Friday, 1 January 2021

Pelajar ooo Pelajar

 

Ragam Pelajar 2

“Aisyah, bila nak buat ujian lisan ?” Tanya Ustazah Maimoon.

“Saya sekarang ni period, boleh buat ker?” Pertanyaan yang dibalas dengan pertanyaan, diam tidak membalasnya lagi.

“Zali, bila sepatutnya awak kena buat ujian lisan?” Ustazah Maimoon menelefon pelajarnya yang selalu mengelak untuk datang ke kelas.

“Saya sekarang tengah bekerja dan boleh ke saya buat ujian itu esok?” Zali memberitahu dan cuba berbincang dengan pensyarahnya.

“Esok jam 4 petang boleh?” Ustazah Maimoon menetapkan sebagai autoriti.
“Saya cuba dulu ustazah.” Zali menamatkan panggilan tanpa ucapan salam.

“Suhaila, berlatih dulu sebelum buat ujian lisan. Kalau Suhaila ada masa lapang pada minggu hadapan, kita buat latihan sebelum ujian sebenar,” Ustazah Maimoon mencadangkan kepada Suhaila disebabkan dia agak lemah dalam mengenal huruf.
“Baik ustazah,” jawab Suhaila dengan lemah.

Ustazah Maimoon menunggu dan menunggu, tiada mesej ringkas di hantar seperti yang dijanjikan. Apabila Ustazah Maimoon menelefon atau menghantar mesej, tiada berjawab. Apa daya lagi usaha yang perlu dilakukan.

“Betty, kenapa tidak fokus pada bacaan ini. Awak pandang apa tu?”Tegur Ustazah Maimoon.

“Saya sekarang berada di rumah ‘boyfriend’ saya,” jawab Betty jujur sehingga menyebabkan Ustazah Maimoon terkaku seketika.

“Amar, kenapa lama tak datang kelas?” Ustazah menelefon kepada salah seorang pelajarnya.

“Ustazah, saya sebenarnya malu mahu masuk ke kelas itu.” Amar memberitahu ringkas.

“Kenapa pula?” Ustazah Maimoon bertanya lanjut.

“Ada rakan saya di dalam kelas itu yang suka perli dan menyindir saya. Saya rasa rendah diri ustazah. Saya tahu yang saya ni tak berapa pandai baca, merangkak-rangkak lagi. Saya malu, saya rasa rendah diri sangat,” panjang lebar Amar menerangkan.

“Habis tu, awak rasa keputusan diam itu adalah keputusan yang tepat?” Tanya balik Ustazah Maimoon.

“Saya tahu saya salah ustazah,” suara Amar agak kendur, menyedari kesilapannya.

“Maznah, kenapa tidak datang ujian tadi?” Ustazah Maimoon menelefon bertanyakan khabar.

“Ustazah, hari itu saya sudah bertanyakan ustazah tapi tiada jawapan. Jadi sekarang saya sedang menghadiri kelas ujian memandu,” jawapan pendek yang membuatkan Ustazah Maimoon sakit kepala.

“Alif, kenapa tak masuk kelas minggu lepas?” Ustazah Maimoon akan bertanyakan dulu sebelum memulakan kelas.

“Keluarga saya datang jenguk saya dan mereka ajak saya keluar makan ustazah. Saya minta maaf sangat-sangat ustazah,” Alif menyatakan alasannya.

“Kenapa keluarga datang dan mereka daripada mana?” Tanya ustazah lanjut.

“Saya sudah lama tidak balik rumah dan keluarga saya tinggal di Rawang,” Alif menjelaskan tanpa rasa bersalah.

“Aiman, kenapa tak jawab call ustazah?” Ustazah Maimoon menghantar pesanan ringkas.

“Saya tengah menghantar barang ustazah. Sekejap lagi saya cuba telefon balik,” Aiman membalas tanpa rasa bersalah. Menghantar barang ketika waktu kelas di jalankan. Mana keutamaan, belajar atau  bekerja?

“Danial, kenapa tak datang kelas? Kalau awak masih tidak muncul, ustazah tidak akan teragak-agak untuk bagitahu fakulti untuk bawa subjek ini ke semester akan datang,” ugut Ustazah Maimoon.

“Maaf ustazah, tadi saya tengah siapkan tugasan subjek lain,” Danial menyatakan alasan yang sangat membangkitkan kemarahan ustazah Maimoon.

“Ustazah mahu Danial tulis dan rakam pelajaran 1 sehingga 7 dan hantar pada ustazah pada hari Selasa depan,” Ustazah Maimoon masih mahu mempertimbangkan disebabakan dia adalah pelajar tahun akhir.

 

No comments:

Post a Comment