Sunday 29 December 2013

waktu yang berlalu




Kenangan lalu
Masih lagi tertinggal
Walau kering air di kali
Yakinlah diri
Sejarah itu perlu dilupuskan

Waktu yang berlalu
Biarkan ia pergi
Campakkan memori duka
Tanamkan  kepahitan
Semikan rasa gundah

Usah dibayangi kegagalan lalu
Bangkit menuju puncak
Jangan biarkan kau lemas
Masih ada pohon untuk bergayut
Masih ada dahan untuk berteduh
Yakinlah Allah sentiasa bersama
Dia Maha Mendengar
Segala keluh kesah hambaNya

Tinggalkan kelazatan duniawi
Tanamkan kerinduan
Menuju perjalananMu

Sebulatnya




Aku sentiasa melihat bayangmu di hujung sana walaupun aku tidak mahu lagi dilindungi oleh dirimu. Aku akui dulu selalu aku khayalkan bahawa impian kita gapai bersama dan kita adalah pasangan yang sempurna. Mengapa kasih menyembunyikan diri, tidak mahu hadir  walau hanya dalam mimpi.

Aku ingin sekali membuang rasa resah ini dan memayungi hatiku dengan rasa ketentuan, menerima takdir yang telah ditetapkan namun aku selalu tewas dengan rasa kerinduan, betapa terik pedihnya kadang kala ia tak mampu untuk ku bertahan

Kehadiranmu bagaikan sinar bulan yang memberikan rasa bahagia bertapak di hati ini. Kehilanganmu membuatkan aku rasa terdera dan sakitnya rasa itu.
Andainya rindu itu hadir tika kau sudah melangkah pergi dalam diriku sedangkan aku masih mendambakanmu,  pintaku biarlah bahagia ini hadir sekali dalam mimpi kita.

Seringkali aku gagal dalam melupakan kisah silam ini kerana kenangan itu makin kerap berputar menayangkan memori dulu. Masih lagi aku ingat di saat kau menyatakan kepadaku bahawa kau akan berkahwin dengan pilihan keluargamu, hatiku remuk dan berderai.

Pabila bulan bersinar dan menyinar alam semesta ini, hanya diri terpaku dalam menggapai sinaranmu. Aku angankan kau tetap menghulurkan tanganmu kepada ku dan tidak melupakan diriku ini dan melakarkan rindu yang tidak tertuai. Lukisan indah selalu dimainkan dalam kotak memori ini dan hanya dikaulah satu-satunya yang menjadi teman dalam lakaran itu.

Aku bisikkan pada angin lalu yang cinta kita tidak mampu di pertahankan lagi. Aku sematkan dalam diri tida
k perlu lagi aku memikirkan tentang angan kita berdua. Akan ku gapai keinginanku walaupun pahit untuk kunyatakan bahawa tanpamu di sisi aku tetap akan tekadkan tujuanku dan aku yakin yang aku mampu melangkah meski tanpamu ada disisiku.

Aku ingin lepaskan semua itu, kuburkan kenangan yang pahit dan bebaskan diriku dari belenggu itu. Aku tahu aku jua mampu merangka arah tujuan hidupku meski tanpa dirimu. Ku akan buktikan, itulah tekadku.
Top of Form

Tuesday 10 December 2013

Cinta tidak kenal usia

As
Lama benar Ima tidak membalas kiriman emel As hingga As merajuk. Maafkan Ima kerana terpaksa meminggirkan semua emel kiriman As. Masa betul-betul mencemburui kita.

As
Masih ingat tak sabahat kita Lela? Lela telah ditinggalkan oleh suaminya kerana masalah rumahtangganya yang berantakan telah melewati tiga tahun. Jalan penghujungnya mereka berpisah secara baik. Namun Lela selalu menghabiskan masanya dengan bersendirian, meratapi kisah duku hidupnya. Ima selalu menemaninya, memberikan kata-kata semangat buatnya. Katanya Ima tidak akan mengerti kerana Ima tidak melalui jalan yang dia sedang lalui sekarang. Rasanya memang senang kita mahu buatkan seseorang menangis tetapi sukar sebenarnya mahu buatkan seseorang ketawa.

