Monday 29 September 2014

Sinarnya sebuah cinta - ingin ku dakap bahagia

Bab 3- Ingin ku dakap bahagia
“Puan, saya ingin merasai bahagia. Bagaimana ye?”soal Fatin apabila dia datang bertamu di bilik pejabatku.
Aku merenung anak matanya, memerhatikan dirinya yang asyik memusingkan pen yang berada di tangannya. Fatin kelihatan agak resah menanti jawapan dariku.
“Apa maksud bahagia?” aku biarkan soalan itu tidak terjawab tetapi aku menyoalnya kembali.
“Bahagia apabila dapat bersama dengan orang yang kita sayangi,”ungkapnya dengan laju.
“Adakah Fatin mengharapkan keajaiban berlaku? “ cuba menyelidiki kehendak hati Fatin.
“Sejujurnya saya mengharapkan papa dan mama kembali bersatu. Tapi itu semua mustahil kerana mereka masing-masing ada keluarga,” perlahan Fatin membalas. Ada nada kendur di situ menandakan dia kecewa.
“Takkan saya nak doakan agar kedua ibu bapa saya bercerai dan kembali bersama. Kejam kan saya jika mementingkan diri saya sahaja tanpa mempedulikan hati adik-adik saya. Tapi hati saya siapa yang peduli?” Fatin meneruskan bicara apabila melihat aku diam.
“Apa harapan Fatin dalam kehidupan ini?” tanyaku lembut. Kedengaran Fatin mendengus kerana dia masih tidak mendapat jawapan dalam setiap persoalan yang dilontarkan.
“Puan boleh bantu saya ke tak ni?” Fatin mula menaikkan suaranya apabila dia merasakan bahawa aku tidak memainkan peranan seperti yang dia impikan.
“Fatin, setiap kehidupan ini tidak pernah terlepas daripada ujian. Allah sangat sayangkan Fatin dengan memberikan sedikit ujian bagi menguji keimanan Fatin. Fatin selalu solat lima waktu kan?” lembut tutur bicaraku, cuba mengambil hatinya yang sudah terusik.
Anggukan lemah membuatkan aku mengumpulkan kekuatan untuk menjawab segala pertanyaannya lagi.
“Fatin selalu tak berdoa?” aku ajukan lagi persoalan.
“Jarang sebab saya rasa doa saya selalu tidak dimakbulkan,” Fatin resah membalasnya.
“Fatin silap…..Allah tak makbulkan bukan sebab tidak sayangkan Fatin tetapi Dia mahu berikan yang terbaik untuk Fatin. Kita tidak tahu mana yang terbaik untuk diri kita,” jelasku ringkas dengan nada memujuk.
“Tapi kenapa Allah pisahkan kami semua? Kenapa kami tidak sama dengan orang lain?” Fatin mempersoalkan lagi.
“Fatin…..setiap manusia telah ditetapkan kehidupannya. Belajarlah menerima dengan redha apa yang telah ditetapkan dalam kehidupan ini, pastinya Fatin akan rasa tenang,” aku menarik nafas panjang sebelum menuturnya.
“Cuba Fatin lihat diri Fatin dan bandingkan orang yang berada di bawah. Sekurang-kurangnya Fatin masih mempunyai kedua ibu bapa yang mengasihi Fatin. Bandingkan dengan mereka yang yatim sejak dari kecil, susah pula tu. Ada di luar sana, keseorangan dalam kehidupannya, mungkin kita fikir kenapa Allah nak uji dia sebegitu rupa, tiadakah rasa kasihan padanya. Kita siapa untuk menilai setiap ketentuan yang Allah telah tetapkan.” Syarahku lanjut.
Aku lihat muka Fatin agak berkerut. Mesti cuba menghadamkan apa yang aku tuturkan. Syukurlah kerana dia cuba menerima apa yang aku katakan.



