Saturday 8 March 2014

Abah



Suatu hari Nia menerima panggilan telefon dari abang sulungnya Imran bahawa abah meracau-racau sejak akhir-akhir ini. Abang kedua Idham dan abang ketiga Izhar tidak mahu mengambil endah sahaja tentang perkembangan abah yang terbaru. Nia selalu menangis sendirian mengenangkan nasib abah yang semakin teruk perkembangan kesihatannya.

Nia mengerti kenapa abang keduanya Idham marahkan abah. Abah yang agak tegas dengan anak-anak dilihat sebagai yang kurang mesra dengan anak-anak berbanding dengan abah kawan-kawan yang lain. Abah dikatakan selalu marah-marahkan abang Idham berbanding dengan abang sulung Imran. Katanya apa sahaja tindakannya dikatakan salah dan menyebabkan abang Idham kecil hati. Abang Izhar pula tidak suka dengan sikap abah yang suka membebel dan selalu tidak kena dengan apa yang dilakukan oleh mereka. Mereka tidak endah dengan abah walaupun sikap mereka itu telah melukakan hati abah dan ibu. Ibu selalu memujuk mereka berdua supaya memahami sikap abah.

“Abang,” panggil Nia setelah melihat kelibat abang Izhar.
Abang Izhar seraya berpaling dan menunggu kata-kata yang terbit dari mulut Nia.
“Abah semakin teruk racaunya. Ibu mohon abang Ngah dan abang Chik balik menziarahi abah,” terang Nia perlahan.
“Bukan abang Chik tak nak balik tetapi kerja semakin menimbun. Tambahan pula rakan sekerja abang Chik, Nazri baru sahaja berhenti kerja dan tiada pengganti lagi,” selamba sahaja abang Izhar membalas tanpa rasa bersalah.
“Kalau ye pun, cubalah telefon abah selalu. Sekurang-kurangnya abah rasa anak-anaknya mengambil berat tentang dirinya,” Nia cuba memujuk abang-abangnya.
“Tengoklah nanti,” acuh tak acuh sahaja abang Izhar membalas.

Nia merasa cukup kecewa dengan sikap abang-abangnya yang tidak mengambil endah dan membiarkan ibu sahaja yang menjaga abah. Adakah mereka tidak sedar bahawa anak-anak lelaki tetap bertanggungjawab menjaga kedua ibubapa mereka walaupun mereka sudah berkahwin. Bukan mereka tidak mendengar ceramah-ceramah agama di surau ataupun masjid tetapi mereka tidak mengendahkan apa yang mereka dengar.

Apa sahaja yang dipesan oleh abang Imran hanya dipandang sepi sahaja. Mereka mempunyai pelbagai alasan yang kadang kala rasanya hanya direkacipta sahaja. Nia merasa cukup tertekan dengan sikap abang-abangnya.

“Nia, baliklah hujung minggu ini. Kita bawa abah jalan-jalan,” ibu memohon apabila menghubungi Nia pada malam itu.

Nia serba salah kerana Nia ada tanggungjawab dengan syarikatnya. Nia perlu bertugas di luar daerah pada hujung minggu ini. Mana mungkin Nia menolak tugasan tersebut kerana acap kali dia menolak tugasan ke luar daerah beralasan abahnya yang kurang sihat. Permintaan ibunya pun sukar untuk dia tolak tetapi amat sukar untuk dia bersetuju. Nia kebingungan.
“Abang long, ibu minta Nia balik hujung minggu ini tetapi Nia perlu pergi ke Johor. Kena melawat tempat projek. Acap kali Nia menolak dan kali ini Nia tak dapat nak menolaknya lagi. Macam mana ni bang?” Nia cuba memohon pertolongan dengan abang Imran.
“Usah risau Nia. Abang long akan balik hujung minggu ini. Perkara kecil je Nia,” abang long selalu menjadi penyelamat Nia.

