Sebak dada ini tatkala kau memberikan aku keputusan itu. Mana mungkin aku menerima jawapan sedemikian. bagaikan langit menimpa kepalaku, bagaikan ingin pecah dadaku menaham sebak.
Bahagia yang ku undang derita yang kau tawarkan. Harapan yang ku beri, kaca yang kau hulurkan, betapa pedihnya menerima dugaan yang hebat ini. Seandainya inilah kali terakhir kita ketemu, maafkanlah aku. Aku tahu amat susah untuk memadam kenangan dalam masa singkat dan aku kira agak mendalam luka itu untuk sembuh. Tak mungkin kita meneruskan lagi mimpi indah kita. Kita kena berani berdepan dengan realiti, itu titipmu yang terakhir. Aku hanya mampu memandang dengan pandangan yang kosong.
Mataku hanya memandang kegelapan walaupun ada cahaya yang cuba mencuri masuk kerana apa? Aku tidak dapat menerima takdir atau aku takut berdepan dengan realiti hidup.
Aku tidak pernah terbayang derita akan menghiasi kamar hatiku, pernah cuba ku usir tapi sekejap sahaja ia menghilang. Aku cuba mengundang bahagia bertamu di hati namun ia seakan tidak sudi menjenguk diri ini. Mahalnya bahagia bagi diriku ini. Bahagia bukan boleh dijual beli kalau tidak sudah lama aku akan membelinya. Siapa yang ingin mengecapi derita?
No comments:
Post a Comment