Sunday 28 September 2014

Sinarnya sebuah cinta ep.02

Bab 2
“Sekarang senaraikan 10 orang yang awak sayang dalam kehidupan awak,”arah penceramah pertama dalam Kem Motivasi. Titipan Kasih adalah untuk melihat sejauh mana kasih sayang sesame manusia. Mahu diterapkan ukhuwwah fillah, semoga segala onak ditempuh dan dirempuh bersama.
Aku meninjau-ninjau senarai yang dikemukakan oleh Fatin, namun tidak jelas kerana tulisan agak kecil. Encik Haslan menyuruh pelajar memadam nama yang disayangi sehinggalah tinggal seorang sahaja. Aku makin tertarik seperti magnet untuk mengetahui siapakah yang menjadi keutamaan dalam senarai Fatin. Lantas aku menghampirinya.
“Boleh saya tengok nama siapa yang awak tidak padam?”desakku tanpa rasa sabar.
“Mana boleh,” Fatin tidak mahu memandangku.
“Agak-agak siapalah pilihan utama awak ye,” cuba menelurusi bagi memujuknya.
Fatin hanya membalas dengan senyuman sahaja. Aku membiarkan dia mendengar ceramah Encik Haslan selanjutnya, namun mataku masih melilau ke arah Fatin. Tanpa disangka, aku ternampak coretan tersebut. Nama yang tinggal adalah Abdullah Fahmi, kawan sekelasnya. Aku cuba mengawal rasa terkejut itu.
“Sekarang mari kita tulis sepucuk surat kepada kedua ibu bapa kita. Bayangkan ini bagaikan surat terakhir kita…,” penceramah sessi kedua Encik Suhaimi cuba menarik perhatian pelajar semua bagi menyedarkan mereka siapakah ibu bapa mereka di sisi mereka.
Mataku melirik memerhatikan Fatin. Agaknya ada isi kandungan surat tersebut. Rasa ingin itu menarik-narik diriku mendekati dirinya.
“Boleh saya baca surat yang awak tulis?” tanyaku lembut.
Fatin menyerahkan surat tersebut yang hanya beberapa baris sahaja dan isinya hanya biasa sahaja.
Kepada Encik Ghazali dan Puan Rozita,
Maafkan angah jika ada perbuatan dan perkataan yang salah telah angah keluarkan.
Sekian terima kasih.
Angah

Aku terdiam, lidahku kelu seketika. Cuba mengatur bait ayat yang dirasakan sesuai dengan apa yang telah terjadi pada Fatin.
“Puan, walaupun saya masih mempunyai kedua ibu bapa saya tapi kasih sayang dan cinta itu telah lama  terkubur, sejak mereka mengumumkan bahawa mereka ingin berpisah. Kalau saya tidak selesa tinggal dengan papa, saya akan pergi ke rumah mama. Apabila saya jemu berada di rumah mama, saya akan kembali ke rumah papa. Apa yang penting sekarang adalah duit. Papa selalu memberikan duit tanpa mempersoalkannya, mama agak susah sikit. Papa berikan saya sebuah kereta untuk memudahkan saya datang ke kelas dan dia memberikan saya pilihan untuk saya memilih jalan saya sendiri. Mama walaupun nampak macam mengongkong tetapi adakalanya dia membenarkan saya memilih jalan saya sendiri.”
“Saya tidak pernah kenal erti cinta. Saya tak tahu apa maksud kasih. Sebab itu saya tak pandai nak tulis surat kepada kedua ibu bapa saya. Saya tidak merasai nikmat itu. Adakalanya saya sedih sebab saya tidak berpeluang menyatakan ia. Saya cuba mencari sinar cinta dan sayang itu tetapi saya tidak menjumpainya. Mana mungkin saya menulis surat itu,”luah Fatin panjang lebar sambil mengesat airmata yang lalu di pipinya.
“Saya tidak pandai menangis….airmata saya susah keluar sebenarnya. Tapi tak tahu kenapa malam ini lebat pula airmata saya,” Fatin menyeka airmata yang masih laju membasahi pipinya.
“Siapa kawan rapat awak?” Aku menyoalnya.
“Alya dan Sarah,” jawabnya jujur.
“Selalu kalau ada masalah, kepada siapa awak adukan?”tanyaku lembut sambil memandang muka Fatin.
“Tiada siapa.” Fatin hanya menjungkit bahunya.
“Awak ada kakak atau abang?”tanyaku lanjut.
“Saya ada kakak,” Fatin membalas tulus.
“Agaknya kalau Fatin kehilangan kakak, sedih tak?”aku cuba memancing rasa.
“Sedih kot,”jawapan yang tulus.
Aku melihat muka Fatin bersahaja apabila menuturnya. Aku tidak tahu reaksi sebenarnya.
“Ada boyfriend tak?”soalku lagi.
“Ada….tu dia,”sambil tangannya menunjukkan Abdullah Fahmi di hujung sebelah kirinya. Mukanya ada sedikit berubah, tersipu-sipu malu gamaknya.
“Katakan kalau Fatin tiada jodohnya dengannya, Fatin sedih tak?” tanyaku lanjut.
“Sedih.” Jawapan yang aku teka.
“Maksudnya Fatin tahu erti sayang,” aku menamatkan perbualan kerana penceramah Encik Suhaimi menyambung ceramah tersebut.
Aku nampak Fatin merenung jauh memandang ke depan. Entah apa yang berada di fikirannya sekarang.



