Dalam aku menghadapi ujian hidup yang penuh tekanan ini,adakalanya pedoman yang diberikan jua tersasar untuk aku kembali pada Mu. Cukupkah pedoman aku selama ini? Masih lagi aku keciciran dalam menelurusi hidup ini, hanya mencatat beberapa yang penting sahaja sedangkan ujian hidup ini penuh dengan suka duka, pancaroba dan sebagainya.
Aku tahu takdir yang berlaku semuanya di dalam genggamanNya, sudah tertulis di Luh Mahfuz tetapi sebagai manusia aku harus berusaha bukan berserah dan pasrah tanpa ada usaha menggapai impianku.
Perjalanan hidup ini diukir dan dilakar dalam kanvas hidupku tanpa sepatutnya secubit kekesalan terbit dalam hatiku tetapi aku...hanya manusia biasa yang adakalanya terlepas pandang semua ini. Walau ujian hidup melanda, akan ku tabahkan hati ini menerimanya.
Walaupun tidak dikurniakan kemasyuhuran dalam hidup ini, walaupun aku tidak dilimpahi kemewahan tetapi aku tetap syukur atas segala nikmat yang telah Kau kurniakan kepada diriku ini. Aku tetap akan memuji diriMu kerana tetap membawa aku ke jalan yang benar, menunjukkan aku jalan yang lurus dalam mendamba cintaMu. Kesabaran adalah salah satu kunci yang telah kau hadiahkan untuk diriku ini. Aku rasa aku cukup bertuah kerana telah terpilih dalam menjalani ujian hidup ini, walau penuh simpang siur tetapi aku akan cuba melangkahnya.
Engkau selalu menunjukkan aku jalan yang terang jika aku dalam kesamaran menongkat diri dalam perjalanan yang adakalanya samar. Hidup sememangnya tiada seri jika tiada ujian dan godaan, ada kalanya ku lepas dalam merentasi ujian tetapi ada kalanya aku gagal terkandas di pertengahan tetapi dengan pertolonganMu aku berjaya keluar dari kegelapan itu.
Mungkin benar kata mereka yang lain, ujian itu oahit tetapi apabila berjaya manis untuk dikenangnya.
Aku akan lebih tabah dalam menghadapi ujian ini, ia bagaikan haruman yang mekar di waktu pagi dan menarik ramai orang tetapi bagaimana mahu mempertahankan haruman itu pada waktu petang sedang ia makin cuba menguncup.
No comments:
Post a Comment