Saturday, 19 September 2015

Takut

"Miah, kenapa tak datang buat ujian lisan, hafazan dan bacaan," Ustazah Marhaini menelefon pelajarnya yang acap kali dipesan tapi tiada mendapat hasil.
"Saya banyak kelas, hari ini pun sampai jam 6.30 petang," sengaja Samiah mencari alasan.
"Saya kena siapkan markah pada minggu ini juga," jelas ustazah seraya mendesak.
"Baiklah ustazah, saya cuba dalam jam 4 hari ini," janji Miah.
Dalam jam 5 petang barulah nampak kelibat Samiah di luar pejabat.
"Ustazah, Miah takut!" Adu Samiah sambil matanya tidak berani menatap wajah ustazah.
"Apa yang hendak ditakutkan? Saya tanya perkara asas sahaja," terang ustazah Marhaini.
"Saya tak pandai baca" jawabnya jujur sambil tergagap-gagap.
"Duduk dan kita mulakan. Pertama baca doa iftitah,"
Samiah dapat membaca dengan baik. Tiada apa yang perlu ditakuti, detika hati ustazah.
"Sekarang, kita mulakan bacaan tiga qul. Tengok mathurat ini dan baca surah al-ikhlas,"
Samiah membaca sambil memandang ustazah. Marhaini dapat mengagak bahawa dia menghafal sahaja surah ini.
"Cuba baca ayat ini," duga ustazah Marhaini sambil menunjukkan ayat ketiga surah al-ikhlas. Samiah hanya memandang sambil tersenyum. Kemudian dia gelengkan kepalanya.
"Boleh saya tanya lanjut?" Ustazah Marhaini cuba membuka bicara.
"Adakah Miah solat 5 waktu," aju Marhaini lembut.
"Tak," jawabnya pantas.
"Kenapa?"tanya ustazah.
Samiah hanya menjungkitkan bahunya.
Lama kami terdiam sehinggalah akhirnya dia berbicara. Katanya kalau di rumah dia hanya solat maghrib sahaja, ibunya sibuk bekerja, meniaga sehingga tiada masa memantau anak-anak mereka. Lagipun masa sekolah dulu dia bersekolah di sekolah kebangsaan jenis cina. Dia tidak terdidik langsung dengan agama, rapuhnya agama bagi dia. Namun dia boleh membaca ayat-ayat yang mudah kerana dia selalu mendengar adik-adiknya membaca al-quran.
Ustazah Marhaini membuat kesimpulan, dia ingin berubah cuma dia memerlukan petunjuk untuk dia menjumpai jalan yang telah dibengkokkan.

No comments:

Post a Comment