Ahli Kelab


“Achik mahu pelamin yang bertemakan warna perak, ungu dan sedikit percikan marah jambu,” adik kesayanganku yang bakal menamatkan zaman daranya tidak lama lagi ghairah menceritakan persiapakan perkahwinanannya.
Aku hanya mendengar separuh sahaja cerita kegembiraannya kerana aku asyik membelek telefon bimbitku melayan whats App ahli kelab single. Aku tersengih sendirian menyebabkan mak longku melihatku dengan kerutan di dahinya.
Cepat-cepat aku berlalu ke bilik
Sebelum ini memang aku liat untuk menjawab pasal jodoh aku walaupun usia aku sudah melewati 30-an. Ada pelbagai alasan yang akan aku kemukakan. Sebenarnya aku masih tidak dapat melupakan kisah silamku yang menjadi duri dalam hati ini. Namun aku gagahi mendatangi kehidupan dengan mencorakkan kegembiraan palsu di mata orang ramai.
Selama dua tahun aku boikot majlis perkahwinan tak kira siapa, kawan baik ataupun kawan sepejabat, pelbagai alasan yang aku rekak sehingga Asma sudah jelak dengan alasannya. Dan dia telah menyebabkan aku tidak lagi memboikot kenduri perkahwinan.
Kalau diingatkan memang aku malas nak pergi ke kenduri Asma tetapi disebabkan ugutannya yang mengetahui kebanyakan rahsiaku, aku terpaksa melangkah. Masaklah aku kerana aku terpaksa menghadiri dua kenduri iaitu ketika majlis akad nikah dan kenduri persandingan pada keesokannya. Paling aku tidak gemari, dia bersungguh meminta aku menjadi pengapit aku. Seribu satu alasan dia tidak terima dan dia ugut jika aku enggan, maka persahabatan kami akan terputus. Ada ke buat main-main pulak tentang persahabatan, dia je fikir pasal perasaan dia, dia fikir tak pasal perasaan aku ini. Sungguh aku tertekan desakan yang diajukan oleh Asma tetapi aku relakan ia demi sebuah persahabatan yang sudah lama termeterai.
Getaran telefonku menanda ada mesej baru masuk. Mesej dari kelab single yang berkongsi rasa. Matlamat kelab ini agar dibubarkan bukan untuk diteruskan. Bukan mahu mendokong supaya perempuan hidup single tetapi mendorong supaya meneruskan sunnah Rasululallah saw. Telah ada bebearapa ahli kelab single yang mula mengorak langkah meninggalkan kelab ini untuk memasuki kelab yang lain. Kami raikan pemergian mereka dengan penuh kegembiraan sambil mengesyorkan mereka menitipkan kebahagiaan itu bersama.
Pada hari yang dinanti oleh Asma, aku dengan langkah lemah mengajak sepupuku Hajar menemaniku. Rasa segan itu masih bertapak walaupun berpuluh walimah aku kunjungi. Keadaan sangat sibuk dihalaman dan di dalam rumah Asma. Selepas aku memberikan salam terus aku ke bilik utama iaitu bilik pengantin. Aku lihat Asma dikerumuni oleh sepupu-sepupunya yang sedang menginaikan jarinya.
Asma memanggilku dan mengarahkan aku membuat sedikit persiapan yang masih belum siap. Aku menyibukkan diri dan membantu mana yang mampu. Perjalanan akad nikahnya berjalan lancar pada keesokan harinya. Aku tidak berenggang dengan Asma selaku pengapitnya.
