Sunday 3 November 2019

Tersakiti



Cerita hari ini aku yang disakiti. Saat ini teringat yang JDT berjaya kalahkan Hijau Kuning semalam dan menyebabkan penyokong yang kalah tersakiti.

Cerita ini bermula begini, seorang perempuan yang tergedik sekarang ini sedang bermain api dengan seorang suami orang. Sudah dikhabarkan bahawa dia suami dan bapa kepada dua orang anak lelaki tetapi perempuan tergedik namanya Anum masih mahu berkawan katanya.

Pada hari sukan daerah mereka, bertembunglah mereka di sana dengan lelaki pujaan hati itu yang bernama Mat Dan membawa isterinya yang kecik molek dan dua orang anak lelakinya. Pada petang ketika pengambilan baju itu, Anum mungkin akan membuat drama akasia baru ‘Perempuan Gedik Perampas Suami Aku’ berjaya ditahan keinginannya mahu berkenalan dengan isteri Mat Dan, Lina. Jika tidak disekat oleh Suzana, rasanya Anum tanpa rasa bersalah dan kejam akan memperkenalkan dirinya.

“Assalamualaikum! Ini Lina kan? Saya Anum, perempuan yang dikejar oleh suami awak Mat Dan,” terus terang Anum berkata tanpa rasa bersalah.

Mujurlah Suzana dan Fadlina sempat menyekat dan menyuruhnya berfikir. Katakan Mat Dan yang menukar belit cerita menyatakan bahawa Anum yang tergedik-gedik menagih cinta darinya. Siapa tahu lelaki kalau sudah terdesak pelbagai teknik yang dia akan lakukan.

Melihat kemesraan mereka bagaikan tiada masalah dalam rumahtangga mereka. Melihat bagaimana Mat Dan melayan mesra isterinya Lina. Dan juga bagaimana dia melayan karenah kedua anak mereka. Tiada siapa sangka di sebalik itu Mat Dan mencari yang lain, katanya mahu menambah zuriat lagi sedangkan hakikatnya dia tidak boleh membendung hawa nafsunya.

Pagi sukan yang hening, Anum dan rakan-rakannya memulakan dengan senaman ringkas dan mengambil makanan ringan sebagai sarapan. Dan ketika berjalan sambil berzikir Anum cuba mencari kelibat buah hati idaman hatinya tetapi hampa. Dalam masa 1 jam akhirnya Anum sampai ke garisan penamat. Sedang Anum berkira-kira mahu berswafoto dengan rakan-rakannya tanpa dia sengaja dia tertoleh kepada lelaki idaman hatinya Mat Dan sedang berjalan berpegangan tangan dengan isteri dan anaknya. Nampak ceria mereka ketika sampai digarisan penamat. Mungkin teruja kerana berjaya menamatkan acara tersebut.

Selepas meraikan kejayaan itu Anum menjamu selera dengan nasi lemak dan air mineral, dia meninjau-ninjau keadaan masjid yang masih meriah dengan bicara santai dan acara sukan rakyat. Anum melihat Mat Dan ralit melayan karenah anak sulungnya Idlan ke sana ke sini, ke hulu ke hilir. Anum telah disekat oleh Suzana, kalau tidak mahu diterkamnya Mat Dan dan anaknya. Suzana ingatkan Anum bahawa mereka berada di kawasan masjid, jaga perlakuan.

Mata Anum meliar melihat pergerakan Mat Dan dan anaknya, memerhati dari jauh dan tersenyum simpul keseorangan sambil membina bahagia dalam dirinya. Selepas selesai upacara sukan rakyat, Anum balik ke rumah dan berehat. Selepas asar Anum menerima mesej daripada Mat Dan, bertanyakan acara sukan apa yang dia masuk. Boleh pulak Mat Dan kata dia tidak nampak Anum tadi sedangkan dia sudah melihat status yang dimuatnaik dalam whatsapp status. Padahal Anum melintas di depan Mat Dan tadi cuma Anum tidak menyertai mana-mana suka rakyat kerana dia terlambat mendaftar tadi. Anum tahu Mat Dan sengaja menguji ataupun takut dengan isterinya Lina.
Anum dilemma, melupakan, melepaskan ataupun membiarkan sahaja.