Wednesday 18 July 2012

Semusim berlalu

Kau hanya tersenyum sahaja apabila aku mengatakan aku penat dan lelah dalam mengejar percaturan hidup kita. Kau bagaikan tahu bahawa kita berdua tidak akan ke mana tetapi mengapa kau memberikan aku sebuah harapan daripada sebesar nyalaan mancis sehingga ia marak bagaikan unggun api.
Tidak mahu kau mengerti walau sedikit tentang diriku yang cuba sedaya mungkin untuk menjejak langkahmu. Aku katakan padamu warna hidup ini selalunya ceria dan cubalah untuk menghargai apa yang ada di dunia ini. Aku mengerti kau lewat dalam mengejar cita membuatkan kau melangkah dan melangkah untuk menggengam jaya, namun jangan kau lupa aku selalu memberikan sokongan dan dorongan untuk kau mendaki puncak jaya.
Aku akan gembira jika kau pernah hargai kedatangan aku dalam hidupmu walaupun seminit. Mana mungkin aku memadam ingatan itu yang membuatkan sinar hatiku menjadi terus gemilang.

Andai kau tahu bahawa setiap malam apabila aku memandang ke bintang aku selalu mendoakan agar aku bermimpi mencapai bintang untuk kuhadiahkan buatmu. Mengapa bintang? Kerana bintang ini tinggi dan tidak tercemar, aku ingin hadiahkan sesuatu yang aku rasa begitu indah untuk orang yang aku sayangi.
Aku tahu bukan mudah perjalanan ini mengejar onak duri dalam semua aspek. Aku percaya aku berjaya melewati gunung yang tinggi dan mengharungi lautan yang luas itu kerana semua itu hanya halangan yang kecil tetapi untuk mendapatku mu , sememangnya sukar. Ntah mengapa aku tiada upaya untuk melelapkan namamu dalam pahat ingatan ini.

Mimpi-mimpi kita bersatu hanya angan yang tidak sudah sahaja. Pohonku padaYang Esa moga aku diberikan kekuatan untuk mengorak langkah pada hari esok.

Sebelum ini aku merasa aku mendapat cinta sempurna dan bersatu seperti yang dinyanyikan oleh Liyana Jasmay. Dimatamu aku amat berharga dan merasa amat dekat antara kita berdua. Tika itu aku merasa amat bahagia dan mendapat ruang di dalam hatimu. Masa itu aku rasa akulah orang yang paling bahagia dan terbuai dek angan itu menyebabkan aku lupa menyemai benih itu sehingga akhirnya perhubungan kita sampai ke akhirnya.

Sejauh aku berlari meninggalkan jejak itu, sejauh itu juga kenangan itu menghambatku. Bagaimana ku harus padamkan ia. Tuhan, berikan kekuatan padaku. Bayangmu ada di mana sahaja aku memandang. Aku tidak percaya bahawa perpisahan ini disebabkan hanya ada perbezaan. Aku enggan menerima ini semua. Bagiku cinta itu agung dan semestinya bersatu tetapi aku tahu tidak semua harus memilikinya, hanya orang yang bertuah sahaja.

Ke mana hala tujuku sekarang ini? Di mana aku mahu mencari ketenangan hati ini? Aku selalu mencari bayangmu kerana bukan mudah aku menghalaunya. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Semakin aku berfikir semakin aku terluka menghadapi hidup ini. Aku melangkah dan terus melangkah bersama duka di hati ini sehingga aku tidak tahu aku di mana.