Sunday 27 February 2022

Jodoh

 “Macam mana saya tahu bahawa dia adalah jodoh saya” tanya Siti kepada Nur.

“Semua itu adalah rahsia Allah, ketentuan Allah,” Nur menjawabnya sambil lewa, tanpa memandang wajah Siti yang agak keruh.

“Tapi saya rasa mungkin saya sudah ditakdirkan bahawa saya tidak ada jodoh di dunia ini. Sudah puas saya berusaha namun sampai sekarang saya belum mendapat apa-apa petunjuk,” luah Siti dengan nada yang tersekat-sekat, menyebabkan Nur terus memalingkan muka kearah sahabatnya itu.

“Jangan mudah berputus asa. Kita mesti berusaha selagi kita masih bernafas. Kita mesti sentiasa memohon kepada yang Maha Esa,” pujuk Nur lembut sambil menepuk lembut bahu Siti, cuba menenangkannya.

“Tapi persoalannya sampai bila…..,” Siti tidak mampu meneruskan bicaranya, sebak dan air matanya mengalir laju.

“Sampai ke akhir hayat kita jangan cepat berputus asa. Teruskan perjuangan ini dengan memohon kepadaNya,” Nur cuba menenangkan sahabatnya itu.

“Bukan apa, semua aplikasi jodoh saya dah masuk. Tapi sampai sekarang saya masih belum berjumpa dengan yang benar-benar mahu menjadikan saya isterinya. Mengapa orang lain masuk sekeja sahaja terus dapat,” Siti masih lagi meluahkan apa yang dirasainya.

“Allah masih mahu menguji kita. Allah mahu melihat sejauh mana kesabaran kita dalam berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang kita betul-betul mahukan,” Nur masih berusaha untuk memujuk, nada suaranya agak tenang, sedaya upaya untuk menyakinkan sahabatnya tentang jodoh adalah rahsia Allah SWT.

“Tapi saya manusia biasa. Saya takut saya tak mampu lagi bersabar,” luah Siti dengan nada yang sangat perlahan.

“Luahkan apa yang kita rasa itu kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar. Mungkin Allah merindui rayuan kita.Sesungguhnya Allah maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita,” Nur masih tidak berputus asa memujuk sahabatnya Siti.

Nampak Siti mengangguk lemah, mengiakan apa yang Nur sampaikan. Dan ini sangat melegakan hati Nur.

 

Pahitnya kopi ini seperti mana pahitya kehidupan yang dilalui

 

Saturday 26 February 2022

Temanilah aku

 Teman,

Kuingin saat ini kau berada di samping ku

Mendengar aku meluahkan 

Menangis bersama

Tertawa bersama

Walau hanya sebentar sahaja


Namun keadaan memisahkan kita 

Tak mampu lagi kita seperti dulu 

Sepinya hidup ini tidak mampu aku gambarkan

Peritnya kehidupan melaluinya keseorangan

Hati aku sentiasa berbisik

Tapi aku tahu aku tidak boleh mengalah

Biarpun kecewa melanda diri ini aku tetap meneruskan

Perjalanan yang penuh mehnah dan duri


Teman

Walau sakit aku tetap melangkah

Walau terluka tetap aku teruskan


Teman

Detik yang mana untuk kita terus kenang

Saat yang mana kita lupakan

Rindu ini menggigit jiwa ini

Memori yang mana mahu kau hapus kan

Sejarah yang mana mahu kau padam kan


Teman

Bohong Jika aku katakan aku tidak merinduimu

Jelas sekali aku ingin kau berada di sini

Mendengar cerita aku seperti dulu


Teman

Bergetar jiwa ini menahan rasa rindu

Aku tetap mahu mimpi ini menemani aku

Di sinilah memori kita tercipta

Kenangan ini membunuh jiwaku





Diari seorang ustazah

 “Ustazah ceritalah tentang perkahwinan ustazah,” desak Ikhwan selepas selesai Ustazah Nabilah mengajar tajuk tentang perkahwinan.

Ustazah Nabilah memandang ke arah lain seolah tidak mendengar permintaan oleh Ikhwan.

“Macam mana ustazah kenal suami ustazah,” Ikhwan masih cuba bertanya selepas melihat Ustazah Nabilah tidak memberikan reaksi.


