Sunday 6 December 2015

Sofia

SOFIA
“3S atau S3 ?” Soal Sofiana
“Aku rasa S3 lebih power, ada ummmppph…” komen Sofiah
Mereka memandang kepada Sofia yang ralit menjawab mesej aplikasi di telefon bimbitnya.
“Hey, kami tanya ni,” sambil tangan Sofiah mencuit Sofia yang masih tidak mempedulikan apa yang ditanyakan oleh Sofiana.
“Apa-apa je la,” jawab Sofia acuh tak acuh, seolah tidak berminat dengan topic yang dibawakan oleh Sofiana.
Jelas tergambar kekecewaan di wajah Sofiana sambil menarik bibir mulutnya, muncung macam biasa.
Suasana pagi itu agak kelam kabut juga memandangkan ini adalah minggu terakhir mereka sebelum menghadapi peperiksaan akhir semester tiga tahun kedua mereka di kolej ini. Tinggal berbaki dua semester lagi sebelum mereka bergelar graduan.
Perkenalan mereka pada minggu suaikenal telah menjadikan mereka rapat. Ini kerana mereka berkongsi nama yang sama. Selalu mereka tersalah apabila ada orang menegur mereka.
Sofia nama panggilan mereka bertiga.
Sofiana Balqis pemilik nama Sofia yang pertama berasal daripada Johor. Penggemar laksa johor ini amat peramah dan baik hati. Selalu menolong mereka yang dalam kesusahan. Keluarganya adalah orang yang mampu dan senang. Ayahnya selalu mengingatkan Sofia supaya berkongsi suka duka dengan orang ramai. Itulah prinsip yang selalu menjadi amalan hidupnya.
Sofiah berasal daripada Terengganu, anak nelayan yang dibesarkan di tepi pantai dan laut yang membentang. Tidak boleh menyembunyikan identitinya kerana dialek Terengganunya amat pekat. Bercita-cita tinggi ingin menjadi usahawan yang berjaya iaitu membawa misi dan visi ayahnya yang terkubur.
Zarith Sofia sememangnya anak jati Bandar Kuala Lumpur. Tidak betah dengan suasana kampong kerana keluarganya adalah campuran antara Timur dan Barat. Selalu bercakap slang yang adakalanya memualkan rakan-rakan sekursus dengannya. Namun faktor memiliki nama yang sama membolehkan mereka bertiga serasi bersama biarpun memiliki karektor yang berbeza.
Setelah berlalu satu semester, mereka sepakat untuk berkongsi menyewa satu apartment bersama. Pemilik apartment itu semestilah Sofia, namun Sofiah dan Sofiana tetap membayar sewa dan berkongsi makan minum bersama. Kursus yang mereka ambil juga berbeza Cuma mereka berada di dalam fakulti yang sama. Jadual mereka juga adakalanya berbeza tetapi mereka selalu merancang untuk makan tengahari bersama kecuali apabila mereka ada perbincangan subjek.
Ketiga-tiga Sofia ini dikatakan anti lelaki, tiada di antara mereka yang mempunyai teman lelaki. Mereka selesa bergerak ke tiga kemana-mana. Tengok wayang bersama, berkelah bersama, merantau bersama dan segala aktiviti akan diikuti bersama.
“Sofia,” laung seorang lelaki di Cafeteria Ummi ketika mereka bertiga usai menjamah juadah yang terakhir. Serentak mereka berpaling kerana tidak tahu siapakah antara mereka yang dipanggil.
“Eh aku lupa, kau orang bertiga nama sama,” sengih Azman apabila dia sudah berdiri di depan mereka bertiga.
“Aku pelik dengan kau orang bertiga, perlu ke nama sama berkawan dan menjadi BFF?” Azman cuba memprovokasi mereka bertiga. Mereka bertiga menghirup air sirap yang diberikan percuma oleh Alia.
“Zarith Sofia,” akhirnya Azman menuturkan nama yang ingin dia bercakap.
Dari tadi Sofia tidak mempedulikan kehadiran Azman. Dia cukup meluat dengan gelagat Azman yang selalu mengambil kesempatan untuk datang berborak dengannya.  Azman itu menepati lelaki melayu terakhir tetapi dia tetap tidak mahu mempunyai hubungan yang lebih mesra buat masa sekarang. Itu janji hatinya.
Sofiana dan Sofiah masing-masing mengambil telefon bimbit dan menyemak sekiranya ada pesanan ringkas untuk mereka.
“Apa kata kita pergi makan dekat CafĂ© baru dibuka Poran Coffee petang ini? Dah ada testimoni yang aku baca dalam IG mengatakan best dan bagi lima bintang” Azman terus berbicara biarpun tiada siapa yang membalas kata-katanya tadi.
“Hai S3! “ Sapa Alia rakan sekelas Sofiah . Azman merenung mereka bertiga, tidak faham apakah makna nama yang dipanggil oleh Alia tadi.
“S3 ?” terbatuk-batuk Azman menyebutnya sambil mukanya tersenyum mengejek.
“Kau dah tukar jantina ke?” Tanya Hakimah sambil melepaskan lelah, penat berlari-lari anak mengejar Alia tadi. Bimbang dikecam kerana selalu lambat.
“Kenapa pula?” Azman berpura-pura
“Ini persatuan Muslimah sejati tengah nak bermesyuarat,” jelas Alia sambil memandang tepat ke muka Azman
“Ini mesti gerakan anti lelaki,” Azman masih cuba memprovok mereka berlima.
“Apa kata kami lantik awak sebagai pengerusi, setuju tak?” Sofia bersuara mengejek.
“Boleh join ker?” Azman masih lagi meneruskan lakonan bersahajanya yang menyebabkan mereka berlima semakin rimas dan geram.
