Monday 29 October 2018

Jawapan


Belum bertunas sudah dicantas
Belum tumbuh sudah ditebang
Belum berputik sudah dipetik
Bagaimana?
Galau rasa itu
Makin dihambat makin mendekat
Tersimpan duka dalam lubuk
Terselit dalam harapan mimpi
Agar ia terus terkubur
Musnahnya pelangi petang
Kelam menyinari
Dimana aku harus berdiri
Bertapak sendirian
Menanti sebuah jawapan


Rajin


“Mengapa sejak akhir-akhir ni Kak Reen rajin masak?” Tanya Amalina sambil tersenyum simpul.
“Saja mencuba pelabagai resepi, kebetulan mood rajin ada sejak akhir-akhir ini,” Kak Reen menepis kata-kata Amalina yang cuba mencungkil rahsianya.
“Betul ke Kak Reen?” Ria cuba menduga sambil mencuit lengan Fadlina. Mereka tergelak-gelak kecil menyebabkan suasana menjadi makin bingit.
“Ni yang malas nak cerita dengan adik-adik semua,” Kak Reen cuba menunjukkan tanda protes, cuba mengambil hati dengan sikap mereka.
Pecah berderai tawa mereka dengan kakak manja mereka itu.
“Kak Reen dah unblock ke nombor dia?” Ria bertanya dengan nada yang agak kuat, mengejutkan LIyana yang sedang asyik membuat kerja.
“Ni bahaya cerita pada Ria, dia boleh pergi buat pengumuman satu pejabat,” Amalina menepuk dahi dan menggelengkan kepala dengan sikap Ria yang gelojoh itu.
Ria menutup mulutnya tanda keterlanjuran katanya. Terlajak perahu boleh diundur tetapi kalau sudah terlajak kata, padah jawabnya.
Reen sebenarnya serba salah mahu menceritakan tentang dirinya. Bukan dia tidak mahu berkongsi rahsia ataupun tidak percaya pada mereka semua. Tapi Reen belum bersedia lagi. Maafkan Reen, katanya dalam hati.
Reen sebenarnya terpalit dengan perhubungan yang terlarang, Reen pun tidak tahu bagaimana ianya bermula, cuba untuk mencambahkan detik itu tetapi ia berlaku dengan sekelip cuma, bagaikan sebuah mimpi hadir dalam khayalan.



Sunday 28 October 2018

Jodoh

Sudah puas Nelly cuba melupakan dirinya yang muncul tiba-tiba dalam kamus kehidupannya. Sebelum ini Nelly tidak pernah terfikir akan hadir seorang lelaki dalam hidup sepinya. Tambahan dalam usia menjangkau usia emas, mungkin tiada siapa yang sudi memandangnya.

Sebelum ini Nelly memandang sepi apabila deringan telefon berbunyi pada tengah malam. Malas melayan orang gila katanya. Nelly buat endah tidak endah sahaja pemilik nombor yang kerap kali mendail nombornya. Buatlah apa yang dia suka, kata Nelly. Adakalanya bersarang juga rasa takut dan gusar dalam hatinya, bimbang dicerobohi dan mengetahui detail tentang dirinya.

Pada bulan lepas, tanpa Nelly duga, si pemilik nombor misteri itu menelefon dia pada siang hari, memberi salam dan terus kepada tajuk agendanya, iaitu mahu berkenalan. Terkedu Nelly di buatnya. 

Nelly menyiasat siapakah pencuri hatinya ini, adakah benar segala kisah yang diperkatakannya. Nelly bertanya pada jiran-jiran yang mengenalinya. Ternyata dia seorang yang jujur dan berani dalam melamarnya. Nelly masih rasa terkejut dengan drama sesaat itu.

Dan pada bulan ini, berlangsunglah ikatan pertunangan Nelly dengan dia, serba ringkas dan bertemakan warna biru lembut. Nelly memilih tiga bulan akan datang untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Nelly tidak menyangka yang akhirnya jodohnya sampai jua. Nelly menyangka bahawa mungkin dia tidak akan ketemu jodoh di dunia ini.

Saturday 27 October 2018

Love at the first sight

"Betul ke akan ada adegan love at the first sight? " Tanya Uda kepada Angah ketika mereka sama-sama menonton sebuah telemovie.
"Mesti lah ada, kalau tidak, takkan ada la cerita macam ni," Balas Angah sambil dipersetujui oleh Ucu dan Alang.

