Sunday 23 July 2023

Coretan Diari Salwa

 "Puan Salwa, Danial nak tanya sikit?" Tiba-tiba Danial mengangkat tangan ketika Puan Salwa mengagihkan tutorial untuk dilengkapkan selepas sejam mendengar syarahan Puan Salwa.

"Ya ada apa?" tanya Puan Salwa.

"Kat sini nak kena tulis nama penuh ke ataupun nama pendek?" Tanya Danial sambil menunjukkan dalam bahagian slide powerpoint yang mereka perlu letakkan jawapan perbincangan.

"Puan, Aina nak tanya, kat mana kami nak tulis jawapan kepada soalan tadi?" Aina meja sebelah pula bertanya sambil menjenguk sebelah.


Selepas beberapa langkah Puan Salwa mahu ke depan, Mira meluru ke depan sambil membawa tabletnya.

"Saya tahu yang kita telah diberikan tugasan 1 tapi apa yang perlu kami buat sebenarnya? Saya masih tak tahu?" Mira bertanya dengan wajah yang sangat polos, seperti biasa dia akan ketinggalan info ataupun maklumat.


"Puan, berapa orang dalam satu kumpulan?" Hakimi menyampuk ketika Puan Salwa sedang menerangkan lagi panduan penulisan tugasan.

"Puan, nama kumpulan berdasarkan apa ye?" Tak sempat Puan Salwa menjawab soalan, tiba-tiba Irfan pula menyoal.

"Awak semua ni tak baca ke panduan yang saya berikan dalam Google Classroom?" Nada Puan Salwa agak tinggi memandangkan mereka bertanya seolah-olah Puan Salwa tidak memberikan apa-apa panduan.

"Sabar Puan, kami mahu pastikan sahaja," serentak mereka bersuara seolah berpakat dan terus mereka berlari ke tempat duduk masing-masing.

Itulah gelagat pelajar-pelajar Puan Salwa yang kadang kala menaikkan anginnya dan kadang kala menghiburkan hatinya.