Tuesday, 30 July 2019

Kerja Part Time



“Mengapa awak selalu ponteng kelas ni?” Tanya Cik Aini pensyarah muda kepada pelajarnya yang kelihatan lesu dan letih sahaja sepanjang kelas.

“Saya selalu terlajak tidur puan,” jawabnya lemah sambil kepalanya tunduk memandang lantai.
“Puan, nanti saya nak jumpa,” dia bersuara perlahan sambil meminta izin untuk pergi ke kelas seterusnya.

Dalam perjalanan balik ke fakultinya, Cik Aini ditahan oleh pelajarnya yang lain.
“Puan, saya ingin bercakap dengan puan sekejap,” Suara pelajar tersebut kedengaran takut-takut, bimbang dimarah oleh pensyarahnya kerana tergesa-gesa menahan.

“Kenapa?” Tanya Cik Aini, sedikit terganggu kerana dia tergesa-gesa mahu balik ke fakultinya, banyak kerja menimbun yang menantinya.

“Puan, pertamanya saya minta maaf kerana selalu datang lambat dan adakalanya saya tidak datang ke kelas. Saya bekerja ‘part time’. Dan macam-macam kerja yang saya lakukan agar saya boleh bayar yuran pengajian sem ini,” terang Muna panjang lebar sambil matanya bergenang.

“Muna, saya bukannya tidak mahu memahami dan tidak membenarkan awak bekerja tetapi awak tetap kena jaga pointer awak. Jangan pula, yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran pula,” Puan Aini memulakan bicara lembut.

“Saya faham puan. Kadang kala saya tak sempat mandi dan sarapan, tapi saya berusaha datang ke kelas puan. Tugasan yang diberikan saya akan pastikan saya buat dengan sempurna,” Muna menjelaskan lagi.

“Apa kerja yang awak lakukan?” Puan Aini nampak mula berlembut.
“Saya buat macam-macam, saya jadi dropship, pemandu grab, pekerja promoter dan apa sahaja asalkan halal puan,” Muna meneruskan bicara.

“Keluarga saya menhadapi masalah kewangan. Ayah saya telah berhenti kerja, adik saya masih lagi belajar. Kakak saya terpaksa berhenti untuk beri saya peluang belajar. Dulu saya belajar di kolej lain tetapi separuh jalan kolej itu terpaksa ditutup. Saya tidak dapat pinjaman lagi dan dalam masa yang sama saya kena selesaikan pinjaman yang dulu. Saya rasa ujian saya sangat berat puan tapi saya cuba cekalkan hati. Saya bukan minta simpati puan tetapi saya mahu puan faham dan memahami situasi saya. Saya berjanji saya cuba belajar sendiri dan berusaha bersungguh-sungguh demi masa depan saya,” tegasnya mengakhiri perbualann.



No comments:

Post a Comment