“Sofia, daddy kau dah setuju ker?” muncul Nabilah tiba-tiba bersama satu dulang air yang berbagai jenis. Selalu Nabilah tahu air kegemaran kawan-kawannya, sudah hafal ayat air yang dipesan oleh mereka.
“Air untuk aku tak da ker?” Azman masih tiada tanda mahu berganjak
“Eh kau nak join aktiviti kami juga ker?” Nabilah yang tidak tahu apa-apa tu berminat bertanyakan Azman.
Mereka berlima memberikan isyarat pada Nabilah supaya jangan melayan Azman. Mereka mahu dia pergi secara terhormat tetapi Nampak gayanya tidak menjadi taktik mereka.
“Sofia, saya sebenarnya bersungguh mahu menjadikan awak sebagai suri hati saya,” akhirnya Azman memberanikan diri melamar di depan rakan-rakan Sofia yang lain.
“Azman, awak kan tahu Sofiah dan Sofiana adalah BFF saya. Jika awak nak kan saya, carikan calon untuk mereka berdua juga ye,” selamba sahaja Sofia menutur ayat itu tanpa berfikir panjang.
“Kami berjanji nak kahwin dan sanding bersama,” Sofia membalas sambil lewa. Sofiah dan Sofiana menjeling tajam pada Sofia, getar hati mereka menahan marah tetapi mereka mendiamkan sahaja, bimbang tercetus perang dunia ketiga.
“Sofiah dan Sofiana nak ciri yang macam mana?” galak Azman menyoal.
“Mesyuarat kita ni jadi ke tak ni?” tegas suara Hakimah setelah melihat drama yang semakin tegang.
Angin malam itu mendamaikan bertiup menipis mengalunkan rambut Sofia yang panjang itu. Sofia merenung bintang dan bulan bagi mencari jawapan apa yang dituturkan oleh Azman tadi. Puas dia dimarahi oleh Sofiah dan Sofiana tadi. Merajuk panjang mereka berdua sehingga enggan keluar makan, sanggup berlapar.
Kursus pengajian yang diambil oleh Sofiana memerlukan dia melakukan latihan praktikal pada semester kelima. Sebelum ini dia beria ingin melakukan latihan itu di sini, ibu kota. Alih-alih dalam diam dia menukarkan tempat latihan itu ke daerah kelahirannya. Rajuknya masih bersisa, kecil hati seolah dia tidak laku di pasaran.
Sofiah pula mencari alasan untuk berpindah ke apartment bersama rakan sekuliahnya. Tahun akhir adalah tahun mencabar memerlukan banyak kerjasama daripada semua rakan sekuliahnya. Dia tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan oleh kedua ibu bapanya. Kecil hati tu sememangnya ada tapi dia lemparkan jauh-jauh mengenangkan Sofia banyak menolong dirinya sejak hari pertama dia mendaftar diri di kolej lagi.
Sofia merasa kesepian setelah mereka berdua meninggalkan mereka. Aktiviti yang dirancang pun tidak menjadi, masing-masing memberikan alasan sedangkan sebelum ini mereka berdualah perancang utama dalam aktiviti percutian tersebut. Sofia kecewa, terlajak perahu boleh diundur tapi terlajak mulut badan binasa.
Selepas peristiwa itu, panggilan telefon Azman tidak dijawab dan dia selalu mengelak dirinya dari ketemu dengan Azman. Azman tahu apa sebabnya dan dia membiarkan Sofia bertenang terlebih dahulu.
Akhirnya bulan Disember bulan yang dinanti oleh mereka bertiga iaitu hari konvokesyen. Setelah beberapa lama terpisah mereka berjanji untuk bertemu ketika mengambil jubah dan mendaftar. Masing-masing cuba mengemaskini status mereka.
Sofia akan terbang ke UK menyambung  pengajian di peringkat master. Dia memberi kata putus pada Azman yang dirinya sudah ditunangkan dengan anak kawan ayahnya. Boleh dibayangkan bagaimana hancurnya hati Azman yang menyimpan perasaan itu selama dua tahun. Sofia sendiri pun tidak tahu mengapa dia setuju sahaja dengan pilihan ayahnya setelah menolak beberapa kali perkenalan yang diatur oleh ibunya. Bimbang dikatakan anak derhaka dia terus setuju dengan calon kelima ayahnya.
Sofiah akhirnya diterima sebagai pegawai akaun disebuah syarikat audit yang terbesar. Dia telah direkomenkan oleh pensyarahnya kerana dia merupakan salah seorang pelajar yang terbaik. Dia cekap membuat kerja dan berbakat besar untuk mengembangkan kerjayanya. Sofiah nekad untuk membantu kedua ibu bapanya yang masih lagi bernafas.
Sofiana memilih untuk tidak bekerja sementara waktu ini kerana dia mengikut ayahnya menjadi sukarelawan di luar negara, membantu pelarian yang hidup dalam ketakutan. Dia mahu mengabdikan diri seketika sebelum melangkah ke alam seterusnya.  Dia merasa gembira apabila dapat menolong orang yang di dalam kesusahan. Hatinya lembut walaupun dia seorang yang tegas dalam hidupnya.
S3 tidak pernah berkubur, mereka tetap berhubung melalui pelbagai aplikasi sosial sekarang ini. Cuma angan mereka bersanding bersama mungkin tidak kesampaian kerana jodoh yang sampai dulu adalah Zarith Sofia. Ini sememangnya dijangkakan oleh mereka kerana Sofia memang ramai peminat ketika di kolej dulu dengan penampilannya yang elegan dan sosfikated.


