Saturday 24 May 2014

Sirna

Sirna
Sudah seminggu aku menyanyikan lagi Someonle like you nyanyian Adele sehingga Liza menegur aku. Katanya kebelakangan ini aku agak aneh dan penuh misteri. Aku menghadikan senyuman sahaja. Tidak mampu berkata apa-apa. Saat aku hampir hilang jejaknya saat itu datang kembali, aku terkaku disini bagaikan menonton drama itu berulang kembali. Cerita semalam yang hampir padam datang lagi menyinggahi kotak minda ini. Aku kecelaruan.
Biar aku kongsikan cerita ini dengan rakan-rakan semua, sememangnya aku mengetahui bahawa dia sudah berjumpa gadis idaman dan sudah pun mendirikan rumahtangga lewat dua bulan lepas. Tika itu aku selalu sibukkan diriku dengan kerja. Aku tidak mahu sekelumit pun ingatan ada pada dirinya. Dan sememangnya itulah gadis idamannya yang dikatakan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Dia dikatakan wanita sempurna di kaca matanya. Wanita itu mampu memberikan apa yang tidak mampu aku berikan. Aku terpempan seketika.
Namun dia tidak mahu memutuskan persahabatan yang sudah lama terjalin, mungkin hampir menjangkau seabad. Aku sememangnya benci mengingati detik demi detik tika kita sentiasa mengharungi susah penat bersama. Mana mungkin kenangan itu hilang sekelip mata. Puas aku padamkan ia namun ia masih lagi terukir.
Seperti yang kita telah janjikan, aku tetap akan mencari seseorang yang hampir miripmu, bukan sahaja dari segi rupa tapi juga dari segenap segi. Aku hanya mampu titipkan doakan buat dirimu dan adakalanya aku bagaikan ingin merayu supaya jangan dibuang kenangan yang indah itu. Biarlah ia layu terlebih dahulu sebelum kau kebumikannya. Terukkah aku kerana terlalu memikirkan kesedihan diriku sedangkan sepatutnya aku mendoakan kebahagiaanmu.
Sebenarnya aku keliru pada saat ini, saat kau mendakap bahagia sedangkan aku mengulit derita dan air mata. Lukaku semakin berdarah….mendalam dan terasa pedihnya. Jiwaku terus berkocak tiada tanda ketenangan ingin berlabuh dalam hati ini.
Mona pernah pesan padaku, berterus terang adalah kunci yang terbaik dalam sebuah perhubungan. Sedang aku masih terkial untuk menjadi wanita sempurna di matanya. Banyak teguran yang aku endahkan. Akhirnya aku yang terkulai layu di sini.
Hampir setiap malam aku dihiasi mimpi ngeri….amat menakutkan.