Friday 22 November 2013

Rembesan airmata

Ima, 
Sekali lagi As ingin menitip surat pada Ima setelah sekian lama kita masing-masing mendiamkan diri. Mungkin tuntutan kerja mendambakan kita menyepikan diri.

As merenung diri ini....apabila teringat kembali bahawa tentang cinta yang tak kesampaian, betapa lemahnya hati ini. Dan tangisan demi tangisan akan dirembeskan bagi melegakan jiwa yang galau ini. Adakalanya As bagaikan orang yang sasau apabila tidak menghiraukan makan dan minum. Pabila terkenang kembali, As amat kesal, sekesalnya kerana terlalu mengikut kata hati.

"Bukankah banyak lagi yang perlu ditangisi? Kekejaman Russia di Chechya, kebuluran di Afrika, Baitulmuqaddis yang masih dalam genggaman Yahudi malah masalah kanak-kanak di seluruh dunia, juga pembunuhan secara kejam orang islam di Maluku? Kenapa hal cinta yang tidak kesampaian itu menjadi prioriti?"

As terkesima apabila ada seorang sahabat yang menghantar emel kepada As ( kata-kata di atas). As bagaikan tersentak daripada mimpi selama ini. As renung diri kembali.  Mungkin dari itu As kembali bangkit dan belajar untuk kembali berdiri. As akhirnya mendapat suntikan semangat itu dan meneruskan perjuangan yang hampir rebah. 

Berulang kali As membaca dan membacanya. Lalu As ambil penawar yang paling mujarab jika As tiba-tiba teringat padanya. As dakap kemas kitab rujukan kita semua, al-quran. As meneliti dari satu ayat ke satu ayat dan ia amat membuatkan As bahagia. Syukurlah kerana As masih diberikan kesempatan untuk mendekatiNya.


Saturday 16 November 2013

Sepanjang perjalanan ini As tidak tahu mengapa airmatanya laju sahaja mengalir. Sejak akhir-akhir ini airmata bagaikan teman setianya. As sendiri pelik, kenapa dia makin kerap beremosi sehingga begitu sensitif dengan apa sahaja pertanyaan berkenaan dengan dirinya.

As semakin terbeban dan tergalas dengan pelbagai pertanyaan yang bertalu datangnya dari saudara mara dan sahabat handai. Andai dapat, mahu rasanya As pergi berkurung di mana, yang tidak perlu berjumpa dengan seorang manusia pun. Mampukah begitu?

Mengapa persoalan itu yang dibangkitkan oleh mereka semua? Tiadakah pertanyaan lain yang boleh menggembirakan hati As ini? Rasa rajuk ingin segera As pulang ke UK semula, belajar dan belajar lagi. Sampai bila As harus lari dari kenyataan yang benar-benar pahit. As percaya semua ini hanya ujian yang kecil sahaja.

Dugaan untuk diri dapat As tempiaskan lagi tetapi sekarang dugaan untuk kerja yang datang tanpa diduga. Pelbagai bebanan kerja ditambah dari sehari ke sehari bagaikan kita tidak akan berdepan dengan sebuah kematian. Masa lapang dirampas sepenuhnya sehingga tergadai masa sosial. Apabila menjejakkan kaki ke pejabat, terus bertungkus lumus sehingga luput waktu tanpa disedari. Balik rumah, minda As sudah mamai dan memerlukan rehat yang panjang. Mana ada masa untuk menambah ilmu ukhrawi lagi. Adakah ini semata-mata dikatakan alasan.

Adakalanya apabila masa sibuk datang, dapat menghalau galau di hati ini tapi ia cuma sekejap sahaja. Apabila kembali tenang, tasik hati dan jiwa ini berkocak kembali. Parahnya hidup ini jika dibiarkan sebegini tanpa diubati.

"As, adakah kita ini mangsa keadaan ataupun sememangnya telah dizalimi?" Tanya sahabat seperjuangan Leen setelah melihat As kelelahan. Mana mungkin terkejar mengejar dateline yang semuanya memerlukan masa untuk melangsaikan hutang itu. Tuntutan tugas yang memerlukan kita meneliti dan berjumpa dengan orang ramai memerlukan masa.

