Bicara ini
Ana, Ima harap Ana tidak penat
mendengar cerita daripada Ima. Ima hanya mahu bercerita pendek
sahaja, tidak mahu lama mengambil masa Ana. Harapnya Ana sudi membaca sampai ke
titik yang terakhir.
Eloklah Ima cerita tentang diri
Ima yang masih lagi bersendirian setelah puas mencuba. Ima cuba mendaftar di
BaitulJannah seperti yang disyorkan oleh Ana. Ima menanti dan mencuba namun
nasib Ima tidak bertuah, tiada siapa pun yang sudi berkenalan sehingga Ima
merajuk dan enggan lagi melihat laman sesawang tersebut. Bukan Ima tidak mahu
terima kenyataan tetapi pahitnya apabila rata-rata lelaki melihat paras rupa
sebagai ukuran untuk mencari suri rumah mereka. Ima menangis …menangis. Ujian
ini sugguh berat bagi Ima. Tapi cepat-cepat Ima tepis dan anggap ini semua
dugaan yang Allah hadirkan untuk menguji keimanan Ima.
Ima kadang kala membaca blog
ataupun laman sesawang, ada orang mendapat ujian yang lebih berat terutama
apabila kawan-kawan Ima yang kehilangan orang yang disayangi, kemalangan ataupun
penyakit yang menjemput suami mereka. Mereka lagi hebat menerima ujian
tersebut, terutama apabila mereka mempunyai anak, anak yang istimewa yang
memerlukan perhatian. Sungguh Ima bersyukur, menarik nafas dan melafazkan rasa
syukur kerana ujian Ima hanya secebis sahaja daripada kehidupan mereka.
Bagaimana dengan kehidupan Ana?
Ima teringin mendukung anak Ana yang kedua, cantik dan cerdik nampak, seindah
namanya jua. Ima ada terbaca yang menyatakan Ana mahu lagi menambah jumlah
umat. Amboi bukan main lagi Ana ni, mencanangkan keseluruh dunia ye. Apa pun
Ima tetap doakan agar Ana terus gembira melayari bahtera dengan Azhar dan
anak-anak Ana.
Ana, Ima tidak lupa janji kita
yang mahu terus bersahabat, mahu terus kekal berhubung walau apa pun terjadi.
Ima faham jika Ana agak lambat memberikan jawapan atau membalas mesej ini
kerana Ana mempunyai banyak tanggungjawab.
Ana, Ima sekarang cuba mendaftar
Till Jannah pula, laman sesawang pencarian jodoh juga. Doakan agar usaha Ima
ini berjaya untuk kali ini seiring dengan target pada tahun ini iaitu 2021,
untuk mengakhiri zaman bujang. Apa yang Ima mahu berjumpa dengan orang yang
baik-baik, yang boleh membimbing Ima sampai ke Jannah.
Harapan Ima tidak pernah padam,
seperti mana tidak pernah jemu berulang siang dan malam dalam kehidupan ini.
Doa tidak pernah ditinggalkan, sentiasa disematkan dalam solat.
No comments:
Post a Comment