Sebulan usai perkahwinan tersebut, Asma menjemput aku ke rumah barunya di sekitar Shah Alam. Rupanya suaminya terpaksa ke luar negara menguruskan syarikat mertuanya. Asma mencadangkan agar aku menemaninya pada malam itu. Aku keberatan namun memandangkan aku ingin mendengar cerita jelajahnya aku bersetuju.
“Tengok ni,”Asma menghulurkan sebuah album perkahwinan padaku.
Aku tergelak apabila melihat gambarku yang telah menjatuhkan bunga pelamin dan telah menyebabkan kekecohan berlaku. Usah diceritakan bagaimana aku mahu mengawal air mukaku tika itu. Rasa mahu lari pecut 100 meter untuk mencari tempat perlindungan. Serba benda yang aku pegang akan menjadi sejarah. Sejarah itulah yang membuka kembali aku untuk terus pergi ke kenduri perkahwinan samada menguji adakah aku mempunyai badi perkahwinan sehingga segala apa yang aku lakukan akan menjadi serba tidak kena.
Tika walimah itu aku terserempak dengan Husna dan Nabilah. Mereka mengungkit kerana aku tidak hadir ketika mereka berdua melangsungkan perkahwinan. Tahukah mereka bahawa tika dan saat itu hati ini bagaikan disayat dan ditoreh, mana mungkin aku mengagahi hingga membuatkan aku terluka. Aku tidak mampu bangkit dan tersenyum kepuraan. Lama masa untuk aku pulihkan keadaan diriku. Lukanya mendalam.
Selepas peristiwa aku putus tunang pada saat 3 hari sebelum aku diijabkabul, aku terus mendaftar diri dalam kelab single bersama rakan-rakan seuniversiti aku. Saat itu aku tidak boleh mendengar perkataan-perkataan yang berkaitan dengan walimah, tanpa aku sedari airmataku akan terus menemani pipiku. Aku cuba hiburkan hatiku dengan pelbagai aktiviti dalam kelab single. Memang matlamat kelab single mencari pasangan tetapi tidaklah terdesak cuma memasang beberapa strategi yang dibenarkan dalam syariah. Kelab single ahlinya hanya terhad tidak boleh lebih daripada 10 orang dan mestilah terdiri daripada yang tidak mempunyai sesiapa pun lagi. Setiap sebulan sekali kami menganjurkan aktiviti sihat bagi menghilangkan kegusaran hati.
Dua tahun lamanya aku tidak pernah menghadiri reunioan sekolah, matrikulasi dan universiti. Dua tahun lamanya aku menyepi dari pandangan mereka. Sengaja aku limitkan facebook dan twitter daripada dijejaki mereka. Ingin aku tidak aktifkan tetapi ditegur oleh Halimah , Presiden Kelab Single. Matlamat kami semua menjejaki bahagia dan mestilah berani mendepani cabaran yang mendatang.
“Reen, ahli kelab kita akan berkurangan lagi bulan depan,” bicara Halimah dalam telefon pada hujung minggu lepas. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata itu. Sekarang ini ahli kelab single hanya tinggal tiga orang sahaja lagi. Buat masa ini kelab ini tidak mahu mencari pelapis. Hanya aku, Halimah dan Mastura.
