Sunday 20 September 2015

LIF

Tingkat Satu
Menyerbu manusia menaiki lif, masing-masing berebut menekan butang pilihan mereka. Pintu tertutup, terdapat lebih kurang 16 orang yang bersesak-sesak di dalam lif tersebut. Ada yang bersembang dengan rakan sebelah, ada yang masih lagi melihat telefon bimbit. Ada juga yang merenung butang lif yang menunjukkan lif menaiki tingkat demi tingkat.

Tingkat Dua
Pintu lif terbuka luas, seorang wanita muda keluar sambil menjinjing beg. Dia kelihatan sugul dan tidak bermaya. Seorang remaja lelaki mengambil tempat, di kepalanya tidak lekang dengan headphones, muzik makanannya, tidak boleh dipisahkan walaupun sesaat. Tapi katanya, dia tidak suka pada bunyi bising aliran trafik.

Tingkat Tiga
Tiga orang lelaki yang berpakaian kasual tergesa-gesa meninggalkan lif. Ketika dalam lif tadi mereka berbincang sesuatu, berkenaan dengan pelajaran mereka. Mungkin mereka sedang berbincang tentang projek akhir mereka. Wajah mereka menunjukkan kematangan mereka, menandakan kemungkinan besar mereka pelajar semester akhir. Terdengar keluhan mereka tentang masalah duit, banyak wang dilaburkan untuk projek akhir mereka itu.

Tingkat Empat
Tiada siapa yang keluar tetapi ada seorang remaja perempuan meluru masuk tanpa mempedulikan orang sekeliling. Di tangannya tergenggam erat buku cerita yang bertajuk Suamiku Manusia Sempurna. Novel yang selalu menjadi idaman pembaca, angan tak sudah remaja masa kini yang mendambakan bagaikan raja dan dongeng semata. Hidup di dalam istana yang besar dan dilayan bagaikan puteri. Ceritanya juga berkisar berkahwin atas dasar paksaan dan selepas beberapa lama terus tergolek jatuh cinta. Walaupun mendapat kritikan tetapi novel yang sebegitu makin meletup dan jualan semakin mendadak meningkat. Tergambar di wajah remaja itu segaris senyuman, mesti bersama angan yang tidak kesampaian.

Tingkat Lima
Ada lebih kurang enam orang yang keluar, berlari-lari anak mereka. Kemungkinan mereka sudah lambat ke kelas, maklumlah jam sudah menunjukkan 10.10 minit. Ada di antara mereka yang hampir tersungkur dan berlanggaran sesama sendiri. Melangkah masuk sesusuk tubuh sasa, pelajar atau tenaga pengajar, terdetik hati ini. Melihat buku-buku yang dibawanya bersama tag yang dipakainya menandakan dia adalah seorang pelajar. Begitu kemas penampilannya, bekemeja lengan panjang berwarna krim yang dilipat sedikit sehingga hampir paras lengan, lengkap bertali leher berlajur biru putih. Kasut yang dipakai juga bagaika baru digilap. Penampilannya begitu kemas sehingga ramai yang tertoleh-toleh padanya. Dia hanya merenung pada skrin di dalam lif itu tanpa mempedulikan orang yang memerhatikannya.

Tingkat Enam
Sepasang kembar seiras melangkah keluar dengan berhati-hati. Nampak benar mereka berkongsi segalanya, seiring melangkah keluar daripada lif. Ada beberapa ramai yang menunggu lif di luar namun mereka menggelengkan kepala, menandakan mereka ingin turun bukannya naik. Pintu lif agak lambat tertutup disebabkan ada tangan yang tidak sabar menekan butang naik dan turun berkali-kali. Ada yang di dalam lif sudah berdehem beberapa kali, geram dengan sikap orang tiada sifat sabar.

Tingkat Tujuh
Pelajar antarabangsa Mizyeh melangkah keluar dengan langkah yang longlai sambil tangannya tidak henti-henti menaip di tablet mini miliknya. Dia hampir terlanggar pelajar yang berada di depan pintu lif yang tida sabar mahu memasuki lif apabila pintu terbuka. Azrin, pensyarah daripada jabatan ekonomi dan kewangan melangkah masuk. Di tangannya penuh tugasan pelajarnya, mungkin hari ini adalah tarikh penyerahan tugasan dan di bahunya disandang beg yang mengandungi komputer riba. Berat rasanya beban yang dibawanya. Mukanya menunjukkan keletihan yang teramat.

Tingkat Lapan
Tiga pelajar lelaki yang mementingkan penampilan dan stail melangkah keluar dengan penuh bergaya. Jam tangan yang dipakai mereka juga berjenama menunjukkan mereka anak orang berada. Namun sayangnya di tangannya terdapat vape yang menjadi trend pada masa kini. Bangga agaknya menunjukkan kepada umum, akulah penghisap vape. Hanya membawa ‘clutch bag’ yang mungkin mengandungi telefon bimbit yang berjenama, ataupun tablet. Tiada pen dan buku yang dikelek. Pelajar sekarang, muncul di kelas sekadar untuk menurunkan tandatangan sahaja. Terdapat lima orang pelajar yang menyerbu masuk tanpa melihat anak panah lif, naik ataupun turun. Yang pastinya mereka sebenarnya ingin turun berdasarkan perbualan mereka yang mengajak beberapa lagi rakan mereka untuk turut serta. Tetapi ada yang benar-benar beretika sanggup menunggu lif asalkan tidak melanggar prinsip mereka.