Saturday 5 December 2015

Pilih Kasih

Pilih Kasih
“Tahu tak kenapa saya suka kelas group Ali?” Tanya Mariani kepada kawan baiknya Fadlina.
“Sebab ramai pelajar lelaki kan?” Duga Fadlina sambil ketawa mengekek-ngekek.
Mariani hanya senyum sahaja menandakan dia setuju dengan jawapan Fadlina.
Semester ini Mariani mengajar pelajar daripada Fakulti Alam Bina dan Kejuruteraan yang majoritinya adalah pelajar lelaki. Mariani adalah tenaga pengajar untuk pengajian asas, kursus wajib yang akan diambil oleh semua pelajar di IPT.
“Ali tu bagaimana orangnya,” Fadlina cuba menelaah fikiran Mariani yang masih tersenyum sumbing.
“Ali tu pintar orangnya, suka sangat bertanya walaupun adakalanya dia macam sudah tahu jawapannya. Pakaiannya kemas, jam tangannya brand yang terkini. Datang denagn moto sebab selalu bawa helmet ke kelas.  Dia tak nak kalah dengan kawan-kawannya, selalu ajak berdebat. Speaking berhabuk tu….” Mariani panjang lebar bercerita tentang Ali, pelajar kesayangannya barang kali.
“Mariani,” panggil Syasya rakan sekerjanya.
“Ya, kenapa?” Soal Mariani.
“Kenal tak Adlina, pelajar jurusan Kejuruteraan Komputer tahun satu?” Tanya Syasya.
“Tak.” Sepatah sahaja sambil tangannya lincah menaip di komputer ribanya.
“Dia kata dia ambil subjek yang Mar ajar. Katanya ada clashing waktu kuiz nanti dengan subjek saya. Mar buat kuiz bukan waktu kelas ker?” Tanya Syasya.
“Eh budak mana tadi tu?” Soal Mariani sambil mencari kertas kedatangan yang ditandatangani pelajar, cuba menyemak nama yang disebut oleh Syasya. Padahal dalam kelas itu, hanya lebih kurang 15 orang sahaja pelajar perempuan berbanding lelaki iaitu lebih kurang 40 orang.
Mariani mengakui dia cukup liat untuk mengingati nama pelajar perempuannya berbanding dengan lelaki. Itulah kelemahan yang ketara yang sentiasa menjadi ejekan dari rakan sekerjanya.