“Siapa yang sudah
kehilangan ibu ataupun bapa?” Tanya Ustaz Hanafi dalam sessi Resepi Kejayaan
anjuran Persatuan Mahasiswa Islam, Kem Pelajar Cemerlang.
Ada dalam lebih
kurang lima belas orang pelajar yang bangun. Apabila ditanya, ramai yang telah
kehilangan ayah berbanding ibu.
“Saya Amir, saya baru
sahaja kehilangan ibu saya masa bulan Ramadan yang lepas. Ketika hari raya,
adalah hari yang amat perit kerana saya tidak dapat bersalam dengan mak saya.
Saya tidak dapat lagi merasa masakan mak saya. Saya harap semua kawan-kawan
saya menghargai mak ketika dia masih ada,” sedu sedan suara Amir meluahkan rasa
itu.
“Saya telah
kehilangan ayah ketika saya masih kecil lagi. Saya tidak sempat mengenali ayah
saya tetapi ibu saya selalu bercerita pada saya tanpa jemu. Ibu saya
membesarkan saya dengan penuh kesabaran dan memikul beban itu keseorangan. Saya
melihat penat jerih dia membesarkan saya hingga ke hari ini. Ibu mahu saya jadi
seperti ayah, iaitu menjadi seorang pendidik,” teresak-esak Nabilah
menceritakan kehidupannya.
Tiba-tiba ada seorang
remaja lelaki mengangkat tangan ingin berkongsi cerita sedangkan dia bukanlah
dari kalangan mereka yang pernah mengalami kehilangan.
“Saya Nico pelajar
diploma pengurusan. Saya ingin ceritakan tentang diri saya, tentang masa lalu
yang dulu gelap. Saya ada seorang ayah yang kaki pukul, selalu memberikan sepak
terajang kepada ibu saya sehingga saya menanam sikap benci pada ayah saya. Saya
sangat membenci pada ayah saya. Saya selalu menangis apabila melihat ibu saya
dipukul oleh ayah saya. Saya ingin memukul ayah saya melawan dan mempertahankan
ibu saya tapi saya masih lagi kecil,” dia terhenti seketika sambil menyapu air
mata yang mengalir tanpa dia pinta.
“Suatu malam selepas
ayah saya memukul ibu saya, saya ada kekuatan untuk memukul kembali ayah saya
sehingga cermin mata dia pecah dan terkena matanya. Mujur matanya tidak buta
tapi dia mendapat strok disebabkan saya memukulnya dengan teruk. Selama sebulan
dia terlantar dihospital saya tidak pernah melawatnya dan saya rasa puas. Sebelum
ini, selama saya sakit hati, saya terjebak dengan pelbagai kegiatan negatif dan
saya tidak menggunakan nama sebenar saya supaya saya dapat lari dari bayangan
nama ayah saya. Saya
benar-benar hanyut sehinggalah saya dipeluk oleh ibu dan dipujuk oleh ibu. Nasihat
ibu, walau bagaimana buruk sekali pun perangai ayah,
Nico perlulah hormat dan memaafkan kesilapannya. Katanya terpulanglah
pada saya ,tapi nasihat ibu sejahat mana pun ayah, dia tetap ayah Nico, dia
tetap orang yang menyebabkan Nico ada di dunia , mungkin tanpa sedar ayah juga pernah
mendoakan Nico. Moga Allah merahmati Nico dan beri petunjuk untuk Nico. Dan
semoga ayah Nico benar benar berubah.” Terangnya dengan panjang lebar yang
membuatkan semua pelajar lain terdiam. Terkedu dengan keberanian dia
menceritakan semua ini.
“Dan saya mahu semua pelajar dalam dewan
ini tetap memaafkan kesalahan ibu bapa kita walaupun apa yang terjadi. Saya
tetap maafkan ayah saya dan saya mahu berbakti padanya,” Nico mengakhir
kata-katanya.
Tepukan gemuruh diberikan oleh semua
pelajar, kagum dengan luahan isi hatinya dan menyedarkan semua orang tidak
semua masalah yang dihadapi sama. Cuma kita yang patut memikirkan bagaimana
mahu menghadapinya.