"Bestlah ceramah Ustaz Jais tadi pasal Qadha dan Qadar," Mila bersuara apabila mereka melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu mereka.
" Apa yang 3 serangkai tu?" Tanya Nora
"Cepat betul kau ni lupa," Liza menjeling tajam pada Nora
"Usaha, ikhtiar dan doa," Asha memberikan jawapan pantas sambil tangannya membelek buku catatan ringkasnya.
"Maksudnya segala apa yang terjadi ini adalah semuanya pelan dan perancangan Allah SWT," Liza menyambung.
"Ada yang Allah bagi dengan segera ataupun cepat, lambat dan ada yang Allah tangguhkan," Mila pula menyambung, masing-masing ingin meluahkan balik apa yang mereka dengar tadi. Begitu teruja.
"Jadi mari kita sambung perjuangan kita dalam laman cari jodoh, jangan mudah berputus asa," Liza menekankan ayat itu sambil menjeling tajam ke arah Asha.
"Orang yang beraqidah tidak akan berputus asa," giliran Nora pula menyambung ayat tersebut.
"Jom semua, mari kita daftar sekarang," Mila terus membuka laptopnya, manakala Liza membuka ipadnya.
"Mungkin jodoh kita menunggu di syurga," Asha menuturnya perlahan tapi boleh didengari oleh rakan-rakannya.
"Jangan kau cakap yang kau tidak mahu daftar balik," Liza memerhati tajam ke arah Asha
"Nanti aku fikirkan ye," Asha menjawab laju dan terus masuk ke bilik.