Sunday 19 May 2013

Terdayakah aku

Terdayakah aku menanggung semua ini keseorangan sendirian di sini. Dukaku hanya mampu aku sematkan di hatiku. Terdayakah aku mengharungi onak duri dan jatuh keseorangan di lautan yang diganasi ombak.
Terdugakah aku dalam fantasi ini, merempuh mainan hidup yang penuh pancaroba. Terdugakah aku dengan perkataan bahagia, sedang hanya satu sahaja bahagia yang belum Allah agihkan padaku, pelbagai kebahagiaan yang pernah aku raih dalam alam ini.
Kelelahan aku menepis semua ujian yang menduga, semua itu tidak memerlukan sebab untuk aku menolaknya tetapi memerlukan semangat kekentalan dalam mengharunginya. Jemukah aku dalam menduga waktu itu?
Peluru itu terus menghujaniku, membawa duka kembali menyiramiku. Walau aku cuba meraih mimpi syurga tetapi ia semakin menjauhi. Aku berlari menyusuri kegelapan bagi mencari sinar bahagia namun di mana sahaja aku nampak warna hitam sepanjang jalan. Bagaimana aku mahu keluar dari dunia ini?
Adakala aku akui berat nya laluan hidup ini. Jiwa yang pernah punah akhirnya hadir kembali menerangi kemalapan ini. Mewarnai dunia dengan pelangi indah. Hingga aku menyerlah rasa indah itu yang telah membahagiakan semua orang di sisiku.
Mampukah aku melintasi sempadan sendirian ini?

Sunday 12 May 2013

Rasa Hati

Dalam aku menghalau galau yang bersukma di hatiku ini, memisahkan rasa derita bertamu dihati, cuba membuang resah yang membungkam. Hadirnya mimpi hanya sementara sahaja dan tak mampu melakar pelangi indah.
Cinta ini adalah rahsia alam, meskipun ramai yang mewartakannya. Dakapan kasih ini hanya bayu hati yang menyimpannya, bahagia hanya dibibir sahaja sedang kita banyak berbeza dalam mencari satu arah yang pasti. Cinta tidak semestinya memiliki, cukuplah melafazkannya sahaja. Adakah kita akan bersatu, di alam nyata atau dakapan mimpi sahaja? Mampukah kita merealitikannya? Mengertilah hati, ingin aku mengecapi saat bahagia itu. Dan aku belum terlewat melakarinya.
Pintu hati ini belum lagi tertutup, masih lagi menanti saat yang terindah rakaman hidup ini. Berjuta warna menghiasi taman hati ini, sedang aku lihat matahari makin menjauh dan ombak menyinggahi taman laut hatiku. Tusuknya amat pedih….hingga aku terluka dalam hening lautan itu. Tiada lagi cahaya yang menyinari, hanya warna kelam menyimbahiku. Bagaimana aku mahu lalui hidup ini? Bagaimana aku mahu berjalan tanpa matahariku? Siapa yang akan menunjukku jalan menuju ke puncak?
Suara tangisanku hanya didengari dalam hatiku sahaja, aku tidak mahu mengkhabarkan pada seluruh alam bahawa aku berduka dan aku tidak mampu menakluk waktu bersamamu. Cukuplah apa yang telah aku lalui ini. Betapa pedihnya hati merintih pada sebuah perjalanan yang jauh ini. Demi hari mendatang, aku beranikan diri, berjalan tanpa cahaya….mendatar mencari sebuah tasik ketenangan. Aku bangkit dari sebuah kejatuhan, untuk memetik bintang yang bersinar, moga boleh menjadi cahaya penyuluhku. Walau tiada tangan yang sudi menghulur, aku teruskan pendakianku kerana aku hanyalah insan yang lemah.
Godaan begitu banyak di dunia ini, bagi siapa yang lemah imannya akan tewas dan terjatuh di perbaringan. Namun bangkitlah menentang segala kejahatan yang bermaharajalela ini. Korbankan rasa demi rahmatMu itu. Jangan hanya di damba cinta dunia sahaja sedangkan akhirat yang abadi.
Walaupun aku jatuh tapi tidaklah tersungkur dan aku tetap bertahan, bernyawa dan menghirup udara segar cuma aku memerlukan kekuatan mendepani tribulasi ini. Meskipun hatiku sudah berderai bagaikan kaca tapi aku mampu cantumkan kembali dan terus berlari mengejar impian.