Monday, 17 September 2018

Hati dijentik



Hana merasakan bahawa kehidupannya telah cukup sempurna, walaupun dia tidak pernah berkahwin tetapi dia merasakan kehidupannya bahagia bahkan tidak pernah mempunyai masalah. Sehinggalah hatinya telah dijentik.

Memang takdir telah ditulis, bahawa hadirnya seorang lelaki yang cuba menjentik sebuah cinta kepadanya.

Seminggu sebelum hadirnya bunga-bunga cinta, Hana telah melihat foto perkahwinan rakan sekolahnya Lina. Terdetik di hati kecilnya, jodoh tetap akan tertulis walaupun usia menginjak ke penghujung. Jangan putus berharap dalam membina harapan ini.

Lewat petang selasa, usai perjumpaan antara ketua unit, Hana menerima Video Call daripada nombor yang tidak dikenali. Hana menekan butang hijau tanda menerima panggilan tersebut, tiada wajah dari pihak pemanggil. Hana merasa satu bentuk gangguan dan meletak video call tersebut. Namun selang lima minit kemudian, video call terus memanggil minta diangkat. Hana menekan butang hijau dan cuba meyakinkan bahawa bukan scam ataupun panggilan yang tidak sepatutnya. Selepas itu hilang kisah sebegitu.
Sekembali Hana daripada pejabat, Hana singgah sekejap membeli meehon tomyam bagi mengisi perutnya yang sudah berkeroncong. Tiba-tiba Hana melihat ada mesej whatsapp masuk daripada nombor yang tidak dikenali, yang cuba menghubungi video call tadi.
“Salam perkenalan….” Mesej itu berbunyi.
“Siapa pula ni?” Balas Hana dengan penuh pertanyaan.
“Sudi tak berkawan?”
“ Siapa?”
“Sudi tak?”

Hana membiarkan sahaja mesej itu tidak berbalas, baginya ini adalah scammer yang mahu mengacau ataupun sesiapa sahaja yang cuba mengambil keuntungan.

Pada suatu petang, Hana melihat papan notis yang berdekatan dengan lif. Hana membaca segala maklumat ataupun aktiviti surau dan badan pengurusan apartment tempat tinggalnya. Tiba-tiba matanya tertumpu kepada nama seseorang, yang biasa dia lihat dan agak biasa dengan dirinya. Terus hatinya tersentak, nama orang yang pernah menghantar mesej melalui whatsapp dan pernah menelefonnya. Mujurlah Hana menggunakan Call Application yang dapat mengenalpasti pemanggil walaupun kita tidak pernah kenal tuannya. Namanya memang unik dan disebabkan Hana pasti bahawa pemanggil tersebut pernah mengenalnya.

Hana mencari kembali mesej yang diabaikan itu dan mula menaipnya tetapi dalam masa seminit dia memadamnya. Mungkin itu juga menyebabkan orang di sana perasan yang Hana sedang menaip sesuatu, tidak lama kemudian masuk mesej yang bertanya khabar.

Terus Hana berbalas mesej dan bertanyakan kebenarannya. Hana inginkan kepastian dengan statusnya, Hana tanpa berfikir panjang, bertanyakan Kak Jun, salah seorang AJK Surau, yang boleh mengesahkan status Syamsir Hisan. Kak Jun mengatakan bahawa apa yang dia beritahu kepada Hana adalah betul dan tepat sekali maklumatnya.

Sebenarnya sudah lama Syamsir Hisan memerhatikan Hana ,lebih kurang setahun yang lepas dan pelbagai cara untuk dia mendapatkan nombor telefon Hana cuma dia agak segan untuk memulakan perkenalan tersebut, bimbang bunga yang ingin disunting telah dimiliki.

Salah satu kesungguhan yang benar-benar membuatkan Hana berfikir panjang, apabila dia sanggup berjumpa dengan abang Hana, berterus terang dan menyatakan bahawa dia ingin menyunting Hana sebagai suri hatinya. Hana terus terpaku dan menangis.

Hati Hana terjentik setelah sekian lama dia menyendiri dan membiarkan hatinya kosong daripada cinta manusia. Sekarang hati Hana sudah berbunga-bunga idamkan sebuah kebahagiaan dan mahukan ikatan ini dihalalkan.





No comments:

Post a Comment