Sunday 12 January 2020

Kembali sepi


Sepi yang sudah lama ku simpan, kembali aku keluarkan kembali setelah beberapa bulan perkenalanku dengan Rozlan menemui jalan penamatnya. Aku akui akhirnya aku meluahkan juga isi hatiku ini, rasa kecewa, sakit dan tertekan.

Bukan mudah aku pujuk diri ini untuk melepaskanmu Rozlan. Hadirmu membahagiakan diri ini, membuatkan impianku kembali bersinar. Pelbagai angan sudah terpasang dalam hidupku. Namun dalam sekelip mata, ia musnah begitu sahaja.

 Cinta ini masih lagi bersisa, kasih ini masih bertepi, sayang ini masih tersimpan, mana mungkin aku menjauhkan diri ini namun aku kuatkan diri ini melangkah meninggalkan mu.
Simpankan semua kenangan kita bersama, bukan aku tidak mahu membuka ruang itu tetapi cukuplah ruang masa yang telah aku berikan. Aku tidak mahu terikat lagi dan tergantung begitu.

Aku mahu hapuskan semua rasa itu, mahu buang semua itu dan mahu lontar ia jauh dari pelusuk rasa hati ini. Kau tidak mencapai semua syarat yang telah aku tetapkan, dan kau tidak mampu gapainya jika syarat yang pertama kau sudah gagal.

Tidak pernah aku salah suratan yang tertulis bahwa kita akan berjumpa dan berkenalan. Cuma takdir tidak terlukis bahawa kita akan bersama.

Dulu aku rasakan takdir memang tercipta buat kita, aku mahu kita gapai impian kita bersama dan setia bersama selamanya. Aku rasakan kau terbaik untuk diriku. Kau bagiku takdir yang takkan ku lepaskan tika itu.

Gambaran impian kita makin berkaca selepas itu dan semakin hari semakin kelabu dan akhirnya pecah berderai. Mengapa kau memilih sepi dan mendiamkan diri, bukan mahu menjelaskan dan mempertahankan hubungan ini? Serapuh ini kah yang kau anggap nyawa.




Tinta buatmu



Sudah lama Ija tidak coretkan madah di kertas kajang ini. Rasanya paling akhir ketika sekolah dulu. Ija tidak tahu mengapa Ija selesa menulisnya di kertas kajang berbanding menaipnya di laman buku ataupun sesawang yang lain.

Cinta yang hadir buat kita hanya seketika sahaja, ia bakal berakhir tidak lama lagi selepas segalanya terdedah. Jalan yang kita perlu lalui adalah jalan yang berbeza, takkan mampu kita lalui jalan yang sama.

Ija mengharapkan Hafiz faham kenapa Ija mengambil tindakan begini. Ija tidak boleh menipu diri Ija ini yang impian Ija setinggi gunung. Ija tidak mahu Ija berpura-pura mencintaimu dan menggoreskan hati kita semua.

Bukan Hafiz tidak ada hak untuk mencintai seseorang yang lebih dari Hafiz tetapi Ija ini yang mempunyai ego yang tinggi. Ija takut nanti Ija akan meminta macam-macam sedangkan Hafiz tidak mampu. Sebab itu salah satu ikatan perkahwinan itu haruslah terbina dalam keadaan yang sekufu.

Dalam berbicara nampaknya Hafiz juga sukar untuk mengejar impian Ija yang setinggi awan di langit biru. Dalam pencarian kita, nampak ketara kita mempunyai arah yang berbeza. Terpisahnya kita kerana mengejar impian.

Ija tahu Hafiz sentiasa mengulangi bahawa kasih Hafiz terhadap Ija tidak akan berubah tetapi Ija tidak mampu memaksanya. Ija tidak mahu menerima kerana kesunyian dan kasihan. Disebabkan itu juga Ija mohon Hafiz melangkahlah dan terus mencari pengganti secepat mungkin. Tiada takdir tertulis antara kita.

Hati ini rapuh, lelah mencari cinta dan kehidupan yang penuh duka. Namun Ija tetap pertahankan hak Ija. Cuma Ija ucapkan terima kasih kerana pernah menceriakan hidup Ija dan memberikan erti bermakna dalam hidup ini walau seketika cuma. Ija tetap merasa sakit atas perpisahan ini. Ija yang minta perpisahan ini tetapi Ija tetap rasa pilunya.

Buat masa ini Ija masih belum temui pengganti. Biarlah Ija begini buat seketika. Ija mohon undur diri dulu.



Saturday 11 January 2020

Lelaki itu

"Treet...treet.." bunyi mesej whatsapp masuk tetapi tidak dihiraukan oleh Laila. Laila sedang menaham geram dengan seseorang, dia termenung panjang merenung tingkap yang terbuka itu, membiarkan segala mesej yang masuk tanpa mahu melihatnya, apatah lagi mahu membalasnya.

Fikirannya kembali menerawang saat perkenalannya dengan Hanafi dua bulan lepas. Beria Hanafi memperkenalkan dirinya seorang duda beranak enam. Hanya menceritakan secara ringkas kisah perceraiannya disebabkan ada masalah keluarga, melibatkan pergaduhan dengan keluarga mertua yang menyebabkan dia mengambil untuk undur diri.

Laila tidak tahu mengapa saat pertama kali mereka berjumpa dia terus berterus terang, boleh berkongsi cerita dan menceritakan segalanya tentang ahli keluarga dan latar belakangnya. Bagaikan sudah bertahun mengenalinya. Laila seolah yakin bahawa inilah jodoh yang dipinta selama ini.

Dalam masa yang sama Laila memohon petunjuk daripada Allah SWT. Tiba-tiba baru Laila ingin bertanyakan tentang tarikh yang tepat perceraian mereka. Dan di sinilah punca keretakan itu berlaku. Hanafi tidak dapat memberikan tarikh yang tepat dan akhirnya mengaku bahawa masih di dalam proses mahkamah. Jawapan itu bagaikan bom atom bagi Laila.

Laila pernah terkena sebelum ini dengan duda beranak empat, Zainol. Telah menceritakan dan merancang segalanya, tiba-tiba Zainol mendiamkan diri menyebabkan Laila kehairanan. Akhirnya Laila melakukan siasatan dan akhirnya ketemu jawapan apabila Zainol mengemaskini statusnya di dalam muka buku. Alangkah kecewanya Laila kerana dipermainkan. Setelah menceritakan keburukan isterinya tetapi akhirnya kembali kepada isterinya jua. Begitu mudah mempermainkan perasaan Laila.

Dan ini kisah kali kedua, Laila tidak mahu pisang berbuah dua kali, cukuplah sekali merasa sakitnya perasaan itu. Laila mengambil sikap menjauhkan diri dan memberikan amaran supaya menyelesaikan terlebih dahulu dan tidak mahu dikaitkan dan terlibat secara langsung ataupun tidak langsung.

Itulah sedikit cerita Laila di awal tahun 2020.