Sunday 29 September 2013

Lakaran lepas

Cerita yang pernah kita lakarkan hanya menjadi sejarah hari ini. Dan kau hanya mampu lafazkan maaf kerana tidak mampu persembahkan apa yang telah kita janjikan sebelum ini.
Pernahkah kita sesalkan apa yang telah terjadi dan tiada antara kita minta ditakdirkan sebegini. Tak mungkin kita mahukan pengakhirannya sebegini kerana kita berdua yakin setiap yang berlaku ada hikmah di sebalik ini. Kita telah berjanji walau apa yang berlaku, kita kena hadapi hidup ini dan mesti kuatkan semangat melalui hari-hari mendatang.

Kini aku berjalan melangkah membawa cinta yang pernah hadir di ruang hati ini menjadikan teman waktuku berduka. Izinkan aku menyimpannya sehingga sampai waktunya aku akan menanamnya. Sampai waktunya aku tetap akan kuburkan ia....pasti. Aku sebenarnya tidak tahu bagaimana caranya untuk kekal tabah mendatangi bilah-bilah hari tanpa kau di sisi. Aku mula belajar warna pelangi untuk menghiasi taman hatiku ini, umpama kaca yang retak menanti derai.

Tiada yang bisa melelahkan aku....kenangan yang berputar dalam mindaku ini. Aku kebasahan menahan tangis yang meluru keluar. Bagaimana aku mahu menangkis semua itu? Ku mohon padaMu supaya dibekalkan ketabahan mendepani hari-hari yang mendatang. Pintamu tenanglah menghadapi dugaan ini sedang aku sendiri menahannya dalam gelap dalam sinar.


Percayalah bahawa semua ini akan berlalu walau kau menahannya....dan aku ditinggalkan pergi dalam duka. Dalam kegelapan kau tinggalkan aku. Sebentuk hati yang telah pecah berderai...di dalam lautan kasih yang kau musnahkan.

Di hati ini tiada lain yang bertamu....hanya kamu. Dan saat yang paling menyakitkan apabila kau tidak izinkan aku walau sekelumit hadir sekalipun dalam mimpimu. Sepi mencengkam hatiku dan cahaya mula berdikit menghilang. Aku rasa aku tidak mampu berdiri lagi...tiada lagi yang akan menyokongku jika aku terasa ingin rebah. Seharusnya aku belajar mengenal dunia ini. Dan kau tutup kemas pintu hatimu ini sehingga tiada lagi ruang untuk aku bertapak kembali.

Pintamu lagi, relakan kau pergi dalam diriku. Saat itu hanya kelam menyulami dan aku terdiam sepi. Suara tangisan tersekat di kerongkong dan menusuk jantungku. Ucapku perlahan....aku akan teruskan hidup ini tanpamu.

Thursday 26 September 2013

Keliru

Masih aku mengatakan tidak apabila pintamu untuk melupakan buat seketika. Kenapa? Jawapannya sememangnya ada di tanganmu. Walau kau sudah lama berlalu dalam hati ini namun aku tetap setia padamu. Kenapa? Sukar untuk aku mengusik namamu dalam hati ini yang sudah terpahat teguh di sudut sanubariku ini.
Doaku, Ya Tuhan, kembalikan dia padaku kerana aku sangat mencintainya dan tidak mampu aku melupakan. Terdayakah aku meneruskan hidup ini tanpa cintamu.
Apa lagi yang perlu ku lakukan untuk mengekalkan dirimu di sisiku. Dan segalanya aku telah cuba untuk memiliki seluruh hatimu itu. Apa yang tinggal hanyalah kepasrahan dalam mengharungi hidup dan ranjau ini.
Di mana sahaja aku berada, dirimu tetap menghantui diriku ini. Kenangan dan memori memang terpahat dalam ingatan dan sentiasa di bawa walau dalam mimpi pun.
Andai kau berikan waktu untuk aku fikirkan kembali, aku tetap akan katakana bahawa dirimu tetap menjadi pilihan hidup ini. Akan aku tetap menemanimu tika susah ataupun senang. Untuk meniti hari yang berlalu, kau sentiasa yang pertama menjadi ingatannya.
Pintaku jangan tinggalkan aku sendiri kerana aku merasakan seolah kelam seluruh jiwaku ini jika kau berlari dan mengucapkan selamat tinggal.
Harapanku agar kau tidak berubah sejak kali pertama aku mengenali dirimu. Aku ingin kau terus menyayangi diri ini dari dulu dan selamanya.
Kau yang aku kenali dan kini menjadi insan yang lain. Dulu kau berjanji bahawa kitakan hidup semati meniti hari tetapi semua ini telah berakhir.

Friday 13 September 2013

Terdayakah menahannya

Mampukah aku menahan empangan ini daripada melimpah? Mengapa aku diduga sengsara sebegini sedang ada orang menikmati rasa bahagia itu berganda? Tiap cerita mempunyai cinta, kasih sayang, derita, air mata dan dugaan.

Aku makin rasa mendalam luka itu apabila cinta yang didalam genggaman itu dipadam oleh angin yang dingin. Aku hanya mohon dikembalikan rasa itu namun aura angin itu lebih kuat dari permohonan aku itu.

Sendiri aku mengayuh perjalanan yang panjang ini. Aku lihat kiri kanan aku masing-masing menuju jalan mereka tanpa mempedulikan persekitaran mereka. Meniti jalan yang tajam berduri membuatkan aku terduduk dan tidak mampu berlari lagi. Kau telah buat aku hanya mampu merangkak. Aku harus mula belajar berdiri dengan jatuh bangun yang tiada siapa sudi membantu. Sendiri ....sendiri.

Andainya dia mengerti kenapa aku mengambil langkah sedemikian? Mungkin tiada saat untuk aku merasai derita itu. Namun itu hanya dalam mimpi sahaja sedang aku di sini tertahan air mata dari mencurahnya. Aku tidak mampu melerai segala kekusutan yang mendatang dan mendorong perpisahan ini.

Salahkah aku menafsiri hidup ini yang penuh kelam ini? Jangan salahkan diriku jika jalan yang luas aku telah bentangkan tetapi jalan yang sempit juga menjadi pilihanmu kerana aku telah ingatkan awal-awal lagi.

Mungkin di luar sana mudah terpedaya dengan tipu muslihat namun aku tetap tegar dan teguh di sini mendokong aspirasi hidup. Bekalan hati di isi penuh ragu-ragu jika ia habis sebelum sampai matlamatnya.