Tuesday 2 November 2021

Sedetik ini


“Aku rasa aku tidak ada lagi makna untuk kehidupan” luah Safiya tiba-tiba.

Aina dan Lily terkejut mendengar keluhan yang keluar daripada mulut Safiya.

“Aku tidak ada matlamat yang ingin dicapai lagi,” sambung Safiya lagi. Kedua kawannya tergamam dan tidak mampu lagi berkata-kata dan membiarkan sahaja Safiya meluahkannya.

“Aku rasa Allah dah pilih aku untuk terus diuji. Aku terimanya, mungkin jodoh aku sudah meninggal sejak kecil lagi dan aku tahu aku akan bertemunya di syurga nanti,” nada suara Safiya makin menurun, perlahan seolah berbisik.

“Setiap apa yang berlaku, ada hikmahnya. Jangan kita berputus asa dengan dugaan yang kita hadapi,” Aina memujuk lembut sambil memegang tangan Safiya, mengenggamnya erat.

“Kita insan terpilih dan bertuah. Allah tahu kita mampu, selama ini kita selalu berjaya kan,” giliran Lily pula membalas kata-kata Safiya, sambil memeluk Safiya menenangkan fikiran Safiya yang mungkin serabut.

“Aku tidak tahu mengapa Imran hadir dalam hidupku,” Safiya meneruskan luahan hatinya.

“Mengapa dia hadir seketika cuma, sekadar datang untuk melukakan hati ini. Pedih dan sakitnya, tidak boleh digambarkan,”Safiya menangis teresak-esak.

Aina dan Lily membiarka sahaja Safiya meluahkan apa sahaja yang terbuku selama ini. Biar dia rasa lega apabila menuturkannya.

“Aku syak dia sebenarnya baru melihat rupa aku yang sebenarnya, rupanya tidak cantik dipandang mata, dan perangai aku yang agak degil dan keras, tidak pandai masak dan mengemas, terlalu kejarkan kerjaya dan sibuk. Mungkin itu yang membuatkan dia berfikir banyak kali sehingga dia menarik dia dan berdiam diri dan menjauhkan diri dari aku,” Safiya membuatkan andaian setelah terjadi pertengkaran kecil yang menyebabkan perpisahan antara mereka.

“Fiya, Aina rasa dia masih sukar melupakan kisah silam dia. Mungkin dia takut kecewa buat kali kedua. Dia kan merendah diri, dia rasa dia tidak punyai apa-apa, dan itulah yang membuatkan dia melepaskannya,” Aina memberikan pandangannya.

“Lily rasa dia sebenarnya ingin cuba tetapi dia risau dengan keadaan kewangan dia yang tidak menentu, mampu ke dia menanggung Fiya. Sebelum ini dia mempunyai segalanya tetapi selepas berpisah dengan isterinya, dia hilang segalanya. Itu yang membuatkan hatinya berbolak balik, takut,risau, gerun dan sebagainya,” Lily menyokong pandangan Aina.

“Tapikan……..” Safiya teragak-agak meneruskan kata-katanya.

Aina dan Lily memandang tepat ke arah muka Safiya apabila Safiya tidak meneruskan kata-kata itu. Tangan Lily sudah mencuit bahu Safiya, isyarat supaya menyambung ayat itu.

“Ibu….” Suara Safiya tersekat lagi, kedengaran sebak.

“Kenapa dengan ibu?” Serentak Aina dan Lily bertanya.

“Ibu tidak memberikan apa-apa respon apabila Fiya bercerita tentang Imran. Fiya ceritakan yang Fiya berkenalan dengan Imran, bekas askar, duda anak tiga dan sekarang tinggal di Seremban. Ibu tidak bertanya lanjut seolah tidak berminat mengetahuinya,” akhirnya Safiya bercerita.

“Aku rasa ibu sebenarnya takut Fiya terkena lagi seperti sebelum ini. Siapa tu yang Fiya kenal, suami orang tu, yang kami pergi teman jumpa isternya,” kata Aina.

“Ooo…itu Azman,” Safiya membalasnya.

“Lily rasa ibu risau sebenarnya tapi dia tidak mahu menyekat, Cuma dia bimbang,” kata Lily

“Tapi perbuatan ibu seolah ibu tidak mahu lepaskan anak bongsunya ini. Bukan mak Aina selalu bertanya dan memujuk untuk Aina kahwin kan,” Safiya tidak berpuas hati dengan penjelasan Aina dan Lily.

“Umi Lily pun ada meminta kenalan mencari jodoh untuk Lily kan. Umi Lily bisingkan sebab seolah-olah Lily terlalu sibuk dengan kerja,” Safiya menyatakan pandangannya, masih tidak boleh menerima kenapa ibunya hanya mendiamkan diri, tidak memberikan apa-apa komen tentang hubungannya dengan Imran.

