Friday 30 November 2018

Tidak mudah


Tak mudah untuk aku melupakan perkenalan kita yang telah berlangsung tanpa dijangka. Segala ini kita rahsiakan daripada pengetahuan rakan-rakan kita, hatta keluarga kita sendiri. Bagaikan berlangsung dalam keadaan yang amat sulit memandangkan ia adalah cinta terlarang. Seolah-olah tiada siapa yang tahu apa yang tertulis untuk diriku, siapa diriku.
Aku genggam erat bicara hati, walau berat untuk ku luah atau simpan. Aku jua tidak mengerti mengapa jalan ini yang aku pilih, hitam yang membawa derita itu yang mahu aku lorekkan.
Masih belum aku menemui jawapan, berlarutan lamanya hingga aku sendiri tidak terdaya menongkahnya. Apakah masih ada ruang untuk ini? Apa yang aku idamkan ia adalah sebuah kebahagiaan.
Bagaimana kesukaran untuk ku melupakan peristiwa yang manis itu? Begitulah sukarnya hidupku melangkah tanpamu. Naluriku ini bagaikan berkata, tiada nyawa yang dikandung hilang terbang bersama perginya dirimu.
Sampai bila takkan terganti dirimu ini dan sampai bila takkan berubah rasa cintaku padamu dan kerinduan yang membuak dariku kepadanya. Aku terlupa bahawa aku terluka pabila kau pergi meninggalkan aku keseorangan. Biar masa yang menyembuhkannya.
Hadir dirimu mengubah segalanya dan tanpa kusedari kau telah mengajar diriku tentang erti hidup, bagaimana harus aku harungi hidup ini, yang penuh pancaroba ini. Tiada siapa tahu dan rasa kecuali mereka yang berada seperti diriku.
Tiada siapa boleh menghalang perasaan ini yang sentisa menantikan kedatangan dirimu. Salahkah diriku mencintai dirinya saat diri jauh terpisah.




Thursday 29 November 2018

Tertulisnya takdir



Setiap langkah yang aku aturkan bagaikan membakar diriku ini kerana aku tidak mampu melupakan saat indah bersamamu itu. Terasa asing hidupku ini tanpamu di sisi.
Aku akan terus mengejarmu selagi aku mampu kerana tiada siapa tahu kemampuan diriku yang sebenarnya. Tidak mudah aku meleburkan apa yang telah aku genggamkan. Biarlah aku menderita sepanjang perjalanan ini kerana sudah tertulis takdirnya begitu.
Tidak aku sesalkan atas apa yang telah terjadi antara kita berdua kerana kita sebenarnya tahu apa risiko yang akan terjadi. Cinta perlukan keberanian menghadapi hari yang mendatang. Balasan yang akan diterima syurga cinta adalah nikmat yang terindah.
Genggamlah cinta yang kita ukir bersama walau di mana kita berada. Biarpun kita tidak ditakdirkan bersama, usah ditangisinya, hapuskan airmata ini dan teruskan berjalan menuju penghujungnya.
Mengapa rindu ini semakin ku rasakan hebat dan adakah aku dapat ku genggam kembali cinta yang semakin berkaca itu. Harapanku bagaikan semakin berterbangan di tiup angin yang masih bersisa.
Aku inginkan kau merasakannya, aku ingin kau mendengarkannya, sukar untuk ku tinggalkan ia. Gagal aku melaksanakannya. Aku bukan wanita yang sempurna dalam hidupmu. Tapi aku tetap mencuba untuk hadirkan pelengkap itu.
Aku temukan kisah yang inginkan dan aku cuba lorekkan ikut kemahuanku ini. Adakah aku tamak melayari keindahan dengan kehendakku.
Namun kini keindahan itu hilang seperti mana hilangnya pelangi, hanya muncul sekejap selepas hujan. Tak mahu ku kenang, tak mahu ku berserah, kini aku mahu teguh berdiri sendiri.
Sampai bila aku harus begini, bertanyakan tentang kita? Aku terhenti berlari seketika, tergamam sendiri. Tersedar bahawa diriku masih sendirian kesepian.

