Thursday 28 January 2021

Takdir yang tertulis

 

“Serabut lah gini…..”luah Fadlina kepada Suzana setelah dia kelam apabila ketua memaksa dia datang kerja sedangkan taska anaknya ditutup seminggu kerana ada pelajar taska yang mempunyai kontak rapat bagi pesakit Covid19.

“Cuba Ina bincang balik dengan ketua dan juga bahagaian sumber manusia. Terangkan keadaan yang sejelasnya,”pujuk Ana lembut sambil menenangkan Ina.

Seperti yang diketahui bahawa Fadlina merupakan ibu tunggal selepas kematian suaminya dua tahun lepas. Suaminya meninggal disebabkan demam denggi berdarah. Dan dia mempunyai dua orang anak  yang masing-masing berusia enam dan empat tahun. Bayangkan dengan kesibukan tugasnya sebagai ketua penyelaras dan menguruskan dua anaknya yang pelbagai ragam memerlukan kesabaran yang amat tinggi.

Fadlina cuba menyertai Till Jannah bagi mencari pengganti suaminya. Bukan dia mahu melupakan tetapi katanya anak-anaknya memerlukan kasih sayang seorang bapa. Apabila melihat seorang bapa mendukung anak atau menyuapkan makanan, mereka berdua akan mula bertanya tentang bapa mereka. Ini akan membuatkan airmata Fadlina laju membasahi pipinya.

Fadlina asalnya daripada Melaka. Dia berkelana di sini selepas berkahwin dengan suaminya yang berasal dari Perak. Dia sememangnya keseorangan di sini, adik beradiknya berada di Johor dan Negeri Sembilan. Dia selalu tersepit apabila keadaan tugasnya memaksa dia balik lambat atau terpaksa bekerja pada hujung minggu. Dan dia akan merasa tertekan apabila anaknya tidak sihat dan memaksa dia mengambil cuti kecemasan.

Hampir setiap malam dia bangun mengadu pada Allah mengharapkan yang terbaik. Kerana dia tahu setiap apa yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi.

Dia bersyukur kerana guru sekolah anaknya memahami dan kadang kala bertimbang rasa untuk menjaga kedua anaknya. Dia juga dikelilingi rakan-rakan yang memahami dan sanggup menjaga dan melayan anak-anaknya. Itulah yang menyebabkan dia merasakan dia sangat beruntung.

Fadlina masih lagi mempunyai kedua ibu bapa tetapi kedua ibu bapanya kurang sihat dan tidak boleh dibebankan dengan menjaga cucu-cucunya. Fadlina cuba mencari kekuatan dengan sentiasa berfikir positif. Semua itu adalah ketentuan daripadaNya.

Sunday 24 January 2021

Cinta kita

Dalam lubuk hati ini masih lagi rasa tersisa luka ini, saat kau pergi meninggalkan aku sendirian menangisi.

Cinta kita melakar sejarah, mencipta memori terindah dalam kenangan kita. Apa yang tidak mampu kita lakukan adalah mempertahankannya hingga ke hujung usia kita. Ditakdirkan kita berpisah jua.....

Kembalilah kepadaku, pulangkan kembali mimpi kita bersama....kerana aku masih memerlukanmu.Saat kita bersama adalah kenangan yang terindah pernah kita rakamkan.

Bayangmu selalu menganggu hidupku, sejuta rasa pedih dalam hati ini. 

Kau yang memilih diriku

Kau jua yang meninggalkan aku 

Aku bagaikan mentari yang kelam apabila kau melangkah meninggalkan aku. 

Saat kau pergi meninggalkan aku ini, hancur rasa hati ini 

Semua terjadi ini atas kemahuanmu, memadamkan segala memori kita bersama 

Hanya aku yang terhukum

Berakhir kisah kita selamanya..........

Mendung tiada ku pinta selepas sepurnama kita ditakdirkan menjalani kehidupan yang bahagia.

Berkali-kali ku cuba berlari meninggalkan kenangan semalam 

Kisah kita tetap akan terpahat dalam album kenangan kita, takkan ku buang walau sekelumit memori tika saat kita bahagia

Sebenarnya perjalanan ini melukakan hati ini, meninggalkan kenangan yang pernah mewarnai diri ini.

