Saturday 31 December 2022

Hari terakhir 2022

 Teguran itu Pahit, tetapi mendidik Hati jika diterima dengan Baik

Pujian itu Manis, tetapi merosak Hati jika diterima dengan Sombong

Jangan memberitahu sesiapa pun tentang maksiatmu kerana dua sebab.
Pertama: Kerana maksiat bukan untuk dibanggakan
Kedua: Kerana manusia takkan melupakan keburukanmu walaupun kamu telah bertaubat

- Syeikh Ali Jaber-



Jika orang itu ber Akhlak = 1
Jika orang itu kacak maka tambah dengan satu kosong = 10
Jika orang itu banyak harta tambah satu kosong lagi = 100
Jika orang itu bangsawan tambah satu kosong lagi = 1000
_APABILA TELAH HILANG AKHLAK IAITU NOMBOR SATU MAKA HILANGLAH SEGALANYA SEHINGGA NILAI MANUSIA ITU MENJADI KOSONG
( Al Khawarizmi )_

Tabir mimpi

Tabir itu ku selak 

hampir menutup mimpi

Aku mahukan kebebasan 

Jangan cepat menghukum 

Atas daya kesilapan ini 

Aku punya mata hati 

Aku punya rasa hati 

Aku tidak mampu bersuara 

Aku hanya disebalik tabir 

Dalam mimpi yang penuh 

Rasa khuatir itu

Friday 30 December 2022

Dia Rahayu

 "Ayu, awak tak siap lagi kerja yang ketua bagi kan?"Tanya Lina selepas mereka berborak pasal cuti hujung tahun.

"Saya serabut lah, dengan pemergian mama dan juga rancangan pertunangan saya ni. Saya agak tertekan, seolah tidak faham dengan masalah saya," Ayu cuba meluahkan.

Lina dan Meera hanya berpandangan, bukan tidak bersetuju tetapi sudah tahu bagaimana kerja yang dilakukan oleh Ayu, bagaimana Ayu menguruskan masanya. Kerja itu sudah lama di berikan bukan sehari dua tapi daripada bulan lepas lagi. Ini yang membuatkan orang lain rasa marah dan geram dengan tindakan Ayu. 

Apabila ketua kami melabelkan Ayu seorang yang gagal dalam menguruskan masa, dia menangis sedih dan kecewa tetapi sebenarnya perlulah muhasabah diri, dia selalu menyusahkan orang lain pada saat akhir, selalu menangguhkan kerja hingga menyusahkan pihak lain. Dia tidak pernah terfikir ataupun sengaja malas fikir tentang kerjanya yang tertangguh tu membuatkan orang lain resah. Mereka yang lain pun ada perancangan lain dan mahukan juga cuti. Sudah diberikan nasihat tetapi dikatakan tidak faham masalah dia. 

Akhirnya Lina dan Meera hanya mendiamkan diri sahaja. Kalau bersuara dikatakan tidak faham dan sikit-sikit suka merajuk. Maaf mereka berdua bukan jenis yang suka memujuk.


Friday 23 December 2022

Cerita ceriti

 "Ustazah, saya ingin bertanya beberapa persoalan? " Alia mengangkat tangan sebaik sahaja Ustazah Hayati menghabiskan kuliahnya.

"Ya, dipersilakan," Ustazah Hayati sememangnya terkenal dengan ustazah yang sangat peramah dan rajin melayan pertanyaan pelajarnya.

"Saya ingin bertanya kenapa kita perlu berdoa, sedangkan sudah ada qada dan qadar?" Alia memulakan pertanyaan yang menyebabkan beberapa pelajar lain menunjukkan kegelisahannya, mungkin mahu beredar awal ataupun perut sudah berkeroncong memandangkan ketika itu kelas sudah menunjukkan jam 1 tengahari.

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah pemohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4)

Allah SWT telah menjadikan doa sebagai sebab untuk meraih apa yang diinginkan. Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

MaksudnyaDan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Surah Ghafir (60)


Kita disuruh berdoa kerana besarnya kesannya terhadap apa yang akan berlaku. Daripada Ibn Umar R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ

Maksudnya“Sesungguhnya doa bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (3548)


Seseorang yang tidak berdoa merupakan orang yang keliru dengan konsep takdir dan doa. Di dalam kitab Majmu’ Fatawa dijelaskan: “Sesiapa yang berkata: ‘Saya tidak berdoa dan tidak memohon kerana hanya bersandar dengan takdir, maka orang itu keliru. Ini kerana Allah SWT telah menjadikan doa dan permohonan sebagai sebab untuk meraih keampunan dan rahmat-Nya serta memberinya petunjuk dan pertolongan serta rezeki-Nya. Jika seseorang telah ditakdirkan kebaikan dengan doa, maka kebaikan tersebut tidak akan dapat diraih kecuali dengan doanya. (Lihat Majmu’ Fatawa, 8/69)

Sunday 18 December 2022

Ragam Pelajar VII

 "Madam, saya tidak ada kenderaan untuk datang ke kelas hari ini," Madam Alia menerima mesej ringkas daripada pelajarnya Teoh.

"Teoh, awak kena datang serahkan tugasan berkumpulan untuk saya semak segera," balas Madam Alia.

"Madam boleh tak saya hantar esok?"Teoh cuba memujuk Madam Alia. Mesej itu dibiarkan sepi sahaja, tidak dibalas tanda tidak setuju.

Keesokkannya Teoh menghantar pesanan ringkas dan menyatakan dia akan datang menyerahkan tugasan itu pada jam 10 pagi. Madam Alia hanya membalas dengan satu perkataan, ok.

Masa berlalu, jam sudah menunjukkan pukul 11, namun kelibat Teoh belum kelihatan. Madam Alia mengeluh lembut.

Apabila Madam Alia memulakan kelas secara atas talian, telefon bimbitnya berbunyi. Mesej yang diterima daripada Teoh, menyatakan bahawa dia sedang menunggu di depan kaunter. 

"Tadi bagitahu nak datagng jam 10, sekarang ini Madam ada kelas," tegur Madam Alia lembut.

"Maaf Madam, jalan agak sesak dan parking pun susah, dua tiga kali pusing baru dapat," jawab Teoh lembut.

"Kenapa lama tidak datang kelas?" Tanya Madam Alia.

"Kami berkongsi kereta kadang kala saya kena mengalah dengan adik beradik saya," balas Teoh.

"Awak tinggal di mana?" 

"Subang Jaya,"

"Kenapa tidak naik pengangkutan awam, LRT dan bas?"

"Itu perlu kan duit, kami kena berjimat cermat," balas Teoh 

Akhirnya Madam Alia mengambil tugasan tersebut dan menyatakan perlu pergi segera kerana kelas sedang berlangsung. 

Itulah kisah dan ragam pelajar pada masa kini.