Monday 12 November 2018

Persimpangan dilemma



“Lela, sekarang awak tahu kan bagaimana perasaan saya?” Tanya Yani setelah Lela meluahkan rasa hatinya.
“Tiada wanita yang ingin hidup berkongsi dengan wanita lainkan?” Lela cuba meyakinkan dirinya sendiri atas keputusan yang diambilnya.
Dulu, Lela adalah seorang yang menentang kuat apabila Yani berkahwin dengan suami orang. Tetapi sekarang Lela dalam persimpangan dilemma.
Sememangnya wanita tidak suka berkongsi, apatah orang yang mereka sayang. Tetapi semua ini adalah dugaan dan ujian hidup, ketetapan yang telah Allah aturkan.
Tiada siapa menduga Lela boleh jatuh cinta pada suami orang. Bukan dia tidak cuba mengelak apabila salam perkenalan dihulurkan. Puas dia berdalih tetapi kehadiran Udin ketika dia memerlukan seseorang dalam hidupnya menyebabkan dia sukar untuk mengelaknya. Tambahan pula Udin pandai mengambil berat dan sentiasa ada ketika di perlukan. Lela tergugat dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Udin.
Keputusan Lela menerima Udin sememangnya ditentang hebat oleh keluarga Lela yang menentang keras poligami. Lela cuba berlapang dada, menangis mengadu padaNya tetapi masih tetap berkeras mahukan Udin. Akhirnya keluarga Lela menerima dengan separuh hati apabila melihat kesungguhan Lela.
Tiada siapa menduga takdir yang telah tertulis.



Saturday 10 November 2018

Peminat Misteri



Bunyi mesej masuk mendebarkan aku. Cepat-cepat aku mencapai telefon bimbitku di atas meja dan segera aku menyemak siapakah pengirimnya.
“Buat apa tu?” Mesej yang dihantar oleh peminat misteriku ini yang mampu membuatkan aku tersenyum. Macam dia tahu sahaja aku baru balik dari kerja, detik hati kecilku.
“Tengok TV,” balasku pendek. Tanpa disangka, telefonku bordering riang selepas beberapa saat mesejku dihantar.
Aku teragak-agak untuk menjawab panggilan dari peminat misteriku itu. Namun, hatiku berbunga riang, cuma aku kawal diriku supaya tidak nampak yang aku terlalu gembira dengan panggilan telefon tersebut.
“Assalamualaikum!” Aku memberi salam selepas menekan butang hijau.
“Waalaikumussalam. Sedang buat apa tu?” Tanyalah lagi walaupun sudah dapat jawapan daripadaku tadi.
“Tengok TV,” jawabku lagi.
“Kenapa tak mandi lagi?” Tanyanya yang terus mematikan senyumanku. Eh bagaimana dia tahu yang aku baru balik kerja dan sedang bermalasan di sofa, malas lagi ke bilik air. Aku tidak menjawab tetapi memandang sekeliling, ada CCTV ke dalam rumah aku ini ataupun dia ada teropong ajaib yang boleh nampak gelagat aku sekarang. Terus jantung aku berdegup kencang, takut dan risau bersarang didadaku sekarang ini.
“Awak…awak,”panggilnya selepas aku mendiamkan diri.
“Ye…ye,” aku bagaikan baru tersedar dari mimpi.
“Awak, saya takutlah,”  akhirnya aku menyuarakan rasa kegusaranku.
“Kenapa?” Tanya dia.
“Awak macam ada kat rumah saya,” aku berterus terang sahaja.
“Saya teka sahajalah sebab saya nampak awak naik lif tadi, sambil sengih seorang,” jujur dia menerangkan sebabnya.
Aku menutup mulut, malu dengan gelagat sendiri yang rupanya ada pemerhati di kawasan kejirananku ini. Lepas ini aku berazam untuk membuat muka serius sahaja.
“Alah tadi sebab lif tu ada masalah, saya tekan banyak kali tapi tak nak buka, bila dah buka, lama pula nak tertutup, tu yang saya duduk tergelak sebab teringat peristiwa hari tu, pernah terkurung dalam lif,” aku cuba menutup rasa maluku itu.
“Iyalah tu,” terdengar dia tergelak kecil.
“Awak kat mana sekarang ni?” Tanya aku lanjut.
“Depan kereta awak,” selamba sahaja dia memberitahuku yang menyebabkan jantung aku bergerak makin laju.
Bahaya betul peminat aku yang mengetahui semua maklumat tentang diriku ini, sedangkan aku hanya mengetahui nombor telefon dia sahaja, nama pun aku tidak tahu, apatah lagi blok mana, kerja apa, kereta ataupun motorsikal. Aku tidak tahu siapakah gerangan peminat misteri aku ini.