"Leen, jika kita rasa dianiayai, apa yang mampu kita lakukan, berdoalah. Orang kata, doa orang yang dizalimi akan diterima," As cuba memujuk Leen serangkap memujuk diri sendiri juga.

Terdengar keluhan kecil terbit dari kami berdua. Tidak mahu memanjangkan bicara kami menyambung kerja yang tergendala tanpa menoleh lagi.

Lewat petang semalam, As menerima emel kiriman sahabat lama, katanya As mampu mengharunginya berdasarkan pemerhatiannya pada As selama ini. As tersenyum usai membaca kirimannya. As melihat sekeliling walaupun ada dinding yang menghalang namun As tetap merempuhnya sebelum ini hingga As berjaya mencapai citanya.

Tiada yang mustahil di dunia ini, mampu As petik kemahuan dan menghiasinya di taman hati ini.


Sunday 10 November 2013

Seputar kehidupan



“As, kau nak tak jadi pengapit aku?”  Tanya Sumayya.
Aku tergamam. Sedih pun ada. Sampainya hati Mai. Teganya dia nak lukakan hati aku lagi. Aku kan sepupunya yang paling dia rapat. Apa dia ingat hati aku ni kayu yang tak punya perasaan? Kejam. Aku mahu anugerahkan dia  Anugerah Manusia Paling Kejam di dunia ini. Hatiku merintih. Tapi itu semua dalam hati, tidak pernah aku lafazkan dan zahirkannya.
“Seseorang itu dicintai kerana dia sememangnya layak dicintai. Tak ada sebab atau alasan untuk mencintai seseorang.” As memberikan jawapan apabila ditanya tentang cinta oleh sepupunya Mai ataupun nama penuhnya Sumayya.
Mai sering mengadu masalahnya dia dengan encik tunang tersayang. Ada sahaja gaduh-gaduh kecil disebabkan bab yang remeh temeh. Mungkin disebabkan Mai ini agak manja, maklumlah anak tunggal perempuan.
“Eh! As bila kau nak kawin?  Takkan nak tunggu aku bercucu dulu? Patutnya kau kahwin dulu sebabnya kau tu tua dari aku.” Bebel Mai yang sememangnya dikenali mulut tiada insuran. Sedap mulut dia je tanpa pernah nak menjaga perasaanku. Mujurlah dia sepupuku yang paling rapat dan aku mengenali dia sejak dari kecil lagi.
“Aku tak rasa aku tua pun.” Aku mencebik. Tak habis-habis orang bebel tentang isu kahwin. Apa tak ada isu lain ke dalam dunia ni, aku mengeluh perlahan.
“Kamu masih ingatkan kekasih lama dan tidak terbuka lagi untuk menerima orang lain dalam hati kamu?’ Pertanyaan Mak Long tengah hari tadi berlegar di benakku, sekali lagi. Benarkan aku masih menyimpan dia?
Pertanyaan-pertanyaan itu membuatkan aku senak untuk balik ke kampong. Tambahan apabila diserang soalan yang bertalu-talu sedang aku tiada pertahanan yang cukup canggih.

Getar bicara

Apabila hati ini berbicara lagi, lemah seluruh tubuhku ini dari menahan bibir dari berkata-kata tentang rasa cinta itu. Di dalam dada yang terkurung ini dan seolah aku terpenjara di sini untuk menanti masa supaya kau  kau sedar bahawa hanya kau yang aku cintai.

Aku mengharapkan kau membuka pintu hatimu itu. Aku hanya mampu melahirkan tangisan di mata sahaja kerana diriku tak mampu bersuara pada saat ini.

Apa yang menyedihkan ialah apabila aku melihat kau bersamanya. Walaupun aku cuba bersabar, namun aku dalam ketidakrelaan dan terpaksa membiarkan hatiku merana.Apa yang harus aku lakukan sebenarnya? Supaya aku tidak dikategorikan sebagai manusia yang lemah dan aku mahu kau lihat kelebihan yang aku ada berbanding dengan dirinya.

Apabila aku memikirkan tentangmu, hanyalah rasa rindu itu yang bergetar dalam dada ini. Sampai bilakah harus aku menanti supaya kau sedari kewujudanku di sini? Aku tidak mahu kehilangan kasihku dan impian nekadku untuk bersama denganmu. Bagaimana aku mahu kau bukakan pintu hatimu untuk diriku ini.