Sunday 30 September 2012

Kenangan itu mengejar

Sejauh mana aku berlari bayangan mu jua yang ku nampak di mana sahaja. Sekuat mana ku mencuba memadam ingatan yang menghiasi layaran ini, aku tetap ternampak bayanganmu. Mengapa aku masih buntu dalam membuang kenangan yang mendalam itu. kenangan ini menyakitiku, kenangan ini akan membunuh jiwaku, kenangan ini akan menambahkan deritaku.
Aku percaya setiap perpisahan ini mempunyai banyak hikmahnya kerana aku yakin bahawa cinta tidak harus kita memiliki, cinta hanya kita rasa dan tidak semestinya mewajibkan kita memiliki. Cinta hadir dalam jiwa kita sebagai satu persinggahan sahaja, sebagai satu anugerah yang suci. Usah kau berdiri lagi, berpaling dan larilah dari cinta yang mengejar ini.
Dunia, mengertilah bahawa arah kami berbeza dan kami tidak mampu berlari beriringan lagi. Berilah aku kekuatan dalam meninggalkan jejak yang tidak mahu aku kutip kembali. Mengapa sukarnya membuang perasaan itu? Mengapa susahnya membuang ingatan itu?
Senyuman yang manis tinggal memori sahaja. Diam pula menjadi ikon diri ini. Mimpi-mimpi masih lagi bersatu dan cuba membawa aku menuju ke bintang untuk ku gantung dan pamerkan pada dunia tentang kebahagiaan yang pernah aku kecapi.
Pengharapan yang pernah aku tulis dalam memori ini telah lama aku padamkan ia, semenjak kau datang dan temui aku dengan wajah yang sayu dan melafazkan dari bibir mulusmu. Tak sanggup aku mendengarnya tetapi itulah hakikatnya, itulah realiti yang perlu aku hadapinya.
Menyendiri lagi…mengenang semua ini adalah pahit dan aku terpaksa menelannnya walau sepahit mana hempedu itu. Aku ingin hidup seperti rakan yang lain tapi aku tidak tahu kenapa aku diliputi kesedihan dan ia menghantui diri ini. Di mana aku harus mencari jawapan kebahagiaan ku itu?
Inilah cabaran yang perlu aku langkah sekarang ini. Membawa segala duka dan menghumbannya ke gaung dan memulakan hidup baru ini tanpa tangisan dan airmata lagi. Cukuplah derita yang aku lalui ini. Buanglah gelisah dan seksaan batin ini.