Lumrah kehidupan , bertemu dan berpisah, bercinta dan kecewa, hidup dan mati.

Puas ku pujuk diri ini untuk melupakan dan melontar jauh kenangan kita itu namun aku gagal. Aku masih berpegang pada janji yang telah kita ciptakan. 

Hilangmu tiada berganti, biarlah begini. 

Jiwa tidak pernah tenggelam, resah diukir di jiwa ini, entah berapa lama harus ku hadapi ini.

Usahlah ditangisi takdir yang telah tercipta 

Sememangnya kita bukan ditakdirkan bersama.

Aku sudah penat mengejar bayangan mimpi 

Aku mahu berhenti di sini  





Friday 1 January 2021

Pelajar ooo Pelajar

 

Ragam Pelajar 2

“Aisyah, bila nak buat ujian lisan ?” Tanya Ustazah Maimoon.

“Saya sekarang ni period, boleh buat ker?” Pertanyaan yang dibalas dengan pertanyaan, diam tidak membalasnya lagi.

“Zali, bila sepatutnya awak kena buat ujian lisan?” Ustazah Maimoon menelefon pelajarnya yang selalu mengelak untuk datang ke kelas.

“Saya sekarang tengah bekerja dan boleh ke saya buat ujian itu esok?” Zali memberitahu dan cuba berbincang dengan pensyarahnya.

“Esok jam 4 petang boleh?” Ustazah Maimoon menetapkan sebagai autoriti.
“Saya cuba dulu ustazah.” Zali menamatkan panggilan tanpa ucapan salam.

“Suhaila, berlatih dulu sebelum buat ujian lisan. Kalau Suhaila ada masa lapang pada minggu hadapan, kita buat latihan sebelum ujian sebenar,” Ustazah Maimoon mencadangkan kepada Suhaila disebabkan dia agak lemah dalam mengenal huruf.
“Baik ustazah,” jawab Suhaila dengan lemah.

Ustazah Maimoon menunggu dan menunggu, tiada mesej ringkas di hantar seperti yang dijanjikan. Apabila Ustazah Maimoon menelefon atau menghantar mesej, tiada berjawab. Apa daya lagi usaha yang perlu dilakukan.

“Betty, kenapa tidak fokus pada bacaan ini. Awak pandang apa tu?”Tegur Ustazah Maimoon.

“Saya sekarang berada di rumah ‘boyfriend’ saya,” jawab Betty jujur sehingga menyebabkan Ustazah Maimoon terkaku seketika.

“Amar, kenapa lama tak datang kelas?” Ustazah menelefon kepada salah seorang pelajarnya.

“Ustazah, saya sebenarnya malu mahu masuk ke kelas itu.” Amar memberitahu ringkas.

“Kenapa pula?” Ustazah Maimoon bertanya lanjut.

“Ada rakan saya di dalam kelas itu yang suka perli dan menyindir saya. Saya rasa rendah diri ustazah. Saya tahu yang saya ni tak berapa pandai baca, merangkak-rangkak lagi. Saya malu, saya rasa rendah diri sangat,” panjang lebar Amar menerangkan.

“Habis tu, awak rasa keputusan diam itu adalah keputusan yang tepat?” Tanya balik Ustazah Maimoon.

“Saya tahu saya salah ustazah,” suara Amar agak kendur, menyedari kesilapannya.

“Maznah, kenapa tidak datang ujian tadi?” Ustazah Maimoon menelefon bertanyakan khabar.

“Ustazah, hari itu saya sudah bertanyakan ustazah tapi tiada jawapan. Jadi sekarang saya sedang menghadiri kelas ujian memandu,” jawapan pendek yang membuatkan Ustazah Maimoon sakit kepala.

“Alif, kenapa tak masuk kelas minggu lepas?” Ustazah Maimoon akan bertanyakan dulu sebelum memulakan kelas.

“Keluarga saya datang jenguk saya dan mereka ajak saya keluar makan ustazah. Saya minta maaf sangat-sangat ustazah,” Alif menyatakan alasannya.

“Kenapa keluarga datang dan mereka daripada mana?” Tanya ustazah lanjut.