Tingkat Sembilan
Apabila pintu lif terbuka, terpampang papan tanda yang menunjukkan Jabatan Ekonomi & Kewangan. Beberapa pensyarah yang sudah agak lama menunggu lif melangkah dengan pantas mengambil ruang-ruang kosong di dalam lif tersebut. Masing-masing mendiamkan diri, mungkin kepenatan melayan karenah pelajar, ataupun memikirkan pelbagai tugasan yang menanti. Suasana dalam lif agak hingar apabila lima orang pelajar tadi masing-masing cuba berjenaka sesama mereka. Mereka mentertawakan rakan mereka yang bernama Afiq ketika membuat pembentangan tadi. Kata mereka Afiq terkeluar loghat Terengganunya dan mereka mengajuknya.

Tingkat Sepuluh
Tingkat yang paling tinggi untuk Blok D dihuni oleh Jabatan Perakaunan & Perniagaan. Ada dua tiga orang pensyarah dan pelajar agak kecewa kerana tidak dapat menaiki lif ini. Ada suara nakal mengatakan bahawa lif ini sudah penuh dan ada tangan yang cepat menekankan butang tutup. Tetapi ada seorang Ketua Program Perniagaan Antarabangsa cuba juga untuk menyelit memasuki lif. Katanya dia sudah agak lambat menghadiri mesyuarat yang dijadualkan pada jam 10.15 pagi di blok G. dia membebel-bebel kerana menurutnya sudah beberapa banyak lif yang terlepas kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab memenuhi lif tanpa etika. Tanda full load terpampang di skrin lif dan lif ini laju menuju ke bawah.  



 


Saturday 19 September 2015

Takut

"Miah, kenapa tak datang buat ujian lisan, hafazan dan bacaan," Ustazah Marhaini menelefon pelajarnya yang acap kali dipesan tapi tiada mendapat hasil.
"Saya banyak kelas, hari ini pun sampai jam 6.30 petang," sengaja Samiah mencari alasan.
"Saya kena siapkan markah pada minggu ini juga," jelas ustazah seraya mendesak.
"Baiklah ustazah, saya cuba dalam jam 4 hari ini," janji Miah.
Dalam jam 5 petang barulah nampak kelibat Samiah di luar pejabat.
"Ustazah, Miah takut!" Adu Samiah sambil matanya tidak berani menatap wajah ustazah.
"Apa yang hendak ditakutkan? Saya tanya perkara asas sahaja," terang ustazah Marhaini.
"Saya tak pandai baca" jawabnya jujur sambil tergagap-gagap.
"Duduk dan kita mulakan. Pertama baca doa iftitah,"
Samiah dapat membaca dengan baik. Tiada apa yang perlu ditakuti, detika hati ustazah.
"Sekarang, kita mulakan bacaan tiga qul. Tengok mathurat ini dan baca surah al-ikhlas,"
Samiah membaca sambil memandang ustazah. Marhaini dapat mengagak bahawa dia menghafal sahaja surah ini.
"Cuba baca ayat ini," duga ustazah Marhaini sambil menunjukkan ayat ketiga surah al-ikhlas. Samiah hanya memandang sambil tersenyum. Kemudian dia gelengkan kepalanya.
"Boleh saya tanya lanjut?" Ustazah Marhaini cuba membuka bicara.
"Adakah Miah solat 5 waktu," aju Marhaini lembut.
"Tak," jawabnya pantas.
"Kenapa?"tanya ustazah.
Samiah hanya menjungkitkan bahunya.
Lama kami terdiam sehinggalah akhirnya dia berbicara. Katanya kalau di rumah dia hanya solat maghrib sahaja, ibunya sibuk bekerja, meniaga sehingga tiada masa memantau anak-anak mereka. Lagipun masa sekolah dulu dia bersekolah di sekolah kebangsaan jenis cina. Dia tidak terdidik langsung dengan agama, rapuhnya agama bagi dia. Namun dia boleh membaca ayat-ayat yang mudah kerana dia selalu mendengar adik-adiknya membaca al-quran.
Ustazah Marhaini membuat kesimpulan, dia ingin berubah cuma dia memerlukan petunjuk untuk dia menjumpai jalan yang telah dibengkokkan.

Janji

"Miss, saya dah kat depan kaunter," pesanan masuk selepas Puan Hani selesai makan tengahari di luar kampus.
"Ya Allah!" Menjerit Puan Hani kerana lupa janji yang telah dipatrikan. Bergegas dia pulang ke kampus. Serasa perjalanan terlalu lambat.
"Maafkan saya," berkali-kali Puan Hani menuturkannya, tanda rasa bersalah yang amat. Apabila lapar menguasai diri, lupa janji yang telah dibuat.
"Tidak mengapa puan," tenang sahaja pelajar itu Thayalan mengucapnya sambil tersenyum. Rasa malu dan bersalah menebal dalam hati Puan Hani.
Azamnya jika berjanji lain kali ingatlah jangan2 nanti dicop munafik.