“Mas sudah dipinang ker?” aku menutup kekecewaan itu dengan gelak-gelak ketawa.
“Bukan Mas la, tapi Imah,” tutur Halimah lembut.
“Tahniah!” apa lagi bicara yang baik tika ini. Aku terpempan seketika, masih dalam ingatan bahawa Halimah antara orang yang boleh dikategorikan anti lelaki. Dia agak alergik apabila berbicara pasal kaum adam namun akhirnya dia menerima takdir dan ketentuan yang bukan milik kita.
“Mas, apa strategi kita ni?” soalku apabila kami berdua keluar makan bersama.
“Lupa Mas nak bagitahu, Mas pun ada berita gembira juga. Rasanya kita kena raikan untuk pembubaran kelab ini,” Mas laju menutur bicaranya.
Mereka lupakah yang aku masih lagi single. Berani mereka ingin membubarkan tanpa bertanyakan aku. Aku rasa marah membijar dalam diri. Aku diamkan sahaja demi menjaga sebuah persahabatan. Kepada siapa aku akan luahkan ini? Terpacul soalan dalam fikiranku. Kacau betul apabila menjadi orang akhir.
“Apa?” Serentak Mas dan Imah menjerit apabila aku membentangkan strategi aku untuk meneruskan tradisi kelab single ini. Mereka berdua sungguh tidak bersetuju dan beria-ia memujukku membubarkan kelab ini. Katanya tidak perlu diteruskan. Mereka lupa agaknya kelab ini yang menghiburkan hati mereka dikala mereka kesunyian dulu. Kelab ini juga banyak membantu mereka-mereka yang pernah mendaftar ahli. Mereka semua perlu diingatkan dengan objektif, visi dan misi kelab ini.
“Kita panggil semua bekas ahli kelab ini untuk mendapatkan undi,”aku mencadangkan. Nampaknya aku kena aturkan strategi supaya semua bekas ahli kelab ini menyokong tindakanku. Aku mengumpul maklumat tentang pencapaian ahli kelab ini dan kejayaan kelab ini.
“Maaf Reen, kami semua sebulat suara menyokong cadangan Mas dan Imah,” bicara rakan-rakan bekas kelab single tika perjumpaan lewat petang semalam. Aku terpana, nampaknya aku lemah kerana tidak mendapat sokongan padu dari mereka. Yang mulanya menyokong aku akhirnya beralah demi kesejahteraan sahabat yang lain. Aku akur dengan keputusan mereka. Akhirnya dengan rasminya kelab single dibubarkan.
“Reen, terimalah lamaran Hadi tu,”pujuk Mas bersungguh apabila melihat aku sedih dengan keputusan yang dibuat. Mereka terpaksa berbuat demikian demi aku. Mereka mengetahui bahawa Hadi sanggup menunggu mengubati jiwaku yang terluka ini. Mereka menanti dengan sabar bilakah aku sanggup membuka pintu hatiku ini untuk menerima lamaran Hadi yang sanggup mengenepikan wanita di luar sana. Mereka melihat kesungguhan Hadi dan merasai bahawa Hadi adalah anugerah yang patut aku miliki.
Bukan aku sombong dan angkuh dalam menimbangkan keputusan itu tetapi aku gusar dan takut untuk melangkah kea lam itu. Fobia itu masih ada, tipu jika aku bagitahu yang aku sudah sembuh 100%. Kebimbangan itu masih melanda.

