Sunday 21 April 2019

Berpapasan

Asma mengenali Rafie selepas mereka berpapasan beberapa kali di tempat letak kereta. Pada permulaannya Asma tidak mengetahu bahawa Rafie telah curi-curi mendapat nombor telefonnya dan sentiasa menggangu malamnya dengan deringan telefon yang hanya beberapa saat tepat jam 12 tengah malam. Asma kebingungan siapakah gerangan yang sentiasa mengacau mimpi indahnya setiap malam.

Selepas beberapa bulan Asma telah dapat mengetahui gerangan pemanggil misteri. Rupanya Rafie yang selalu berpapasan dan selalu berkebetulan menaiki lif bersama tika balik dari kerja. Rafie menyimpan hasrat untuk mengenali Asma yang dilihat sombong dan kurang mesra dalam kejiranan mereka.

Setelah Rafie berani memperkenalkan diri, dan akhirnya Asma pun menyelidik serba sedikit tentang Rafie. Rafie tidak berani berterus terang tentang statusnya yang bukan lagi bujang. Memiliki seorang isteri dan seorang anak perempuan membuatkan pada mulanya Asma tawar hati untuk meneruskan hubungan ini. Tetapi kegigihan Rafie dan kesunyian Asma membuka peluang ini menyebabkan perhubungan ini berlarutan.

Hati Asma menjerit mahu meneruskan perhubungan gelap ini sedangkan Asma tahu risiko yang bakal dihadapinya. Bagaimana Asma mahu melupa dan melepaskan Rafie yang telah membuka hatinya setelah sekian lama Asma mendiamkan sahaja.

Asma tidak mahu lari dari ujian yang menimpanya. Asma tekad dengan apa yang dipertaruhkan kerana baginya dia telah melakukan segala-galanya. Asma menidakkan kehadiran Rafie, demi menjaga kemaslahatan namun semua itu memakan dirinya sendiri.

Asma akhirnya menoktahkan perhubungan gelap itu, dalam kesamaran Asma memutuskan itu yang terbaik untuk mereka berdua. Namun setiap hari Asma berharap Rafie kembali menghubunginya, mengharapkan keajaiban berlaku sehingga setiap hari Asma berdoa agar mereka sentiasa berpapasan seperti selalu namun kehendak Allah, mereka tidak lagi berpapasan malah tidak bertembung di mana-mana lagi. Itulah petandanya.