Sunday 2 April 2023

Diari Pendidik

Minggu keenam

"Pelajar semua, minggu depan adalah pembentangan proposal ataupun kertas cadangan untuk projek," umum Cik Zulaikha dalam kelasnya.

"Semua kena datang ke?"

"Bagaimana dengan pakaian?"

"Bagaimana kalau ada ahli tidak dapat datang?"

Bertalu-talu soalan diajukan oleh pelajarnya. 

"Selalunya pembentangan pelajar wajib datang, bentangkan kerana semua itu adalah markah secara individu, pakaian pun mestilah formal, berlatih dan jangan baca sahaja," panjang jawapan Cik Zulaikha.

"Baik," serentak jawapan pelajar menggegarkan kelas, gamat seketika.


Minggu ketujuh

Seawal pagi lagi beberapa pesanan ringkas masuk dalam telefon Cik Zulaikha, ada yang meminta izin tidak dapat datang pembentangan kerana masalah peribadi, masalah kampungnya ditenggelami air, masalah kesihatan dan pelbagai lagi. 

"Cik, maaf saya lupa kena pakai baju formal," pesanan ringkas daripada Zuhdi dibaca sahaja.

"Cik, maafkan saya, mungkin saya lambat sedikit kerana bas lambat," Azie memberikan alasan seperti biasa.

"Cik, saya baru terjaga dari tidur dan saya hadapi masalah untuk dapatkan grab," adu Amir setelah setengah jam wajahnya belum munculkan diri. 

Cik Zulaikha cuba bersangka baik dan beristighfar supaya tidak mengeluarkan amarahnya. Bulan puasa ni kena banyak sabar melayan karenah pelajar yang pelbagai. 

"Mengapa semua ahli kumpulan tidak sama-sama semak dulu proposal ini sebelum menghantarnya? Mana tugasan secara terperinci seperti yang saya mahukan? Mana gambar dan arahan tentang aktiviti?" Soal Cik Zulaikha kepada kumpulan Power Boy yang tidak mengikut arahan yang diberikan. 

"Banyaknya kesilapan yang dilakukan oleh kumpulan awak ni," luah kemarahan Cik Zulaikha kepada kumpulan November Spring. 

Begitulah karenah yang perlu dihadapi oleh Cik Zulaikha dalam menangani pelajar sekarang. 


Saturday 1 April 2023

Sia-sia

 Rasa ini bagaikan menyesakkan diri ini, bagaimana mahu aku hadapi hari-hari yang mendatang. Lelah aku menghadapi karenah ini

Sia-sia sahaja pengorbanan yang ku lakukan selama ini, mengapa ini tindakan yang kau lakukan? Adakah aku tertipu dengan tutur caramu, dengan alasan bahawa kau mencintai diri ini walau bagaimana pun keadaan diri ini. Semua lelaki sama bagiku, alasan demi alasan diberikan bagi  memenangkan diri dan melindungi diri ini.

Bagaimana dengan aku, yang sudah terlanjur mencintaimu? Kau datang dengan memberikan pelbagai harapan, kau bina harapan bersama. Namun begitu, kau pergi dan hilangkan tanpa khabar berita, sepi dan diam seribu bahasa.

Jawapanmu bahawa kau tidak mampu memutarkan waktu. Mengapa waktu yang disalahkan? Sedangkan keputusan telah kau putuskan dari dulu kan? Katamu jua kau sudah ragu dengan keputusanmu, dan memilih untuk melangkah pergi jauh dari hidup ini.

Katamu bukan mudah untuk kau putuskan ini namun kau rasa inilah yang terbaik dalam kehidupan ini. Cinta hanya sesaat sahaja bertapak dalam kamus kehidupan kita.

Katamu lagi ini bukan alasan untuk kau tidak mempertahankan cinta ini, takkan mungkin kau memaksa dirimu untuk terus mempertahankan sedangkan sekelumit cinta telah sirna. Katamu lagi kau sudah lelah hidup dalam kepuraan 

Kenangan itu indah

Biarlah aku melangkah pergi 

Bukan bererti aku tidak setia 

Dalam mendambakan kasih ini 

Aku pergi kerana aku merasakan 

Bahawa kita tidak mampu lagi bersatu

Maaf aku 

Mungkin ini yang terbaik untuk kita 

Kenangan itu tersangat indah 

Untuk aku kenangkan 

Relakan aku melangkah pergi 

Mungkin ini pengakhiran yang terbaik 

Takdir yang telah tertulis 

Aku tidak ingin ada rasa benci

Aku tidak ingin ada kata caci 

Apa yang aku inginkan 

Semoga kita saling mendoakan 

Agar hidup kita masing bahagia 

Kenangan kita takkan kulupa

Ketika kita masih bersama
Kita pernah menangis
Kita pernah tertawa
Pernah bahagia bersama
Semua akan selalu kuingat
Semua akan selalu membekas
Kita pernah bersatu dalam satu cinta
Dan kini kita harus terpisah
Dan biarkan kita cipta memori sendiri 
Cipta kebahagiaan masing -masing 
Kenangan bersama tetap indah 
Takkan aku padamkan dari memori 
Biarkan ia tetap terpahat 
Maafkan aku