Wednesday 24 June 2015

GARANG


“Awani, kenapa tidak datang ujian tempohari?” Tanya Puan Saleha kepada pelajarnya.
“Saya lambat membayar yuran,” jelasnya perlahan dan takut-takut.
“Saya kan dah bagi peluang ke dua sampai ke lima untuk awak dating bila-bila masa sahaja,” kesal Puan Saleha kerana pelajar ini tidak menggunakan peluang yang diberikan.
“Saya takut nak datang jumpa Puan,” katanya laju sambil menundukkan wajahnya. Kakinya menguis-nguis sesuatu yang tidak pasti.
Apabila Puan Saleha mengadukan masalah ini kepada Ketua Jabatannya, tamparan hebat diterima. Katanya Puan Saleha kurang senyum yang boleh menakutkan pelajar, yang menyebabkan pelajar takut dan gerun tanpa bersebab.

Puan Saleha disyorkan memaniskan senyuman dan mendekati lagi pelajar-pelajar tersebut.

CANTIK


“Miss, janganlah suruh saya gugurkan subjek tersebut,” rayu Muzaffar.
“Kenapa?” Tanya Miss Mariam kepada menteenya.
“Err….” Sambil menggaru kepalanya dan tersengih-sengih.
“Ooo…sebab Miss Syakirah tu cantik?”telah Miss Mariam.
“Taklah….dia baik,”sambil tersenyum simpul penuh makna.
Pelajar pun tahu memilih, jika pensyarah itu cantik bersemangat ke kelas tapi jika pensyarah itu selekeh ia juga boleh melemahkan semangat pelajar tersebut. Haruskah begitu?
Penampilan pensyarah adalah penting bagi seorang pelajar selain air muka yang menunjukkan garang ataupun lembut. Sebagai pensyarah, kena tegas dalam lembut, mainkan emosi dan gunakan psikologi dalam mengawal mereka terutama menggalakkan kehadiran mereka ke kelas.


KURSUS PILIHAN


“Kenapa awak selalu ponteng kelas?” Tanya pensyarah muda perempuan yang masih di pertengahan 20an.
“Saya dipaksa oleh ibu bapa saya, saya tak minat pun kursus ini,” terangnya tanpa berselindung lagi setelah disyarah selama 15 minit oleh pensyarah selaku mentornya jua.
“Mengapa awak tidak berterus terang sahaja?” Soalnya lagi.
“Puan, saya telah bertukar kolej dan universiti 4 kali. Puas saya beritahu pada ibu saya yang saya tidak minat dengan kursus pilihan dia tapi dia beria-ia juga memujuknya. Saya tidak mahu dicop sebagai anak derhaka,”
“Tapi dengan kelakuan macam ini, adakah dapat menyelesaikan masalah awak? “
“Saya tak tahu bagaimana nak selesaikan. Kalau ibu saya cakap A, maka A lah,” nada hampa dilantunkan.
“Bagaimana dengan ayah awak?”
“Ayah saya ikut saja apa yang ibu saya cakap,”
“Macam inilah apa kata awak cuba bincangkan dengan ayah dan ibu terlebih dahulu.”
Sukar juga apabila masing-masing mempunyai ego. Ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Mana ada ibu bapa yang mahu melihat anaknya salah memilih jalan. Sedangkan anak masih mentah mengharapkan ibu bapa mengerti dan mengikut rasa sahaja, tidak pernah terfikir masa depan yang telah dibazirkan.

Bangsaku cemerlang ………

SOSIAL


“Ustazah, apa yang patut saya lakukan jika rakan serumah saya membawa balik teman lelakinya ke dalam biliknya? Bilik itu dikongsi oleh kami bertiga,” adu seorang pelajar perempuan yang merasa terseksa apabila teman sebilik yang dipercayainya telah merosakkan hubungan mereka.
“Adakah Aida telah cuba menegurnya secara langsung?” Tanya ustazah.
“Saya telah diberikan amaran keras, jika saya campur tangan lagi dia kata saya akan menyesal kemudian hari,” ada esakan kecil mengiringi kata-katanya itu.

Ramai sekarang remaja yang hanyut dengan dunia yang penuh tipu daya. Berkenalan sehari dua sanggup menyerahkan maruah yang tersimpan rapi selama ini. Tidak takut dan tidak gentar pada akibatnya. Itulah yang menjadikan kebimbangan kepada golongan yang bertanggungjawab.

KONVOKESYEN


Di dalam Dewan Konvokesyen, hati tersentuh melihat kejayaan bekas pelajar terutama pelajar-pelajar yang mendapat anugerah daripada pelbagai pihak.

Memandang sekeliling ada ibu bapa yang tersenyum bangga apabila nama anaknya dipanggil sebanyak dua kali ke pentas konvokesyen.


“Kejayaan ini datangnya daripada pelbagai pihak dan usaha. Terima kasih saya ucapkan untuk ahli keluarga saya, pensyarah saya dan rakan-rakan yang lain yang sentiasa menyokong saya.” 

Ucapan pelajar terbaik tadi sangat menyentuh hati ini. Sememangnya dia layak berada di situ.

Begitulah gaya pelajar cemerlang yang sentiasa meletakkan kejayaan itu usaha bersama, bukannya datangnya daripada dia semata-mata.

ETIKA


“Assalamualaikum dan selamat tengahari,” ucap seorang pensyarah perempuan di dalam kelas Pengajian Ekonomi Islam.
Masing-masing mengeluarkan buku dan pen dan memulakan pengajian mereka.
Tiba-tiba mata pensyarah tersebut memandang seorang pelajar perempuan kecil molek yang seronok mengunyah roti dengan selambanya dan cuba mempelawa rakan sebelahnya.
Mata pensyarah tersebut memberikan isyarat bahawa perbuatan itu kurang beretika dan tidak patut dilakukan tetapi pelajar tersebut tidak memahaminya sehinggalah pensyarah tersebut terpaksa menegur perbuatan itu secara langsung.

Alahai pelajar sekarang.

KERJA KURSUS


Setiap hari adalah warna pelangi bagiku. Berjumpa dengan pelajar boleh membuatkan aku tersenyum walau adakalanya mereka juga membuatkan aku naik angin.
Apabila musim peperiksaan menjelang, pelbagai rayuan yang diterima.
“Puan, bagilah saya satu lagi peluang. Saya akan buat betul-betul. Saya sungguh-sungguh menyesal kerana ambil ringan sahaja,”
Itu dialog terjadi apabila mereka melihat markah kerja kursus mereka. Ada yang gembira dan ada yang berduka apabila tidak mendapat seperti apa yang mereka idamkan. Kerja mahu senang tapi markah mahu gempak.

Adakalanya mereka juga perlu diberikan pelajaran kerana mereka perlu diberikan pancing, bukannya ikan. 

Friday 19 June 2015

Ramadan Kareem

Ramadan
Bulan yang mulia
Penuh keberkatan

Ramadan
Pesta ibadah
Bukan pesta makanan
Dibazirkan tanpa segan

Ramadan
Bulan permulaan
Menyucikan hati nan kotor
Tiada umpatan
Tiada kata kata nista
Tiada buruk sangka
Tinggalkan mazmumah
Kaut segala mahmudah