Friday 21 February 2020

Akhirnya....

Bukan mudah melepaskan apa yang telah digenggamkan dalam genggaman yang telah erat. Tapi demi sebuah keluarga yang masih lagi meniti bahagia dan dalam jurang kemusnahan, Aini rela menarik diri dalam membina bahagia dengan orang yang dia sukai. Cukuplah bahagia itu hadir seketika cuma. Memang itu takdir yang dia harus terima.

Begini cerita ringkasnya, Aini telah berkenalan dengan seseorang lelaki yang bernama Azman. Pada mulanya Aini sanggup berjumpa kerana Azman mengaku beria bahawa dia adalah seorang duda. Mengapa rumahtangganya musnah, Azman janji akan bercerita apabila dating pertama kali mereka. 

Seperti yang dijanjikan tahun baru adalah permulaan hidup mereka berdua, selama dua jam mereka berjumpa dan bercerita. Habis semua diceritakan bagaikan bertemu bahagia buat mereka. Janji diikat setia untuk terus menempuh halangan.

Aini bukan seorang yang mudah percaya kepada lelaki tetapi pelik kerana kali ini dia kalah, mudah terpedaya dan hanyut dengan kata-kata godaan Azman. Namun dalam masa yang sama Aini sempat menyiasat facebook milik Azman. Terpapar nama Bidadari Azman, dan dinyatakan just married since 2016. Di situ timbul tanda tanya di hati Aini, curiga dengan status Azman. Aini mendesak dan dia mengaku masih dalam proses perceraian belum dapat surat daripada mahkamah. Aini bertanyakan kenapa mengambil masa yang begitu lama, sedangkan kalau setuju bersama, tidak perlu mengambil masa yang lama. Dia tidak dapat memberikan jawapan.

Bermulalah episod pertama, pujuk rayu daripada Azman setelah Aini mendiamkan diri tidak mahu berhubung lagi dan mengabaikan segala mesej masuk, segala panggilan tidak disambungkan. Penderitaan Azman bermula. Akhirnya pada suatu hari dia menyatakan kebenaran yang agak pahit. Dia masih mempunyai isteri dan masih lagi bahagia cuma dia mahukan seorang lagi isteri. ( Di sini pun patut curiga kenapa dia mahu berkahwin lagi satu sedangkan pendapatan dia tidaklah seberapa sangat). Tapi Aini sudah digelapkan mata dan terus menerus kalah dengan pujukan dan rayuan Azman.

Episod kedua bermula setelah Aini berterus terang dengan keluarganya. Keluarga Aini terus menyiasat dan meminta abang sulungnya berjumpa dan berkenalan dengan Azman terlebih dahulu. Beria Azman dan menceritakan sedetail bagi meyakinkan abang sulung Aini. Namun langkah itu adalah salah kerana disalah anggap dan dikatakan kaki sembang dan tidak layak untuk Aini. Dengan pantas Aini memutuskan untuk tidak lagi berhubung dan sekali lagi Azman nanar dan penasaran seketika. Sekali lagi Azman memujuk dan memujuk hingga Aini kalah dengan perasaan sendiri.

Episod ketiga pula ketika Aini mengambil keputusan untuk berjumpa dengan isteri Azman iaitu Zuraidah. Pertemuan itu dianggap oleh mereka berdua adalah jalan yang lurus menuju bahagia mereka tapi sebenarnya adalah penamat bagi hubungan mereka. Zue hanya berkata di bibir sahaja membenarkan suaminya Azman berkahwin lagi satu sedangkan hakikatnya di hati dia tidak mahu menerimanya. Dup...ketika itu Aini baru berpijak di bumi nyata, mana ada wanita yang sanggup berkongsi suami, tiada...tiada. Setelah berbincang dengan keluarga, Aini sanggup undur diri dan tidak mahu menjadi perosak rumahtangga yang telah lama di bina. Aini mendiamkan diri dan telah menyebabkan Azman mengamuk sehingga Zue meminta Aini menyelesaikan masalah yang telah dibina. Akhirnya Aini gagahkan diri menelefon Azman dan menyatakan tiada lagi rasa kasih dan sayang dan hanya mempermainkan sahaja. Biarlah dia melakukan pembohongan demi menyelamatkan rumahtangga Azman dan Zue.

Apa yang Aini dapat daripada cerita itu, pengorbanan isteri yang tidak dihargai oleh suami. 

Sekian sahaja untuk kali ini.