Sunday, 29 September 2013

Lakaran lepas

Cerita yang pernah kita lakarkan hanya menjadi sejarah hari ini. Dan kau hanya mampu lafazkan maaf kerana tidak mampu persembahkan apa yang telah kita janjikan sebelum ini.
Pernahkah kita sesalkan apa yang telah terjadi dan tiada antara kita minta ditakdirkan sebegini. Tak mungkin kita mahukan pengakhirannya sebegini kerana kita berdua yakin setiap yang berlaku ada hikmah di sebalik ini. Kita telah berjanji walau apa yang berlaku, kita kena hadapi hidup ini dan mesti kuatkan semangat melalui hari-hari mendatang.

Kini aku berjalan melangkah membawa cinta yang pernah hadir di ruang hati ini menjadikan teman waktuku berduka. Izinkan aku menyimpannya sehingga sampai waktunya aku akan menanamnya. Sampai waktunya aku tetap akan kuburkan ia....pasti. Aku sebenarnya tidak tahu bagaimana caranya untuk kekal tabah mendatangi bilah-bilah hari tanpa kau di sisi. Aku mula belajar warna pelangi untuk menghiasi taman hatiku ini, umpama kaca yang retak menanti derai.

Tiada yang bisa melelahkan aku....kenangan yang berputar dalam mindaku ini. Aku kebasahan menahan tangis yang meluru keluar. Bagaimana aku mahu menangkis semua itu? Ku mohon padaMu supaya dibekalkan ketabahan mendepani hari-hari yang mendatang. Pintamu tenanglah menghadapi dugaan ini sedang aku sendiri menahannya dalam gelap dalam sinar.


Percayalah bahawa semua ini akan berlalu walau kau menahannya....dan aku ditinggalkan pergi dalam duka. Dalam kegelapan kau tinggalkan aku. Sebentuk hati yang telah pecah berderai...di dalam lautan kasih yang kau musnahkan.

Di hati ini tiada lain yang bertamu....hanya kamu. Dan saat yang paling menyakitkan apabila kau tidak izinkan aku walau sekelumit hadir sekalipun dalam mimpimu. Sepi mencengkam hatiku dan cahaya mula berdikit menghilang. Aku rasa aku tidak mampu berdiri lagi...tiada lagi yang akan menyokongku jika aku terasa ingin rebah. Seharusnya aku belajar mengenal dunia ini. Dan kau tutup kemas pintu hatimu ini sehingga tiada lagi ruang untuk aku bertapak kembali.

Pintamu lagi, relakan kau pergi dalam diriku. Saat itu hanya kelam menyulami dan aku terdiam sepi. Suara tangisan tersekat di kerongkong dan menusuk jantungku. Ucapku perlahan....aku akan teruskan hidup ini tanpamu.

No comments:

Post a Comment