan segera menggapai telefon bimbit yang masih di dalam beg tangan. Terus saya mendail nombor Fatin yang masih di dalam simpanan saya. Panggilan saya tidak bersambut. Tanpa lengah saya menghantar pesanan ringkas melalui whatsapp. Berdasarkan aplikasi tersebut, sudah hampir sebulan dia tidak online. Hati ini tertanya-tanya kenapa?

Keresahanku yang berpanjangan membuatkan aku mendail nombor Abdullah Fahmi yang didakwa kawan baiknya. Setelah beberapa minit berlalu, barulah panggilan itu bersambut. Cemas aku bertempat ataupun tidak?

"Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Abdullah Fahmi?"
"Waalaikumussalam. Ya, saya Abdullah Fahmi,"
"Saya Puan Maisarah dari Fakulti Pengajian Asas,"
"Ya puan. Ada apa yang boleh saya bantu?"
"Abdullah ada berjumpa dengan Fatin?"
"Fatin....yang mana satu?"
"Fatin Erlena yang mengambil kursus Diploma Perakaunan,"
"Oooo...."
"Maafkan saya kerana saya cuba hubungi dia berkali-kali tetapi tiada bersambut,"
"Saya sudah lama tidak berjumpa dengannya,"
Aku kecewa dengan jawapan tersebut. Bagaimana aku mahu jejak dirinya. Aku cuba mencari maklumat dirinya samada masih ada nombor telefon rumah untuk ku hubungi. Gagal.

Dalam perjalanan ke cafeteria Idaman aku terserempak dengan Laila, Fitri dan Hasrol. Mereka beria-ia mempelawaku makan bersama. Di kesempatan itu, aku bertanyakan tentang Fatin. Menurut mereka, Fatin sekarang jarang datang ke kelas, dia sekarang tinggal bersama dengan ibu saudaranya setelah dia dikatakan bergaduh besar dengan ibu bapanya, gara-gara kakaknya. Aku rasa bersalah kerana tidak pernah cuba memahaminya.

Di mana aku mahu mencarinya? Sudah ku pesan pada mereka jika berjumpa Fatin sampaikan pesanan segera yang aku mahu ketemu dirinya. Rasa bersalah menghimpit diri.



Thursday 1 January 2015

Rintihan

Lidahku kelu untuk berbicara
Setiap langkah ku rasa lemah
Bukan mudah untuk menghadam
Apa yang mereka semua rasai
Mata mampu melihat dan simpati
Derita mereka tidak tertanggung
Musibah datang menjengah
Kita bagaikan kehilangan arah
Kekuatan iman teruji
Ketakwaan digoncang hebat
Mampukah kita bertahan
Tiada siapa yang mampu selami
Berapa banyak gundah terbuku
Berapa banyak airmata mengalir
Peristiwa datang dan pergi
Kita tetap lalui perjalanan hidup
Takkan berpaling ke belakang
Diwajah mereka tergaris pilu
Tuhan
Bantulah hambaMu ini semua
Kuatkan kami merempuhnya
Moga cinta makin mekar
Perjalanan ini penuh onak duri
Bekalnya iman supaya tidak keciciran
Tuhan
Andai kami gagal meneruskannya
Bantulah kami semua
Kami ingin selamat sampai destinasi
Yang abadi selamanya.