Nia terkenang tika dulu, abah sememangnya suka memarahi ibu tanpa sebab. Selalu ibu akan dihamburkan kata-kata yang kurang enak didengar. Sebagai anak, Nia dan abang-abang akan merasa abah tidak wajar memarahi ibu sedemikian rupa. Alasan yang remeh sahaja ibu akan dimarahi. Adakalanya abah dengki apabila kami pulang ke rumah kerana ibu akan melayani kami seharian dengan pelbagai juadah dan cerita-cerita yang menarik sehingga ibu mengabaikan abah. Abah jarang berkongsi cerita dengan kami semua. Abah suka bersendirian di dalam bilik sambil membelek kitab-kitab yang dibelinya. Pabila di meja makan, dia hanya mahu anak-anak diam mendengar ceramah agama yang berkumandang daripada radio yang menjadi penemannya. Selepas makan, baru kami semua bercerita dengan ibu, pelbagai cerita yang kami kongsikan bersama.

Nia dan abang-abang semua cuba memahami abah tetapi adakalanya abah menjerkah cucu-cucunya iaitu anak abang Ngah dan abang Chik yang selalu bising berkejaran di ruang tamu. Isteri abang ngah selalu merajuk dan terus balik ke rumah ibubapanya apabila anak-anaknya dimarahi. Ibu selalu menasihati kak ngah supaya jangan mudah berkecil hati dengan abah.

Abah mempunyai disiplin yang amat kuat. Abah paling pantang apabila anak cucunya membuat sepah di ruang tamu, dapur dan persekitaran halamannya. Habis semua orang akan dimarahinya jika hanya sedikit sampah sahaja berada di tangga ataupun ruang depan rumah.

Cuma satu sahaja yang kami suka tentang abah. Abah tegas tentang penjagaan solat dan penutupan aurat. Abah akan memanggil kami semua untuk sama-sama solat Jemaah jika abah tidak ke masjid. Sekarang Nia merindui untuk solat Jemaah dengan abah. Sudah lama Nia tidak berjemaah dengan abah, lebih kurang 6 bulan sejak abah sakit. Nia rindu abah.

Tika abah sakit yang menyebabkan kakinya bengkak dan tidak dapat berjalan. Nia rindu untuk abah turun ke dapur dan makan bersama. Kerusi abah kosong dan tiada siapa mahu duduk di kerusi itu. Nia rindu bebelan abah apabila kami lambat menyapu di halaman rumah. Nia rindu cara abah menyidai baju yang agak berlainan dengan orang lain. Nia rindu melihat abah menunggang motorsikal. Nia rindu semua itu.

Abah jarang mahu bermesra dengan anak-anak dan menantu. Cerita-cerita abah hanya cerita yang basi bagi kami. Tapi kami tahu abah menyayangi kami semua dan tidak pernah sekali abah lupakan untuk mendoakan kesejahteraan kami semua. Ibu pernah bercerita abah menangis apabila bercerita tentang abang Idham dan abang Izhar. Nia amat sedih dan tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah itu.
“Abang, abah sebenarnya menyayangi kita semua,” Nia cuba berbual-berbual dengan abang Idham dan abang Izhar ketika Nia berkumpul di rumah abang Imran.

“Kami semua tahu Nia tapi kami juga ada perasaan,” luahan abang Izhar mengejutkan Nia.
“Abah sebenarnya ingin benar jika anak-anaknya bertelefonnya walaupun lima minit sahaja,” abang Imran menasihati kami semua.
“Tapi abah tu suka bercerita yang berjela dan adakalanya yang tiada kaitan dengan kita pun,” bantah abang Idham.
“Tak mengapa, sekurang-kurangnya kita mengambil berat tentang dirinya,” tegas abang Imran.
“Apa kata, kita gilir-gilir telefon abah,” cadang Nia.
“Telefon ni tak perlu dipaksa dik. Cukuplah jika kita ikhlas melakukannya,” abang Imran bersuara lagi.
“Kita walaupun sudah berkeluarga tetapi tetap syurga di bawah kaki ibu. Jika kita melukakan hati abah, ibu juga akan terasa,” abang Imran meneruskan nasihatnya.

Nia melihat abang Idham dan abang Izhar mengangguk-angguk tanda setuju. Nia sudah nampak cahaya yang bersinar di depan.

“Nia, tadi abang Izhar telefon. Petang tadi abang Idham telefon bertanya khabar abah. Katanya dia mahu balik pada hujung minggu depan,” ibu memberitahu berita gembira selepas dua minggu pertemuan di rumah abang Imran berlalu. Khabar itu amat menggembirakan Nia. Mungkin doa ibu, abang dan Nia terkabul. Terima kasih ya Allah SWT.