“Saya sudah lama tidak balik rumah dan keluarga saya tinggal di Rawang,” Alif menjelaskan tanpa rasa bersalah.

“Aiman, kenapa tak jawab call ustazah?” Ustazah Maimoon menghantar pesanan ringkas.

“Saya tengah menghantar barang ustazah. Sekejap lagi saya cuba telefon balik,” Aiman membalas tanpa rasa bersalah. Menghantar barang ketika waktu kelas di jalankan. Mana keutamaan, belajar atau  bekerja?

“Danial, kenapa tak datang kelas? Kalau awak masih tidak muncul, ustazah tidak akan teragak-agak untuk bagitahu fakulti untuk bawa subjek ini ke semester akan datang,” ugut Ustazah Maimoon.

“Maaf ustazah, tadi saya tengah siapkan tugasan subjek lain,” Danial menyatakan alasan yang sangat membangkitkan kemarahan ustazah Maimoon.

“Ustazah mahu Danial tulis dan rakam pelajaran 1 sehingga 7 dan hantar pada ustazah pada hari Selasa depan,” Ustazah Maimoon masih mahu mempertimbangkan disebabakan dia adalah pelajar tahun akhir.

 

Bicara ini

 

Bicara ini

Ana, Ima harap Ana tidak penat mendengar cerita daripada Ima. Ima hanya mahu bercerita pendek sahaja, tidak mahu lama mengambil masa Ana. Harapnya Ana sudi membaca sampai ke titik yang terakhir.

Eloklah Ima cerita tentang diri Ima yang masih lagi bersendirian setelah puas mencuba. Ima cuba mendaftar di BaitulJannah seperti yang disyorkan oleh Ana. Ima menanti dan mencuba namun nasib Ima tidak bertuah, tiada siapa pun yang sudi berkenalan sehingga Ima merajuk dan enggan lagi melihat laman sesawang tersebut. Bukan Ima tidak mahu terima kenyataan tetapi pahitnya apabila rata-rata lelaki melihat paras rupa sebagai ukuran untuk mencari suri rumah mereka. Ima menangis …menangis. Ujian ini sugguh berat bagi Ima. Tapi cepat-cepat Ima tepis dan anggap ini semua dugaan yang Allah hadirkan untuk menguji keimanan Ima.

Ima kadang kala membaca blog ataupun laman sesawang, ada orang mendapat ujian yang lebih berat terutama apabila kawan-kawan Ima yang kehilangan orang yang disayangi, kemalangan ataupun penyakit yang menjemput suami mereka. Mereka lagi hebat menerima ujian tersebut, terutama apabila mereka mempunyai anak, anak yang istimewa yang memerlukan perhatian. Sungguh Ima bersyukur, menarik nafas dan melafazkan rasa syukur kerana ujian Ima hanya secebis sahaja daripada kehidupan mereka.

Bagaimana dengan kehidupan Ana? Ima teringin mendukung anak Ana yang kedua, cantik dan cerdik nampak, seindah namanya jua. Ima ada terbaca yang menyatakan Ana mahu lagi menambah jumlah umat. Amboi bukan main lagi Ana ni, mencanangkan keseluruh dunia ye. Apa pun Ima tetap doakan agar Ana terus gembira melayari bahtera dengan Azhar dan anak-anak Ana.

Ana, Ima tidak lupa janji kita yang mahu terus bersahabat, mahu terus kekal berhubung walau apa pun terjadi. Ima faham jika Ana agak lambat memberikan jawapan atau membalas mesej ini kerana Ana mempunyai banyak tanggungjawab.

Ana, Ima sekarang cuba mendaftar Till Jannah pula, laman sesawang pencarian jodoh juga. Doakan agar usaha Ima ini berjaya untuk kali ini seiring dengan target pada tahun ini iaitu 2021, untuk mengakhiri zaman bujang. Apa yang Ima mahu berjumpa dengan orang yang baik-baik, yang boleh membimbing Ima sampai ke Jannah.

Harapan Ima tidak pernah padam, seperti mana tidak pernah jemu berulang siang dan malam dalam kehidupan ini. Doa tidak pernah ditinggalkan, sentiasa disematkan dalam solat.