“Apapun kita kena berdoa semoga perjalanan hidup kita ini diredai oleh Allah SWT dan direstui oleh kedua ibu bapa kita,” Lily memberikan kesimpulan perbincangan mereka.

Masing-masing mendiamkan diri dan meminta diri untuk bersiap menunggu waktu maghrib.

 

Monday 1 November 2021

PERJALANAN INI

 Perjalanan ini

“ Mengapa saya masih mengingati dirinya, sukar betul melupakan dirinya?” Luah Hanim kepada kawan baiknya Salwa.

“Awak masih tidak lepaskan dia pergi. Buangkan ingatan awa padanya,” Salwa membalasnya.

“Saya perlu kuat lagi berdoa semoga Allah luputkan ingatan saya kepadanya,” ada airmata di tubir matanya, disekat untuk keluar.

Perkenalan yang berlangsung selama dua bulan membuatkan Hanim meletakkan sepenuh keyakinan itulah jodohnya dan berakhirlah pencariannya. Begitu juga dengan sokongan daripada Salwa yang sentiasa mengimpikan perkahwinan yang penuh gemilang antara Hanim dan Shamsul.

Apa yang silap dalam hubungan mereka sebenarnya. Hanim Cuma meluahkan rasa bimbangnya dan keinginannya yang membuak-buak ketika itu untuk terus ada ikatan dan berjumpa sebelum itu seolah hubungan ini bukanlah bermasalah. Namun akhirnya Shamsul menarik diri dengan tiba-tiba sehingga tercetus lah pergaduahan yang menyebabkan masing-masing mendiamkan diri. Begitulah berakhirnya episod mereka, sangat mudah dan rapuh sahaja hubungan itu, tiada siapa yang ingin mempertahankannya.

Apa yang difikir oleh Shamsul tidak sama dengan apa yang difikir oleh Hanim. Begitulah mereka nampak seolah serasi tetapi belum sampai mencapai tahap itu.

Hanim berserah segalanya kepada Allah. Kepada Allah tempat dia mengadu, membiarkan permasalahan ini diselesaikan melalui gerak hati, jawapan daripada Allah setelah dia yakin dengan istikharahnya.

 

 

Tiada Jodoh Lagi

 

Siti menjangkakan pertemuan yang tidak diduga dengan Nazim merupakan titik terakhirnya, penamatan pencariannya. Namun semua itu rencana Allah, belum izinNya lagi

Siti menghulurkan salam kepada Nazim dalam laman web TillJannah.com. Seperti biasa rutin harian Siti awal pagi menyemak mesej yang masuk dalam TillJannah. Siti hampa kerana tiada siapa yang sudi menegurnya. Dia akui dirinya tidak cantik dan tidak ada yang menarik tentang dirinya. Terlintas di hati Siti, apa salahnya dia yang mencuba dulu, menegur dan menghulurkan salam perkenalan.

Siti memilih beberapa lelaki yang dirasakan sesuai dengan dirinya. Hanya menghulurkan salam sahaja. Selepas itu Siti bersiap-siap ke tempat kerja. Sambil Siti berdoa dalam hati semoga ada sinar buat dirinya.

Selepas beberapa hari, Siti baru teringat untuk memeriksa dan menyemak sekiranya ada mesej baru masuk dalam TillJannah. Hanya satu sahaja mesej yang masuk, terus Siti membukanya. Siti membaca mesej ringkas yang dihantar oleh Nazim.

Mesej yang dibalas agak lambat kerana masing-masing tidak membukanya dengan kerap sehinggalah Nazim meminta Siti menghubunginya melalui nombor telefon bimbitnya.

Perkenalan pun bermula, selalu berbalas mesej di aplikasi whatsapp, tak kenal siang atau malam. Adakalanya Nazim menghubungi melalui whatsapp call. Dan akhirnya Nazim meminta kebenaran untuk memanggil Siti dengan menggunakan video call untuk melihat dengan jelas wajah mereka.

Disebabkan PKP dan tidak dibenarkan rentas negeri, perhubungan mereka sekisar berhubung melalui whatsapp sahaja. Sehinggalah suatu hari, mungkin Nazim sudah bosan dengan asakan soalan Siti, menyatakan bahawa hubungan mereka hanyalah kawan biasa sahaja tidak lebih dari itu.

Apa yang Siti tahu, dia jauh tidak cantik, tidak ada kelebihan yang boleh diceritakan, selalu tertidur awal, jarang masak, tiada masa yang boleh diluangkan kerana sibuk dengan kerja. Itulah sebab mengapa Siti gagal lagi dan ditinggalkan lagi.

