Thursday, 1 January 2026

Cerita hujung tahun

Situasi 1

Ustazah Shamsiah memanggil Maya Qaisara  ke dapan

"Kenapa kerap kali tak datang kelas ustazah?" Tanya Ustazah lembut dan berhati-hati.

"Ustazah....saya tak cukup duit, sekiranya saya datang semalam, saya tak dapat datang ke kelas hari ini. Saya naik grab daripada rumah saya ke stesyen LRT, lepas tu baru saya ambil pengangkutan awam. Abah saya belum gaji lagi, jadi saya kena berjimat cermat," jawab Maya dengan nada lemah dan kesal.

"Kenapa tidak duduk di sini?" Ustazah bertanya lanjut.

"Abah saya tidak benarkan, dia takut saya tidak boleh berdikari disini," Maya seakan berbisik sahaja risau kawan sekelasnya dengar.

Situasi 2

"Adam, kenapa tidak datang kelas petang kelmarin sedangkan sudah tahu bahawa ada ujian lisan?" Ustazah Shamsiah bertanya tegas.

"Hujan lebat semalam ustazah, saya memang naik pengangkutan awam. Kalau guna payung pun akan basah kuyup," Adam memberikan alasan yang kali ketiga untuk semester ini.

Situasi 3

"Nisha, bulan ini sahaja sudah dua kali awak ponteng kelas?" Ustazah Shamsiah menantikan jawapan dan alasan daripada pelajarnya.

"Sebenarnya ustazah, saya bergilir dengan kakak saya menjaga ibu saya yang sakit kanser, dia sekarang terbaring sahaja. Kalau kakak saya ada kerja, saya terpaksa berkorban tidak datang ke kelas," sayu sahaja jawapan yang diberikan oleh Nisha, ternampak bagaikan ada kilauan air di tubir matanya yang bila-bila akan gugur.