Aku berjanji untuk membuka ruang dan menyerahkan urusan ini pada Allah SWT supaya dipermudahkan urusan ini. Rata-rata kawanku gembira dengan keputusan yang aku ambil ini. Terima kasih semua kerana sentiasa mendoakan yang terbaik untuk diriku. Doakan agar dipermudahkan urusan ini. 

Saturday 27 September 2014

Sinarnya sebuah cinta


Aku melihat airmatanya mengalir perlahan dan dia menyapunya. Dia yang kehilangan kasih ayah dan ibu walaupun mereka masih ada lagi. Dia yang bernama Fatin Ameera binti Ghazali adalah salah seorang pelajarku yang menyertai Kem Wawasan 2014 yang julung-julung kali diadakan luar daripada kampus.
Sejak hari pertama aku melangkah ke kelas Pengenalan Ekonomi Islam, aku sudah ternampak dia di sudut kelas merenung papan putih. Usai kelas, dia datang berjumpa denganku, menyatakan bahawa dia amat berminat dengan subjek ini. Aku hanya mengangguk sahaja.
Selepas itu hubungan aku akrab dengannya, dia selalu datang berjumpa denganku, adakalanya terlanjur dia bercerita tentang ibu bapanya, tentang masalah keluarganya, gelodak hatinya. Dia menganggap aku bagaikan pengganti ibunya, menangis tersedu pabila menceritakan buat kali pertama bagaimana dia keliru dalam memilih ibu ataupun ayah. Dia tidak suka ayah tirinya yang dikatakan suka mengawal segala pergerakannya dan ibunya. Dia juga turut membenci ibu tirinya yang selalu mencari salah dirinya. Dia tersepit, siapa yang dia harus pilih antara mereka berdua. Dia tersedu bercerita bahawa ibu bapanya hanya mementingkan diri mereka, tidak pernah mendengar derita hatinya.
Pada umur yang masih jagung, sembilan tahun ibu bapanya mengambil jalan yang amat memeritkan dirinya, berpisah. Di situlah bermula kehidupannya yang kehilangan kasih sayang. Seminggu di rumah ibu dan seminggu di rumah ayah. Lama kelamaan dia jemu kerana apa yang dia cari hanya satu, kasih. Namun dia hanya dihamburkan dengan segala kemewahan, wang ringgit. Wang ringgit tidak mampu membeli kasih, tidak mampu memberikan dambaan yang dia mahu, cinta, sayang dan gembira.
“Papa, hujung minggu ini kita jalan-jalan,”Fatin pernah mengajak ayahnya menemaninya keluar membeli belah.
“Papa sibuk. Ajaklah kawan-kawan Fatin,” jawab Encik Ghazali tanpa rasa bersalah.
Tubir matanya basah, dia cuba menahan, kuatkan diri. Dia rasa cemburu melihat Ashiqa dan Farah yang selalu ditemani ibu bapanya apabila keluar berjalan-jalan ataupu bersiar-siar dihujung minggu.
“Bukan papa tak boleh temankan Fatin, tapi Fatin kena faham kerja papa. Papa kerja kuat untuk kesenangan Fatin juga,” Papa cuba memujuk apabila melihat anaknya menyapu air mata.
Hujung minggu bagaikan neraka baginya, apabila papanya sibuk keluar bekerja, dia akan menyendiri di dalam bilik. Ibu tirinya hanya memberikan arahan dan akan membebel setiap saat menyatakan kesalahan demi kesalahan yang membuatkan lama kelamaan dia mencari kebebasan di luar. Papa tidak kisah dia keluar asalkan dia balik pada malam. Adakalanya dia berani menipu papanya dengan menyatakan bahawa dia tidur di rumah mama sedangkan dia tidur di rumah Alya ataupun Sarah. Mujur dia masih terkawal, tidak menjadi kutu malam dan berpelesaran tanpa tujuan.