"Kalau macam tu, Uda rasa Uda dah jatuh cinta semasa melihatnya buat kali pertama," luah Uda yang menyebabkan serentak Alang, Angah dan Uu berpaling ke arahnya. 

"Uda baru pertama kali melihatnya dan Uda sentiasa mencari dia, sampai Uda terbayang-bayang wajahnya," sambung Uda lagi.

"Bagaimana rupanya?" Tanya Angah tidak menyempat, mahu jadi orang yang pertama mengetahuinya.

"Emmm....susah sikit nak cerita, sebab Uda tidak pandai nak bayangkan. Tapi apa yang Uda boleh bagitahu, cantiknya dia pabila berpakaian warna merah, nampak menyerlah dan boleh menyebabkan cinta itu terus mekar mewangi," tersenyum Uda menerangkan idaman kalbunya.

"Wow....adik Angah ni hebat juga ye!" Angah bertepuk tangan tanda menunjukkan Uda sudah ada kemajuan. 

"Uda tahu ke nama dia?" Alang bertanya dan nampak Uda terus mengangguk laju.

"Namanya bermula dengan huruf M dan diakhiri dengan huruf i," Uda meneruskan lagi ceritanya yang membuatkan semua makin teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

"Uda ada gambarnya ke? Uda dah berkenalan dengan dia ke?" Tanya Alang lebih lanjut sedangkan Ucu hanya mendengar sahaja, tidak berkesempatan untuk bertanya disebabkan dua abangnya yang laju sahaja bertanya.

"Nak tengok ke gambarnya?" Tanya Uda dengan bersungguh sambil tangannya laju cuba mencari gambar si 'dia' dalam telefon bimbitnya.


"Mestilah," serentak mereka menjawabnya sambil terus mengerumun Uda.

"Jeng...jeng....inilah dia, idaman kalbu," Uda menunjukkan gambar si 'dia' pada mereka bertiga.


Akhirnya mereka  bertiga mengejar Uda sambil membaling bantal kecil. Geram kerana telah dipermainkan oleh Uda. Rupanya kereta Myvi baru adalah idaman kalbu Uda. Love at the first sight la konon. 

Senyum. 


Wednesday 17 October 2018

Bayangannya

"Sya, mengapa saya asyik teringat kepada dirinya?" Tanya Lia kepada sahabat baiknya.
"Kan awak dah cuba terima." Balas Sya dengan nada yang mendatar, malas melayan karenah sahabatnya yang sengaja tidak mahu melupakan orang yang disayanginya itu.

Bukan Lia tidak mengerti bahawa orang yang dia sayangi itu sudah menjadi milik orang lain. Tiada lagi kasih dan cinta yang bertapak di hatinya, buat apa menangisi takdir yang telah tertulis. Melangkahlah ke depan untuk terus menangkap takdir yang akan datang.

"Sya, Lia tak tahu nak ceritakan bagaimana. Setiap kali Lia melintasi kawasan perumahannya, Lia rasa sayu sahaja. Lia seolah ingin singgah dan bertanya berkali-kali lagi kenapa Lia bukan pilihannya," luah Lia dengan pandangan mata yang sayu. Ada genangan air mata di tubir matanya.

"Lia, Sya harap Lia cuba pelajari melepaskan apa yang bukan milik Lia. Sememangnya dia ditakdirkan bukan menjadi milik Lia. Mungkin dia bukan yang terbaik untuk Lia. Mungkin ada orang lagi baik yang akan datang dalam hidup Lia," Sya cuba memujuk sambil cuba menenangkan jiwa Lia yang masih berkecamuk.

"Bayangan wajahnya selalu menghantui diri Lia. Ke mana sahaja Lia pergi, Lia akan terbayang kenangan bersama dia. Bukan sekejap perkenalan kami, lebih daripada lima tahun kot," Lia cuba menguatkan hujah.

"Lia, janganlah gila talak macam ini," nada suara Sya sudah berubah, ada sedikit getar cuba menaham amarah, gagal memujuk Lia menyebabkan dia sendiri sukar mengawal emosinya.

Terus terdengar gelak ketawa Lia, menyedari sahabatnya marah dengan gelagatnya yang bagaikan tiada lelaki lain yang boleh menjadi pengganti.

"Sya, Lia minta maaf. Bantulah Lia supaya Lia terus boleh memadam memori ini. Semoga Lia dapat mengirimkan pada angin supaya membawa terbang segala kenangan dan memori ini," akhirnya Lia mengalah dan terdengar keluhan halus dilepaskan, tanda mengalah dan mahu cuba untuk memadamnya.

Sunday 14 October 2018

SOLAT



“Ustaz, bagaimana saya mahu solat ?” Tanya Erman kepada Ustaz Amin.
“Kenapa? Uzur ker?” Tanya Ustaz Amin sambal tersenyum sinis.
“Er…er….rambut saya ni ustaz,” Erman menggaru kepalanya sambal tersengih-sengih, tidak tahu sama ada menutup malu ataupun sengaja berbuat demikian.
“Habis tu selama ini bagaimana? Kenapa kaler rambut?” Soal Ustaz Amin dengan nada yang agak lembut, bimbang terluka.
“Saya ….saya …tidak pernah solat sejak dari kecil lagi,” luahnya dan nampak keluhan kecil dilepaskan, agaknya lega selepas berterus terang.
“Boleh ceritakan dengan lebih lanjut, kenapa tidak pernah solat?” Ustaz Amin bertanya lanjut.
“Ibu bapa saya sudah berpisah sejak saya kecil lagi. Saya tinggal dengan abah dan dia tidak pernah mengajar saya solat. Saya pun tidak tahu sama ada abah saya solat ataupun tidak. Setahu saya abang saya pun tak solat, malah dia pun minum. Saya …tak minum,” katanya sambal mengangkat kedua belah tangannya tanda menyerah.
“Awak pernah tanya abah awak tentang solat?” Ustaz Amin masih meneruskan soal jawabnya.
“Saya jarang bercakap dengan abah saya. Selalu saya akan whatsapp untuk minta duit sahaja,” jelasnya yang agak mengejutkan Ustaz Amin.
“Awak jarang jumpa abah awak?” Ustaz Amin mahu memastikan anggapannya.
Anggukan lemah dari Erman dan terpancar rasa sedikit kekecewaan di wajahnya, kesal dengan sikap abahnya yang hanya menyogoknya dengan wang ringgit sahaja tetapi tiada tanggungjawab yang dilaksanakan.
“Awak tak pernah pergi sekolah agama?” Ustaz Amin masih meneruskan soal selidiknya.
“Saya tidak pernah sekolah agama. Kalau kelas agama di sekolah pun saya selalu ponteng,” katanya, tunduk cuba menahan rasa kesalnya.
“Erman mahu belajar tak?” Ustaz Amin cuba menduga.
“Masih belum terlambat ke ustaz?” soalnya kembali.
“Selagi ada nyawa, masih terbuka peluang itu,” Ustaz Amin menenangkannya.
“Nanti saya datang jumpa ustaz ye,” janjinya sebelum berlalu pergi.


Buku



“Mana buku? Kenapa tak bawa buku? “ Tanya Miss Dania kepada pelajarnya. Walau sudah dipesan banyak kali, namun mereka tetap buat keras kepala sahaja.
“Saya tiada duit lagi,” selamba sahaja jawapan Hafiz, menggegar sedikit jiwa Miss Dania.
“Minggu depan saya mahu semua ada buku, samada pinjam ataupun beli,” nada tegas kedengaran dalam suara yang agak bergetar, cuba menyimpan amarah tersebut.
Nampak ada yang berbisik sesame sendiri dan cuba menaip sesuatu di telefon bimbit mereka. Mengajar generasi sekarang memerlukan kesabaran yang agak tinggi, memerlukan kemahiran mengawal kemarahan dan berinteraksi dengan bijak dalam mengawal mood mereka.
Miss Dania sudah memahami mereka, maklumlah subjek yang diajarnya adalah subjek matapelajaran umum yang wajib diambil oleh semua pelajar. Dia juga mengawal emosi mereka dan cuba untuk mereka mencintai segala ilmu yang dipelajari.
“Mengapa buku itu penting? Sebab kita mahu ilmu di dalam dada dan bukannya di buku. Apabila kita ada buku, kita akan cuba mengingati apa yang telah dipelajari dan mempermudahkan lagi proses pembelajaran kita,” Dania cuba merasionalkan kepentingan memiliki buku asas tersebut.
Ada beberapa orang pelajar yang terangguk-angguk tanda setuju, faham dengan ketegasan daripada Miss Dania.
“Sekarang buka mukasurat 16, baca dan ulang sebanyak 3 kali,” arah Miss Dania kepada pelajar kelasnya, lebih kurang 30 orang. Ada yang baru terhegeh-hegeh mengeluarkan buku daripada beg, dan ada yang masih terkial-kial mencari mereka yang memiliki buku untuk dikongsikan bersama.
“Semua pelajar bawa tak buku prestasi?” Soal Miss Dania ketika semua pelajar ralit membaca di muka surat yang ditetapkan. Rata-rata menjawab ya, menyebabkan Miss Dania senyum.
“Sekarang isi segala maklumat yang diperlukan,” arah Miss Dania.
Noreen, Atikah dan Zahra ralit bermain telefon dan tidak mencatit ataupun menulis di buku prestasi dan telah menyebabkan Miss Dania berdiri di sebelah mereka. Mereka selamba dan masih tidak berganjak, tidak menulis sesuatu pun.
“Kenapa tidak tulis?” ada nada getar dalam suara Miss Dania.
“Saya tidak ingat maklumat yang perlu di catit pada minggu lepas,” selamba Zahra memberikan repon sambil menjuih mulutnya. Mata Noreen dan Atikah masih lagi ralit melihat skrin telefon bimbit mereka.
“Habis, macam mana penyelesaiannya?” Miss Dania cuba melembutkan suaranya, memujuknya.
Akhirnya mereka bergerak ke meja sebelah dan bertanyakan kawan sebelah mereka. Itulah ragam pelajar.