Gelagat Ustazah Nabilah yang seakan keresahan membuatkan rakan-rakan Ikhwan yang lain memandang ke arah Ikhwan dan menunjukkan isyarat supaya diam, tidak bertanya lagi.


Inilah soalan yang paling ditakuti oleh ustazah Nabilah apabila dia mengajar pelajar-pelajarnya  tentang perkahwinan Ini kerana dia sendiri tidak pernah mengalami lagi detik tersebut dan ia merupakan satu perkara yang sangat sukar, teori dan praktikal tidak akan sama.


“Eh kau ni Ikhwan, cubalah jangan tanya perkara peribadi tentang ustazah,” Iman cuba menyelematkan keadaan dan memberikan amaran pada rakannya itu.


“Okey pelajar-pelajar kita teruskan tentang perbincangan kita pada hari ini.” akhirnya ustazah Nabilah bersuara membiarkan sahaja persoalan Ikhwan tersebut.


Usai kelas Ustazah Nabilah terus naik ke pejabatnya di tingkat 9. Dia termenung seketika sehingga di tegur oleh Ustazah Rasyidah.


“Kenapa ni Nabilah?  Apa yang membuatkan kau termenung panjang ni,” cuit Ustazah Rasyidah.

“Tadi aku mengajar tentang tajuk perkahwinan, Aku tidak tahu nak bagaimana untuk memberikan reaksi apabila pelajaraku bertanya tentang adakah aku sudah berkahwin dan bagaimana aku kenal dengan suami aku,” akhirnya Nabilah meluahkan perasaannya.


Ustazah Rasyidah menarik kerusinya dan mendekatkan badannya dengan Ustazah Nabilah menunjukkan diam ahu mendengar cerita dengan lebih lanjut.


Ustazah Nabilah bercerita tentang apa yang berlaku di dalam kelas yang tadi. Ustazah Rasyidah menjadi pendengar yang setia dan khusyuk.


“Betul! Inilah juga perkara yang paling saya takut. Kitakan senasib kita sama-sama tidak berkahwin dan tidak ada pengalaman berbanding dengan mereka yang lain apabila kita bercakap tentang teori tetapi praktikalnya kita tidak tahu bagaimana,” Ustazah Rasyidah meluahkan jua perasaannya.


“Kalau bolehkan, aku tidak mahu mengajar topik ini Memanglah topik ini sebenarnya satu keperluan dalam kehidupan mereka dan mereka akan teruja untuk mengetahuinya tetapi ia berbeza dengan orang yang sudah berkahwin dan yang belum berkahwin,” Ustazah Nabilah menyambung


“Agak-agak mereka tahu tak status kita sebenarnya.” Sambung Ustazah Nabilah lagi, bertanyakan kepada rakannya Ustazah Rasyidah.


“Mungkin ada yang boleh agak apabilai melihat kita tidak memberikan reaksi,” sambung Ustazah Rasyidah.


“Mereka semua ini kebanyakan masih lagi remaja,ubun-ubun masih hijau dan masih lagi tidak mengetahui tentang kehidupan ini. Mungkin dalam pemikiran mereka melalui drama yang mereka tonton, apabila sudah berkerja semua orang akan berkahwin. Mereka tidak terfikir pun yang mungkin ada yang tidak menemui jodohnya,” Ustazah Nabilah cuba menyatakan pendapatnya.


“Betul jodoh Ini rahsia Allah. Tiada siapa pun yang tahu,” Ustazah Rasyidah mengiyakannya.


“Tapi Nabilah, kenapa kau tidak bagitahu mereka yang kau belum berkahwin. Mana tahu kot-kot pelajar tadi ada pakcik atau abang yang boleh dkenalkan. Ataupun jadi mak tiri mereka, “ usik Usatzah Rasyidah.


“Eh kau ni Rasyidah, ke situ pula kau ye. Kalau kau nak cuba, aku boleh tolong tanyakan mereka,” Ustazah Nabila cuba mengambil telefon bimbitnya dan menekan sesuatu seolah cuba menghantar pesanan.


Akkhirnya mereka berdua ketawa bersama.

 

 

 

Sunday 20 February 2022

Biarlah aku


 Biarlah aku

Sendiri dengan rindu

Masa yang menawarkan Segala kepedihannya Ku yang terseksa Ku hadapi dengan redha Ku jadikan segalanya Teladan titi usia Di suatu masa Mungkinkan tiba Apa sebenarnya Di dalam cinta