As
Setelah beberapa purnama musim duka berlalu, tanpa angin ribut yang mendampar, tiba-tiba ada seseorang jejaka ingin menghulurkan salam perkenalan dengan Lela. Rasanya mungkin terlalu awal dia menyambut persahabatan tersebut, dia mendiamkan diri. Tetapi bagi lelaki tersebut yang dikenali dengan nama Lukman, putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.

As
Perkenalan mereka secara biasa-biasa sahaja. Suatu hari Lela meminta pertolongan Lukman yang kebetulan lalu di sebebelah keretanya. Lela mengucapkan terima kasih dan sekadar berbasa basi sahaja dengan Lukman. Namun tanpa disangka, Lela mendapat sms daripada Lukman dan mengajak keluar bersama. Lela agak cuak kerana Lukman itu masih terlalu mentah. Setelah dipujuk, akhirnya Lela bersetuju.

As
Apa yang paling mengejutkan Lela, pada pertemuan kedua mereka tanpa segan silu Lukman terus menyatakan hajatnya ingin menyunting Lela. Terkedu Lela dibuatnya. Lela menilik diri, apa kelebihan yang ada padanya hingga menyebabkan Lukman memandangnya sedangkan status yang dipegangnya adalah amat ditakuti oleh kaum hawa.

As
Kita tidak pernah tahu perencanaan daripada Allah SWT sehingga kita melaluinya. Ini hanya secebis cerita yang boleh membakar semangat As untuk terus menuju jalan yang positif.


Sunday 8 December 2013

Jangan di cari kenangan itu

Ima,
As akui yang As belum pulih sepenuhnya, kekuatan itu adakalanya hanyut di buai gelombang ribut membadai. Adakalanya As tewas dalam perjuangan ini. Telah As titipkan pesan, usah di cari kenangan itu, usah di pamerkan sejarah yang lalu tetapi mampukah As lawan jia ia terbentang terlayar di minda ini. As hanya mampu menangis pabila mengenang semua itu.

As semakin emosional sejak akhir-akhir ini mungkin hambatan kerja yang menuntut As mengorbankan masa As. Mungkin jua persoalan demi persoalan diasak di minda ini. As buntu dalam merungkainya. As tahu As harus akur dengan jalan ketentuan daripadaNya. As hanya hambaNya yang lemah, yang sentiasa tersasar dari lembahNya.

As merantau untuk mencari penghidupan baru, ,melupakan kisah silam yang memberikan air mata menemani. As sibukkan diri supaya tidak terimbau kenangan yang pahit itu. As aktif dengan beberapa pertubuhan supaya tiada masa memikirkan kesusahan diri ini. Hujung minggu As penuhkan dengan aktiviti yang berfaedah, berbakti kepada bangsa dan agama. As rasa aman dengan jadual baru As. Namun kita hanya merencana tetapi sebaik-baik rencana datangnya daripada Allah SWT. Mungkin di situ As teralpa sehingga As jarang untuk munajat padaNya.

As tahu sudah lama Ima pinta As supaya jangan berpaling lagi, teruskan perjalanan walaupun ada suara yang memanggil di belakang. Kenangan itu pabila di cari ia amatlah pahit untuk ditelan, apatah lagi untuk diluahkan. Mungkin sayang As masih lagi menyebabkan As menyimpan sisa baki kenangan itu. As takut untuk mencampaknya semua. As takut pada kenangan itu akan meninggalkan As selamanya. As tidak mahu mengambil risiko itu. Ima, janganlah Ima marahkan As kerana berperasaan demikian.

Ima, As sudah letih mengharungi ini dan As rasa sudah sampai masanya As membuang semua itu ke hujung dunia. Tolonglah berikan semangat pada As supaya tiada gentar di hati. Dia bukan seorang sahaja di dunia ini.

Senyum. :D