Saturday 10 June 2023

Cerita ceriti

"Akak kan amal yang mak akak nasihatkan, banyakkan sedekah, solat hajat dan sentiasa membantu orang, dengan itulah keberkatan kita mohon semoga kita dapat jodoh," Adlin menasihati Linda ketika mereka sama-sama makan tengahari bersama.

"Dengar tu baik-baik Kak Ina," Linda mengerling sekilas kepada Kak Ina yang buat endah tidak endah sahaja.

"Emmm...." Kak Ina hanya membalas begitu sahaja sambil sibuk membelek telefon bimbitnya, memeriksa mesej yang masuk.

Dalam hati Kak Ina terasa sangat, kenapa perlu ulangi lagi kata-kata itu, bagaikan menghiris dan di siat-siatkan. Takkan Kak Ina nak tunjukkan segala kebaikan yang dia lakukan di media sosial dan memberitahu kepada semua orang. Cukuplah Allah yang mengetahui.

"Minta mak doakan, supaya impian kita sama. Doa ibu kan berkat. Bagitahu mak apa yang kita mahu dan minta mak doakan yang sama. Jangan segan, ceritakan semuanya pada mak," Adlin masih meneruskan ceramah ringkasnya.

"Baiklah Kak Lin," balas Linda ringkas.

Detik hati kak Ina, bukan aku berahsia dengan umi, semua diceritakan walaupun berat namun Allah belum hadirkan jodoh untukku. Aku berdamai dengan takdir. Jangan cepat berputus asa dan aku tahu Allah mahu aku usaha lebih lagi. 


Ragam Pelajar waktu Peperiksaan

 Minggu ini sudah masuk minggu peperiksaan. 

Ada yang tenang sahaja menghadapi peperiksaan, bawa pen sebatang dan hanya selamba sahaja datang tanpa membawa slip peperiksaan dan kad matrik. Apabila di minta ke pejabat pentadbiran, mulalah merungut dan berlari-lari, masa yang diberikan hanya 30 minit sahaja, sekiranya peluang tertutup.

Ada yang kalut sehingga setiap langkah hampir tersungkur, mencari tempat duduk pun jadi salah. 

Ada juga pelajar antarabangsa yang agak sukar faham bahasa yang kita gunakan, macam ayam dan itik, pelbagai perkataan di pilih untuk menyatakan bahawa telefon bimbit perlu dimatikan tetapi agak sukar untuk memahamkan. Apatah lagi pemakaian yang tidak menepati etika pemakaian. Hanya mampu geleng kepala sahaja.

Selepas setengah jam ada yang ingin ke tandas, ada yang mengambil peluang bersembang dengan kawan sebelah, pensyarah perlu tegas menegur dengan tegas. 

Selepas habis masa, ada yang terlalu ingin cepat pulang sampai lupa mengambil dompet dan telefon bimbit mereka. Geleng kepala para pensyarah semuanya.

Ada yang memohon untuk keluar awal sedangkan sudah lama peraturan yang tidak membenarkan pelajar keluar awal, masih mahu mencabar peraturan yang telah dicipta.


Friday 2 June 2023

Kekal Positif

 "Dik Ya, bagaimana awak boleh kekal positif dalam kehidupan kita yang penuh toksik?"Tanya Mazlina pada rakannya yang sentiasa suka dan gembira dengan kehidupan sekeliling.

"Sebab hidup ini kan pilihan," pendek sahaja jawapannya.

Betul....sebenarnya pilihan kita untuk kekal positif ataupun negatif 

Jika kita pilih positif, maka aura positif akan sentiasa menemani kita. Kita akan dikelilingi oleh orang-orang yang positif, apabila ada negatif kita akan menukarnya untuk menjadikan ia positif.

Jangan pernah berhenti untuk menjadi orang yang positif dan memberikan kebaikan untuk semua orang. 

Mengapa kita mahukan negatif hadir dalam kehidupan kita jika kita boleh memilih positif? Betul tak?