Agak sukar pada mulanya Siti mahu menerima berita ini memandangkan Siti cuba serius dan telah berangan dan yakin serta tekad dengan perhubungan ini. Siti ambil masa mahu melupakan Nazim. Mulanya Siti memadam nombor telefonnya, memadam segala mesej dan gambar yang telah diberikan selama ini. Siti tekad, sehinggalah satu sahaja yang belum Siti padamkan, iaitu facebook, masih mengharapkan keajaiban berlaku tetapi tiada apa yang berlaku. Siti kecewa lagi

Mengapa Nazim dikataka pilihan terbaik bagi Siti? Siti melihat keserasian dan banyak persamaan antara mereka, bintang yang sama, kegemaran yang sama, simple tentang kehidupan dan jenis orang yang tidak tinggal solat.

Cuma satu atau dua, Nazim bukan orang yang pandai memujuk ataupun reti tentang perempuan merajuk, dia hanya tahu mendiamkan diri sahaja. Tiada langsung mencuba untuk memujuk dalam kamus hidupnya. Nazim juga merendah diri melihat dirinya yang banyak kekurangan ( atau itu hanya alasan untuk pergi meninggalkan Siti)

 

PILIHAN

 

Kadangkala manusia ini apabila diberikan pilihan, dia tidak tahu yang mana yang terbaik. Jadi bagaimana, apa yang harus dia lakukan? Tanyalah pada Allah, kerana Allah lah yang Maha Mengetahui.

Itulah yang terjadi dalam kehidupan Amani. Perkenalan dia dengan Rosli telah lama berlangsung,lebih kurang setahun. Apa yang menyebabkan tidak dinaikkan taraf kerana Rosli ni agak kurang dalam agama, solatnya diragui adakah dia cukup waktu dalam sehari dengan pekerjaannya yang agak sibuk, maklumlah pilot darat, tidak kira waktu memandu ke sana ke sini dan mungkin agak sukar untuk singgah solat kerana mengejar masa. Pagi pula, pukul 10 pagi baru timbul, subuh tidak tahulah bagaimana.

Dalam bab lain, Rosli ni baik orangnya, suka menolong orang yang dalam kesusahan, tidak kedekut, kuat bekerja, rajin dan pandai berjimat cermat dalam perbelanjaan. Cuma hukum hakam banyak yang dia tidak tahu, pasal pembelian emas, pasal pemakaian bangal di tangan, dan banyak lagi.

Pasal ahli keluarga pula, memang adik beradiknya semua adalah penyokong tegar parti yang terbesar. Melihat pada latar belakang, agak sukar untuk nak mencipta keserasian, kerana Amani tahu perangai penyokong tegar, susah tu.

Banyak juga alasan kenapa Amani menolak lamaran daripada Rosli. Dia memang baik tetapi banyak faktor yang perlu difikirkan. Hidup bukan berdua sahaja dan bukan untuk sehari dua sahaja. Memang Rosli pandai ambil hati dan memujuk Amani. Amani suka kerana Rosli selalu mengambil berat dan suka meminta maaf. Kadang kala Amani pun rimas dengan sikap Rosli. Rosli tahan sahaja kalau Amani mengamuk dan marah. Dia bersahaja dan menerimanya.

Perkenalan dengan seterusnya adalah dengan Shahrim. Amani rasa Shahrim adalah yang terbaik, kedatangan yang tepat di saat Amani mencari calon suami. Selama dua bulan perkenalan berbaik dan bergaduh, namun Shahrim bukan jenis orang yang memujuk dan membiarkan sahaja Amani sekiranya merajuk.

Shahrim mempunyai pengetahuan yang baik dalam agama, sentiasa menunaikan solat di awal waktu. Latar belakang keluarga yang baik dan sentiasa mengambil berat. Shahrim mempunyai masa mendengar masalah Amani dan sentiasa membantu dan bertanya khabar.

Mungkin dalam masa sebulan, Shahrim menilai tentang perhubungan itu, melihat kekurangan Amani, yang tiada paras rupa, hanya kelebihan Amani tentang pekerjaannya. Tapi Amani mungkin tidak mampu memberikan lagi zuriat. Shahrim mungkin melihat Amani jarang memasak, Amani jarang menceritakan tentang apa yang mampu dilakukan. Tiada apa yang istimewa tentang Amani.

Banyak persamaan Amani dan Shahrim tentang makanan kegemaran, pakaian, kegemaran dan kesukaan. Itulah yang anggapan Amani bahawa Shahrim adalah pilihan yang terbaik dan hadir pada waktunya. Namun Amani lupa, Allah lah segalanya, yang menentukannya.

Satu sahaja yang Amani lupa, restu daripada ibunya. Apabila Amani menceritakannya kepada ibunya, namun ibunya mendiamkan diri sahaja, tidak bertanya lanjut. Mungkin ibu risau tentang Amani, risau ditipu sekali lagi. Apa yang mampu Amani lakukan, diam dan cuba menerima dan redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT.