Saturday 23 February 2013

Catatan dari Kota Sepi I

Catatan dari kota sepi
Tiba-tiba kota sepi ini berbicara. Aneh bukan kerana kota sepi ini boleh memulakan sesuatu yang dianggap mustahil.
Kota sepi ini adalah permulaan sejarah saya. Sebelum ini saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang penghuni di sebuah kota sepi ini. Saya berada kira-kira 500 batu jauhnya dari daerah cahaya.Saya masih samar pada permulaan hijrah saya ke kota sepi ini, bagaimana kaki saya melangkah ke sini dan saya jatikan dalam hati ingin bermukim di sini. Dulu saya mungkin berkira-kira singgah sahaja di sini tetapi tanpa saya sedari, saya sudah lama berlabuh di sini.Dulu saya hanya digelar tetamu di kota sepi ini.
Kota sepi ini enggan saya tinggalkan, memori suka duka kehidupan memang banyak saya pakukan di sini.Jatuh bangun saya di sini telah saya lakarkan dalam kanvas kehidupan saya. Jika ingin dihikayatkan cerita saya di kota ini, tidak cukup sepuluh hari, mungkin mengambil masa bertahun untuk dinoktahkan.
Cerita saya di kota sepi ini tidak sehebat cerita Adam & Hawa lakonan Aaron Aziz dan pasangannya. Tetapi cukuplah saya katakan, saya merasai manis, masin, pahit, pedih, hirisan, taufan, ribut dan pelbagai lagi yang saya sendiri tidak mampu diungkapkan. Saya tinggalkan daerah cahaya kerana saya percaya kota sepi ini mampu memberikan saya sebuah sinar, perjalanan menuju jannah.
Kota sepi ini gemar menjadi tempat persinggahan pengembara. Mereka digelar tetamu mukim, sangat dialukan kedatangan mereka. Di sini tetamu tersebut perlu turun bertempur di medan ujian. Mereka dibekalkan dengan pedang ketabahan dan perisai kesabaran. Jika tidak tahan diuji, jangan sekali-kali berlabuh di kota sepi ini. Ganjaran yang bakal mereka terima adalah sangat besar, bukan mata wang yang menjadi idaman tetapi ganjaran daripada Pencipta kita yang selayaknya dinantikan.
Saya ingin membuka tirai ini dengan cerita sahabat baik saya yang saya namakan Adeen. Dia adalah orang yang paling lama berada di kota sepi ini, daripada empat jajahan sampai menjadi sembilan jajahannya. Adeen menyaksikan orang yang kalah dalam perjuangan akan lari ataupun dibuang daerah sedang orang yang menang disanjung dan dipuja melangit.
Mari kita selami pengembaraan di kota sepi ini melalu kaca mata Adeen. Adeen pernah menyatakan dia berada di persimpangan, tidak tahu ke arah mana, ke kanan dia keliru kerana tiada anak panah yang menunjukkan. Tetapi untuk ke kiri, dia kebingungan apabila hanya warna kelam sahaja menghiasi.
Apabila musim bunga dua purnama lagi muncul, genaplah satu dekad permukiman Adeen di kota sepi ini. Kota sepi ini akan bertukar wajah setiap tahun, mengikut tema yang telah ditetapkan. Cuma Adeen sahaja yang kekal begitu selamanya. Adeen dianggap tiada wawasan dan kolot dalam kehidupannya. Adeen pernah dijulang dengan gemilang suatu masa dulu dan akhirnya Adeen tersungkur rebah ke bumi apabila ditolak oleh seorang yang digelar Dayang Seberang. Tiada ribut tiada hujan, tiba-tiba kedatangan Dayang Seberang ingin bertumpang teduh di persinggahan kota ini dengan sengaja menolak kerusi yang diduduki oleh Adeen. Adeen nanar seketika cuba mendaki kembali, bangkit dari kejatuhan bersama diubati duka yang parutnya masih terkesan. Mana mungkin parut itu dapat dihilangkan dengan sekelip mata sahaja. Serpihan kenangan yang tinggal Adeen tampalkan pada pelangi senja yang singgah sekejap. Adeen ingin angin menerbangkan segala memori pahit dalam dirinya.
Pengembara yang datang bertamu pernah mengajak dan menjemput Adeen menyertai pengembaraan mereka, ingin menunjuk jalan keluar dari kota sepi ini. Namun apa daya mereka jika Adeen menolak dengan lembut, katanya hatinya tegar di sini. Bukan Adeen tidak pernah mencuba melangkah keluar daripada kota ini tapi cintanya masih lagi bertamu di sini, dia tidak mahu lari mengejar cinta yang belum pasti di luar sana.
Adeen pernah diajak oleh penghuni kota ini berbicara tentang ikhlas. Mampukah Adeen mendefinisikan makna ikhlas sedalam mungkin? Wujudkan ikhlas dalam kota hampir menyamai kapitalis ini? Adeen akui adakalanya penghuni kota sepi ini resah dan merungut hingga terbang wajah keikhlasan dalam dirinya. Adeen akui bahawa ikhlas ini hanya boleh dicapai oleh mereka yang mempunyai darjat takwa yang tinggi. Mana mungkin mereka yang bertungkus lumur tidak mengharapkan balasan yang setimpal. Kota sepi ini pernah berbisik pada Adeen, katanya kaya itu bukanlah terletak pada harta yang banyak tetapi kaya itu letaknya di hati dan jiwa kita.
Kota sepi ini pernah diwarnai damai, airnya tenang tanpa kocakan. Selama sedekad kota sepi ini diwarnai pelangi senja dan bulan bintang menyinari dengan terang. Namun kita tidak mampu menduga bilakan angin kencang dan ribut taufan akan melanda. Tiba-tiba muncul kekecohan di kota sepi yang melenyapkan perkataan sepi itu. Tetamu dan rakyat yang bermukim di sini berterbangan mencari perlindungan. Ada yang keluar kerana merasakan di luar sana, terdapat tempat berteduh yang lebih kukuh dari kota sepi ini.
Adeen pernah menyatakan bahawa dia pernah berdendam pada Dayang Seberang yang dikatakan sengaja menganiyai dirinya tetapi kota sepi ini tempatnya suci, tidak membenarkan dendam berkubu dalam hati, malahan melenyapkan terus dendam itu dari terus bermaharajalela. Adeen memenjarakan segala penyakit hati yang mazmumah bagi melengkapkan hidupnya di kota sepi ini.