Kesedaran.



“Ilman Hijjaz!” Panggil Ustazah Marini yang mengejutkan semua pelajar lain.
“Ada apa ustazah?” Tanya Ilman selamba seolah tidak sedar yang darah Ustazah Marini membuak-buak, marah padanya yang suka buat lawak kosong dan menjadikan kelas bingit bagaikan pasar malam.
“Cuba duduk di tempat awak,” ada nada getar pada suara Ustazah Marini yang membuatkan semua pelajar lain menikus sahaja.
“Ustazah, saya tak boleh nak duduk diam-diam la, nanti saya mengantuk,” masih cuba membakar amarah Ustazah Marini yang sedang menggelegak.
“Apa kata hari ini kita buat ‘Hot Chair’ dan Ilman Hijjaz yang akan jadi peserta pertama,” Ustazah Marini cuba mengawal keadaan kelas.
Selamba sahaja Ilman Hijjaz meluru ke depan dan terus duduk di kerusi yang disediakan.
“Perhatian kepada semua pelajar, anda diminta mengemukakan soalan yang berkaitan dengan ibadah kepada Ilman Hijjaz,” Ustazah Marini menerangkan permainan ini. Semua pelajar mencari soalan yang sesuai, tangan pantas menaip sesuatu di telefon bimbit masing-masing.
“Ustazah, saya nak jadi penonton pertama yang menyoal Ilman Hijjaz,”Aiman Naim mengangkat tangan dan terus berdiri, menunjukkan ketidaksabaran dalam mengenakan kawannya itu.
Ustazah Marini memberikan tanda anggukan sebagai tanda membenarkan soalan pertama dikemukakan. Semua pelajar lain diam, bersedia bagaikan bom pertama mahu dijatuhkan.
“Ada berapa rukun solat? Sebutkan rukun solat yang ke tiga?”Aiman Naim membaca soalan yang telah ditulis oleh rakan sebelahnya, Anuar.
Ilman Hijjaz menggaru kepalanya sebentar sebelum menjawabnya. “Ustazah, betulkan 13 rukun solat dan rukun solat yang ketiga ialah membaca alfatihah,” jawab Ilman sambal tersengih-sengih menampakkan giginya yang tidak tersusun.
Semua pelajar yang lain ketawa dan menyoraknya. Kelas agak bingit dan tidak terkawal. Masing-masing bercakap sesame sendiri dan cuba membuktikan jawapan yang betul.
“Ilman, cuba sebut satu persatu rukun solat,” Ustazah Marini cuba meredakan keadaan.
“Pertama, berdiri tegak, kedua niat, ketiga membaca alfatihah, keempat rukuk dan eh..eh..,”Ilman menyedari yang dia sudah tertinggal satu rukun yang utama.
“Saya betulkan jawapan saya, rukun yang ketiga ialah takbiratul ihram,”diiringi sorakan dan tepukan daripada rakan-rakannya.
“Ilman, dalam menuntut ilmu agama ini, tidak semua kita boleh jadikan gurauan terutama apabila melibatkan soal ibadah,” teguran lembut Ustazah Marini menyebabkan Ilman Hijjaz diam dan tunduk, sedar akan dirinya yang sengaja membuatkan kelas bingit dan hangat.