Sunday, 12 January 2020

Tinta buatmu



Sudah lama Ija tidak coretkan madah di kertas kajang ini. Rasanya paling akhir ketika sekolah dulu. Ija tidak tahu mengapa Ija selesa menulisnya di kertas kajang berbanding menaipnya di laman buku ataupun sesawang yang lain.

Cinta yang hadir buat kita hanya seketika sahaja, ia bakal berakhir tidak lama lagi selepas segalanya terdedah. Jalan yang kita perlu lalui adalah jalan yang berbeza, takkan mampu kita lalui jalan yang sama.

Ija mengharapkan Hafiz faham kenapa Ija mengambil tindakan begini. Ija tidak boleh menipu diri Ija ini yang impian Ija setinggi gunung. Ija tidak mahu Ija berpura-pura mencintaimu dan menggoreskan hati kita semua.

Bukan Hafiz tidak ada hak untuk mencintai seseorang yang lebih dari Hafiz tetapi Ija ini yang mempunyai ego yang tinggi. Ija takut nanti Ija akan meminta macam-macam sedangkan Hafiz tidak mampu. Sebab itu salah satu ikatan perkahwinan itu haruslah terbina dalam keadaan yang sekufu.

Dalam berbicara nampaknya Hafiz juga sukar untuk mengejar impian Ija yang setinggi awan di langit biru. Dalam pencarian kita, nampak ketara kita mempunyai arah yang berbeza. Terpisahnya kita kerana mengejar impian.

Ija tahu Hafiz sentiasa mengulangi bahawa kasih Hafiz terhadap Ija tidak akan berubah tetapi Ija tidak mampu memaksanya. Ija tidak mahu menerima kerana kesunyian dan kasihan. Disebabkan itu juga Ija mohon Hafiz melangkahlah dan terus mencari pengganti secepat mungkin. Tiada takdir tertulis antara kita.

Hati ini rapuh, lelah mencari cinta dan kehidupan yang penuh duka. Namun Ija tetap pertahankan hak Ija. Cuma Ija ucapkan terima kasih kerana pernah menceriakan hidup Ija dan memberikan erti bermakna dalam hidup ini walau seketika cuma. Ija tetap merasa sakit atas perpisahan ini. Ija yang minta perpisahan ini tetapi Ija tetap rasa pilunya.

Buat masa ini Ija masih belum temui pengganti. Biarlah Ija begini buat seketika. Ija mohon undur diri dulu.



No comments:

Post a Comment